Bagaimanakah untuk kita mengerjakan solat Khauf?
Dalam artikel ini, kami akan membincangkan secara mudah bagi anda untuk melakukan solat ini.
Khauf dari segi bahasa ialah takut. Di dalam kitab Furu’ al Masail, Syeikh Daud al- Fathoni menyebutkan bahawa takut itu ialah terkejut bagi hati daripada sesuatu yang dibenci.
Dari segi syarak, solat khauf ialah solat yang dilakukan ketika dalam peperangan atau keadaan terlalu takut. Rasulullah telah menunaikan solat khauf pada tiga tempat iaitu Zat Riqa’, Usfan, Batni Nakhl, Najd, Juhainah dan Bani Sulaim.
DALIL SOLAT KHAUF
Firman Allah SWT:
وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلاَةَ فَلْتَقُمْ طَآئِفَةٌ مِّنْهُم مَّعَكَ وَلْيَأْخُذُواْ أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُواْ فَلْيَكُونُواْ مِن وَرَآئِكُمْ وَلْتَأْتِ طَآئِفَةٌ أُخْرَى لَمْ يُصَلُّواْ فَلْيُصَلُّواْ مَعَكَ وَلْيَأْخُذُواْ حِذْرَهُمْ وَأَسْلِحَتَهُمْ وَدَّ الَّذِينَ كَفَرُواْ لَوْ تَغْفُلُونَ عَنْ أَسْلِحَتِكُمْ وَأَمْتِعَتِكُمْ فَيَمِيلُونَ عَلَيْكُم مَّيْلَةً وَاحِدَةً وَلاَ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن كَانَ بِكُمْ أَذًى مِّن مَّطَرٍ أَوْ كُنتُم مَّرْضَى أَن تَضَعُواْ أَسْلِحَتَكُمْ وَخُذُواْ حِذْرَكُمْ إِنَّ اللّهَ أَعَدَّ لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُّهِينًا
Maksud: Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan solat dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan solat) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum solat (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersolat (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.” (Surah An Nisa’ 4:102)
SEBAB-SEBAB YANG MEMBOLEHKAN SOLAT KHAUF
Terdapat beberapa sebab yang membolehkan Solat Khauf dilakukan. Ia adlaah:
- Kehadiran Musuh
- Keadaan yang terlaluu takut seperti adanya pencuri atau binatang buas
- Bencana alam seperti gempa bumi dan banjir
PEKARA YANG MEMBATALKAN
Solat Khauf terbatal disebakan perkara yang membatalkan solat fardhu dengan tambahan perkara berikut:
- Terhasil keamanan
- Pekikan atau laungan yang tidak diperlukan dan bercakap
- Perbuatan dan pergerakan yang tidak berkaitan dengan pertempuran.
CARA MENUNAIKAN SOLAT KHAUF
Pertama: Musuh Tidak Berada Dari Arah Kiblat
Rasulullah saw pernah mengerjakan solat khauf di suatu tempat yang bernama Batn al-Nakhl di mana terdapat musuh bukan dari arah kiblat.
Caranya:
- Imam membahagikan Jemaah pasukan menjadi dua bahagian
- Kumpulan Pertama: Solat bersama imam
- Kumpulan Kedua: Mengawasi musuh
- Imam menunaikan solat sempurna sebanyak 2 kali
- Imam berniat solat fardhu pada solat yang pertama
- Imam berniat solat sunat pada solat yang kedua.
- Imam solat dengan kumpulan pertama dan memberi salam bersama mereka. Kemudian kumpulan pertama pergi menggantikan kumpulan kedua untuk mengawasi musuh.
- Imam solat dengan kumpulan kedua dan memberi salam bersama mereka. Solat imam ini adalah solat sunat manakala solat kumpulan kedua ialah solat fardhu.
Kedua: Musuh Berada Di Arah Kiblat
Kaedah 1
Rasulullah saw pernah mengerjakan solat khauf ketika di ‘Usfan yang mana musuh berada di arah kiblat dan tidak ada penghadang diantara musuh dan barisan tentera.
