Artikel ini akan membincangkan hukum hisap vape ketika puasa. Adakah menghisap membatalkan puasa? Kita akan sama-sama mendapat jawapan dalam artikel ini.
Apa itu Vape?
Vape atau rokok elektronik merupakan alternatif rokok biasa tanpa membakar tembakau. Ia merupakan penghantar nikotin secara elektronik.
Dikatakan vape ini merupakan kaedah untuk penghisap rokok berhenti merokok. Maka, vape boleh mengurangkan ketagihan merokok dan akhirnya berhenti merokok secara total.
Terdapat tiga komponen utama vape iaitu bateri, elemen pemanas dan tabung berisi cecair (cartridge). Dalam tabung itu pula boleh diisi nikotin, perisa, gliserin dan sebagainya.
Perisa inilah yang kita selalu lihat para penghisap vape panggil sebagai flavour.
Tabung tersebut akan dipanaskan sehingga ia menghasilkan wap yang berbentuk asap. Wap itu yang dihembus oleh penghisap vape.
Bahaya vape
Vape juga boleh membuatkan penghisapnya ketagih sepertimana rokok biasa. Itu bukan sahaja, bahan-bahan dalam vape pun ada yang sama seperti rokok biasa.
Jadi, dari sudut “bahaya”, tidak boleh dikatakan vape itu kurang bahaya berbanding rokok. Sebab, dalam isu ini, kedua-duanya boleh mengakibatkan kanser dan sebagainya.
Sudah-sudahlah mencari alasan untuk terus menghisap vape seperti melatih diri berhenti merokok dan sebagainya. Sekiranya mahu berhenti, berhenti sahaja. Tidak perlu 1001 alasan untuk “memperlahankan” proses berhenti itu.
Kalau sudah nekad berhenti, maka akan berhenti jua tanpa memerlukan vape dan sebagainya.
Sekiranya susah atau tergelincir pada dosa lama, itu tidak mengapa, asalkan setiap kali hendak berubah itu kita benar-benar ikhlas.
Dalam satu hadis qudsi, Allah berfirman:
Wahai anak Adam! Setiap kali engkau memohon dan mengharap kepada-Ku, Aku tetap mengampunimu atas segala dosa yang engkau lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Andai kata dosa-dosamu sampai setinggi langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampuni. Wahai anak Adam! Andai kata engkau datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi, kemudian engkau menemui-Ku, sedang engkau tiada menyekutukan Aku dengan sesuatu pun, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi pula. (Riwayat at-Tirmidzi)
Apabila kita banyak melakukan dosa, maka kita perlu banyak memohon ampun dan bertaubat juga. Jangan menggantikan dosa dengan dosa yang lain.
Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan, menghisap vape adalah haram atas banyak alasan. Bukan fatwa kebangsaan saja, ulama-ulama di seluruh dunia juga berpandangan sedemikian seperti Sheikh Muhammad Soleh al-Munajjid, Sheikh Uthman al-Khamis dan sebagainya.
Tidak rugi berusaha meninggalkan perkara yang haram. Ia sebahagian daripada jihad juga.
Allah berfirman dalam Surah al-Ankabut ayat 69:
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Memasukkan sesuatu ke dalam rongga
Memasukkan sesuatu ke dalam rongga adalah perkara yang membatalkan puasa. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga itu bagaimana?
Ia adalah sesuatu yang masuk itu mesti sampai ke perut. Kalau kita mengorek hidung, itu tidak membatalkan puasa kerana jari yang dimasuk itu tidak sampai ke perut. Hanya sekadar di keliling hidung sahaja.
Jadi, kalau menghisap vape, apa yang masuk ke dalam perut itu?
Hukum Hisap vape ketika puasa
Hisap vape dapat membatalkan puasa. Sebab apa? Sebab, apa yang dihisap oleh seseorang itu adalah asap ke dalam badannya. Asap itu pula masuk ke dalam badan dan sebati dengan badan. Jadi, wajarlah dikatakan menghisap vape ini sama seperti minum.
Dalam bahasa Arab pun, menghisap vape ini dipanggil syurbud dukhan atau meminum/menghisap asap.
Dalam Fiqh Manhaji dikatakan:
Sampainya suatu ain ke jauh (rongga) daripada saluran yang terbuka. Ain itu adalah suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Jauf pula ialah bahagian otak atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan.
Kesimpulan
Hisap vape ketika berpuasa dapat membatalkan puasa. Hal ini kerana asap yang dihisap itu sebati dengan badan.
Rujukan
- Can You Smoke Vape During Ramadhan – Birminghammail.co.uk
- What is Vaping – Webmd