Skip to content

Zihar: Rukun, Syarat dan Kesannya

zihar

Zihar pada bahasa ialah perkataan masdar yang diambil daripada perkataan الظهر yang bermaksud belakang. Asalnya diambil daripada perkataan suami yang menziharkan isterinya dengan ucapan : (نتِ عَلَيَّ كَظَهْرِي أُمِّيأ)  yang bererti “engkau itu dengan saya sama seperti belakang ibu saya”.

Zihar ini adalah talak pada masa zaman arab jahiliah, kerana orang-orang jahiliah itu bilamana mereka membenci isteri mereka dan tidak mahu isteri mereka berkahwin dengan lelaki yang lain, maka mereka menziharkan atau meng’ilakan isterinya itu. Maka jadilah isteri itu tanpa suami dan tidak boleh bersuami kecuali dengan suaminya yang pertama itu juga.

Manakala zihar pada syarak pula ialah suami menyerupakan isterinya yang bukan ditalak ba’in dengan mana-mana perempuan yang diharamkan berkahwin dengannya secara kekal.

Zihar ini adalah sesuatu perbuatan yang diharamkan oleh syarak ke atas suami. Jika ia berlaku, maka wajib keatas suami itu untuk membayar kaffarah (denda). Sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Al-Maidah ayat 2:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُحِلُّواْ شَعَـٰٓٮِٕرَ ٱللَّهِ وَلَا ٱلشَّہۡرَ ٱلۡحَرَامَ وَلَا ٱلۡهَدۡىَ وَلَا ٱلۡقَلَـٰٓٮِٕدَ وَلَآ ءَآمِّينَ ٱلۡبَيۡتَ ٱلۡحَرَامَ يَبۡتَغُونَ فَضۡلاً۬ مِّن رَّبِّہِمۡ وَرِضۡوَٲنً۬ا‌ۚ وَإِذَا حَلَلۡتُمۡ فَٱصۡطَادُواْ‌ۚ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ أَن صَدُّوڪُمۡ عَنِ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ أَن تَعۡتَدُواْ‌ۘ وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ (٢)

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Mekah untuk korban) dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haram, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci) dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidilharam itu, mendorong kamu menceroboh dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Dan lagi firman Allah taala dalam Surah al-Ahzab ayat 4:

مَّا جَعَلَ ٱللَّهُ لِرَجُلٍ۬ مِّن قَلۡبَيۡنِ فِى جَوۡفِهِۦ‌ۚ وَمَا جَعَلَ أَزۡوَٲجَكُمُ ٱلَّـٰٓـِٔى تُظَـٰهِرُونَ مِنۡہُنَّ أُمَّهَـٰتِكُمۡ‌ۚ وَمَا جَعَلَ أَدۡعِيَآءَكُمۡ أَبۡنَآءَكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ قَوۡلُكُم بِأَفۡوَٲهِكُمۡ‌ۖ وَٱللَّهُ يَقُولُ ٱلۡحَقَّ وَهُوَ يَهۡدِى ٱلسَّبِيلَ (٤)

Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya dan Dia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu “zihar” kan itu sebagai ibu kamu dan Dia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. (Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dialah jua yang memimpin ke jalan yang betul. (4) 

Rukun Zihar

  • Suami yang menziharkan
  • Isteri yang diziharkan
  • Orang yang diziharkan
  • Lafaz zihar

Syarat suami yang menziharkan

1. Berakal

Hendaklah suami itu seorang yang berakal: maka tidak sah zihar yang dilakukan oleh orang yang kurang akal, orang yang sedang pitam/pengsan, orang yang bingung dan orang yang sedang nyenyak tidur.

2. Sempurna umurnya(baligh)

Hendaklah suami itu seorang yang sempurna umurnya (baligh): maka tidak sah zihar yang dilakukan oleh kanak-kanak jika sekiranya dia berakal lagi mumayyiz, kerana zihar itu tasarruf (tingkah laku) yang memudharatkan semata-mata.

3. Beragama Islam

Suami itu hendaklah beragama Islam pada pendapat Hanafiah dan Malikiah: maka tidak sah zihar yang dilakukan oleh kafir zimmi, kerana hukum zihar itu diharamkan untuk sementara waktu yang akan hilang dengan membayar kaffarah , sedangkan orang kafir bukan ahli untuk membayar kaffarah yang mana kaffarah itu bertujuan mendekatkan diri kepada Allah swt.

