Apakah rukun nikah dan hukum hakam dalam pernikahan(munakahat)?
Artikel akan menerangkan Hukum-hakam yang anda perlu tahu sebelum anda bernikah
Perkahwinan ialah suatu yang amat indah. Memikirkan hidup berteman hingga ke akhir hayat sememangnya akan membuatkan semua orang tersenyum sendiri. Masakan tidak, hidup bersama membina keluarga yang harmoni membesarkan anak-anak yang baik merupakan sebuah nikmat yang lumayan besar, lebih-lebih lagi apabila perkahwinan tersebut disemai dengan benih yang baik menurut cara semaian Islam. Pastilah hal ini akan menjadi imbalan dan gedung amal kebajikan kepada ibu bapa dan pasangan suami isteri.
Namun begitu, tidak semua perkawinan itu dilangsungkan atas dasar ilmu dan kefahaman yang menyeluruh terhadap agama Islam, hatta perkara asas seperti rukun-rukun nikah juga masih ramai yang kurang faham dan samar-samar. Justeru, menjadi suatu yang khusus buat pasangan yang ingin membina masjid untuk tahu apakah itu rukun-rukun nikah yang patut mereka faham.
Menurut mazhab Imam As-Syafie, terdapat beberapa perkara yang disebut sebagai rukun-rukun nikah, antaranya ialah suami, isteri, saksi, wali dan juga akad. Namun, eloklah kiranya kita tahu dahulu apakah pengertian nikah dan hukum-hakamnya terlebih dahulu.
Pengertian
Menurut pengertian dari Dewan Bahasa dan Pustaka, pernikahan atau munakahat merupakan kata terbitan dari perkataan nikah yang membawa maksud sebuah akad perjanjian yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalakan pasangan lelaki dan perempuan melakukan persetubuhan.
Pengertian ini dilihat bersepakai dengan pengertian rukun akad yang disebut di dalam kitab Kifayah Al-Muhtadi iaitu suatu perkataan yang mengandungi barang yang menunjukkan ikatan yang mengharuskan berlakunya persetubuhan.
Hukum Pernikahan (Munakahat)
Terdapat banyak nas dan dalil-dalil yang nyata di dalam agama Islam dalam menghalalkan pernikahan. Antaranya ialah firman Allah SWT di dalam Surah An-Nur pada ayat 32:
وَأَنكِحُواْ ٱلۡأَيَٰمَىٰ مِنكُمۡ وَٱلصَّٰلِحِينَ مِنۡ عِبَادِكُمۡ وَإِمَآئِكُمۡۚ إِن يَكُونُواْ فُقَرَآءَ يُغۡنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ
Maksudnya: dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu dan orang-orang solehdari hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnianya, kerana Allah amat luas (rahmatnya dan limpah kurniannya) lagi amat mengetahui. (An-Nur 32)
Sebagai seorang Muslim, kita tidak akan pernah terlepas dari melalui hukam-hakam dalam setiap perkara di dalam kehidupan sehari-hari. Begitu jugalah dengan pernikahan.
Walaupun asal bagi setiap perkara menurut mazhab Imam As-Syafie ialah harus, namun terdapat beberapa hal yang boleh mengubah hukum asal tersebut. Justeru, pada bab pernikahan, terdapat lima hukum yang perlu difahami dengan jelas oleh setiap Muslim.
1. Wajib
Pernikahan akan menjadi wajib kepada mereka yang telah mencapai kemampuan untuk berbuat demikian baik dari segi fizikal, emosi dan juga kewangan. Selain itu, jika seseorang itu dikhuatiri akan terjerumus ke dalam lembah penzinaan, maka dia juga diwajibkan untuk bernikah.
2. Sunat
Hukum sunat pula akan terkena pada seseorang yang berhajat untuk mengikut sunnah Rasulullah SAW sama ada untuk berteman dalam beribadah mahupun untuk mempunyai zuriat dan meramaikan umat Nabi Muhammad SAW.
3. Harus
Bagi seseorang yang mampu untuk menahan dirinya dari terjerumus ke dalam kehinaan berzina, maka hukum untuk dia bernikah pada waktu tersebut hanyalah harus.
