Apakah hukum berhutang? Artikel ini akan membincangkan hukum berhutang pada pandangan Islam.
Pengenalan
Adakah kita perasan ada satu ayat dalam Surah al-Baqarah yang merangkumi satu muka surat penuh berkenaan dengan berhutang? Cuba buka al-Quran muka surat 48. Surah al-Baqarah ayat 282. Saya ingin memetik ayat tersebut pada awal-awalnya sahaja iaitu:
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang (yang diberi tempoh) hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.”
Apa itu hutang?
Hutang ialah wang yang kita pinjam daripada seseorang buat sekian waktu. Contohnya, pinjam RM50, janji nak bayar balik minggu hadapan. Maka, minggu hadapan itu wajiblah bayar balik duit RM50 itu.
Dalam ayat tadi, Allah menggalakkan kepada kita untuk menulis supaya kita dapat menjaga hak kita masing-masing, sama ada yang berhutang ataupun yang memberi hutang. Islam amat menjaga hak manusia. Sampaikan berhutang pun digalakkan untuk dituliskan supaya tidak terlupa, telus, berdisiplin dan sentiasa beringat. Kalau kita sekadar berhutang dengan jaminan lisan, maka mudah hal itu dilupakan. Kita ini manusia. Kena tulis barulah ingat.
Islam tidaklah menyempitkan kehidupan kita sampaikan berhutang pun tidak boleh. Kita pun kalau boleh tidak mahu berhutang. Tetapi, untuk memenuhi keperluan asas semasa, kenalah berhutang juga. Mungkin gaji masuk lambat dan sebagainya. Kita pula betul-betul hendak memenuhi suatu keperluan dalam satu masa, maka hutang merupakan satu-satunya pilihan yang tersedia.
Ada pula orang yang berhutang untuk bermewah-mewah. Bukan untuk keperluan asasnya. Tetapi, untuk kehendak nafsunya. Untuk memiliki itu dan ini. Untuk menikmati itu dan menikmati ini. Ini berbalik kepada logik kita. Apakah itu bagus atau tidak? Tanya pada diri.
Islam mengajarkan etika ketika hendak berhutang. Sama juga dengan perkara-perkara lain secara umumnya. Islam tak halang berjual beli, tetapi adalah etikanya. Islam tidak melarang politik, tetapi ada etikanya. Semua Islam sediakan etika. Kerja kita manusia adalah untuk mengamalkan kod etika yang Islam sediakan supaya kita mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sekiranya kita tidak mengikut syariat Tuhan, maka mungkin kita akan mendapat nikmat di dunia, tetapi di akhirat sana wajiblah kita menjawab di hadapan Tuhan.
Falsafah hutang
Islam menggalakkan kita membantu sesama kita dalam hal kebaikan. Memberi hutang adalah salah satu cara untuk membantu orang lain yang dalam kesusahan di samping kita tidak mengurangkan hak kita secara peribadi. Kerana, nilainya sama. Kita bagi RM50, kita dapat balik RM50. Bezanya hanya pada masa sahaja. Kali ini orang itu sedang susah, kita bantu. Lain kali, kita dapatlah kembali duit itu.
Ini juga mengajar kita untuk amanah dan bijaksana dalam menguruskan kewangan peribadi. Niat nak berhutang itu apa? Nak memenuhi keperluan? Sekiranya begitu, itulah yang kita lakukan.
Apakah berhutang itu merupakan pilihan terakhir? Sudah tidak ada alternatif lain lagi untuk dapatkan wang? Maka buatlah. Kesannya nanti, akan berbalik kepada kita juga. Kalau kita berhutang untuk tujuan lain, kita yang jenuh nak bayar balik. Kita yang tidak ada ketenangan hidup kalau menipu orang lain. Apa yang buat dan niatkan, maka terimalah kesannya.
Hukum berhutang
Ada beberapa hukum hutang. Ia terikat dengan situasi.
Haram: Sekiranya kita berhutang untuk tujuan buat hal-hal yang haram. Selain itu, berhutang dengan riba. Apa itu riba? Riba itu ialah penetapan bunga atau caj tambahan pada hutang sekiranya dibayar kembali. Contohnya, kita berhutang RM50, kita disyaratkan untuk bayar kembali RM55. RM5 lebih itu riba.
Ingat, riba ini adalah penetapan. Kalau ia bukan penetapan, itu bukanlah riba. Contohnya, kita pinjam adik kita RM50. Bila nak bayar balik, kita sengaja nak nak bayar lebih kepada adik RM60. Itu bukanlah riba. Sebab, adik tidak tetapkan tambahan itu. Itu kita yang letakkan sendiri tanda terima kasih. Riba terjadi bila ada penetapan awal-awal. Syarat itu dikemukakan awal-awal. Bila kita setuju, maknanya kita sudah bersekongkol dengan riba. Itu haram hukumnya.
Makruh: Bila kita berhutang untuk hal-hal yang bukan keperluan dan tidak berfaedah. Selain itu pula, kita tidak yakin yang kita boleh bayar balik hutang itu. Kalau nak berhutang, kita kena ada jaminan yang kita akan bayar balik. Sekiranya tidak, makruh hukumnya berhutang.
Wajib: Sekiranya memang berhutang sahajalah satu-satunya pilihan untuk memenuhi keperluan asas.
Apa terjadi kalau belum bayar hutang, tetapi mati?
Waris hendaklah melangsaikan hutangnya. Dalam satu hadis riwayat at-Tabrani, Rasulullah tidak menyelesaikan solat jenazah bagi seseorang yang tidak melangsaikan hutangnya. Orang itu rohnya tidak diangkat ke langit. Bila ditanya berkenaan hal itu, Rasulullah menjawab, “Lalu apa manfaatnya bagi kalian jika aku mensolatkan orang yang rohnya pun tidak naik ke langit? Jika ada orang yang menjamin hutangnya, aku akan mengerjakan solat untuknya kerana sesungguhnya solatku akan bermanfaat baginya.”
Kelebihan memberi hutang
Rasulullah bersabda:
“Sesiapa yang memudahkan orang yang berada dalam kesukaran, Allah akan memudahkan ke atasnya urusan dunia dan akhirat.” (Riwayat Ibnu Majah)
Apabila kita membantu orang lain dalam kesusahan, ingatlah Allah akan permudahkan kita kelaknya. Maka, bantu-bantulah orang yang memerlukan.
Kesimpulan
Hukum berhutang ada tiga: Haram, makruh dan wajib. Haram sekiranya ia bersangkutan dengan yang harm. Makruh sekiranya ia suka-suka dan tiada jaminan bayar balik. Wajib sekiranya itulah satu-satunya pilihan yang ada untuk memenuhi keperluan diri.
Rujukan
- Buku Kewajipan Membayar Hutang- MuamalaY
- Hukum Serta Tanggungjawab Penghutang-Pemiutang dari Perspektif Islam- today.salamweb
- Roh Tergantung Jika Hutang Tidak Dibayar- Sinar Harian