Skip to content

Istighfar: Maksud, Kelebihan dan Panduan

istighfar

Maksud Istighfar adalah perbuatan memohon ampun kepada Allah. Ia adalah satu bentuk taubat atau kembalinya seorang hamba kepada Allah.

Sebagai seorang hamba Allah, kita tidak ada tempat lain untuk Kembali dan memohon keampunan melainkan kepada-Nya. Tiada sesiapapun yang dapat mengampunkan dosa kita selain daripada Allah.

Terdapat pelbagai ungkapan memohon ampun yang diajarkan oleh Allah dan Rasul daripada Al-Quran dan Hadith. Ada yang Panjang dan ada yang pendek. Lazimnya, cukuplah dengan kita menyebut ‘astaghfirullah’ yang bererti aku memohon ampun kepada Allah. Namun, haruslah diiringi dengan hati yang turut sama mengakui kesalahan, menyesali dan memohon keampunan.

Beristighfar adalah sebuah perbuatan Ibadah yang sangat dituntut dalam Islam. Kita digalakkan untuk beristighfar sebanyak-banyaknya. Para Nabi sentiasa melazimi istighfar dalam kehidupan mereka walaupun mereka adalah golongan yang paling terpelihara. Apatah lagi kita sebagai manusia biasa yang sangat banyak berdosa.

Istighfar Para Nabi

1. Nabi Adam AS

Istighfarnya:

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Bacaan rumi:

Rabbana zolamna anfusana wa illam taghfirlana watarhamna lana kunanna minal khosirin

Maksudnya:

“Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”

Nabi Adam AS dan isteri baginda Hawa setelah diturunkan ke dunia sentiasa melazimi membaca sebuah doa memohon keampunan kepada Allah, mengakui kezaliman yang telah dilakukan terhadap diri sendiri. Mereka membaca ungkapan yang diajarkan oleh Allah sebagaimana dirakamkan di dalam Surah al-a’raaf ayat 23:

قَالاَ رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”. (Al-A’raaf 7:23)

Daripada ungkapan ini dapat kita fahami bahawa sangat perlu untuk kita menyedari dan mengakui kesalahan diri kita dalam kita beristighfar kepada Allah. Menunjukkan bahawa kita benar-benar ikhlas untuk memohon keampunan kepada Allah atas dosa dan kesalahan kita.

2. Nabi Nuh AS

Istigfarnya:

رَبِّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَسْأَلَكَ مَا لَيْسَ لِي بِهِ عِلْمٌ وَإِلاَّ تَغْفِرْ لِي وَتَرْحَمْنِي أَكُن مِّنَ الْخَاسِرِينَ.

Bacaan rumi:

Rabbana inni a’uzubika an as alaka malaisa li bihi ‘ilmun wa illa taghfirli wa tarhamni akumminal khosirin.

Maksudnya:

Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”.

Begitu pula Nabi Nuh AS. Beliau memohon ampun kepada Allah apabila mengatakan anaknya yang tidak beriman adalah sebahagian daripada ahlinya namun ditegur oleh Allah bahawa anak baginda bukanlah sebahagian daripada ahli keluarga baginda kerana dia tidak beriman

قَالَ رَبِّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَسْأَلَكَ مَا لَيْسَ لِي بِهِ عِلْمٌ وَإِلاَّ تَغْفِرْ لِي وَتَرْحَمْنِي أَكُن مِّنَ الْخَاسِرِينَ.

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”. (Hud 11:47)

3. Nabi Yunus AS

Doanya:

لَّا إِلَهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Bacaan rumi:

La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin

Maksudnya:

“Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

Nabi Yunus AS ketika berada di dalam perut ikan di tengah lautan tidak henti-henti melafazkan kalimah ini sebagaimana dirakamkan di dalam Al-Quran:

وَذَا النُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَاضِباً فَظَنَّ أَن لَّن نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

“Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” (Al-anbiyaa’ 21: 87)

Dalam doa Nabi Yunus ini dapat kita temui 3 elemen utama yang boleh diringkaskan sebagai 3T: Tauhid, Tasbih dan Taubat. Baginda terlebih dahulu mengakui keEsaan Allah, menyucikan-Nya dan mengakui kezaliman yang dilakukan oleh diri sendiri.

Istighfar Nabi Muhammad SAW

Demikianlah Rasulullah juga mengajarkan kita untuk sentiasa melazimi Istighfar kepada Allah. Bahkan baginda sendiri dalam sebuah hadith menyebut bahawa dalam sehari, baginda beristighfar lebih daripada 70 kali.

“Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. [Riwayat al-Bukhari (6307)]

1. Sayyidul Istighfar

Istighfarnya:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Bacaan rumi:

Allahumma anta robbi la ila ha illa anta kholaktani wa ana ‘abduka wa ana ‘ala ‘ahdika wa wa’dika mastato’tu. a’uzubika min sharima sona’tu. abu u laka bini’mati ‘alaiya, wa abu ulaka bizanbi faghfirli, fa innahu la yaghfiru zunuba illa ant

Maksudnya:

Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”

Ada sebuah istighfar yang diajarkan oleh Nabi SAW yang dikenali sebagai sayyidul istighfar. Penghulu segala istighfar. Daripada Syaddad bin Aus RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. [Riwayat al-Bukhari (6306)]

Sabda Baginda SAW lagi di dalam hadith yang sama:

وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengucapkannya (Sayyid al-Istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga”.

