Skip to content

Hukum Pakai Mask Ketika Solat. Boleh atau Tidak?

hukum pakai mask (pelitup muka) ketika solat

Artikel ini membincangkan hukum pakai pelitup muka(mask) ketika solat. Sama-samalah kita mempelajarinya. 

Pelitup muka atau mask 

Ketika negara kita dilanda jangkitan Covid-19, semua rakyat dikehendaki untuk memakai pelitup muka supaya tidak mudah menyebarkan jangkitan atau dijangkiti oleh siapa-siapa yang terkena virus tersebut. Bukan memakai pelitup muka sahaja, setiap di antara kita juga perlu melaksanakan penjarakan sosial supaya dapat meminimumkan risiko jangkitan. Individu yang terkena virus Covid-19 harus dikuarantinkan. 

Maka, bolehkah memakai mask ketika solat? 

Fatwa Mufti Singapura 

Merujuk laman web muslim.sg, terdapat perbezaan pandangan dalam menentukan hukum bagi solat dan memakai pelitup muka. 

Namun, Imam an-Nawawi dalam al-Majmu’ menyatakan bahawa diharuskan untuk memakai pelitup muka bilamana ada keperluan dan desakan seperti sesuatu yang memudaratkan nyawa dan sebagainya. 

Dalam konteks penularan Covid-19 di negara kita, diharuskan untuk memakai pelitup muka kerana kita hendak mengurangkan risiko jangkitan virus tersebut. Bukannya ia dipakai suka-suka. 

Laman Web Islam Question & Answer 

Laman web islamqa.info yang diselia oleh Sheikh Muhammad Salih al-Munajjid, diharuskan untuk memakai pelitup muka ketika bersolat asalkan setiap anggota yang wajib mencecah tanah ketika sujud itu dapat dilaksanakan. Hal ini kerana terdapat hadis Rasulullah daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah bersabda yang baginda akan bersujud atas 7 tulang. Baginda menunjuk ke arah hidung dan dahinya. 

Dalam konteks pelitup muka, hidung dan dahi mestilah mencecah tanah ketika sujud. 

Ibnu Qudamah pula dalam al-Mughni menyatakan pandangan yang berbeza. Beliau menukilkan satu pandangan yang mengatakan bahawa semua anggota sujud itu tidak semestinya menyentuh lantai secara langsung. Kalau memakai serban, hujung serban itu menyentuh lantai pun sudah memadai. Ini pandangan yang dipegang oleh mazhab Maliki dan Hanafi. 

Sheikh Ibnu al-Uthaimin pernah ditanya, sekiranya ada orang yang memakai cermin mata besar, jadi ketika sujud dia tidak mampu membuatkan semua 7 anggota itu menyentuh lantai. Jadi, adakah sujudnya itu tidak sah? 

Sheikh al-Uthaimin menjawab, sekiranya cermin mata itu tidak menghalang hidung daripada mencecah lantai, maka sahlah sujudnya. Jika sebaliknya, maka sujudnya tidak sah. Perlu dibuka cermin mata tersebut sebelum sujud. 

Dalam Syarah al-Mumti’, hukum memakai pelitup muka atau apa-apa yang seangkatan dengannya seperti purdah, adalah makruh ketika solat. Namun, hukum itu boleh berubah sekiranya ada keperluan. 

Dalam konteks penuluran Covid-19, keperluan memakai pelitup muka adalah untuk mengurangkan kebolehjangkitan kepada orang lain, lagi-lagi yang dekat dengan kita. Sebab, jangkitan boleh berlaku dengan sentuhan. 

Hukum Pakai Mask Ketika Solat

Kementerian Agama Indonesia 

Ketua Pengarah Bina Masyarakat Islam bagi Kementerian Agama Indonesia telah menyatakan bahawa tidak ada pandangan ulama yang melarang daripada memakai pelitup muka ketika solat. Apatah lagi ia adalah berdasarkan keperluan penjagaan kesihatan. 

Apa yang telah terjadi? 

Ada satu kejadian yang berlaku di Bekasi, Jawa Barat. Seorang pengurus masjid telah menghalau jemaah yang memakai pelitup muka untuk mendirikan solat di masjid tersebut. 

Ini adalah menurut mereka, memakai pelitup muka dan menjarakkan saf adalah sesuatu yang dilarang dalam Islam. Lebih melampau lagi, mereka melabel perlakuan tersebut sebagai sesat, mencontohi agama orang lain (kerana solat jarak-jarak) dan sebagainya. 

Maka, Ketua Pengarah Bina Masyarakat Islam, Kamaruddin Amin pun menjawab: 

Solat sambil memakai pelitup muka dan tidak merapatkan saf tetap sah dalam agama Islam

Sekiranya kita tidak suka memakai pelitup muka, janganlah sesekali kita menghalau orang lain daripada datang masjid untuk solat pula. 

Selain itu, jangan gunakan kuasa sebagai pengurus masjid untuk mengurus kerja Tuhan. Dalam hal ini, masih ada ruang untuk berbeza pandangan. Tetapi, jangan gunakan kuasa untuk memadam rahmat untuk berbeza pandangan tersebut. 

Fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Rasulullah bersabda: 

Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang meleretkan pakaian di dalam solat serta (melarang) seseorang lelaki itu menutup mulutnya (di dalam solat). (Riwayat Abu Daud)

Dalam hadis ini secara nyata diberitahu larangan menutup mulut ketika solat. Namun, ulama berbeza pandangan dalam menentukan larangan ini bersifat haram atau makruh. 

Namun, pandangan majoriti memperlihatkan hukum menutup muka tanpa keperluan ketika solat adalah makruh. Namun, sekiranya ada sebab munasabah seperti jangkitan, habuk bertebaran dan sebagainya, menutup muka ketika solat adalah harus. 

Kesimpulan 

Hukum memakai pelitup muka ketika solat adalah makruh sekiranya tidak ada keperluan. Sebaliknya, ia harus untuk mengelak daripada sebarang kemudaratan seperti jangkitan virus dan sebagainya. 

Rujukan 

  1. When and How to Use Mask – WHO
  2. Pemakaian Pelitup Muka – Portal MDA
  3. Hukum Solat Dengan Memakai Penutup Muka(Face Mask) – Mufti WP
  4. Solat Pakai Pelitup Muka – Utusan
  5. Can Muslims Pray With The Mask – Muslim.sg
  6. How Can Someone Who is Wearing PPE to guard against Viruses do Wudhu and Pray – islamqa.info

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × one =