Artikel ini akan membincangkan Perang Salib, peperangan umat Islam yang berlangsung sehingga dua abad lamanya.
Bilakah Perang Salib Berlaku?
Perang Salib berlaku pada 1095 Masihi sehingga 1291 Masihi. Peperangan ini melibatkan tujuh siri peperangan yang berlaku antara Pasukan Salib dan umat Islam. Walaupun banyak faktor yang menyebabkan peperangan ini berlaku, faktor utamanya ialah atas dasar keagamaan. Pasukan Salib sendiri didefinisikan sebagai Gerakan Keagamaan oleh sejarawan Barat. Peperangan ini menyaksikan kejatuhan dan kebangkitan semula umat Islam.
Sebab Berlakunya Perang Salib
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan berlakunya Perang Salib. Faktor keagamaan dilihat sebagai faktor yang dominan. Tentera Islam Arab telah menduduki tanah suci Kristian dengan penaklukan Palestin pada abad ke 7. Selain itu, kekejaman khalifah Kerajaan Fatimiyah, Al-Halim Bin Amr Allah yang memusnahkan Gereja Makam Yang Suci (Church of the Holy Sepulehre) menyemarakkan kemarahan orang Kristian terhadap umat Islam.
Berikutan peristiwa tersebut, timbul propaganda palsu yang menuduh umat Islam memberi layanan buruk dan mengganggu urusan jemaah Kristian di tanah suci. Apabila Baitulmaqdis direbut oleh Bani Saljuk dari tangan Kerajaan Fatimiyah, Peter The Hermit yang mengunjungi Baitulmaqdis telah berbohong kepada penduduk Eropah dengan menyatakan kunjungannya telah dihalang oleh Bani Saljuk. Namun, kunjungannya sama sekali tidak dihalang oleh umat Islam.
Dari sudut politik pula, kekuasaan Islam ke atas sebahagian besar wilayah Asia Kecil selepas mengalahkan empayar Byzantium (Rom Timur) dalam pertempuran Malazgirt menyebabkan Raja Romawi bernama Armanus bertekad untuk memusnahkan Islam dan para pengikutnya. Maka, Armanus telah mengumpulkan ketenteraan yang terdiri dari bangsa Romawi, Georgia dan Frank untuk menyerang umat Islam. Namun, pasukannya berjaya dikalahkan oleh umat Islam di bawah pimpinan Sultan Arib Arselan, pemerintah dinasti Seljuk.
Perang Salib turut dipengaruhi oleh faktor ekonomi. Para pedagang besar yang berada di pantai timur Laut Tengah berhasrat untuk menguasai kota-kota dagang di sepanjang pantai timur dan selatan Laut Tengah bagi menyebarluaskan jaringan perdagangan mereka. Justeru, mereka sanggup memberi dana untuk membiayai persiapan Perang Salib dengan harapan jaringan perdagangan mereka akan tersebar luas setelah kemenangan dalam perang tersebut.
Perang Salib Pertama (1095-1099)
- Sebab berlaku: Maharaja Empayar Byzantium bernama Alexios I Komnenus merayu untuk mendapatkan tentera upahan Barat untuk menentang bangsa Turki di Anatolia. Penguasa Rom Selatan bernama Pope Urban II memanfaatkan rayuan tersebut untuk mencetuskan Perang Salib dengan dua matlamat utama; untuk membebaskan orang-orang Kristian Timur di Byzantium dari umat Islam dan merampas semula Baitulmaqdis yang ketika itu berada di bawah penguasaan umat Islam dari Kerajaan Bani Saljuk.
- Kesan peperangan: Umat Islam berjaya dikalahkan dan Pasukan Salib berjaya menduduki Baitulmaqdis. Pasukan Salib membentuk Kerajaan-Kerajaan Salib yang terdiri dari Kerajaan Edessa, Antakiah, Baitulmaqdis dan Tripoli.
- Sebab kekalahan umat Islam: Perebutan kuasa di antara pemerintah Islam serta kesibukan pemerintah Islam yang lain untuk mengukuhkan negeri masing-masing sehingga tiada bantuan diberikan kepada kerajaan Islam di Syam, yang diserang oleh Pasukan Salib.
Perang Salib Kedua (1141-1149)
- Sebab berlaku: Berlaku seruan jihad untuk membebaskan negeri-negeri Islam di Syam dari cengkaman Pasukan Salib. Seruan jihad ini dipelopori oleh Maudud bin Tuntakin, diikuti oleh Imaduddin Zanki, disambung oleh puteranya Nuruddin Zanki dan seterusnya Salahuddin Al-Ayubi.
- Perjuangan Maudud bin Tuntakin: Maudud merupakan penguasa Mosul. Beliau menuju ke Kerajaan Edessa, salah satu dari Kerajaan-Kerajaan Salib dan menangkap tawanan Armenia yang membantu Pasukan Salib. Kemudian, beliau membentuk satu pasukan ketenteraan yang dikerahkan menuju ke Baitulmaqdis. Atas upahan pihak Kristian, seorang Muslim dari kalangan Hasyasyiyun (satu kelompok aliran batiniah yang sesat) telah membunuh Maudud ketika beliau kembali dari Damaskus setelah memperkemas angkatan tenteranya.
