Skip to content

Perang Khandak: Sejarah & Kronologi

perang khandak

Artikel ini akan membincangkan Perang Khandak, salah satu peperangan kaum muslimin yang dapat memberi pengajaran yang berguna kepada umat Islam.

Bilakah Perang Khandak Berlaku?

Perang Khandak yang juga dinamakan sebagai Perang Ahzab berlaku pada bulan Syawal tahun kelima Hijrah. Khandak bermaksud parit, manakala Ahzab bermaksud bersekutu.

Perang tersebut dinamakan Khandak kerana kaum muslimin menggali parit mengelilingi Kota Madinah sebagai strategi peperangan. Perang tersebut turut digelar Ahzab kerana bersatunya musuh dari kabilah Arab, Yahudi dan Habsyi menentang kaum muslimin. 

Apakah Sebab Berlakunya Perang Khandak?

Dipendekkan cerita, Amru bin Umaiyah dan Ka’ab bin Zaid telah tersalah membunuh dua orang lelaki kerana menyangka mereka sebagai musuh. Bagi membayar ganti rugi kepada keluarga dua orang lelaki yang telah dibunuh, Rasulullah SAW dan para sahabat meminta pertolongan orang Yahudi Bani Nadhir yang telah mengikat perjanjian dengan baginda.

Namun, pertolongan tersebut dibalas dengan rancangan jahat untuk membunuh Rasulullah SAW. Mengetahui rancangan tersebut, Rasulullah SAW memerintahkan agar penduduk Bani Nadhir diusir dari Kota Madinah. Mereka meninggalkan Madinah dan menuju ke Khaibar dengan gembira kerana dibenarkan membawa harta-harta mereka yang banyak.

Pemimpin Bani Nadhir, Huyay bin Akhtab menyimpan dendam dan ingin merampas semula Madinah dari Rasulullah SAW. Huyay kemudian bertemu dengan pemimpin Quraisy Mekah yang telah lama memusuhi Rasulullah SAW. Gabungan Huyay dan pemimpin Quraisy telah menimbulkan pakatan untuk mengumpulkan beberapa kabilah Arab dan Yahudi untuk menyerang Kota Madinah. Justeru, terbentuknya satu pasukan bersekutu, yakni pasukan Ahzab menentang kaum muslimin di Madinah dalam perang yang dikenali sebagai perang Khandak.

Pembentukan Pasukan Bersekutu (Pasukan Ahzab)

Orang Bani Nadhir yang diketuai oleh Huyay telah berjaya membentuk seramai 6000 pasukan yang terdiri daripada Bani Asyja’, Bani Fazarah, Bani Murrah, Bani Ailan, Bani Qais dan Bani Wail. Manakala, kaum Quraisy telah mengumpulkan 4000 pasukan yang terdiri daripada dari Bani Kinanah, Bani Tihamah, Bani Mustaliq dan orang-orang Habsyi.

Hasilnya, pasukan bersekutu gabungan kabilah Arab, Yahudi dan Habsyi yang dibentuk mencecah sehingga 10 000 orang. Bani Khuzaah yang tidak termakan dengan pujukan dan hasutan kaum Quraisy untuk menyerang Madinah telah memaklumkan pembentukan pasukan bersekutu kepada Rasulullah SAW. 

Penggalian Parit

Mendengar rancangan pasukan Ahzab untuk menyerang Madinah, Rasulullah SAW segera mengadakan perbincangan dengan para sahabat. Dalam perbincangan tersebut, seorang lelaki Parsi bernama Salman al-Farisi telah mencadangkan agar kaum muslimin menggali parit bagi menghalang serangan pasukan Ahzab.

Bersetuju dengan cadangan tersebut, Rasulullah SAW bersama para sahabat dan kaum muslimin mula menggali parit bermula dari Harrah Waqim sehingga ke Harrah Al Wabarah, meliputi sebelah barat, utara dan timur Madinah. Kawasan selatan merupakan kawasan selamat kerana penuh dengan rumah kediaman yang padat dengan ladang pokok kurma.

Peralatan menggali parit telah dipinjam dari Bani Quraizah yang telah mengikat perjanjian dengan Rasulullah SAW. Kaum muslimin yang terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar sanggup mengerah tenaga dan menahan lapar untuk menyertai Rasulullah SAW menggali parit yang panjangnya hampir mengelilingi Kota Madinah. Pembinaan parit tersebut mengambil masa selama 20 hari. 

Perang Khandak Berlaku

10 000 pasukan Azhab berkumpul di kaki Bukit Sala’ tidak jauh dari Madinah. Manakala, pasukan kaum muslimin mendirikan khemah tidak jauh dari Uhud dan berada di seberang parit dalam kawasan Madinah.

Apabila pasukan Ahzab melihat parit yang telah dibina oleh kaum muslimin, mereka terkejut dan cuba merentasi parit tersebut namun gagal. Manakala, kaum muslimin yang berada di seberang berjaga untuk membunuh musuh yang berjaya merentasi parit tersebut. Oleh itu, serangan awal antara pasukan Ahzab dan kaum muslimin hanya dalam bentuk serangan panah sahaja.