Di dalam sayyidul istighfar tersebut mengandung makna yang sangat dalam, berupa pernyataan tauhid, diikuti dengan pengakuan diri sebagai hamba dan komitmen untuk melaksanakan segala janji terhadap Allah sebaik mungkin. Kemudian diikuti dengan memohon perlindungan kepada Allah, mengakui segala nikmat dan mengakui pula segala dosa. Akhirnya kita memohon ampun kepada Allah dan menyatakan bahawa sememangnya tidak ada sesiapapun dapat mengampunkan dosa selain Allah.

Sungguh indah Rasulullah Menyusun doa ini untuk diamalkan oleh kita. Amalkanlah istighfar ini setiap pagi dan petang, mudah-mudahan menjadikan kita di kalangan penghuni syurga sebagaimana disebut dalam hadith tersebut.

Kesan Istighfar dalam kehidupan

Mari kita lihat rangkaian ayat dalam Surah Nuh, ketika Nabi Nuh menyeru kaum baginda untk memohon ampun kepada Allah.

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu. Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (Surah Nuh, 71:10-12)

Ada beberapa perkara yang disebut dalam ayat di atas sebagai impak daripada memohon ampun kepada Allah:

1. Allah menurunkan hujan lebat mencurah-curah

Hujan menurunkan air yang merupakan sumber kepada penghidupan. Ia adalah sebuah rahmat Allah yang sangat agung buat manusia.

Ibnu Kathir Rah. ketika mentafsirkan ayat di atas membawa kisah ketika Umar ibnul Khattab RA menaiki mimbar untuk memanjatkan doa istisqa, maka tiada yang dibacanya selain dari istigfar dan membaca beberapa ayat dalam istigfarnya yang antara lain adalah ayat ini: maka aku berkata (kepada mereka), “Mohonlah ampunan kepada Tuhan-mu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu.” (Nuh: 10-11)

Kemudian Umar RA berkata, “Sesungguhnya aku telah menunggu-nunggu datangnya hujan melalui bintang-bintang yang merupakan pertanda akan datangnya hujan.” Ibnu Abbas dan lain-lainnya mengatakan bahwa datanglah awan secara beriringan, sebagian darinya berurutan dengan sebagian yang lainnya.

2. Dikurniakan harta dan anak-pinak

Dengan syarat kita memohon ampun kepada Allah dan kembali taat kepada Allah, Allah akan mengurniakan kita harta dan anak-pinak dengan izin-Nya. Ini juga ada disebut di dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”. [Riwayat Abu Daud (1518)]

Tidaklah sukar bagi Allah mengurniakan kepada kita harta dan anak-pinak. Dia berkuasa mengurniakan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dalam ayat ini menyebut secara khusus bahawa beristighfar dan memohon ampun kepada Allah adalah antara pra-syarat untuk dikurniakan kedua perkara tersebut.

3. Dijadikan kebun-kebun dan sungai-sungai mengalir di celah-celahnya.

Ibnu Kathir Rah. menyebut di dalam Tafsir beliau, sekiranya manusia memohon ampun kepada Allah dan kembali taat, Allah akan memperbanyak rezeki dan menyirami dengan keberkahan dari langit dan menumbuhkan keberkatan bumi sehingga bumi menjadi subur menumbuhkan tanamannya, dan menyuburkan air susu ternak dan memberi banyak harta dan anak-anak dan menjadikan kebun-kebun yang di dalamnya terdapat berbagai macam buah-buahan dan di tengah-tengah (celah-celah)nya dibelahkan sungai-sungai yang mengalir.

Demikianlah betapa besarnya kesan istighfar dalam kehidupan kita. Jika kita melakukan sebaliknya dan meninggalkan istighfar, maka dapatlah kita rasai kehidupan kita menjadi sempit, keberkatan hidup kita berkurang, dan banyak masalah yang tidak jumpa jalan penyelesaian.

Kesimpulan:

  1. Para Nabi yang terpelihara sering beristighfar, kita sebagai manusia biasa apatah lagi harus melazimi istighfar
  2. Nabi Muhammad SAW beristighfar lebih daripada 70 kali dalam sehari, sedangkan beliau maksum. Kita harus mencontohi baginda dan berusaha lebih memperbanyak istighfar setiap hari
  3. Istighfar adalah sumber kepada penyelesaian masalah hidup dan sumber keberkatan hidup
  4. Banyak doa yang diajarkan oleh Allah dan Rasul untuk kita beristighfar bersumber daripada Al-Quran dan Hadith, amalkanlah setiap pagi dan petang
  5. Istighfar adalah tanda seorang hamba kembali kepada Allah dan memohon ampun atas segala dosa-dosanya. Ia perlu diiringi dengan rasa penyesalan dan azam untuk tidak mengulangi lagi dosa tersebut

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight + nineteen =