- Perjuangan Imaduddin Zanki: Penguasa Mosul yang baru, Imaduddin Zanki meneruskan perjuangan Maudud untuk membebaskan Kerajaan Edessa. Beliau menakluk Kota Aleppo (Halab) di utara Syam pada tahun 522 H, diikuti Kota Hamah pada tahun 523 H dan membebaskan Kota Sarja, Dara dan Benteng Al-Atsarib dari kekuasaan Salib. Beliau berjaya membebaskan sebahagian besar wilayah Syam sebelum diculik dan dibunuh oleh hamba-hambanya yang menjadi tali barut pasukan Salib.
- Perjuangan Nuruddin Zanki: Nuruddin Zanki merupakan penguasa Kota Aleppo. Apabila ayahnya Imaduddin mangkat, terdapat percubaan pihak Kristian yang diketuai oleh Juslin II untuk merebut semula Edessa. Namun, Nuruddin berjaya mematahkan serangan tersebut. Beliau juga berjaya mematahkan usaha penaklukan Syam dan Damascus oleh pasukan Salib yang diketuai oleh Louis VII dan Conrad III pada tahun 542 H. Beliau juga menghantar dua panglima handal, Asaduddin Syirkukh serta anak saudaranya, Salahuddin al-Ayubi untuk menakluk Kerajaan Mesir yang sering bekerjasama dengan Kerajaan Baitulmaqdis dari pihak Salib.
- Perjuangan Salahuddin al-Ayubi: Pada mulanya, jawatan Menteri Mesir disandang oleh Asaduddin Syirkukh. Setelah beliau wafat, jawatan tersebut diserahkan kepada anak saudaranya, Salahuddin al-Ayubi. Apabila Nuruddin juga mangkat, Salahuddin berjaya meluaskan daerah kekuasaannya sehingga ke Mesir, sebahagian daripada Syam, al-Jazirah, Yaman serta Mosul. Beliau memiliki angkatan perang yang besar dan berjaya menakluk Benteng Karak pada tahun 578 H. Beliau juga berjaya mengalahkan pasukan Salib dalam pertempuran Hittin dan merebut semula Baitulmaqdis pada tahun 583 H. Dalam penaklukan Baitulmaqdis, seramai 60 000 orang Frank telah diusir, manakala 16 000 menjadi tawanan kerana tidak dapat membayar wang tebusan diri. Kesan dari penaklukan Baitulmaqdis, daerah Shaida, Kota Beirut, Kota Asqelon, Kota Gaza, Bait Jibril dan Nazhrun turut jatuh ke tangan umat Islam.
Perang Salib Ketiga (1189-1192)
- Sebab berlaku: Raja-raja Kristian Eropah cuba merampas semula Jurusalem dari Salahuddin al-Ayubi. Pimpinan tentera Salib baru dipelopori oleh Raja Henry II dari England dan Philip II dari Perancis. Kematian Henry menyebabkan pimpinan tentera Salib diambil alih oleh Raja Richard I.
- Kesan peperangan: Tentera Salib di bawah pimpinan Raja Richard I telah berjaya merampas Kota Akko dari umat Islam. Bagi melindungi penduduk Muslim di kota tersebut, Salahuddin bersetuju dengan permintaan pihak Salib untuk membayar sebanyak 200 dinar. Beliau juga meminta bantuan dari penguasa Muslim yang lain, namun hanya pemerintah Turkmenistan sahaja yang bersetuju untuk memberi bantuan ketenteraan kepadanya. Peperangan antara Raja Richard I dan Salahuddin al-Ayubi berlangsung, namun Raja Richard I tidak berani mara ke Baitulmaqdis kerana bimbang akan tewas di tangan umat Islam.
- Perjanjian Damai Ramallah: Kerana kedua-dua pihak tidak terkalahkan, maka mereka memutuskan untuk mengadakan genjatan senjata dengan Perjanjian Damai Ramallah pada tahun 588 H. Perjanjian tersebut membolehkan Baitulmaqdis kekal di bawah kekuasaan kerajaan Islam dan pengikut Kristian yang tidak bersenjata dibenarkan menziarahinya tanpa dikenakan sebarang bayaran. Genjatan senjata itu berlaku selama tiga tahun lapan bulan. Pada tahun 589 H, pemimpin terulung dalam sejarah Islam, Salahuddin al-Ayubi menghembuskan nafasnya yang terakhir di Damsyiq.
Rumusan Dari Perang Salib
Perang Salib Pertama memperlihatkan kekalahan umat Islam disebabkan berlakunya perpecahan di antara umat Islam itu sendiri. Perang Salib Kedua pula mempamerkan kepimpinan beberapa pahlawan Islam yang membawa kepada kebangkitan umat Islam dari cengkaman Pasukan Salib.
Seperti perang-perang Islam sebelumnya, jumlah kaum muslimin dalam Perang Hittin (dalam Perang Salib Kedua) amat sedikit jika dibandingkan dengan bilangan tentera Salib. Hal ini sekali lagi memperlihatkan bahawa kemenangan umat Islam dalam Perang Hittin yang membawa kepada penaklukan semula Baitulmaqdis tidak ditentukan dengan ramainya bilangan tentera, tetapi dengan keimanan sejati dan sifat tawakkal kepada Allah SWT.
Rujukan
- Mohd Roslam Mohd Nor & Nor Shakila Mohd Nor. 2012. Perang Salib dan kejayaan Salahuddin Al-Ayubi mengembalikan Islamicjerusalem kepada umat Islam (Crusades and Saladin’s Achievement in Liberating Islamicjerusalem to Muslims Ummah). Journal of Al-Tamaddun, 7(1): 61-74.
- Muhammad al-‘Arusiy al-Matwiy. 1998. Perang Salib di Alam Islami. Kuala Lumpur: Pustaka Syuhada.