Siapakah golongan-golongan manusia yang akan masuk syurga tanpa hisab? Artikel pada kali ini akan berkongsi tentang 11 golongan yang akan masuk ke dalam syurga tanpa hisab.
Pengenalan
Makna Syurga dari segi istillah bermaksud sebuah tempat yang penuh dengan nikmat dan keindahan yang akan diberikan kepada hamba Allah SWT di atas segala amal baik yang dilakukannya di dunia. Syurga adalah tempat abadi yang di dambakan oleh semua makhlukNya.
Malah bukan umat Islam sahaja yang mempercayai adanya kewujudan syurga tetapi agama-agama lain juga. Namun yang membezakannya adalah tanggapan dan fahaman agama Islam terhadap syurga dan penghuninya tidak sama dengan agama lain.
Hadis Golongan Yang Masuk Syurga
Rasulullah SAW Bersabda:
يَدْخُلُ الجَنَّةَ مِن أُمَّتي سَبْعُونَ ألْفًا بغيرِ حِسابٍ، قالوا: مَن هُمْ يا رَسولَ اللهِ؟ قالَ: هُمُ الَّذِينَ لا يَسْتَرْقُونَ، ولا يَتَطَيَّرُونَ، ولا يَكْتَوُونَ، وعلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
Maksud: “Tujuh puluh ribu dari umatku akan masuk syurga tanpa hisab.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang tidak minta diruqyah (dengan ruqyah yang syirik), tidak mengamalkan tathayur (tilik nasib), tidak menggunakan perbuatan dengan besi (yang dilarang) dan mereka selalu bertawakkal kepada rabbnya.” (Hadis Riwayat Bukhari, No 5752)
Hadis ini menceritakan tentang tiga golongan yang di akhirat nanti akan masuk ke syurga iaitu golongan yang masuk syurga tanpa hisab, golongan yang dimasukkan ke syurga selepas dihisab, dan golongan yang akan masuk ke syurga selepas dikeluarkan dari neraka.
Untuk golongan pertama ini, ada ulama berbahas bahawa akan ada 70 000 umat manusia berjaya memasukinya tanpa hisab. Manakala, ada sebahagian ulama berbahas dengan menyebut jumlahnya seramai 700 000 orang.
Mereka adalah dalam kalangan yang mempunyai tauhid yang kuat terhadap Allah dan sentiasa bertawakkal kepadaNya dengan sepenuh hati Golongan ini diceritakan sebagai orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.
Ibnu Qayyim menyebut – “Sifat utama dari 70 000 orang tersebut terkumpul pada sifat tawakkal. Kerana tawakkal mereka sempurna; iaitu mereka tidak meminta diruqyah, tidak menggunakan perbuatan dengan besi (yang dilarang) dan tidak beranggapan sial.” (Miftah Dar al-Sa’adah, 3/1483)
11 Golongan yang dimasukkan ke dalam Syurga Tanpa Hisab
1. Ahli As-Sabr (Ahli Kesabaran)
As-Sabr atau sabar adalah golongan yang sentisa sabar dalam menjalankan suruhan dan dalam masa yang sama terus taat kepada segala yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Golongan ini sangat benci kepada maksiat dan sentiasa menghindarkan diri dari terjerumus ke dalamnya.
2. Ahli Al-Fadl (Ahli Kemuliaan)
Kemuliaan diberikan kepada golongan yang bersabar dalam menanggung segala kesakitan bila dizalimi dan diperlakukan dengan tidak baik oleh orang lain.
Daripada membiarkan api dendam dan kemarahan membara dalam jiwa mereka, golongan ini mengambil langkah yang sangat mulia dengan memberikan kemaafan atas segala kejahatan yang dilakukan terhadapnya.
