Skip to content

Penipuan Kewangan: Definisi dan Langkah Pencegahan

penipuan kewangan

Penipuan kewangan merupakan satu bentuk penipuan yang melibatkan aliran keluar masuk tunai sama ada secara dalam talian atau luar talian. Kini, penipuan kewangan atau lebih mesra dikenali sebagai ‘scam’ telah menjadi trend yang digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan wang dengan cara mudah. Lebih mengejutkan apabila terdapat orang Islam sendiri yang menggunakan kaedah ‘short cut’ seperti ini untuk mengumpul kekayaan mereka. Apakah mereka tidak mempedulikan suruhan agama supaya berbuat baik sesama manusia, haiwan dan alam semesta?

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku”. (Tidak akan masuk syurga bersama Nabi).

Persoalan nya kini, mengapa masih ramai yang menjadi mangsa penipuan kewangan? Sedangkan liputan berkaitan kegiatan tidak bermoral ini kerap kali keluar di dada akhbar dan seringkali menjadi tajuk perbincangan di laman-laman media sosial. Adakah masih tidak cukup dengan pengalaman mangsa- mangsa yang terlibat untuk kita lebih berjaga- jaga daripada terkena jerat kewangan ini? Mari kita renungkan bersama.

Apa itu penipuan kewangan?

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), penipuan kewangan boleh didefinisikan sebagai aktiviti yang mengandungi unsur tipu helah yang melibatkan transaksi kewangan dengan sengaja untuk keuntungan individua tau organisasi dan merugikan mangsa. Terdapat pelbagai jenis penipuan termasuklah skim cepat kaya, penipuan atas talian, pemalsuan identiti dan sebagainya.

Berdasarkan keratan akhbar Harian Metro bertarikh 28 April 2020, angka aktiviti penipuan ini meningkat lebih tinggi berbanding angka yang dicatatkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Setakat 18 Mac lalu, BNM mencatatkan lebih 1,100 aduan dan pertanyaan mengenai kegiatan ini. Dan terbaharu, seorang guru mengalami kerugian sehingga RM 300,000 akibat memberi kod pengesahan transaksi (TAC) dan nombor pengenalan peribadi (PIN) kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Adakah mereka tidak cakna dengan isu seperti ini atau tidak mempunyai maklumat berkaitan aktiviti tidak beretika seperti ini? Bagi penulisan kali ini, kita akan membincangkan mengenai penipuan kewangan merujuk kepada skim cepat kaya.

Golongan sasaran penipuan kewangan

Antara corak dapatan mangsa yang terjerat dengan penipuan kewangan ini adalah berkisar kepada dua golongan iaitu (1) golongan yang ingin cepat kaya dan (2) golongan penduduk pendalaman yang mempunyai limitasi pengetahuan terhadap perkara seperti ini.

  • Golongan yang ingin cepat kaya.

Mengejutkan bahawa kebanyakan dari golongan ini terdiri daripada golongan profesional. Ia termasuklah pelajar dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam atau Swasta. Mereka yang terjebak dengan aktiviti ini adalah disebabkan keinginan untuk memiliki gaya hidup yang lebih mewah, kos sara hidup yang tidak mencukupi dan alasan- alasan lain yang berkaitan. Kebanyakan daripada mereka adalah berumur dalam lingkungan 40 tahun kebawah. Akan tetapi, kurang mereka ketahui bahawa mereka juga mempunyai kelebihan untuk merancang awal kewangan mereka dan menghindarkan diri daripada ditipu oleh pihak yang ingin mengambil kesempatan. Akibatnya, mereka sanggup membuat pinjaman di bank- bank untuk melabur dalam skim yang disediakan dan terjerat dengan penipuan skim cepat kaya. Kesudahannya, hutang bertambah, duit yang dilaburkan lebur dan status kewangan diri menjadi lebih kritikal.

  • Penduduk di kawasan pendalaman.

Antara yang menjadi sasaran utama para ‘scammers’ ini adalah terdiri daripada golongan di kawasan pendalam. Rasionalnya disini ialah, penduduk luar bandar mempunyai kadar perbelanjaan yang lebih rendah berbanding penduduk di bandar. Ini menjadikan mereka mempunyai lebihan yang lebih banyak berbanding yang lain. Pendedahan dan pengetahuan mereka terhadap isu penipuan seperti ini juga kurang dan menyebabkan penduduk luar bandar lebih mudah menjadi mangsa penipuan. Perkara sedemikian boleh diatasi sekiranya pihak bertanggungjawab seperti guru disekolah, polis, kepimpinan kampung memainkan peranan mereka untuk membendung kegiatan ini. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah termasuk dengan mengadakan kempen bijak kewangan, pengajaran dan pembelajaran dalam mengurusakan kewangan dan juga seminar atau pengucapan awam berkaitan kes- kes penipuan seperti ini.  

