Apakah kelebihan surah Al-Baqarah? Artikel ini membincangkan beberapa kelebihan dalam mengamalkan bacaan surah Al-Baqarah.
Pengenalan
Surah al-Baqarah merupakan surah kedua selepas surah al-Fatihah di dalam al-Quran dan merupakan surah terpanjang didalam Kitabullah. Surah yang bermaksud lembu betina ini mempunyai 286 ayat dan surah ini diturunkan di Madinah di mana sebahagian besarnya diturunkan pada permulaan tahun Hijrah, kecuali ayat 281 yang diturunkan di Mina pada haji wida’ (haji Nabi Muhammad SAW yang terakhir).
Terdapat banyak kisah serta tauladan yang dapat kita gali daripada surah ini antaranya mengenai kisah perbalahan kaum Bani Israil dengan Nabi Musa AS tentang penyembelihan lembu betina yang kemudiannya menjelaskan sifat kaum Yahudi yang keras hati.
Terdapat juga pensyariatan beberapa hukum seperti hukum berpuasa dan juga cara-cara untuk kita memberikan hutang pada seseorang, dan banyak lagi yang dapat kita dalami daripada surah al-Baqarah ini.
Sepertimana panjangnya ayat di dalam surah ini, seperti itu juga manfaat serta kelebihannya. Kali ini kami akan kongsikan 5 kelebihan surah al-Baqarah.
- Pelindung untuk rumah baru
Salah satu sunnah apabila mendiami rumah baru adalah membaca surah al-Baqarah. Ini diceritakan di dalam satu hadis daripada At-Tirmidzi dan Abdullah bin Mas’ud yang meriwayatkan dari Suhail bin Shalih, dari ayahnya, dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِى تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَة
Maksudnya: “Janganlah kamu menjadikan rumah kamu sebagai kubur, sesungguhnya rumah yang dibacakan Surah al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan.”
(Hadis Riwayat At Tirmidzi)
Menurut Syeikh al-Mubarakfuri, yang dimaksudkan dengan menjadikan rumah seperti perkuburan adalah rumah yang kosong daripada zikir (mengingati Allahh) dan ketaatan. Dengan itu menjadikannya seperti perkuburan atau seperti orang yang mati. Di antara makna lain bagi hadith ini adalah tidak boleh mengebumikan orang-orang yang mati di dalam rumah. Akan tetapi, hadith ini menunjukkan pada makna yang pertama iaitu rumah yang kosong daripada zikir dan ketaatan. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 146/8]
- Pelindung daripada syaitan
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata:
مَنْ قَرَأَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ، لَمْ يَدْخُلْ ذَلِكَ الْبَيْتَ شَيْطَانٌ تِلْكَ اللَّيْلَةَ حَتَّى يُصْبِحَ: أَرْبَعًا مِنْ أَوَّلِهَا، وَآيَةُ الْكُرْسِيِّ، وَآيَتَينِ بَعْدَهَا، وَثَلَاثٌ خَوَاتِيمُهَا
Maksudnya: “Barangsiapa membaca sepuluh ayat daripada surah al-Baqarah pada satu malam maka rumah tersebut tidak akan dimasuki syaitan pada malam tersebut sehingga pagi iaitu empat ayat awal surah al-Baqarah, ayat al-Kursi, dua ayat selepasnya dan tiga ayat terakhir di dalam surah al-Baqarah”.
[Riwayat Imam al-Darimi (3425)]
- Diberi rasa cukup dalam diri
Dalam satu hadis daripada Abu Mas’Ud menyatakan, muslim yang meletakkan rutin membaca surah al-Baqarah tidak perlu risau. Allah SWT akan memberi kecukupan baginya. Ini disebutkan di dalam hadis yang bermaksud:
“Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir di dalam surah al-Baqarah pada malam hari, maka itu akan mencukupinya.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah).
- Terdapat ayat kursi yang banyak manfaatnya
Seperti yang kita tahu, banyak kelebihan ayat kursi jika kita mengamalkannya. Ayat kursi merupakan sebahagian daripada surah al-Baqarah, ayat 255.
اَللّٰهُ لَآ اِلٰهَ اِلَّا هُوَۚ اَلْحَيُّ الْقَيُّوْمُ ەۚ لَا تَأْخُذُهٗ سِنَةٌ وَّلَا نَوْمٌۗ لَهٗ مَا فِى السَّمٰوٰتِ وَمَا فِى الْاَرْضِۗ مَنْ ذَا الَّذِيْ يَشْفَعُ عِنْدَهٗٓ اِلَّا بِاِذْنِهٖۗ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ اَيْدِيْهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْۚ وَلَا يُحِيْطُوْنَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهٖٓ اِلَّا بِمَا شَاۤءَۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضَۚ وَلَا يَـُٔوْدُهٗ حِفْظُهُمَاۚ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيْمُ
Maksudnya: Allah, tidak ada tuhan selain Dia. Yang Maha Hidup, Yang terus menerus mengurus (makhluk-Nya), tidak mengantuk dan tidak tidur. Milik-Nya apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Tidak ada yang dapat memberi syafaat di sisi-Nya tanpa izin-Nya. Dia mengetahui apa yang di hadapan mereka dan apa yang di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui sesuatu apa pun tentang ilmu-Nya melainkan apa yang Dia kehendaki. Kursi-Nya meliputi langit dan bumi. Dan Dia tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Dia Maha Tinggi, Maha Besar.
Salah satu kelebihan jika kita selalu mengamalkan ayat kursi adalah seperti yang diriwayatkan daripada Abi Umamah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلَّا الْمَوْتُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati”.
[Riwayat al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (7532) & Riwayat al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Kubra (9848)]
Imam al-San’ani menyatakan:
وَاخْتَصَّتْ آيَةُ الْكُرْسِيِّ بِذَلِكَ لِمَا اشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ مِنْ أُصُولِ الْأَسْمَاءِ وَالصِّفَاتِ الْإِلَهِيَّةِ، وَبِالْوَحْدَانِيَّةِ، وَالْحَيَاةِ، وَالْقَيُّومِيَّةِ، وَالْعِلْمِ، وَالْمُلْكِ، وَالْقُدْرَةِ، وَالْإِرَادَةِ
Maksudnya: “Kelebihan ayat Kursi ini adalah disebabkan padanya terhimpun segala usul nama-nama dan sifat-sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-‘Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak)”.
[Lihat: Subul al-Salam, 297/1]
- Kehebatan 2 ayat terakhir surah al-Baqarah
Daripada Abu Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ البَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah pada waktu malam telah cukup baginya dengan keduanya.”
[Riwayat al-Bukhari (5009)]
Imam al-Nawawi mengatakan, makna cukup baginya di dalam hadis di atas adalah cukup bagi seseorang mendirikan malam pada malam tersebut, cukup baginya (terpelihara) daripada keburukan syaitan serta daripada kebinasaan-kebinasaan dan boleh jadi ia membawa makna kesemuanya sekali.
[Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 6/91-92]
Kesimpulan
Terdapat banyak lagi kelebihan yang dapat kita rasai jika kita membaca serta mengamalkan surah al-Baqarah ini. Selain manfaatnya yang banyak, terdapat banyak ayat-ayat yang dianjurkan untuk diamalkan oleh para ulama’ berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW.
Apa yang penting bukanlah semata-mata kelebihan yang dijanjikan kepada para pembacanya, tetapi kesungguhan kita dalam mengamalkan amalan-amalan sunnah ini, demi mendapatkan keredhaan Allah. In sha Allah yang lain akan menyusul juga.
Kelebihan Surah yang Lain