Sementara pendapat As-Syafi’iyyah dan Hanabilah pula: tidak mensyaratkan orang yang menzihar itu dengan syarat Islam kerana ayat zihar itu berbentuk umum:

Ertinya: “Dan orang-orang yang menziharkan isteri mereka, tanpa membezakan antara Islam dan kafir, mereka juga boleh menceraikan isteri mereka, maka mereka boleh menziharkan isteri mereka.

4. Kemahuan suaminya sendiri

Hendaklah dengan kemahuan suaminya sendiri, bukan dipaksa pada pendapat jumhur ulama selain dari Hanafiah. Maka bagi pendapat Hanafiah, sah zihar secara paksa dan zihar secara tersalah sebagaimana sahnya cerai walaupun secara paksa mahupun tersalah.

Syarat isteri yang diziharkan

A) Hendaklah yang diziharkan itu adalah isterinya (kepunyaannya secara perkahwinan). Oleh itu tidak sah zihar perempuan ajnabiyah (bukan isterinya). Tetapi bagi pendapat jumhur ulama selain dari As-Syafi’yyah, sah zihar perempuan yang ditaklik dengan memilikinya,  contohnya dia berkata: “Jika aku berkahwin dengan engkau, maka engkau itu denganku seperti belakang ibuku.

B) Tanggungjawab memiliki perkahwinan dari apa jalan sekalipun: maka sah menziharkan isteri walaupun dia itu masih dalam iddah raj’ie, dan tidak sah jika isteri itu dalam iddah talak bai’n, talak tiga dan perempuan yang tebus talak (khulu’).

C) Pada pendapat Hanafiah, hendaklah zihar itu disandarkan kepada isterinya ataupun mana-mana anggotanya sama ada semua anggota atau sebahagian daripadanya. Maka jika dia menyandarkan kepada isterinya seperti: “Engkau denganku seperti belakang ibuku”. Atau disandarkan kepada anggotanya seperti: “Kepala engkau, tengkuk engkau, faraj engkau, denganku seperti belakang ibuku”. Itu semua adalah zihar.

Syarat orang yang diserupakan

Iaitu setiap perempuan yang haram disetubuhi secara kekal dengan sebab nasab (keturunan), rada’ah (penyusuan), ataupun musaharah (persemendaan) kecuali ibu yang menyusukannya (suami yang menziharkan) dan isteri anaknya. Berikut adalah syarat-syarat orang yang diserupakan iaitu:

A) Dari golongan perempuan: maka jika yang diserupakan itu dari golongan lelaki walaupun dari keluarganya yang terdekat seperti bapa dan sebagainya: zihar itu tidak sah, begitu juga jika diserupakan dengan khunsa.

B) Hendaklah yang diserupakan itu perempuan yang haram nikah dengannya, sama ada dengan sebab kerabat, penyusuan atau musaharah.

C) Perempuan yang diserupakan itu tidak halal dikahwini sebelum itu; seperti isteri bapanya (ibu tiri) yang berkahwin dengan bapanya sebelum ia dilahirkan lagi, adapaun ibu tiri yang berkahwin dengan bapanya setelah ia dilahirkan, maka ia tidak jadi zihar. Kerana perempuan itu sah berkahwin dengannya sebelum berkahwin dengan bapanya dahulu. Begitu juga isteri anaknya (menantu perempuan) kerana ianya halal berkahwin dengannya sebelum berkahwin dengan anaknya. Seterusnya isteri yang dicerai dengan talak tiga, isteri yang telah dili’an padanya, dan isteri-isteri baginda Rasulullah saw; ini semua tidak jadi zihar apabila disamakan dengan mereka; kerana pengharaman kahwin dengan isteri-isteri Rasulullah saw itu adalah sebagai penghormatan kepada baginda Rasulullah saw dan memuliakannya.

Syarat sighah zihar

Sighah yang terjadinya zihar itu adakalanya dengan lafaz sorih (jelas) yang tidak berhajat kepada niat ataupun dengan lafaz kinayah yang memerlukan kepada niat. Berikut dijelaskan mengenai lafaz-lafaz sorih dan lafaz kinayah:

A) Lafaz sorih

Iaitu perkataan yang jelas yang digunakan secara khusus pada zihar sahaja dan tidak mengandungi erti yang lain dari zihar, seperti sebutan “belakang” atau mana-mana anggota yang dimuliakan. Contohnya kata suami kepada isterinya: “Engkau denganku, diriku atau disisiku sama seperti belakang ibuku”. Begitu juga katanya: “Tubuh engkau, badan engkau atau diri engkau sama seperti tubuh, badan atau diri ibuku”.