4. Makruh
Jika seseorang itu mampu untuk menahan dirinya daripada berzina dan juga masih belum menginginkan zuriat, pernikahan padanya akan menjadi makruh.
5. Haram
Pernikahan yang haram ialah pernikahan yang menyebabkan kemudharatan kepada pasangan suami dan isteri sama ada kemudharatan yang bersifat duniawi dan ukhrawi seperti tidak mampu berlaku adil serta mengabaikan nafkah dan tanggungjawab.
Rukun-Rukun Nikah
Sekarang kita akan meneruskan perbincangan tentang rukun-rukun pernikahan seperti mana yang telah disebut sebelum ini.
1. Suami
Suami dalam hal-ehwal pernikahan Muslim haruslah seorang lelaki. Perkahwinan sejenis antara perempuan dengan perempuan mahupun lelaki dengan lelaki tidak akan dikira sebagai perkahwinan yang sah di sisi syarak, bahkan ia merupakan perbuatan yang haram dan keji seperti mana yang telah diterangkan oleh Allah SWT mengenai perhubungan sejenis di dalam Surah Al-A’raf pada ayat 80-81:
وَلُوطًا إِذۡ قَالَ لِقَوۡمِهِۦٓ أَتَأۡتُونَ ٱلۡفَٰحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنۡ أَحَدٖ مِّنَ ٱلۡعَٰلَمِينَ إِنَّكُمۡ لَتَأۡتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهۡوَةٗ مِّن دُونِ ٱلنِّسَآءِۚ بَلۡ أَنتُمۡ قَوۡمٞ مُّسۡرِفُونَ
Maksudnya: Dan Nabit Lut juga (kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? “sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kami dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas” (Al-A’raf: 80-81)
Seterusnya, calon suami haruslah seorang Islam. Ini kerana Islam tidak menerima pasangan yang berbeza pegangan agama untuk menjadi suami isteri. Hal ini demikian kerana terdapat tegahan daripada Allah SWT di dalam al-Quran pada Surah Al-Baqarah pada ayat 221:
وَلَا تَنكِحُواْ ٱلۡمُشۡرِكَٰتِ حَتَّىٰ يُؤۡمِنَّۚ وَلَأَمَةٞ مُّؤۡمِنَةٌ خَيۡرٞ مِّن مُّشۡرِكَةٖ وَلَوۡ أَعۡجَبَتۡكُمۡۗ وَلَا تُنكِحُواْ ٱلۡمُشۡرِكِينَ حَتَّىٰ يُؤۡمِنُواْۚ وَلَعَبۡدٞ مُّؤۡمِنٌ خَيۡرٞ مِّن مُّشۡرِكٖ وَلَوۡ أَعۡجَبَكُمۡۗ أُوْلَٰٓئِكَ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلنَّارِۖ وَٱللَّهُ يَدۡعُوٓاْ إِلَى ٱلۡجَنَّةِ وَٱلۡمَغۡفِرَةِ بِإِذۡنِهِۦۖ وَيُبَيِّنُ ءَايَٰتِهِۦ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَكَّرُونَ
Maksudnya: Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya). (Al-Baqarah:221)
Selain itu, calon suami haruslah seorang yang halal untuk dinikahi. Pernikahan dengan calon suami yang mahram bagi seorang wanita ialah haram dan hukumnya tidak sah. Pada hal ini, calon-calon isteri haruslah jelas mengenai status calon suami seperti bukan saudara seibu sebapa, saudara susuan dan juga seorang yang sedang mempunyai empat orang isteri.
2. Isteri
Pada dasarnya syarat-syarat bagi isteri adalah sama seperti syarat yang telah dinyatakan pada syarat-syarat suami iaitu Islam, halal untuk dinikahi serta bukan isteri bagi seorang lelaki yang lain dan juga bukan dalam keadaan beriddah pada waktu ijab dan qabul.
3. Wali
Wali merupakan orang yang mempunyai kuasa untuk menikahkan seseorang perempuan. Terdapat beberapa jenis wali di dalam hal-ehwal pernikahan antaranya ialah Wali Mujbir, Wali Aqrab, Wali Ab’ad dan juga Wali Hakim.
