Skip to content

24 Barang Keperluan Dapur yang Perlu Anda Ada

barang keperluan dapur

Apakah barang keperluan dapur yang wajib disediakan? Artikel ini akan membincangkan beberapa jenis barang dapur yang perlu anda sediakan supayaa

Dapur adalah tempat untuk memasak. Terdapat barang kering dan barang basah di dapur. Setiap hari, suri rumah seperti ibu dan isteri akan memikirkan apakah hidangan dan makanan yang perlu disajikan buat keluarga tercinta kerana makanan adalah keperluan utama.

Kita makan untuk hidup; bukan hidup untuk makan. Bagi orang bujang pula, membeli makanan bungkus yang telah siap menjadi pilihan kerana tiada masa untuk memasak apabila balik dari kuliah atau kerja. Jika tak sempat beli makanan, masak mi segera pun dah cukup buat alas perut. Namun, ada juga orang bujang yang rajin memasak.

Apabila ingin membeli stok barang dapur, tidak kira sama ada suri rumah, suami, chef atau orang bujang, sudah semestinya anda akan membuat satu senarai pendek yang ditulis di atas sehelai kertas nota kecil atau pun nota ringkas ditaip di dalam telefon pintar. Kemudian, senarai barang akan diperiksa semula dengan teliti supaya tiada yang tertinggal.

Ada sesetengah orang siap-siap membuat anggaran perbelanjaan supaya tidak lari budget. Barang keperluan dapur biasanya boleh didapati di pasar basah, pasaraya dan kedai runcit. Mari lihat 24 barang keperluan yang wajib ada di dapur anda : 

1. Beras

Nasi putih merupakan makanan rutin harian nombor satu yang paling utama di Malaysia dengan harga yang berpatutan serta mudah didapati. Ada orang tidak boleh hidup tanpa nasi di dalam menu harian. Nasi mengenyangkan dan dapat membekalkan tenaga kerana berkanji dan merupakan sumber karbohidrat yang penting.

Beras perang adalah pilihan yang terbaik untuk yang menjaga kesihatan tubuh badan walaupun rasanya tidak sesedap nasi putih. Beras boleh disimpan di dalam bekas penyimpanan beras. Anda boleh meletakkan beberapa keping cili kering di dalam beras yang disimpan untuk mengelakkan beras dimasuki bubuk.

2. Minyak masak

Kebanyakan minyak masak berasal dari kelapa sawit atau biji bunga matahari yang telah diproses. Sukar untuk menggoreng apa-apa makanan tanpa minyak masak. Biasanya kita takkan campur minyak goreng ikan guna untuk goreng ayam kerana ia akan mengubah rasa ayam dan makanan jadi tak sedap.

Kegunaan maksimum bagi minyak masak yang sama di dalam kuali cuma tiga kali sahaja. Seboleh-bolehnya, elakkan daripada menggunakan minyak yang sama berulang kali sampai warna minyak tu dah hitam dan berbau tengik sebab ia tak bagus untuk kesihatan serta mengundang penyakit merbahaya seperti kanser dalam jangka masa panjang.   

3. Telur ayam

Telur selalunya dijadikan simpanan di dapur. Semua orang sukakan telur sama ada digoreng, direbus dan sebagainya. Selain mudah untuk dimasak dan diolah menjadi pelbagai resepi mengikut kreativiti masing-masing, telur ada kandungan protein yang tinggi. Kalau nak telur tahan lama, simpan di dalam peti sejuk. Contoh pilihan telur yang terbaik untuk diet serta berkhasiat adalah telur omega dan telur ayam kampung walaupun harganya mahal sedikit.

4. Tepung gandum

Tepung gandum wajib ada di dapur kerana banyak kegunaan dan manfaatnya selain karbohidrat dan protein. Selain bancuhan di dalam kek, roti dan biskut serta cucur, tepung gandum biasanya dijadikan basuhan untuk ayam, daging dan lampung (paru-paru) untuk membuang bau hanyir.

5. Kicap dan sos

Jenama kicap pilihan orang ramai selalunya kicap Tamin dan kicap Jalen. Kicap soya adalah perasa makanan yang biasa digunakan dalam masakan atau dimakan bersama dengan nasi jika tiada kuah. Ada kicap masin dan ada juga kicap manis. Kalau sesuatu hidangan tu dah dibubuh kicap, sos tomato dengan sos tiram contohnya seperti mi goreng, dah tak perlu tambah garam. Nanti terlebih masin pula. Kicap juga menyerlahkan warna mi goreng supaya nampak menyelerakan dan mi tidak berwarna pucat. Kalau sos cili tu, sedap cicah dan makan dengan keropok ikan.

