Skip to content

Hukum Menderma Darah Ketika Puasa. Boleh atau tidak?

hukum menderma darah ketika puasa

Artikel ini akan membahaskan hukum menderma darah ketika puasa. Adakah menderma darah membatalkan puasa? Mari kita sama-sama belajar. 

Derma darah

Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya 5% daripada populasi negara yang menjadi penderma darah. Hakikatnya, belum capai lagi angka tersebut. Namun, setiap tahun menunjukkan ada peningkatan. Sekarang, penderma darah ada dalam 2.2% bersamaan dengan 660,000 orang. 

Pentingkah derma darah? 

Kebanyakan rawatan seperti pembedahan jantung, pemindahan organ, talasemia, anemia dan sebagainya memerlukan pemindahan darah. Jadi, ia bergantung kepada darah yang disumbang daripada orang lain. 

Dengan derma orang ramai, ia memudahkan kelancaran sesuatu pembedahan rawatan. 

Menurut Homage, dengan menderma darah sekali dapat menyelamatkan tiga nyawa. Untuk diri sendiri pula, ia menyenaraikan beberapa manfaat menderma darah:

  1. Mengurangkan tekanan pada mental. 
  2. Menstabilkan emosi. 
  3. Sihat tubuh badan. 
  4. Meningkatkan kesedaran sosial. 

Penderma darah akan menjadi lebih empati terhadap keadaan orang lain. Manusia merupakan makhluk sosial, maka kita memerlukan orang lain baik secara langsung mahupun tidak langsung. 

Seorang yang jahil memerlukan guru untuk menuntut ilmu. Seorang guru memerlukan doktor apabila dia jatuh sakit. Seorang doktor memerlukan kaunselor bilamana ada masalah peribadi. Seorang kaunselor memerlukan tukang masak untuk mengisi perutnya yang lapar. Seorang tukang masak memerlukan kontraktor untuk membina restorannya.

Senarai ini terus bersambung. 

Dengan kesedaran ini, manusia patut menderma darah sekiranya mampu. Mungkin, apabila kita jatuh sakit nanti akan ada orang lain pula yang membantu. Insya-Allah. 

Walaupun kita digalakkan untuk menderma darah, namun bukan semua orang mampu. Kenapa pula? 

Sebab, keadaan badan kita juga perlu dipertimbangkan. Sekiranya kita sendiri mempunyai penyakit kronik, maka kita tidak boleh menderma darah kita. Selain itu, kalau berat badan kita tidak melebihi tahap yang ditetapkan, pun kita tidak boleh menderma. 

Laman Web Rasmi Hospital Banting menyenaraikan ciri-ciri orang yang boleh menderma darah dengan tersusun. 

Ciri-ciri orang yang boleh menderma darah

  1. Hendaklah sihat tubuh badan. Orang yang ada penyakit tidak boleh menderma darah. Hal ini kerana ia akan memudaratkan si penderma itu sendiri. 
  2. Berat badan mestilah 45kg dan ke atas. Sebab, berat badan kita menunjukkan isipadu darah di dalam badan. Jadi, kalau hendak menderma, isipadunya mesti tinggi dahulu. Darah yang diambil daripada penderma adalah sebayak 450ml. Bagi penderma yang berat badannya bawah 45kg, ia akan membahayakannya. 
  3. Sudah tidur minimum 5 jam. Kekurangan tidur akan menyebabkan tekanan darah tinggi. 
  4. Sudah makan sebelum menderma. 
  5. Tidak mengamalkan gaya hidup tidak sihat (berisiko tinggi) seperti homoseksual, bertukar-tukar pasangan seks, ambil dadah dan sebagainya. 
  6. Kali terakhir menderma darah mestilah 3 bulan sebelum. 
  7. Wanita yang hendak menderma darah wajarlah tidak mengandung, tidak menyusukan anak dan tidak haid 

Jadi, bukan semua orang boleh menderma darah, Kita perlu semak keadaan badan kita juga. Tanpa menghiraukan kesihatan badan lalu terus menderma darah, takut-takut nanti akan memudaratkan penderma itu sendiri. 

Untuk mengelak daripada hal itu berlaku, pastikan kita layak, ya! 

Hukum Menderma Darah Ketika Puasa

Ulama berbeza pandangan dalam hal ini. 

Ulama yang berpandangan menderma darah ketika puasa dapat membatalkan puasa adalah kerana mereka mengqiaskan derma darah dengan berbekam. 

Terdapat satu hadis yang menyatakan hal demikian. Rasulullah bersabda:

Terbatal (puasa) orang yang membekam dan yang di bekam. (Riwayat Abu Daud)

Ini merupakan pandangan Imam Ahmad, Ibnu Taimiyah dan sebagainya. 

Golongan yang mengharuskan perkara ini pula adalah dengan bersandarkan hadis berbekam juga. Rasulullah bersabda: 

Nabi SAW memberikan rukhsah bagi orang yang berpuasa untuk berbekam. (Riwayat an-Nasaie)

Golongan pertama merujuk hadis bekam. Golongan kedua juga berbuat begitu. Jadi, mana satu yang betul bilamana ada dua hadis yang bercanggah?

Imam Syafie pernah menjawab persoalan ini. Kata beliau, hadis pertama tadi itu telah dimansuhkan. Hadis itu juga wujud adalah kerana khuatir dengan keadaan orang yang mengeluarkan darah ketika berpuasa kerana ia boleh melemahkan badan dan sebagainya. 

Sebab itu, ketika hendak menderma darah, jururawat/doktor yang bertanggungjawab itu wajib memastikan penderma sihat tubuh badan dan benar-benar mampu. Hal ini adalah supaya mengelak daripada sebarang kemudaratan pada badan. 

Kesimpulan 

Merujuk Fatwa Wilayah Persekutuan (2016), menderma darah ketika berpuasa adalah harus. Syarat-syaratnya ialah: 

  1. Lewatkan sahur. 
  2. Makan dengan cukup ketika sahur. 
  3. Menderma darah 4 jam selepas bersahur. 
  4. Mempunyai pengalaman menderma darah dan mendapati tiada masalah dihadapi oleh badan. 

Rujukan 

  1. Bolehkah Kita Menderma Darah Ketika Berpuasa – MKN
  2. Menderma Darah Ketika Puasa – Maktabah Al Bakri
  3. Derma Darah – MyHealth.gov
  4. Kriteria Penderma Darah – Keistimewaan Penderma Darah Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × four =