Skip to content

Habil dan Qabil

Kisah Habil dan Qabil

Kisah Habil dan Qabil merupakan kisah yang mempunyai pengajaran penting kepada umat manusia. Kisah telah membawa kepada kejadian pembunuhan manusia yang pertama dalam sejarah. Marilah kita sama-sama menelusuri kisah yang penuh pengajaran ini sebagai peringatan dan pelajaran.

Kehidupan Nabi Adam A.S dan Hawa sudah mulai tertib dan harmoni setelah dikeluarkan dari Syurga oleh Allah SWT. Mereka sudah pandai bercucuk tanam, membuat pakaian dan sudah mula bersedia untuk berumah tangga.  Di samping itu, Hawa telahpun bersedia untuk melahirkan anak-anaknya yang akan menjadi benih pertama bagi umat manusia di dunia ini.

Hawa melahirkan dua pasangan kembar. Yang pertama ialah pasangan Qabil dan adik perempuannya yang diberi nama Iqlima, lalu kemudian disusuli dengan pasangan kembar kedua iaitu Habil dan adik perempuannya yang diberi nama Lubuda.

Kehidupan keluarga Nabi Adam AS dan Hawa berjalan sempurna dengan rasa kasih sayang, saling mencintai antara manusia dan saling hormat-menghormati. Masing-masing meletakkan dirinya dalam kedudukan yang wajar, si ayah atau suami bertanggungjawab terhadap isterinya dan putera-puterinya, juga si isteri atau ibu yang bertanggungjawab terhadap suami dan anak-anaknya. Demikianlah pula pergaulan antara keempat-empat adik-beradik yang berada dalam keharmonian, damai dan tenang, saling bantu-membantu, hormat-menghormati dan bekerjasama.

Ketidaksefahaman Habil & Qabil

Pergaduhan antara manusia yang pertama dicatatkan di dalam sejarah Islam tentulah kisah yang paling masyhur yang dibicarakan oleh para ustaz dan agamawan. Walaupun kisahnya di dalam al-Quran tidak menjelaskan nama Habil dan Qabil secara jelas, tetapi kita sudah sedia mengetahui kaitannya dengan anak-anak Nabi Adam A.S.

Demi menjaga kesucian keturunan dan menghindari hubungan kelamin yang bebas antara anak-anak lelaki dan anak-anak perempuannya, Allah SWT memberi ilham dan petunjuk kepada Nabi Adam A.S agar Qabil dijodohkan dengan adik Habil, iaitu Lubuda dan Habil dengan adik Qabil, iaitu Iqlima.

Kegusaran Qabil untuk dikahwinkan dengan Lubuda yang tidak secantik adik perempuannya, Iqlima, maka Qabil mula mempertikaikan keputusan tersebut sehingga Nabi Adam A.S memerintahkan Habil dan Qabil untuk mempersembahkan korban kepada Allah SWT.  Caranya ialah kedua-dua puteranya perlu mempersembahkan korban kepada Allah SWT dengan syarat iaitu barangsiapa antara kedua-dua puteranya itu diterima korbannya, maka dia berhak menentukan pilihan jodohnya.

Maka, kedua-dua orang adik beradik itu, Habil dan Qabil mempersembahkan korban mereka kepada Allah SWT. Qabil telah mempersembahkan gandum dan Habil pula sebagai seorang penternak mempersembahkan kambing.

Peristiwa ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran, Surah al-Maidah, ayat 27:

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ – 5:27

Maksudnya:

 “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27)

Dendam Qabil dan Nasihat Habil

Semasa Nabi Adam A.S tiada di rumah, maka datanglah Qabil menemui Habil di tempat penternakannya. Berkata dia kepada Habil: “Aku datang ke mari untuk membunuhmu. Masanya telah tiba untuk aku lenyapkan engkau dari atas bumi ini.”.

لَئِن بَسَطتَ إِلَيَّ يَدَكَ لِتَقْتُلَنِي مَا أَنَا بِبَاسِطٍ يَدِيَ إِلَيْكَ لِأَقْتُلَكَ ۖ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبَّ الْعَالَمِينَ – 5:28

Maksudnya:

 “Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam.” (Surah al-Maidah, ayat 28)

Lalu Habil pun berkata kepada Qabil, “Adakah berdosa aku bahawa Allah telah menerima korbanku dan menolak korbanmu? Tidakkah engkau telah bersetuju cara penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami laksanakan?”. Kata-katanya itu disambung dengan nasihat yang baik kepada Qabil, “Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nafsu dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak- masak akan akibat perbuatanmu kelak! Ketahuilah bahawa Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni.”

Pembunuhan Pertama Umat Manusia oleh Qabil

Ketidaksabaran Qabil itulah menyebabkan beliau telah bertindak di luar akal fikirannya yang waras. Ini dinyatakan menerusi Surah al-Maidah ayat 29 dan 30:

إِنِّي أُرِيدُ أَن تَبُوءَ بِإِثْمِي وَإِثْمِكَ فَتَكُونَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ ۚ وَذَٰلِكَ جَزَاءُ الظَّالِمِينَ – 5:29

فَطَوَّعَتْ لَهُ نَفْسُهُ قَتْلَ أَخِيهِ فَقَتَلَهُ فَأَصْبَحَ مِنَ الْخَاسِرِينَ – 5:30

Maksudnya:

 “Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim. Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.” (Surah al-Maidah, ayat 29-30)

 Qabil merasa gelisah dan bingung terhadap mayat Habil. Ia tidak tahu apa yang harus dilakukannya terhadap tubuh mayat saudara kandungnya yang semakin lama semakin busuk itu. Qabil mundar-mandir dalam keadaan tidak keruan melihat burung-burung sedang berterbangan hendak memakan jasad Habil.

Lalu, Allah Taala pun mendatangkan seekor burung gagak yang berkelahi dan dilihatnya gagak itu menanamkan gagak yang mati ke dalam tanah. Terfikirlah Qabil untuk meniru apa yang dilakukan oleh gagak itu. Firman Allah SWT:

فَبَعَثَ اللَّهُ غُرَابًا يَبْحَثُ فِي الْأَرْضِ لِيُرِيَهُ كَيْفَ يُوَارِي سَوْءَةَ أَخِيهِ ۚ قَالَ يَا وَيْلَتَا أَعَجَزْتُ أَنْ أَكُونَ مِثْلَ هَٰذَا الْغُرَابِ فَأُوَارِيَ سَوْءَةَ أَخِي ۖ فَأَصْبَحَ مِنَ النَّادِمِينَ – 5:31

Maksudnya:

“Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: “Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?”. Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.” (Surah al-Maidah ayat 31)

Rujukan

  1. Al-Quran
  2. ikimfm: ibrah-melalui-kisah-habil-dan-qabil

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

18 + 10 =