Apakah hukum pelaburan emas dan penjelasan berkenaan perkara ini?
Artikel ini akan menerangkan dengan lengkap berkenaan pelaburan emas dan juga penjelasan mudah mengenai perkara ini.
Terdapat sentimen yang besar dalam dunia kini berkaitan dengan pelaburan. Segelintir golongan berpendapat bahawasanya pelaburan termasuk dalam salah satu kaedah untuk mengembangkan harta seseorang.
Antara jenis pelaburan yang dipraktikkan di Malaysia adalah termasuk pelaburan modal, pelaburan hartanah, amanah saham, pelaburan tunai tetap seperti akaun simpanan, akaun semasa, sukuk dan pasaran wang.
Pelaburan emas juga termasuk dalam pilihan ini. Maka, pada siri kali ini penulis akan membincangkan mengenai hukum pelaburan emas. Perbincangan ini akan meliputi pelaburan yang dibenarkan dalam Islam dan syarat tambahan yang perlu dipenuhi apabila melibatkan barangan ribawi seperti emas. kerana kita cakna bahawa emas merupakan salah satu daripada barangan ribawi yang mempunyai syarat yang perlu dipatuhi. Ini bagi memastikan transaksi yang dijalankan sah sekali gus membenarkan Muslim khususnya untuk mengunakan peluang yang ada untuk mengembangkan harta mereka.
APA ITU PELABURAN DALAM ISLAM?
Pelaburan dalam Islam dikenali sebagai qirad atau mudharabah. Mudharabah bermaksud pelabur atau pemodal memberikan hartanya kepada pengusaha untuk menguruskan hartanya. Hasil daripada kesepakatan tersebut akan dibahagikan kepada kedua- dua pihak seperti yang telah dipersetujui. Akan tetapi, adakah sama kaedah yang digunapakai oleh pelaburan ini dengan pelaburan emas? Mari kita ketahui dengan lebih lanjut.
HUKUM PELABURAN EMAS
Sekiranya pelaburan emas mempraktikan modus operandi yang sama dengan pelaburan patuh Syariah yang biasa mengikut piawaian daripada Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia, maka pelaburan emas ini adalah haram hukumnya. Ini kerana, jual beli emas berkait rapat dengan isu riba’. Jika terdapat kesilapan dalam transaksi ini ia akan membawa kepada riba’ dimana kita tahu bahawa riba’ sangat dilarang oleh Islam. Telah jelas dinyatakan di dalam Al- Quran bahawa:
‘Allah menghalakan jual beli dan mengharamkan riba’. (Al- Baqarah: 275)
Tetapi jangan risau, kerana kini sudah ada solusi bagi individu yang berminat untuk menjadikan emas sebagai salah satu daripada pelaburan mereka. Berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 96 yang bersidang pada 13- 15 Oktober 2011 telah bersetuju dan menerima parameter Pelaburan Emas. Namun begitu, ia harus berdasarkan seperti yang berikut:
1. MEMENUHI SYARAT UMUM JUAL BELI
Bagi memastikan transaksi jual beli yang dijalankan sah, ia perlu memenuhi syarat- syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Sekiranya satu atau lebih dari rukun jual beli itu tidak mencukupi, maka transaksi tersebut dikira sebagai tidak sah. Syarat jual beli adalah seperti yang berikut:
PENJUAL DAN PEMBELI
- Penjual dan pembeli mestilah seseorang yang layak untuk memasuki kontrak jual beli.
- Layak disini bermaksud kedua- dua pihak ini mestilah berakal, baligh dan mempunyai kebijaksanaan untuk menentukan sesuatu keputusan.
- Penjual dan pembeli mestilah redha dengan transaksi yang dilakukan. Tiada unsur paksaan, eksploitasi dan tekanan dalam melakukan transaksi jual beli antara dua pihak.
HARGA BARANG
- Harga barang yang diperdagangkan perlulah diketahui oleh kedua- dua belah pihak iaitu penjual dan pembeli.
- Harga barang perlu diketahui semasa kedua- dua pihak melakukan kontrak jual beli tersebut.
- Kegagalan pihak penjual untuk menyatakan harga barang jualan akan menimbulkan isu gharar pada transaksi tersebut.
BARANG JUALAN
- Barang dagangan perlulah wujud semasa transaksi jual beli dijalankan. Penjual perlu memastikan bahawa barang jualan adalah milik penjual sepenuhnya atau transaksi itu akan menjadi tidak sah.
- Barang tersebut juga perlu mempunyai keupayaan untuk diserahkan hak miliknya kepada pembeli. Kegagalan untuk menyerahkan barangan tersebut semasa transaksi dilakukan akan menjadikan transaksi tersebut tidak sah.
- Ciri- ciri atau fizikal barang perlulah dipastikan oleh kedua- dua belah pihak semasa menjalankan transaksi jual beli ini. Ia termasuklah bentuk, saiz, jenis, berat, warna dan ciri- ciri lain yang sesuai dengan barang dagangan.
