Artikel ini akan membincangkan hukum membayar zakat pendapatan. Sebelum itu, kita akan pelajari terlebih dahulu apa itu zakat pendapatan. Dan juga, kita akan belajar cara-cara untuk mengira berapakah jumlah yang patut dibayar. Akhir sekali, artikel ini akan menyimpulkan dengan hukum membayar zakat pendapatan.
Apa itu zakat pendapatan?
Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 254:
Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.
Ayat ini merupakan perintah daripada Allah bagi orang Islam mengeluarkan zakat. Perintah ini jelas. Namun, ia masih umum. Tidak diketahui lagi berapakah yang patut dikeluarkan dan harta apa yang wajib dibelanjakan.
Namun, perintahnya jelas. Ia wajib dikeluarkan. Nah, apakah itu zakat pendapatan?
Secara mudahnya, zakat pendapatan ialah zakat yang dikeluarkan daripada pendapatan seseorang daripada gaji, elaun, honorium, upah dan seangkatan dengannya. Zakat pendapatan ada disebut dalam al-Quran, iaitu ayat 267 Surah al-Baqarah:
Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
Ayat ini memperjelaskan hasil daripada pekerjaan seseorang yang beriman itu wajib dizakatkan.
Sebenarnya, istilah zakat pendapatan ini baru sahaja dibincangkan. Ia merupakan hasil ijtihad ulama kontemporari dan masih lagi dibincangkan.
Dr. Yusuf al-Qaradawi membincangkan zakat pendapatan dalam bukunya Fiqh Zakat dengan terperinci.
Beliau berkata, konsep zakat pendapatan ini selaras dengan keadilan dan kesaksamaan dalam agama Islam. Dahulu, pendapatan diukur dengan penternakan dan sebagainya, maka logiklah hari ini ia diukur pula dengan gaji.
Bagaimana hendak mengira zakat pendapatan?
Kita perlu belajar cara-cara mengira zakat pendapatan kerana zakat yang wajib dibelanjakan itu selaras dengan pendapatan kita. Tidak semua sama.
Zakat yang perlu dibayar adalah 2.5% daripada pendapatan kasar setahun.
Contohnya:
Pendapatan kasar setahun = RM24,000
2.5% daripada RM24,000 = RM600
Setahun, jumlah yang perlu dibayar adalah RM600.
Dibahagikan dengan 12 bulan, setiap bulan, jumlah yang perlu dibayar adalah RM50.
Namun, ini hanyalah secara kasarnya sahaja. Sekiranya kita mempunyai tanggungan, kita perlu langsaikan itu dahulu, jumlah yang berbaki itu barulah diambil 2.5% daripadanya.
Contohnya:
Gaji = RM50,000
Tanggungan:
Isteri = RM5,000
Anak-anak = RM10,000
Baki gaji = RM35,000
2.5% daripada baki gaji = RM875
RM875 zakat pendapatan bagi setahun
RM875 dibahagikan dengan 12 bulan = RM73
Apakah hukum zakat pendapatan?
Hukum zakat pendapatan adalah wajib. Dalilnya ialah ayat al-Quran Surah al-Baqarah ayat 267 seperti yang tertera di awal artikel. Dan juga, terdapat satu hadis yang mewajibkan perkara berkenaan. Hadis itu adalah seperti berikut:
“Setiap orang Islam diwajibkan zakat.” Mereka berkata kepada Rasulullah, “Wahai Nabi Allah, kalau kami tidak memiliki harta, bagaimana?” Jawab baginda, “Berusahalah kamu dengan sepenuh tenaga bagi menyara diri kemudian bayarlah zakat.” Mereka berkata lagi, “usaha kami tidak berhasil?” Jawab baginda, “Berilah pertolongan kepada orang yang berhajat.” Mereka berkata lagi, “Kalau kami tidak berupaya?” Sabda baginda, “Bergiatlah dalam perkara ma’ruf mencegah terjadinya keburukan. Sesungguhnya pekerjaan itu bagi kamu adalah sadaqah (zakat).”
Jelaslah bahawa zakat pendapatan adalah wajib.
Kepada siapa zakat itu patut diberikan?
Zakat pendapatan ini wajib diberikan kepada siapa-siapa daripada 8 golongan berikut:
1. Fakir
Ini merupakan golongan yang tidak mampu memenuhi keperluan hariannya.
2. Miskin
Ini pula adalah golongan yang hanya mampu memenuhi sebahagian daripada keperluan asasinya sahaja.
3. Amil
Orang yang menguruskan zakat dan mengagihkannya.
4. Mualaf
Orang yang memeluk agama Islam.
5. al-Riqab
Golongan yang terlibat dengan masalah sosial dan akidah seperti penagih dadah, membuang anak dan sebagainya.
6. al-Gharimin
Orang yang berhutang.
7. Fisabilillah
Orang yang berjihad di jalan Allah.
8. Ibnu Sabil
Orang yang bermusafir dan memerlukan seperti pelajar di luar negara dan sebagainya.
Kesimpulan
Hukum zakat pendapatan adalah wajib. Ia wajib dikeluarkan mengikut pendapatan kasar tolak tanggungan setahun sebanyak 2.5%.
Rujukan
- Zakat Pendapatan di Malaysia. Sati Kajian Awal Tentang Perbadangian Praktis – Research Gate
- Zakat Pendapatan – Real Management Services