Skip to content

10 Tempat Menarik di Perlis Yang Perlu Anda Pergi

tempat menarik di perlis

Apakah tempat menarik di Perlis untuk bercuti? Artikel ini akan menyenaraikan beberapa tempat menari di Perlis yang perlu anda pergi

Negeri Perlis

Perlis adalah negeri terkecil yang terletak di utara Semenanjung Malaysia yang bersempadan dengan Thailand. Kangar merupakan ibu negeri Perlis. Arau ialah Bandar DiRaja. Acara tahunan iaitu malam kilauan cahaya akan diadakan di Istana Arau sempena hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis. 

Hanya negeri Perlis satu-satunya tempat untuk mendapatkan buah mangga bermusim yang berbuah setahun sekali yang sangat terkenal kerana keharuman dan kemanisannya iaitu Harumanis.

Negeri kecil ini mempunyai “Tujuh Pesona” yang berbaloi untuk dikunjungi. Artikel kali ini menyenaraikan 10 tempat menarik di Perlis iaitu :  

1. Arked Niaga Padang Besar

Kalau ternampak rombongan dengan beg berbondong-bondong di stesen LRT yang tak sabar-sabar ingin berkunjung ke Padang Besar, jangan terkejut ya! Anda semua pasti pernah dengar dan kenal Padang Besar. Ini merupakan salah satu tempat menarik di Perlis yang anda perlu pergi

Padang Besar sangat terkenal sebagai syurga membeli-belah pelbagai barangan bebas cukai dengan harga yang murah. Lokasinya di sempadan Thailand. Siapa yang suka jalan-jalan tu, sebelum pergi, simpan duit banyak-banyak dulu. Nanti boleh shopping sakan!

Tempat beli-belah tu sangat luas sampai tak habis berjalan dibuatnya. Macam-macam ada seperti makanan, pakaian, perhiasan, pinggan-mangkuk, tembaga, kasut, CCTV dan sebagainya. 

Sumber foto : cikguhailmi

2. Kuala Perlis

Laksa Perlis memang terkenal dengan kesedapannya. Setelah puasa berjalan-jalan di Padang Besar, apa kata anda cuba makanan laut yang segar? Rugi kalau tak cuba.

Terdapat banyak restoran dan gerai makanan laut di Kuala Perlis. Selain itu, anda boleh melawat Kampung Pelangi yang berdekatan. Anda boleh solat di masjid terapung yang dikenali sebagai masjid al-Hussain.

Di waktu senja, anda dapat melihat suasana matahari terbenam yang indah dari atas batu-batu tepi laut sambil memerhatikan gelagat ikan belacak dan ketam-ketam kecil yang keluar dari lubang-lubang selut lumpur untuk mencari makanan apabila air surut. Tetapi, berhati-hati kerana batu-batu itu tajam dan licin. 

Kalau dapat bersiar-siar di waktu malam sambil pekena lok ching bakar dengan kuah cicahnya yang sangat lazat di gerai tepi laut dengan layan angin sepoi-sepoi bahasa, anda pasti ingin singgah lagi dan lagi.

Sumber foto : wikitravel

3. Muzium Kota Kayang

Muzium Kota Kayang menyimpan pelbagai artifak dan bahan-bahan sejarah berharga Perlis. Muzium ini juga mempunyai pelbagai cerita misteri dan mistik. Muzium Kota Kayang dibina di kawasan yang pernah menjadi lokasi istana di mana keluarga DiRaja Kedah-Perlis tinggal.

Terdapat Makam Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Shah Ibni Al-Marhum Sultan Muhyiddin Mansur Shah (Sultan Kedah ke-15 yang membina sebuah bandar berhampiran Sungai Wai yang dinamakan Indera Kayangan).

Ia dibina berhampiran Terusan Kayang yang merupakan terusan buatan manusia tertua di Semenanjung Malaysia. Muzium Kota Kayang dibuka pada bulan September 2001. Anda boleh menambah ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan sejarah negeri Perlis.

Sumber foto : freemalaysiatoday

4. Empangan Timah Tasoh

Orang Perlis mesti kenal tempat ini. Empangan Timah Tasoh selalu dijadikan lokasi penggambaran kerana keindahannya yang mempersona. Di sekitar tasik buatan manusia ini terdapat dusun buah-buahan seperti durian, rambutan, mangga dan durian Belanda yang boleh terus dipetik dari pokok jika anda menginap di Tasoh Lake Resort and Retreat.

Sukan air juga selalu diadakan. Anda akan dapat merasai pengalaman seperti berada di desa. Kaki pancing boleh memancing pelbagai ikan air tawar di tasik. Sambil tu, bolehlah bersantai di gazebo jika hari panas terik.

Sumber foto : astroawani

5. Gua Kelam

Gua Kelam adalah salah satu gua batu kapur sepanjang 370 meter yang ditemui oleh orang Inggeris yang mendapati aliran air di dalam gua dapat digunakan untuk memindahkan bijih besi dari lombong berdekatan pada tahun 1935.

Anda dapat mendengar bunyi air yang menitis daripada stalaktit. Terdapat sungai bawah tanah yang mengalir di dalam Gua Kelam di mana airnya menuju ke Sungai Perlis.

