Mutahir ini, masyarakat kembali dihidangkan dengan pelbagai isu khilaf yang telah sekalian lama diperbahaskan oleh para ulama’ klasik dan kontemporari. Realitinya, khilaf dalam kalangan ulama’ adalah berbeza dengan khilaf dalam kalangan marhaen. Ini kerana, khilaf dalam kalangan ulama’ memberi impak kepada perkembangan ilmu dan peradaban manakala khilaf dalam kalangan marhaen pula menjurus ke lembah persengketaan dan kehancuran.
Apa itu khilaf?
Secara umumnya, khilaf merujuk kepada ketidaksepatakan atau tidak sependapat antara satu pihak dengan pihak yang lain. Dalam konteks masyarakat pada hari ini, khilaf yang berlaku adalah melibatkan perbezaan pandangan atau kepercayaan mengenai sesuatu kebenaran yang diyakininya lalu ia menafikan pandangan atau kepercayaan pihak lain. Akibatnya, ia telah menimbulkan suasana yang tidak harmoni dalam kalangan marhaen walhal seharusnya ia menjadi suatu ruang percambahan intelektual sebagaimana yang ditunjukkan oleh para ulama’.
Adakah khilaf itu dibenarkan?
Ajaran Islam sangat menitik beratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat umumnya dan umat Islam khususnya. Ia sebagaimana firman Allah SWT :
وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ
Maksudnya : “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai”. (Surah al-Imran, 103)
Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat ini menyatakan bahawa larangan berpecah belah tersebut merujuk kepada sesuatu tindakan yang berteraskan hawa nafsu dan mengikut kehendak sendiri. Justeru, bagi menjawab soalan sama ada khilaf ini dibenarkan atau tidak, ada baiknya untuk kita meneliti dan memahami beberapa situasi dan fakta berikut :
- Khilaf adalah fitrah yang berlaku dalam kalangan manusia. Jika ia mustahil berlaku, pasti para pesuruh Allah SWT akan meninggalkannya. Justeru, melarang dari melakukan perkara yang mustahil adalah sia-sia.
- Apabila khilaf itu adalah fitrah yang pasti akan berlaku dalam kalangan manusia, maka ia pasti boleh dicegah dan dihindari. Hal ini selari dengan kaedah fekah “keluar dari khilaf adalah lebih utama dan lebih afdhal”. Kaedah fekah ini merupakan satu kaedah yang terkenal serta boleh diterima dan digunapakai oleh mejoriti ulama’ fekah. Walau bagaimanapun, sebahagian ulama’ melatakkan beberapa syarat dalam proses meraikan khilaf antaranya ialah meraikan khilaf yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.
- Apabila khilaf itu dilarang atau bertentangan dengan syariat Islam, maka ianya adalah sesuatu yang tercela. Justeru, perbuatan tersebut adalah dilarang. Barangsiapa yang tetap melakukannya, maka ia wajib dikenakan tindakan dan hukuman.
Dalam konteks ini, khilaf boleh dikategorikan kepada dua iaitu khilaf yang terpuji dan khilaf yang tercela. Khilaf yang terpuji merupakan khilaf yang dibenarkan. Ia merujuk kepada khilaf yang menjurus kepada percambahan ilmu berdasarkan hujah-hujah ilmiah. Khilaf yang tercela pula merupakan khilaf yang dilarang. Ia merujuk kepada khilaf yang boleh menjurus kepada kesesatan, perbalahan dan persengketaan.
Apakah contoh khilaf dalam kalangan ulama’?
Antara contoh khilaf dalam kalangan ulama’ ialah berkaitan menyapu air wuduk di kepala. Asas kepada khilaf ini adalah disebabkan pandangan dari sisi yang berbeza bagi ayat berikut :
وَٱمۡسَحُواْ بِرُءُوسِكُمۡ
Maksudnya : “Dan sapulah kepada kamu (ketika berwuduk)”. (Surah al-Maidah, 6)
Hakikatnya, para ulama’ bersepakat bahawa menyapu bahagian kepala itu adalah satu kewajipan dalam berwuduk. Namun, khilaf yang berlaku dalam kalangan para ulama’ ialah pada nisbah atau kadar sapuan yang memadai pada bahagian kepala tersebut.
Sebahagian berpandangan bahawa berdasarkan zahir ayat tersebut maka wajib menyapu keseluruhan kepala ketika mengambil wuduk. Sebahagian ulama’ yang lain pula berpandangan bahawa memadai dengan menyapu sebahagian kepala sahaja ketika berwuduk.
Justeru, jika sekiranya seseorang ingin keluar daripada khilaf dalam isu ini, maka menyapu keseluruhan kepalanya adalah solusinya. Ini kerana, perbuatan tersebut merupakan perkara yang telah disepakati oleh para ulama’.
Cara untuk berhadapan dengan khilaf
Imam Izzuddin Ibn Abd al-Salam telah menyenaraikan empat panduan dalam mendepani isu khilaf seperti berikut :
- Jika sekiranya khilaf tersebut berlaku antara haram dan harus, maka jalan keluar daripada khilaf adalah dengan meninggalkan perkara tersebut adalah lebih baik.
- Jika sekiranya khilaf yang berlaku tersebut antara wajib dan harus, maka jalan keluar daripada khilaf adalah dengan cara melakukan perbuatan tersebut dan bertegas bahawasanya ianya wajib.
- Jika sekiranya khilaf yang berlaku tersebut antara sunat dan haram, maka jalan keluar daripada khilaf adalah dengan cara meninggalkan perbuatan tersebut adalah lebih baik.
- Jika sekiranya khilaf yang berlaku tersebut antara makruh dan wajib, maka jalan keluar daripada khilaf adalah dengan cara melakukan perbuatan tersebut adalah lebih baik. Ia merupakan salah satu tindakan yang bersifat berhati-hati bagi mengelakkan dari meninggalkan perbuatan wajib tersebut.
Kesimpulan
Sebagai seorang muslim, kita perlu menanggapi khilaf dengan cara yang berhikmah. Hikmah dalam konteks ini merujuk kepada kebijaksanaan dalam menanggapi sesuatu perbezaan pandangan. Sememangnya khilaf dalam kalangan masyarakat ini adalah realiti yang tidak dapat dielakkan. Namun, khilaf yang berlaku tidak wajar menjadi sebab kepada perbalahan, persengketaan dan perpecahan bahkan ia sewajarnya memberi manfaat serta membuka spektrum ilmu dengan lebih luas.