Berasa jengkel kerana tidak dapat menyeberangi parit tersebut, pasukan Ahzab yang terdiri daripada Amru bin Abdu Wud, Dhirar, Hubairah dan Ikrimah terjun ke parit dan berjaya menyeberanginya. Amru kemudian mencabar pasukan kaum muslimin untuk bertempur dengannya. Ali bin Abu Talib menyahut cabaran tersebut dan berjaya membunuh Amru. Melihat kematian Amru, ketiga-tiga pasukan Ahzab yang lain berasa takut dan melarikan diri. 

Perang Khandak turut memperlihatkan pengkhianatan Bani Quraizah ke atas perjanjian dengan Rasulullah SAW apabila mereka termasukan hasutan Huyay untuk menyertai pasukan Ahzab. Kesannya pasukan Ahzab berjaya menyeberangi parit melalui perkampungan Bani Quraizah tanpa disedari oleh kaum muslimin yang berada di Bukit Sala’. Mengetahui pengkhianatan Bani Quraizah, Rasulullah SAW mengarahkan pasukan pengawas berkawal di benteng perkampungan Bani Harithah, tempat di mana berlindungnya wanita dan kanak-kanak muslimin bagi memastikan mereka selamat.

Dalam Perang Khandak juga, seorang lelaki bernama Nu’aim bin Mas’ud dari Bani Asyja’ memeluk Islam apabila melihat kesetiaan tentera Islam kepada Rasulullah SAW apabila melakukan kerja pengintipan. Terkenal dengan kebolehannya mengintip dan menyebarkan propaganda palsu, Rasulullah SAW mengarahkan Nu’aim untuk melemahkan musuh. Maka, Nu’aim menyebarkan helah dan berjaya melaga-lagakan Pasukan Ahzab menyebabkan Bani Quraizah menarik diri dari pasukan. Menyedari keadaan pasukan yang berpecah-belah, pemimpin Quraisy, Abu Sufyan menyuruh pasukan Ahzab segera menyerang kaum muslimin.

Namun, peperangan tersebut masih tidak membuahkan hasil. Abu Sufyan sekali lagi memujuk Bani Quraizah. Apabila Bani Quraizah sekali lagi terpedaya dengan pujukannya, Abu Sufyan menakutkan kaum muslimin dengan ancaman bunuh terhadap keluarga mereka di perkampungan Bani Harithah. Sesetengah kaum muslimin yang berasa risau terhadap keselamatan keluarga mereka berjaya dipengaruhi oleh orang munafik, Abdullah bin Ubai untuk menarik diri dari peperangan menyebabkan hanya 300 orang sahaja kaum muslimin yang tinggal di medan perang.

Kemudian, Rasulullah SAW mengarahkan Huzaifah untuk mengintip pasukan Ahzab. Dalam perjalanan pulang, Huzaifah bertemu dengan 20 orang lelaki berserban menunggang kuda yang menyuruhnya memberi khabar bahawa pertolongan Allah SWT telah tiba kepada Rasulullah SAW. Pada malam itu, berlaku ribut yang kencang menerbangkan khemah-khemah pasukan Ahzab dan memusnahkan makanan serta ternakan mereka. Kesannya, pasukan Ahzab lari menyelamatkan diri. Anehnya, selepas pasukan Ahzab meninggalkan tempat mereka, ribut tersebut berhenti serta-merta. Keesokan harinya, pasukan kaum muslimin meraikan kemenangan mereka apabila pasukan musuh telah meninggalkan tempat mereka. 

Perang Khanak telah berlangsung selama 15 hari. Dalam peperangan tersebut, hanya enam orang pasukan kaum muslimin yang gugur syahid. Berikutan pengkhianatan Bani Quraizah, kaum lelaki mereka dihukum bunuh, kaum wanita dan kanak-kanak menjadi tawanan serta harta mereka dirampas. Hanya empat lelaki dari Bani Quraizah sahaja yang dilepaskan kerana memeluk Islam sebelum dijatuhkan hukuman.

Dalil Sempena Peristiwa Perang Khandak

Antara dalil yang diturunkan oleh Allah SWT sempena peristiwa Perang Khandak termasuklah:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اذْكُرُوْا نِعْمَةَ اللّٰهِ عَلَيْكُمْ اِذْ جَاۤءَتْكُمْ جُنُوْدٌ فَاَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيْحًا وَّجُنُوْدًا لَّمْ تَرَوْهَا ۗوَكَانَ اللّٰهُ بِمَا تَعْمَلُوْنَ بَصِيْرًاۚ  

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika bala tentera datang kepadamu, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan bala tentera yang tidak dapat terlihat olehmu. Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.(Surah al-Ahzab:9)

Ayat tersebut menceritakan pertolongan Allah SWT kepada kaum muslimin yang setia bersama Rasulullah SAW dalam Perang Khandak sehingga pertempuran tersebut berakhir. Adapun kaum munafik yang meragui janji kemenangan Allah SWT dan RasulNya, berpaling arah mundur dari medan perang kerana gentar akan ancaman dan pengkhianatan musuh. Hal ini mengajarkan kepada kita agar sentiasa percaya kepada janji Allah SWT dan tidak berputus asa dalam melakukan segala suruhanNya.

Rujukan

  1. Abdul Latip Talib. 2011. Perang Khandaq: Dendam Tentera Ahzab. Kuala Lumpur: PTS Litera Utama Sdn Bhd.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 − fifteen =