Satu-satunya jalan ke gua adalah melalui jambatan gantung yang dibuat dari kayu selebar lapan kaki. Jambatan gantung ini dibina untuk memudahkan pergerakan pelombong bijih timah dari Wang Tangga ke Gua Kelam.

Dahulu, pelombong bijih timah menggunakan lampu untuk menerangi kawasan gua. Nama Gua Kelam bersesuaian dengan keadaannya yang sangat gelap dan kedudukannya di kaki bukit, selain suasana suram yang menyelubungi gua ini.

Sumber foto : libur.com

6. Taman Rekreasi Tasik Melati

Tasik Melati adalah tasik kecil yang memiliki lebih daripada 150 buah pulau beting pasir yang terletak lapan kilometer ke utara Bandar Kangar. Tasik seluas 4.5 hektar ini terletak di kawasan tanah paya dan gambut. Tasik Melati mendapat namanya dari bunga teratai yang terapung di atas air.

Jambatan disediakan untuk pengunjung merentasi tasik ini sambil menikmati pemandangan tasik yang berlatar belakangkan kehijauan dan gunung-ganang. Taman Rekreasi ini merupakan lokasi untuk pelbagai jenis burung yang terbang bebas.

Terdapat taman permainan untuk kanak-kanak. Ada laluan refleksologi untuk membantu melancarkan perjalanan darah sambil menghirup udara segar di sekitar kawasan tasik.

Sumber foto : tripadvisor

7. Taman Negeri Perlis

Penubuhan Taman Negeri Perlis bertujuan untuk memelihara serta menghayati beraneka jenis flora dan fauna unik yang terdapat di sepanjang Terusan Nakawan yang fokus terhadap kawasan bukit batu kapur dan hutan separa lebat yang unik (WWF Malaysia, 2001).

Taman Negeri Perlis yang terletak di Wang Kelian merupakan satu-satunya tempat di mana pelancong oleh menemui hidupan liar seperti Beruk Kentoi dan Kambing Gurun. Pokok Bogak yang merupakan tumbuhan herba berusia ratusan juta tahun boleh ditemui di taman ini.

Pengunjung yang hendak ke sini perlu menghubungi Jabatan Hutan terlebih dahulu. Taman Negeri Perlis terkenal dengan sejarah perlombongan bijih timah tahun 1800 hingga 1980. Teknik perlombongan menggunakan pam hidraulik dan tradisional. Anda boleh berkelah dan berehat sambil menikmati kehijauan dan ketenangan alam sekitar.

Sumber foto : homestayperliS

8. Taman Ular Dan Reptilia

Taman Ular dan Reptilia terletak di Sungai Batu Pahat, Perlis. Taman ini pada mulanya merupakan tempat penelitian dan rawatan ular yang dikembangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 1978.

Kemudian, ia diambilalih oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perlis dan dikomersialkan sebagai tarikan pelancong. Terdapat lebih daripada 150 ekor ular serta pameran haiwan lain dan taman bunga matahari.

Sumber foto : twitter.com

9. Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis

Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Perlis di Bukit Bintang. Kawasan kebun mempelam Harumanis seluas 44 hektar mempunyai pokok matang dan tanaman baharu. Harumanis boleh membuatkan sesiapa sahaja terliur.

Penggemar Harumanis boleh membuat tempahan awal mereka melalui laman web. Buah Harumanis eksklusif yang menjadi buruan ramai mendapat permintaan tinggi dikomersialkan dan dipos satu Malaysia.

Pelbagai produk bermutu berasaskan Harumanis telah pun dihasilkan seperti Pulut Mangga Harumanis, jus Harumanis, teh, kordial, ais krim, gula, serum (kecantikan) dan sabun serta buahnya yang enak dimakan begitu sahaja walaupun harga Harumanis agak mahal.

Sumber foto : the4foodhunters

10. Trek Kurong Tengar (Taman Layang-Layang) 

Trek Kurong Tengar terletak di Kuala Perlis. Trek ini adalah kawasan rekreasi dan kawasan yang terkenal pada hujung minggu kerana angin sejuk dan pemandangan laut yang indah terutama pada waktu senja.

Kawasan ini sangat strategik dan terkenal dengan aktiviti dan festival menerbangkan layang-layang serta wau kerana angin kuat.

Sumber foto : jelajahmaya

Penutup

Perlis sebenarnya mempunyai banyak tempat berpotensi dan menarik untuk dimajukan yang menjadi daya tarikan pelancong tempatan dan asing walaupun negerinya kecil.  Tarian tradisional yang popular di Perlis ialah Canggung, Ayam Didik dan Cinta Sayang.

Kerabu Maggi, pulut mempelam, tom yam dan nasi Ganja antara makanan yang boleh anda perolehi di Perlis. Negeri Perlis juga menanam sawah padi seperti Kedah. Loghat Perlis juga unik! Perkembangan teknologi terkini dapat membantu dalam pembangunan Perlis sambil mengekalkan keindahan alam sekitarnya. Berbaloi anda berjalan-jalan pusing satu Perlis ketika sedang bercuti. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × two =