Skip to content

10 Hadis Tentang Sabar yang Anda Perlu Tahu

Hadis Tentang Sabar

Artikel ini akan menceritakan 10 hadis tentang sabar. Setiap hadis yang dibawa itu akan diperjelaskan supaya semua pembaca dapat memahaminya dengan mudah. 

Pengenalan

Sebelum itu, marilah kita fahami terlebih dahulu, apakah itu sabar? 

Secara mudahnya, sabar ialah kerelaan menghadapi kesusahan. Dalam hidup kita, banyak perkara kebaikan yang susah untuk dihadapi. Kadang-kadang, ia dihadapi dengan air mata, dengan pengorbanan dan sebagainya. 

Sebab itulah, ada sabar dalam ketaatan, sabar dalam berhenti berbuat maksiat, dan sabar dalam menghadapi musibah. Semua perkara itu adalah suatu kebaikan untuk ditempuhi. Sesiapa yang menghadapi kesukaran itu dengan tenang tanpa mengeluh, itulah dikatakan sabar. 

Ada orang belum ada rezeki mendapat anak, menunggu rezeki itu adalah suatu perjalanan yang sukar. Itulah sabar. Ada orang belum mendapat pekerjaan yang tetap. Menunggu peluang itu adalah suatu kepayahan. Itulah sabar. 

Sekarang, marilah kita sama-sama mempelajari 10 hadis tentang sabar agar kita terus bermotivasi dan semangat dalam menempuh kehidupan, insya-Allah. 

Hadis 1: Musibah 

 مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُصِيبُهُ أَذًى مِنْ مَرَضٍ فَمَا سِوَاهُ إِلَّا حَطَّ اللَّهُ بِهِ سَيِّئَاتِهِ كَمَا تَحُطُّ الشَّجَرَةُ وَرَقَهَا

Rasulullah bersabda: “Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebenarnya, hadis ini secara tidak langsung menceritakan tentang sabar. Bolehlah difahami bahawa orang yang bersabar itu adalah orang yang bertahan atas semua musibah yang melanda dirinya. 

Disebabkan dia terus bersabar, Allah mengampunkan dosa-dosanya. Pengampunan ini Allah berikan kepada orang yang bersabar apabila ditimpa suatu musibah seperti penyakit dan sebagainya. 

Sebab, orang yang ditimpa musibah secara semula jadinya tidak akan berasa senang dengan perkara itu. 

Hadis 2: Menahan marah 

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ

Rasulullah bersabda: Orang yang kuat itu bukanlah kerana jaguh gusti, tetapi orang kuat ialah orang yang dapat menahan dirinya di kala sedang marah. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila kita berhadapan dengan perkara yang kita tidak suka, maka kita akan berasa hendak marah. Namun, orang yang bersabar adalah orang yang menahan marah. Takut-takut nanti apabila dia marah, akan terkeluar perkataan-perkataan kesat dan sebagainya. 

Sebab itulah, kita harus terus bersabar walaupun hendak marah. Bukan itu sahaja, jadilah seorang yang pemaaf. Cepat memaafkan orang yang buat kita marah. Kesabaran itu pasti diberi pahala oleh Allah. 

Hadis 3: Ujian

عِظَمُ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السُّخْطُ

Rasulullah bersabda: Sesungguhnya besarnya pahala itu sesuai dengan besarnya ujian, dan bahawa Allah, apabila menyayangi atau mencintai suatu kaum, maka Allah akan mengujinya, dan bagi siapa saja reda, maka baginya keredaan daripada Allah, dan barangsiapa yang membenci, maka baginya kebenciaan daripada Allah SWT. (Riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah) 

Untuk menjadi orang Islam yang sejati, “kesejatian” itu wajar diuji. Sekiranya kita dapat bersabar dengan istiqamah, maka betullah sejati. Sekiranya tidak, maka kita tahu kita belum menjadi orang Islam yang benar-benar sejati. 

Kesabaran mempamerkan tahap keislaman seseorang. 

Hadis 4: Ganjaran syurga 

ما لِعَبدِي المُؤمن عِندِي جَزَاء إِذَا قَبَضتُ صَفِيَّه مِنْ أَهلِ الدُّنيَا ثُمَّ احْتَسَبَه إِلاَّ الجنَّة

Rasulullah bersabda: Allah berfirman, “Tidak ada balasan yang sesuai di sisi-Ku bagi hamba-Ku yang beriman, jika aku mencabut nyawa orang yang dicintainya di dunia, kemudian ia rela dan bersabar kecuali syurga.” (Riwayat Bukhari)

Sabar dalam kehilangan seseorang yang kita amat cintai membawa kita ke syurga-Nya. 

