Apakah kelebihan membaca surah al-Kahfi? Artikel ini akan membincangkan beberapa kelebihan dan manfaat jika seseorang itu membaca surah al-kahfi?
Pengenalan
Al-Quran adalah wahyu yang benar, jelas dan jauh daripada sebarang keraguan atau kekeliruan yang menjadi panduan hidup yang telah diturunkan kepada nabi Muhammad S.A.W. iaitu rasul terakhir yang diutuskan kepada umat akhir zaman. Surah al-Kahfi adalah surah ke-18 yang mengandungi 110 ayat.
Surah al-Kahfi mengandungi cerita dan pengajaran yang boleh dijadikan contoh teladan. Al-Kahfi diturunkan untuk mengubati hati Rasulullah S.A.W. yang sedih kerana penduduk Mekah yang menyebarkan cerita-cerita buruk tentangnya dan nabi menyangka wahyu telah tiada.
Malaikat Jibril datang dengan membawa surah al-Kahfi kepada nabi Muhammad S.A.W. Allah menegur nabi tentang kesedihannya terhadap sikap penduduk Mekah dalam surah al-Kahfi. Surah ini juga mengandungi segala jawapan terhadap persoalan yang ditanya kepada Baginda.
Surah al-Kahfi menjawab soalan kaum Yahudi dan Musyirikin Quraish yang bertanya tentang Ashabul Kahfi dan Zulkarnain manakala soalan tentang roh dijawab dalam surah sebelum al-Kahfi iaitu surah al-Isra’ ayat 85.
Menurut tafsir ringkas surah al-Kahfi (A. Razak Muthalib, 2013), di antara kisah-kisah yang terdapat dalam surah al-Kahfi ialah :
- Ashabul Kahfi (penghuni gua)
- Iblis yang ingkar dan enggan sujud pada nabi Adam A.S.
- Pekebun kufur dan pekebun mukmin
- Kisah nabi Musa A.S. dan nabi Khidir
- Zulkarnain dan Ya’juj dan Ma’juj
Kelebihan Membaca Surah Al-Kahfi
Seperti yang diketahui, banyak kelebihan bagi orang yang mengamalkan surah al-Kahfi dalam hidupnya. Artikel akan menyenaraikan lima (5) kelebihan surah al-Kahfi seperti berikut :
1. Terpelihara dari fitnah Dajjal
Dajjal akan merosakkan akidah manusia dan menyebabkan huru-hara disebabkan oleh fitnahnya. Abu Darda’ iaitu sahabat nabi Muhammad S.A.W. mengatakan Baginda telah bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang memelihara (iaitu memelihara bacaan dengan sentiasa membaca) 10 ayat pertama surah al-Kahfi, dia akan dilindungi daripada fitnah Dajjal.” (HR Muslim, Abu Daud, An-Nasaie dan At-Tirmizi. Kedudukan hadis ini menurut At-Tirmizi ialah hasan sahih)
Ibnu Kathir juga merekodkan hadis tersebut dalam Tafsir al-Quran al-’Azim. Terdapat satu hadis lain yang direkodkan oleh Abu Darda’. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang membaca 10 ayat terakhir surah al-Kahfi, dia akan dipelihara daripada fitnah Dajjal.” (HR Muslim dan An-Nasaie. At-Tirmizi. Ibnu Kathir turut merekod hadis ini dalam Tafsir al-Quran al-’Azim)
Imam An-Nawawi menjelaskan dalam Syarah Shahih Muslim bahawa ayat-ayat yang terkandung di awal surah al-Kahfi menceritakan keajaiban dan tanda kebesaran Allah. Kita tidak akan tertipu dengan fitnah Dajjal jika kita menghayati dan memahami maksudnya. Oleh itu, digalakkan menghafal 10 ayat yang terawal atau 10 ayat terakhir surah al-Kahfi.
2. Sumber ketenangan
Al-Barra iaitu sahabat nabi menceritakan kisah seorang lelaki yang membaca surah al-Kahfi. Di sisi lelaki itu ada seekor kuda yang terikat dengan dua tali. Lelaki tersebut memandang ke atas dan melihat awan kabus melindunginya. Awan kabus itu bergerak dekat dan semakin dekat sehingga membuatkan kuda meronta-ronta ingin lari.