Untuk sesuatu pernikahan itu diterima dan sah di sisi syarak, wali yang mewalikan suatu pernikahan tersebut haruslah dari kalangan orang lelaki. Wali perempuan yang mewalikan pernikahan tidak akan dikira di sisi syarak bahkan ia merupakan kesalahan yang membawa kepada hukum tidak sah nikah tersebut.
Selain itu, wali juga haruslah seorang Islam dan baligh iaitu cukup umur. Bagi seorang wanita yang memeluk Islam sedangkan bapa dan saudaranya masih belum memeluk Islam, dia tidak boleh menjadikan bapa dan saudaranya yang kafir sebagai wali bagi pernikahannya.
Syarat lain untuk menjadi wali kepada sesuatu pernikahan juga ialah seseorang itu mestilah bukan dari kalangan orang fasik. Menurut ulama dan sarjana Islam, orang fasik ialah orang yang melakukan dosa besar ataupun orang yang sentiasa melakukan dosa-dosa kecil tanpa bertaubat kepada Allah SWT.
4. Saksi
Untuk menjadikan suatu pernikahan itu suatu pernikahan yang sah, saksi perlu hadir di dalam majlis ijab dan qabul. Pun begitu, saksi juga mempunyai syarat-syarat yang perlu dituruti untuk menjadikan pernikahan tersebut sah hukumnya di sisi syarak.
Antara syaratnya ialah saksi perlulah daripada golongan lelaki. Tidak sah menggunakan saksi perempuan dalam hal penikahan, berbeza dengan hal penyaksian hutang. Selain itu saksi juga perlulah yang beragama Islam, baligh, adil dan juga berakal. Saksi-saksi yang kufur, kanak-kanak ataupun gila tidak akan diterima. Saksi juga haruslah didatangan sekurang-kurangnya dua orang. Namun, para ulama menggalakkan untuk meramaikan saksi dari kalangan orang yang soleh kerana hal ini lebih baik dan cermat.
5. Lafaz Ijab dan Qabul.
Rukun yang pertama dalam pernikahan ialah perlunya berlaku lafaz akad nikah (ijab dan qabul) itu sendiri. Lafaz ijab dan qabul ini merupakan suatu yang penting kerana ia merupakan tanda yang mengikat ataupun mewujudkan ikatan antara pasangan lelaki dan perempuan.
Antara syarat yang perlu dituruti pada rukun ini ialah lafaz ijab dan qabul mestilah dilakukan dengan terang dan jelas, walaupun dalam apa jua sekalipun. Akan tetapi, bagi orang yang pekak dan bisu, ijab dan qabul tidak perlu berlafaz dan hanya cukup sekadar terang dan jelas dengan cara-cara yang tertentu. Justeru, pernikahan yang diakad dengan lafaz ijab dan qabul yang dilakukan secara kiasan ialah tidak sah di sisi syarak.
Selain itu, lafaz ijab dan qabul juga haruslah dilakukan di dalam dalam suatu masa. Ini bermaksud, lafaz ijab dan qabul yang diselangi oleh perkara-perkara lain tidak akan dikira sebagai sebuah akad yang sah.
Kesimpulan
Justeru, dapatlah kita simpulkan bahawa pernikahan yang baik bukanlah hanya pernikahan yang disediakan dengan harta duniawi semata, bahkan juga dengan harta ukhrawi seperti ilmu dan kefahaman di dalam agama kerana dengan harta ukhrawi inilah kita akan dapat menentukan kebahagiaan kita di akhirat kelak.
Elok jugalah kita menjadikan hadis Nabi SAW sebagai panduan untuk memilih pasangan sehidup semati.
تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ: لِمَـالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِيْنِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّيْنِ تَرِبَتْ يَدَاكَ.
Wallahu A’lam
***
Rujukan dan Bacaan Berkaitan
- Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Ke-empat
- Kitab Fiqh Mazhad Syafie; Kifayatul Muhtadi
- Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian AL-Quran