Sabar di sini bermaksud menerima takdir kehilangan seseorang itu, bukannya mempersoalkan dan menidakkan takdir.

Hadis 5: Mengharapkan kematian setelah ditimpa ujian

لاَ يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ

Rasulullah bersabda: Janganlah salah seorang di antara kalian mengharapkan mati sebab kesengsaraan yang menimpanya. (Riwayat Nasaie) 

Kita mungkin pernah melihat seseorang yang mahu mati selepas ditimpa ujian tertentu. Hal ini tidak elok. 

Setiap ujian yang menimpa kita, kita mestilah bersabar walau apa pun hati kita mahu. Jangan terlalu ikutkan perasaan ketika ditimpa kesusahan kerana kita akan menjadi kurang waras ketika itu. 

Bersabarlah, dalam sabar itu ada banyak pahala Allah akan beri kepada kita. 

Hadis 6: Syukur dan sabar

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Rasulullah bersabda: Alangkah mengagumkan keadaan orang yang beriman, kerana semua keadaannya (membawa) kebaikan (untuk dirinya), dan ini hanya ada pada seorang mukmin, jika dia mendapatkan kesenangan dia akan bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya, dan jika dia ditimpa kesusahan dia akan bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya. (Riwayat Muslim)

Dua ini adalah reaksi kemuliaan. Apabila kita mengamalkannya, Allah akan memberi kita pahala. 

Apabila kita ditimpa suatu kesenangan atau kebahagiaan, kita bersyukur. Apabila sebaliknya yang berlaku pula, kita bersabar. Itulah lingkaran yang baik dan mulia bagi orang Islam. 

Janganlah apabila kita ditimpa kesenangan, kita lupa bersyukur dan menjadi kufur nikmat pula. 

Hadis 7: Menuntut ilmu 

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Rasulullah bersabda: Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga. (Riwayat Muslim)

Hadis ini menceritakan kesabaran dalam menuntut ilmu. Orang yang sabar dan tahan dalam perjalanan menuntut ilmu, Allah akan memudahkan jalannya masuk syurga. 

Hadis 8: Sifat terpuji 

Rasulullah bersabda: Seseorang itu tidak dikurniakan suatu pemberian yang lebih baik dan luas daripada sabar. (Riwayat Bukhari)

Sifat yang paling baik yang ada pada seseorang ialah sabar. Sifat sabar ini tidak kira siapa-siapa, semua orang wajib bersabar dalam menghadapi semua perkara. 

Hadis 9: Berasa cukup dan terus bersabar

Rasulullah bersabda: Barangsiapa yang berusaha menjaga diri, maka Allah menjaganya, barangsiapa yang berusaha merasa cukup, maka Allah mencukupinya. Barangsiapa yang berusaha bersabar, maka Allah akan menjadikannya boleh bersabar dan tidak ada seorang pun yang dianugerahi sesuatu yang melebihi kesabaran. (Riwayat Bukhari)

Barangsiapa yang bersyukur, akan akan mencukupkannya. Barangsiapa bersabar, Allah akan mengujinya sesuai dengan tahap kesabarannya. 

Hadis 10: Sabar itu separuh daripada iman 

الصَّبْر نصف الْإِيمَان وَالْيَقِين الْإِيمَان كُله

Ibnu Mas’ud berkata: Kesabaran adalah separuh keimanan. Keyakinan adalah keseluruhan keimanan. (Riwayat al-Baihaqi)

Perlu dinyatakan di sini bahawa hadis ini bukan kata-kata daripada Rasulullah, sebaliknya kata sahabat iaitu Abdullah Bin Mas’ud. Ia tetap dipanggil hadis, iaitu hadis mauquf. 

Orang yang beriman itu akan diuji, maka sabarlah dapat memudahkan dia menempuhi ujian itu. 

Keyakinan pula mengukuhkan iman. Disebabkan keyakinanlah kita dapat terus bersabar kerana kita terlalu yakin dengan kemanisan di sebalik ujian, maka kita akan bersabar dengan ujian tersebut. 

Rujukan 

  1. Koleksi Hadis Nabi Tentang Sabar – Themizzone.com
  2. Hadits Tentang Sabar. Sikap Yang Harus Dimiliki Setiap Muslim – Kumparan
  3. 13 Hadits Tentang Sabar – Viva.co.id
  4. 5 Hadits Tentang Sabar yang Perlu Siswa Teladani – Detik.com
  5. Hadits Tentang Sabar dan Keutamaanya – Popbela.com
  6. Hadis dan Ayat Al-Quran Tentang Sabar – Orami.co.id

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

17 + 19 =