Lelaki itu berjumpa dengan Rasulullah dan menceritakan peristiwa yang dialaminya. Nabi S.A.W. berkata bahawa itu adalah ketenangan (As-Sakinah) yang turun disebabkan al-Quran. Imam Ibnu Kathir menyatakan lelaki tersebut ialah Usaid bin al-Hudhair. Hadis direkodkan oleh al-Bukhari dan Muslim.
3. Diampunkan dosa hingga hari Jumaat akan datang
Abu Said al-Khudri mengatakan bahawa Baginda pernah bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah akan menyinarinya dengan cahaya di antara dua Jumaat.” (HR Darimi, An-Nasaie dan al-Hakim. Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani mengatakan hadis ini sahih dalam Shahih al-Targhib wa al-Tarhib)
Terdapat hadis lain menyebut berkenaan kelebihan membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat :
“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, dia akan disinari cahaya antara dia dan Baitul ‘atiq.” (HR al-Hakim dalam al-Mustadrak dan al-Baihaqi dalam Sunan al-Baihaqi. Syeikh al-Jami’ mengatakan hadis ini sahih.)
Menurut kedua-dua hadis, surah al-Kahfi disunatkan untuk dibaca pada malam atau hari Jumaat. Hari Jumaat bermula apabila terbenamnya matahari pada hari Khamis dan berakhir apabila matahari terbenam pada hari Jumaat, termasuk malam Jumaat. Imam Asy-Syafi’i mengatakan dalam al-Umm bahawa surah al-Kahfi boleh dibaca pada malam Jumaat dan siang Jumaat.
4. Mendapat rahmat Allah
Pengamal surah al-Kahfi didoakan oleh 70,000 malaikat yang memohon rahmat daripada Allah S.W.T. sehingga waktu Subuh. Rahmat Allah kepada manusia datang dalam pelbagai bentuk contohnya diberi kesihatan untuk beribadah, umur yang panjang, rezeki dan sebagainya.
5. Dijauhkan dari wabak penyakit
Sebuah hadis Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam atau siang jumaat, maka diampunkan dosanya hingga Jumaat akan datang,; dan 70 ribu malaikat memohon rahmat kepada Allah hingga waktu Subuh; dan dijauhkan Allah dari terkena wabak penyakit demam panas atau taun; penyakit sopak; dan dijauhkan dari fitnah Dajjal.” (Sumber dari buku Kumpulan 7 Surah yang disusun oleh Zaki Shaari)
Penyakit demam panas, taun dan sopak akan dijauhkan dari terkena kita dengan izin Allah jua apabila rajin membaca surah al-Kahfi. Segala yang berlaku adalah dengan kuasa Allah.
Artikel Berkaitan : Doa untuk Sembuhkan Penyakit
Penutup
Surah al-Kahfi menjadi peringatan kepada kita supaya jangan berhujah berkenaan sesuatu yang benar serta ingin menafikannya. Kelak dihukum oleh Allah S.W.T. dan pintu hidayah ditutup. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan pemberi rahmat. Hamba yang benar-benar bertaubat dengan penuh penyesalan pasti akan diterima dan dosanya diampuni oleh Allah.
Azab ditangguhkan di dunia kerana Allah menyayangi makhlukNya. Namun, manusia yang ingkar dengan perintah Allah dan menolak untuk tidak bertaubat setelah melakukan kesalahan akan diazab dengan keras di akhirat. Semoga kita sama-sama dapat mengamalkan surah al-Kahfi untuk mendapatkan ketenangan dan melindungi diri dari fitnah Dajjal memandangkan hari Kiamat sudah semakin hampir.
Kelebihan Surah yang Lain
Sumber rujukan
- Razak Muthalib. (2013). Hikmah surah al-Kahfi. PTS Islamika Sdn. Bhd.
- THEINSPIRASI. (2020). Surah al-Kahfi dan kelebihan membacanya. Retrieved from
- Zaki Shaari. (2018). Kumpulan 7 surah. Al-Hidayah House of Qur’an Sdn. Bhd.