Pemangsa menjadikan modal seperti mendapat pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat, hanya perlu mendepositkan sejumlah wang dan mendapat hasil yang lumayan, tidak perlu menjual produk atau servis dan memerlukan tindakan segera sebelum peluang ditutup. Justeru itu, mereka yang terlibat tidak dapat berfikir panjang dan akhirnya melakukan satu tindakan yang tidak rasional tanpa mereka mengetahui bahawa mereka sudah terjerat dalam taktik penipuan kewangan ini. pihak yang terlibat akan mengotakan janji mereka untuk beberapa bulan malahan tahun bagi mendapatkan kepercayaan mangsa mereka. Pelbagai kejayaan dan rekod akan dipaparkan sebagai bukti bahawa aktiviti mereka adalah benar dan bukan omong kosong. Kaedah seperti ini yang sering kita terlepas pandang dan sedar akan akibatnya apabila nasi sudah menjadi bubur.

Cara mengelakkan penipuan kewangan

  • Bertindak rasional dengan ajakan untuk menjadi kaya dalam masa yang singkat.
    • Tidak ada hasil yang akan diperolehi dengan mudah tanpa melakukan apa- apa pekerjaan. Seperti yang dikatakan oleh pepatah arab. ‘Siapa yang menuai dia akan mendapat hasilnya, siapa yang berusaha dia akan berjaya’. Makanya, untuk kita memperolehi sesuatu perlulah disertakan dengan usaha atau hasil daripadanya akan menjadi syubhah.
  • Skeptikal dengan modus operandi perniagaan yang tidak jelas.
    • Tidak mempercayai sepenuhnya sebarang maklumat seperti rekod kewangan, gambar- gambar dan lain- lain maklumat yang disertakan semasa proses perbincangan dijalankan. Anda digalakan untuk bertanya modus operandi perniagaan beserta produk jualan. Anda juga boleh taip di internet untuk mencari nama syarikat yang dia perkenalkan itu untuk memastikan samada syarikat itu benar-benar wujud atau hanya skim-skim penipuan. Jika mempunyai kenalan dalam bidang berkaitan, anda boleh meminta nasihat daripada mereka atau terus layari laman web BNM dan rujuk kepada senarai syarikat yang berada dibawah pantauan BNM untuk carian yang lebih tepat.
  • Mengambil berat dan cakna dengan isu semasa berkaitan aktiviti tidak beretika seperti ini.
    • Segala maklumat kini dihujung jari anda. Dengan sedikit usaha untuk mencari tahu berkenaan kegiatan penipuan ini akan menyelamatkan anda daripada menjadi salah seorang mangsa. Anda juga secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi pengetahuan bagaimana pemangsa ini bertindak, kaedah yang digunapakai dan lebih beruntung lagi sekiranya anda mampu berkongsi maklumat yang diperolehi dan membantu mengurangkan kes- kes penipuan kewangan seperti ini.
  • Jangan membayar pendahuluan untuk janji.
    • Seseorang mungkin meminta anda membayar terlebih dahulu sejumlah wang supaya anda tidak terlepas peluang yang ditawarkan konon nya ia hanya ditawarkan pada masa yang singkat sahaja. Ambil lah masa untuk bercakap dengan seseorang yang arif mengenai perkara seperti ini. Pemangsa mahu anda membuat keputusan secara tergesa-gesa. Periksa dahulu dan lakukan carian dalam talian, rujuk kepada pakar atau hanya memberitahu rakan tentang perkara ini sebelum melakukan apa- apa bentuk tindakan susulan.

Penutup

Sebagai penutup, kita hendaklah mempunyai pengetahuan dalam setiap apa yang kita ingin lakukan. Janganlah kita melakukan sesuatu perkara dalam keadaan kita tidak mengetahui intipati nya dan hanya bergantung dengan percakapan seseorang semata- mata. Seperti kita hamba Allah SWT dan umat Nabi Muhammad SAW, kita menjadikan AL- Quran and As- Sunnah sebagai panduan dalam setiap apa yang kita kerjakan didunia ini. Setiap daripada apa yang dilakukan mempunyai asas yang jelas dan nyata mengapa kita perlu melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan setiap yang dilarang. Oleh itu, marilah kita sama- sama terus menimba ilmu dan sentiasa menambah pengetahuan dalam setiap yang kita kerjakan. Semoga Allah SWT merahmati dan memberi ganjaran atas setiap usaha yang kita lakukan dala usaha untuk menimba ilmu pegetahuan. Sekian, Wassalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 × five =