6. Ikan bilis

Makanan kering seperti ikan bilis boleh disimpan berbulan-bulan kerana tahan lama. Ikan bilis sedap digoreng dan dimakan bersama nasi lemak atau pun dimasukkan ke dalam masakan lain seperti lontong dan pucuk paku masak lemak. Kepala ikan merupakan salah satu faktor penyakit pelupa. Ikan bilis yang telah dibelah dua dan dibuang kepala adalah lebih baik untuk dimakan kerana kebersihannya lebih terjamin.

7. Cili kering

Bagi yang gemarkan pedas, cili kering sentiasa tersedia di dapur. Cili kering perlu direndam di dalam air panas supaya lembut dan mudah untuk dikisar. Pengisar perlu diisi dengan sedikit air supaya tidak merosakkan mata pengisar atau membuatkan cili tersekat.

Cili kering yang telah dihancurkan dengan mesin pengisar atau ditumbuk halus mempunyai banyak nama panggilan lain seperti cili boh, cili giling dan cili kisar. Cili yang telah siap dikisar bersama dengan bawang boleh disimpan di dalam tempat pembeku peti sejuk supaya tahan lebih lama dan mudah digunakan untuk masakan seterusnya.

8. Bawang

Bawang biasa digunakan untuk tujuan menumis atau dimakan mentah. Ada bawang merah, bawang besar dan bawang putih. Bawang dapat mengurangkan kepedasan apabila dicampur dengan cili dan boleh menaikkan bau makanan. Kulit bawang juga digunakan di dalam sesetengah masakan.

Setiap kali kita potong bawang, mesti mata rasa pedih dan hidung berair. Ini kerana bawang merembeskan sejenis enzim sebagai mekanisma pertahanan diri. Bawang dikatakan dapat mencegah kanser serta anti-bakteria. Sebab tulah bila kita makan sate, kita kena makan bawang dan timun untuk meneutralkan karbon yang kita telah makan serta mengawal pembentukan sel kanser.

Pastikan bawang yang dipotong disimpan di dalam bekas tertutup. Jika bawang yang telah dipotong didedahkan di dalam peti sejuk, ia akan menyedut segala toksik. Kalau makan juga bawang tu, anda terdedah dengan keracunan makanan.

9. Ubi kentang

Ubi kentang boleh dijadikan pengganti nasi dan dimasukkan ke dalam masakan. Kentang bukan sahaja sedap malah mempunyai karbohidrat dan serat serta mengenyangkan, contohnya shepherd pie dan kentang lenyek (mashed potato).

10. Halia

Halia sangat berguna sebagai alternatif untuk mengatasi angin badan serta memberikan perisa yang enak terhadap makanan. Jika kembung perut, cuba minum jus halia untuk membantu membuang angin berlebihan di dalam badan. Halia biasa dimasukkan di dalam nasi lemak dan bubur nasi.

11. Kunyit

Kunyit dan serbuk kunyit digunakan secara meluas dalam banyak masakan berkuah contohnya ayam masak lemak. Warna masakan akan berwarna kekuningan. Ikan dan ayam biasanya dilumur rata dengan serbuk kunyit beserta garam sebelum digoreng untuk memberikan rasa yang sedap.

12. Belacan

Masyarakat Melayu sangat sinonim dengan belacan. Udang geragau dan garam adalah bahan utama yang digunakan dalam pembuatan belacan. Belacan terdapat dalam bentuk segi empat dan bulat. Antara contoh makanan yang menggunakan belacan adalah sambal belacan.

13. Limau nipis dan asam jawa

Limau nipis dan asam jawa selalu digunakan untuk menghilangkan bau hanyir ikan. Ayam dan daging yang diperap dengan limau nipis boleh menjadi lembut dan rasanya lebih “juicy”. Bahkan, limau nipis boleh dijadikan air minuman yang segar atau buahnya yang dipotong separuh ditonyoh pada kulit ketika mandi untuk menghilangkan bau badan. Badan juga akan berasa lebih segar. Air asam jawa penyejuk badan dan dapat menurunkan suhu badan jika anda demam serta membantu mengurangkan rasa dahaga.

