Apakah hukum untuk jika seseorang itu minat KPOP? Artikel ini akan membincangkan hukum sama ada dibolehkan seseorang itu untuk minat artis kpop ataupun tidak.
Apabila kita berbicara tentang minat, terdapat pelbagai tahap kepada “minat”. Ada yang minat sampai terikut-ikut hingga mengabaikan agama, ada yang minat pada aspek-aspek tertentu sahaja seperti seni dan sebagainya. Ada juga yang mengatakan, disebabkan minat itu, kita sudah jatuh kepada syirik. Apakah itu benar sama sekali?
Konsep syirik dalam Islam
Dalam Islam khususnya Sunnah wal Jamaah, orang yang melakukan maksiat atau dosa besar itu masih lagi diklasifikasikan sebagai orang yang beriman, tetapi dia sudah jatuh fasik. Sekiranya dia bertaubat, taubatnya pasti diterima. Jikalau dia kekal dalam keadaan fasik, maka ke nerakalah dia.
Syirik ialah kita menyekutukan Allah dengan satu entiti lain. Maknanya, kita menafikan keesaan Allah. Kita menyembah Allah, pada masa yang sama kita sembah juga pokok, kubur dan sebagainya. Sedangkan, sembahan itu hanya layak bagi Allah yang satu.
Allah berfirman dalam Surah az-Zumar ayat 3:
“Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, – sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).”
Terdapat dua kategori syirik, iaitu syirik kecil dan syirik besar.
Syirik kecil
Definisi mudahnya, syirik kecil ialah melakukan amal ibadat tetapi bukan untuk Allah. Contohnya, melakukan solat tetapi riya’. Solatnya itu hanya untuk ditayangkan kepada orang lain sahaja. Inilah satu bentuk syirik kecil.
Dalam satu hadis diriwayatkan:
“Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah syirik yang kecil. Para sahabat bertanya: apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah? Nabi SAW bersabda: Itulah riya’.” (Riwayat Ahmad)
Kesan kepada syirik kecil itu tidaklah menggugurkan iman dan akidah seseorang, akan tetapi ia menjadikan amalan seseorang itu sia-sia dan tidak punya nilai di sisi Allah.
Syirik besar
Syirik besar ini ialah meyakini adanya Tuhan selain Allah SWT. Maknanya, mentaati Allah dan pada masa yang sama mentaati juga entiti-entiti lain. Ini sudah menduakan Allah SWT. Allah berfirman dalam Surah at-Taubah ayat 31:
“Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.”
Kesan syirik besar ini ialah Allah tidak akan mengampunkan dosa pelakunya melainkan pelakunya itu berhenti berlaku syirik dan bertaubat lalu mentaati Allah yang satu.
Allah berfirman dalam Surah al-Maidah ayat 72:
“Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam”. Padahal Al-Masih sendiri berkata:” Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim”.”
Apa hukum minat k-pop?
Terlalu tuntas sekiranya saya mengatakan haram meminati k-pop dan sebagainya. Cumanya, kita perlu memperincikan perbahasan ini supaya kita jelas dengan apa yang hendak dicapai.
Rasulullah bersabda:
“Tidaklah seseorang mencintai suatu kaum melainkan dia akan dikumpulkan bersama mereka pada hari kiamat nanti.” (Riwayat at-Tabrani)
Rasulullah juga bersabda:
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (Riwayat Abu Daud)
Apabila kita meminati sesuatu, kita perlu mempunyai batasan-batasan supaya agama kita terjaga. Jangan disebabkan minat kepada k-pop, kita rela dan sanggup melakukan apa yang mereka lakukan sampai melanggar batas agama. Batas syariat. Ini tidak wajar dilakukan oleh setiap orang Islam yang waras.
Janganlah pula kita mentaati artis kegemaran kita sampaikan kita menduakan mereka dengan Tuhan. Ini takut boleh berlaku syirik!
Minatlah atas dasar seni yang rasional dan humanisme. Minatlah atas dasar kerja-kerja amal yang mereka lakukan untuk dicontohi dan sebagainya.
Jagalah batas kita sebagai orang Islam.
Kesimpulan
Setiap minat pastilah mempunyai had tertentu agar agama tidak tergadai hanya kerana “minat”.
Jika seseorang itu minat hingga menggadaikan waktu solat dan cintanya lebih kepada artis tersebut, maka ia boleh jatuh ke dalam syirik dan perkara ini adalah haram
Rujukan
Ab. Latif Muda & Rosmawati Ali. (2015). Perbahasan Akidah Islam. Pustaka Salam.