Caranya:
- Imam membahagikan pasukan menjadi dua saf.
- Imam memulakan takbiratul ihram bersama dengan semua makmum.
- Apabila imam rukuk, makmum saf pertama itu ikut rukuk bersama, manakala makmum saf kedua tetap berdiri menjaga mereka.
- Apabila imam dan makmum saf pertama berdiri untuk rakaat yang kedua, barulah makmum saf yang kedua mula rukuk sehingga mereka mendapatkan imam pada qiam rakaat kedua.
- Imam hendaklah memanjangkan bacaan sementara menunggu makmum saf kedua tadi untuk rakaat kedua.
- Bagi rakaat yang kedua, makmum saf kedua pula ikut rukuk bersama imam, manakala makmum saf pertama tetap berdiri menjaga mereka.
- Apabila imam dan makmum saf kedua duduk tasyahud, maka makmum saf pertama yang tetap berdiri tadi hendaklah mula rukuk sehingga semuanya berada di dalam tasyahud bersama imam.
- Semuanya memberi salam bersama-sama imam.
Kaedah 2
Rasulullah saw pernah bersolat di suatu tempat yang bernama Zati al-Riqa’ yang mana musuh berada pada arah kiblat tetapi adanya penghadang antara musuh dan barisan tentera.
Caranya:
- Imam membahagikan Jemaah pasukan menjadi dua bahagian
- Kumpulan Pertama: Solat bersama imam
- Kumpulan Kedua: Mengawasi musuh
- Imam solat dengan kumpulan pertama
- Apabila bangun untuk rakaat kedua, makmum kumpulan pertama hendaklah niat berpisah daripada imam (mufaraqah) dan hendaklah menyelesaikan solat mereka masing-masing.
- Apabila selesai, kumpulan pertama tadi hendaklah terus menggantikan kumpulan kedua untuk mengawasi musuh. Imam masih dalam keadaan berdiri pada rakaat kedua dengan memanjangkan bacaan.
- Kumpulan kedua memulakan solat bersama imam sebagai makmum rakaat pertama.
- Apabila imam tasyahud, kumpulan kedua hendaklah menyempurnakan rakaat kedua dan imam duduk menunggu kumpulan kedua untuk tasyahud bersama imam.
- Imam memberi salam bersama dengan makmum kumpulan kedua.
Ketiga: Ketika Berlaku Pertempuran (Syiddatul Khauf)
Rasulullah SAW pernah mengerjakan solat ketika dalam peperangan dan keadaan amat kritikal yang mana musuh akan menyerang pada bila-bila masa.
Caranya:
- Dalam keadaan ini, solat dikerjakan dalam keadaan berjalan, menunggang kenderaan atau apa sahaja pergerakan yang termampu.
- Hendaklah memulakan solat dengan takbiratul ihram dan boleh menghadap kemana mana arah sekiranya dalam keadaan darurat.
Firman Allah SWT:
حَٰفِظُوا۟ عَلَى ٱلصَّلَوَٰتِ وَٱلصَّلَوٰةِ ٱلْوُسْطَىٰ وَقُومُوا۟ لِلَّهِ قَٰنِتِينَ (238) فَإِنْ (239)خِفْتُمْ فَرِجَالًا أَوْ رُكْبَانًا ۖ
Maksud: Peliharalah semua solat dan peliharalah solat wustha. Dan berdirilah untuk Allah (dalam salatmu) dengan khusyuk. Jika kalian dalam keadaan takut (bahaya), maka solatlah sambil berjalan atau berkenderaan (Surah Al- Baqarah 2: 238-239)
PENUTUP
Antara hikmah disyariatkan solat khauf ialah:
- Islam menggalakkan kita supaya menunaikan solat secara berjemaah
- Memudahkan urusan umat Islam dalam melaksanakan kewajipan
- Memelihara ikatan Jemaah di kalangan umat Islam agar sentiasa teguh dan kuat.
- Menunjukkan bahawa solat itu adalah sesuatu yang wajib dan perlu dilaksanakan walaubagaimana jua keadaan sekalipun