SIGHAH (AKAD)
- Sighah merupakan satu bentuk persetujuan antara dua pihak iaitu penjual dan pembeli dengan transaksi yang dilakukan.
- Ia boleh dilakukan secara lisan, bertulis atau secara kebiasaan yang dilakukan pada zaman sekarang iaitu secara serah- hulur.
- Dalam sighah ini juga, penjual tidak boleh menetapkan unsur penempohan. Sebagai contoh: Pembeli menyatakan bahawa dia menjual perkakas dapur kepada pembeli dengan harga RM 500 selama tiga bulan.
- Kedua- dua pihak bersetuju dari segi ciri- ciri dan kadar yang telah ditetapkan semasa transaksi berlaku.
2. MEMENUHI SYARAT KHUSUS BAGI JUAL BELI BARANGAN RIBAWI
Emas termasuk dalam kategori barangan ribawi seperti yang telah ditetapkan oleh syarak. Oleh itu, ia terikat dengan beberapa syarat khusus bagi memastikan kebajikan penjual dan pembeli terjaga. Ia juga merupakan langkah yang perlu diberi perhatian bagi memastikan transaksi jual beli yang melibatkan barangan ini tidak membawa kepada riba’ buyu’.
Riba’ Buyu’ ialah riba’ yang melibatkan urusan berkaitan dengan barangan ribawi sama ada berlaku perbezaan pada berat atau kuantiti semasa pertukaran atau pertukaran dilakukan secara tangguh. Berikut merupakan syarat- syarat yang perlu dipatuhi jika ia adalah transaksi yang melibatkan barangan ribawi:
TAQABUDH
- Taqabudh bermaksud penyerahan. Ini bermakna, kedua- dua pihak membuat penyerahan kepada kedua- duanya.
- Penjual menyerahkan barang jualan kepada pembeli dan pembeli menyerahkan bayaran tunai yang telah dipersetujui bersama sebelum berpisah dari majlis akad.
- Bayaran tersebut boleh dilakukan melalui:
- Bayaran secara tunai.
- Bayaran melalui cek yang diperakui
- Bayaran secara kad debit
- Bayaran secara kad kredit
- Pemindahan wang dari akaun simpanan atau semasa
- Penyerahan barang jualan mestilah dilakukan secara hakiki. Ia bermaksud pembeli menerima tangungjawab pemilikan keatas barangan tersebut atau pembeli mempunyai kemampuan untuk menuntut barangan tersebut pada bila- bila masa tanpa ada halangan.
- Bagi transaksi pembelian, ia boleh dilakukan secara pertemuan fizikal atau melalui medium perantaraan seperti panggilan telefon, pesanan ringkas (sms), emel dan sebagainya.
- Akan tetapi, disyaratkan bagi pembeli untuk mempamerkan bersama bukti transaksi pada masa akad berlaku sebagai tanda penyerahan hak masing- masing.
SECARA LANI
- Secara lani bermaksud tiada unsur penangguhan semasa transaksi jual beli ini. Ia terpakai kepada kedua- dua belah pihak dimana pembeli menyerahkan nilai bayaran dan penjual menyerahkan barang jualan.
- Penanguhan yang dimaksudkan adalah termasuk pembelian hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara ansuran.
- Kelewatan menyerahkan barangan jualan dalam tempoh tiga hari selepas kontrak berlaku adalah tidak dibenarkan sama sekali.
PENUTUP
Sebagai kesimpulan, Islam sangat menjaga kesucian dari setiap aspek kehidupan manusia khususnya harta yang digunakan untuk membiayai kehidupan seharian seorang Muslim. Menambah pemilikan harta amat digalakan oleh Islam supaya seseorang Muslim itu mampu untuk menyediakan kesenangan kepada ahli keluarganya, mempunyai keupayaan untuk berkongsi nikmat dengan yang lain dan boleh mengunakan hasil yang diperolehi untuk mengapai redha Allah sekaligus.
Hasil yang bersih dan halal juga akan memberi kebaikan kepada pemakainya. Oleh itu, marilah kita mengunakan peluang yang telah diberikan untuk berlabur dengan emas tanpa melupakan syarat yang telah ditetapkan seperti dalam perbincangan diatas. Jangan dilupa juga Zakat Emas perlu dibayar juga. Sekiranya pembaca masih mempunyai kemusykilan berkaitan pelaburan emas ini, pembaca boleh turunkan persoalan diruang yang disediakan atau pembaca boleh merujuk kepada Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman berkitan dengan pelaburan emas.
Sekian.
RUJUKAN
- Elemen Gharar Dalam Akaun Pelaburan Emas Menurut Hadith, Abdul Hadi Awang,
- Emas Jual Beli Dan Pelaburan Mengikut Perspektif Syariah, Amir Yazid, Academia.edu
- Parameter Pelaburan Emas, 2 November 2011, e- Muamalat JAKIM