B) Lafaz kinayah

Iaitu perkataan-perkataan yang mengandungi erti zihar dan erti yang lain, dan lafaz kinayah ini memerlukan niat untuk menentukan maksud yang sebenar, seperti kata suami kepada isterinya: “Engkau denganku seperti mata atau kepala ibuku” atau seumpamanya. Dan tidak terjadi zihar dengan lafaz talak, begitu juga tidak terjatuh talak dengan lafaz zihar, seperti kata suami kepada isterinya: “Engkau tertalak” dan dia meniatkan zihar, maka tidak terjadi zihar.

Kesan-Kesan Zihar

Terjadi dengan sebab zihar itu kesan-kesan berikut iaitu:

  • Haram melakukan persetubuhan sebelum membayar kaffarah itfaaqan (penebusan) : Berkata jumhur ulama selain dari Syafi’iyyah: haram semua jenis istimta’ seperti sentuhan, kucupan, memandang tempat-tempat yang mengghairahkan selain dari muka dan dua tapak tangan dan semua tubuh badan serta kecantikannya. Ini kerana firman Allah swt dalam Surah al-Mujadalah ayat 3 iaitu:

وَٱلَّذِينَ يُظَـٰهِرُونَ مِن نِّسَآٮِٕہِمۡ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا قَالُواْ فَتَحۡرِيرُ رَقَبَةٍ۬ مِّن قَبۡلِ أَن يَتَمَآسَّا‌ۚ ذَٲلِكُمۡ تُوعَظُونَ بِهِۦ‌ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٌ۬ (٣

Dan orang-orang yang “ziharkan” isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu) dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan. (3)

Sementara pendapat As-Syafi’iyyah pula: haram dengan sebab zihar itu ialah jimak (melakukan persetubuhan) sahaja, dan bukan perbuatan-perbuatan lain sebagai mukaddimah untuk melakukan persetubuhan: seperti bercumbuan, panggung-memanggung dan mubasyarah selain dari faraj sehingga membayar kaffarah.

  • Isteri berhak meminta suami yang menziharkannya itu untuk mempersetubuhinya, kerana itu adalah haknya, dan isteri juga berhak menghalang suami dari bercumbu-cumbuan dan mempersetubuhinya sehingga dia membayar kaffarah. Kewajipan qadhi untuk memastikan dia membayar kaffarah bagi menolak kemudharatan terhadap isteri.

Kaffarah Zihar

Disyariatkan membayar kaffarah zihar ini dengan dalil-dalil berikut:

1) Surah Al-Mujadalah ayat 3:

وَٱلَّذِينَ يُظَـٰهِرُونَ مِن نِّسَآٮِٕہِمۡ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا قَالُواْ فَتَحۡرِيرُ رَقَبَةٍ۬ مِّن قَبۡلِ أَن يَتَمَآسَّا‌ۚ ذَٲلِكُمۡ تُوعَظُونَ بِهِۦ‌ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٌ۬ (٣(

Dan orang-orang yang “ziharkan” isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu) dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan. (3)

2) Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a bahawa seorang lelaki menziharkan isterinya, kemudian dia mempersetubuhi isterinya itu, selepas itu dia datang kepada Rasulullah saw menceritakan:

Ertinya: Sesungguhnya aku telah mempersetubuhi isteriku sebelum membayar kaffarah (zihar), baginda Rasulullah saw bersabda: “Janganlah kamu menghampirinya sehingga kamu menunaikan apa yang diperintahkan Allah swt dengan melakukannya.”

3) Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanadnya dari Khaulah binti Malik bin Tha’labah berkata:

Ertinya: Telahpun menzihar aku oleh (suamiku) Aus bin Somit, maka aku pun pergi megadu kepada Rasulullah saw, dan Rasulullah saw membantahiku padanya, dan bersabda: “Hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah swt, maka sesungguhnya dia itu sepupu engkau”, kemudian ketika sedang bercakap-cakap itu, turunlah firman Allah swt (Surah Al-Mujadalah ayat 1-4), kemudian baginda bersabda: “Hendaklah dia memerdekakan seorang hamba”, Khaulah menjawab: “Dia tidak mampu”. Baginda bersabda lagi: “Kemudian hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut”, Khaulah menjawab: “Wahai Rasulullah saw, sesungguhnya dia itu seorang yang sangat tua, apakah daya dia hendak berpuasa”, Rasulullah saw bersabda lagi: “Kemudian hendaklah dia memberi makan kepada 60 orang miskin”. Khaulah terus memberitahu baginda saw: “Dia tidak mempunyai sesuatupun untuk disedekahkan”, lalu terus Baginda saw membawa kepadaku sebakul tamar (yang memuatkan 60 gantang), terus Khaulah berkata: “Wahai Rasulullah saw, aku akan membantu dia dengan sebakul tamar lagi. Baginda bersabda: “Itu adalah sebaik-baiknya, oelh itu pergilah (wahai Khaulah) berilah makan dengan dua bakul tamar itu kepada 60 orang miskin, dan kembalilah kepada suamimu itu”.

Difahamkan dari dalil-dalil diatas itu, kaffarah zihar ini ada tiga jenis iaitu:

  • Memerdekakan seorang hamba yang sejahtera dari sebarang kecacatan.
  • Berpuasa dua bulan berturut-turut.
  • Memberi makan 60 orang miskin.

Kewajipan membayar kaffarah zihar ini adalah secara tertib: iaitu mula-mula dengan memerdekakan hamba, kemudian jika tidak didapati hamba hendaklah berpuasa selama 2 bulan berturut-turut, kemudian lemah dari berpuasa hendaklah member makan 60 orang miskin, lemah yang diambil kira disini adalah lemah semasa hendak menunaikannya pada pendapat jumhur ulama, adapun pada pendapat Hanabilah ialah lemah semasa dia membatalkan sumpah (zihar) itu.

Yang Diwajibkan Membayar Kaffarah

Kebanyakan para fuqaha berpendapat; kaffarah zihar itu tidak wajib dibayar sebelum “العود” (menarik kembali), maka sekiranya mati salah seorang dari suami atau isteri yang diziharkan itu, ataupun dia menceraikan isterinya yang diziharkan itu sebelum dia menarik kembali, maka tidak wajib membayar kaffarah, kerana firman Allah swt dalam Surah Al-Mujadalah ayat 3:

وَٱلَّذِينَ يُظَـٰهِرُونَ مِن نِّسَآٮِٕہِمۡ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا قَالُواْ فَتَحۡرِيرُ رَقَبَةٍ۬ مِّن قَبۡلِ أَن يَتَمَآسَّا‌ۚ ذَٲلِكُمۡ تُوعَظُونَ بِهِۦ‌ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٌ۬ (٣

Para ulama berselisih pendapat tentang pentafsiran perkataan “العود” dalam ayat di atas itu dengan 3 pendapat iaitu:

1) Hanafiah dan qaul masyhur mazhab Malikiyah berpendapat: “العود” itu ialah melakukan persetubuhan di faraj, kerana zahir ayat tersebut, oleh itu wajib membayar kaffarah selepas melakukan persetubuhan, dan tidak wajib membayar kaffarah sebelumnya kecuali bagi mereka yang hendak mempersetubuhi isterinya itu.

2) Hanabilah pula berpendapat: “العود” itu ialah melakukan persetubuhan di faraj, kerana zahir ayat tersebut, oleh itu wajib membayar kaffarah selepas melakukan persetubuhan, dan tidak wajib membayar kaffarah sebelumnya kecuali bagi mereka yang hendak mempersetubuhi isterinya itu.

3) Sementara As-Syafi’iyyah pula berpendapat: “العود” itu ialah menahan isteri dari diceraikan selama masa yang sempat dia melafazkan talak terhadap isterinya itu, kerana zihar itu menjadikan isteri itu ba’in, maka dengan tidak menceraikan isterinya itu, dia menarik kembali apa yang diucapkan. Dengan yang demikian itu, wajiblah membayar kaffarah.

Rujukan:  Kitab Fiqh karangan Haji Abdul Razak Haji Muhammad terbitan Pustaka Haji Abdul Majid

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × one =