14. Barangan sejuk beku (frozen)

Setiap peti sejuk pasti menyimpan ayam kerana sesetengah orang tidak makan ikan dan ayam boleh dimasak dalam pelbagai cara. Ayam, ikan, daging, nuget, sosej, keju, daging burger dan makanan laut (udang, ketam dan sotong) merupakan antara makanan yang disimpan di peti sejuk beku.

15. Buah-buahan dan sayur-sayuran

Buah-buahan dan sayur-sayuran sangat penting kerana mengandungi banyak serat, mineral dan vitamin. Pisang kaya dengan kalium. Amalkan makan pisang setiap pagi kerana pisang membantu dalam proses pelawasan (mengatasi masalah sembelit) serta dapat membekalkan tenaga.

16. Gas memasak

Walaupun ada jenis dapur yang menggunakan elektrik, gas memasak wajib ada. Tak berasaplah dapur kalau takde gas. Jenama gas memasak yang terkenal adalah Petronas dan Shell.

17. Gula dan garam

Gula dan garam ni bahan paling wajib yang sangat penting di dapur sebagai penambah dan penyedap rasa. Gula yang manis adalah pembekal tenaga yang dimasukkan ke dalam masakan dan air bancuhan seperti teh dan kopi. Teh dan kopi rasanya kelat tanpa gula. Garam yang masin dapat membantu sistem penghadaman.

18. Rempah-ratus dan santan

Masakan Melayu, Cina dan India di Malaysia banyak menggunakan bahan seperti santan dan pelbagai rempah-ratus. Kulit kayu manis, lada hitam, bunga lawang, buah keras, buah pelaga dan serbuk kari merupakan contoh rempah-ratus yang biasa ada di dapur. Beberapa jenis masakan contohnya yang berasaskan kari ayam, kari ikan dan kari daging memerlukan perencah yang mencukupi supaya rasanya lebih lazat. 

19. Marjerin

Marjerin seperti planta bukan sahaja disapu dan enak dimakan dengan roti, malah boleh digunakan untuk membuat kek dan muffin. Kalau nak buat nasi goreng menggunakan marjerin pun boleh.

20. Makanan di dalam tin

Sardin (jenama Ayam Brand), sup cendawan di dalam tin (jenama Campbell’s) dan susu pekat manis merupakan makanan yang patut ada ketika di waktu kecemasan. Manalah tahu, mungkin masa tu anda kesempitan wang, jadi makanan di dalam tin adalah penyelamat semasa “darurat”. Yang paling penting, sokong dan belilah barangan buatan Malaysia dan mempunyai logo halal.   

21. Mi segera

Antara jenama paling popular bagi mi segera di Malaysia ialah Maggi, Ibumie dan Mamee. Mi segera ialah mi kering yang tak perlu dimasak. Caranya dengan merendam mi segera ke dalam air panas yang mendidih dan dimakan terus apabila minyak serta perencah digaul bersama macam Maggi Kari. Nak lagi sedap, tambahlah sebiji telur ke, sayur sikit, bawang potong ke dalam mi segera tu. Barulah umphh…

22. Teh / Kopi

Teh hijau antara teh terbaik yang kaya dengan antioksida untuk menguruskan badan dan menenangkan minda. Teh pekat tanpa gula boleh dibancuh untuk mengurangkan cirit-birit. Walaupun kopi mengandungi kafein, ia baik untuk sistem pencernaan.

23. Roti dan biskut 

Roti juga antara sumber karbohidrat yang mengenyangkan seperti sebuku roti Gardenia. Biskut macam biskut Marie, biskut empat segi jenama Hup Seng atau Jacobs tu boleh makan cicah dengan Milo atau pun teh panas.

24. Tisu dapur

Tisu dapur gulung putih yang besar dan tebal berupaya menyerap minyak dan air. Pinggan kaca atau penapis boleh dilapik dengan tisu dapur untuk menapis lebihan minyak dari makanan . Tisu dapur juga boleh dibuat lap sisa minyak yang terdapat di dinding dan tempat memasak kerana penggunaan air akan membuatkan tempat memasak cepat berkarat.

Ambil tahu apa barang keperluan dapur yang perlu ada. Perbelanjaan barang keperluan dapur adalah berbeza bagi setiap individu mengikut isi rumah. Asingkan kehendak dan keperluan. Makanan yang dimasak di rumah lebih jimat dan berkhasiat. Nak masak pun senang bila barang keperluan dapur mencukupi. Jika tak cukup bahan di dalam masakan, rasa hidangan pasti sedikit berbeza. Jangan lupa tengok tarikh luput barang tu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen + nine =