3. Berjiran kerana Allah
Dalam Islam, adab dalam berjiran sangat ditekankan. Ini seiring dalam hadis Rasulullah SAW yang berpesan:
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Apa yang golongan ini buat? Mereka akan saling ziarah-menziarahi dalam berkasih sayang kerana Allah. Mereka juga duduk dan bangun bersama-sama dengan saudara mereka kerana Allah.
4. Orang yang meninggal dalam perjalanan ke Mekah, tidak kira pergi atau balik (hadis riwayat Jabir)
Mekah adalah tempat yang sangat mulia di sisi Allah. Di sinilah terletaknya kaabah yang merupakan kiblat seluruh umat Islam di dunia. Destinasi yang penuh dengan sejarah perkembangan Islam dan menjadi dambaan setiap umat Islam untuk menjejakkan kaki di tanah haram ini.
Saat ini dunia sedang berperang dengan era pandemik virus yang mematikan, Covid-19. Ramai yang mengalirkan air mata melihat Mekah sunyi dengan jemaah haji dan umrah yang sedikit tidak seperti tahun-tahun lalu. Sebahagiannya bersyukur kerana sudah selesai menjalankan rukun islam kelima ini, dan sebahagiannya lagi masih lagi tertanya-tanya bila rezeki mereka akan dipanggil ke sana suatu hari nanti.
Semoga Allah SWT menghapuskan virus ini di dunia, lalu memberikan nikmat mengerjakan ibadah haji dan umrah kepada semua umat Islam yang belum pernah ke sana.
5. Golongan yang sentiasa menuntut ilmu yang membawa ke jalan Allah, perempuan yang taat kepada suami dan anak yang berbakti kepada ibu bapa (hadis marfu’ sumber Abu Ayyaub al-ansari)
Ilmu sangat penting dalam kehidupan manusia kerana itu Islam menuntut umatnya agar menuntut ilmu. Dengan ilmu, manusia boleh mengenal Allah SWT. Dengan ilmu juga, manusia boleh menjadi cerdik pandai lalu memakmur dan mententeramkan dunia dengan ilmu pengetahuan yang dimilikinya. Manakala perbuatan taat kepada suami dan berbakti kepada ibu bapa pula adalah tanggungjawab yang dituntut kepada isteri dan anak. Setiap manusia akan merasakan peralihan kehidupan dari bayi sehingga tua. Oleh itu, sudah pastinya setiap orang akan merasakan perkara yang sama. Ibu bapa adalah kunci syurga bagi seorang anak, dan suami adalah kunci syurga bagi si isteri.
6. Individu yang dalam perjalanan hendak menunaikan hajat suadara seislamnya sehingga tertunai hajat tersebut dan menenggal dalam masa tersebut (hadis marfu’ sumber daripada Anas)
Bak kata pepatah, “Rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain.” Perumpamaan ini berkait dengan ciri golongan keenam. Hal ini kerana, di dunia ini sangat mudah jika seseorang ingin memiliki kawan, sahabat atau adik beradik. Tetapi sangat sukar mencari seseorang yang sanggup bermati-matian, dan mengandai nyawa demi menunaikan hajat saudaranya. Jadi sangat wajar mengapa Allah SWT mengangkat darjat hambaNya yang mempunyai sifat kebaikan sebegini rupa.
7. Individu yang mengasuh kanak-kanak sehingga kanak-kanak itu berupaya mengucapkan “lailahaillallah” (hadis sumber daripada A’isyah RA)
Kalimah tauhid “lailahaillallah” bermaksud “tiada tuhan selain Allah.” Maksud dari ayat ini pendek tetapi isi dan istilah yang tersirat disebaliknya membawa sesuatu yang sangat besar dan mendalam. Mereka yang mengucapkannya beerti mereka menyakini bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Esa dan hanya Dia yang berhak disembah. Sesiapa yang membantu orang lain sehingga orang itu mampu mengucapkan “lailahaillallah”, mereka ini akan mendapat pahala jariah yakni pahala yang tidak akan terputus walaupun nanti dia meninggal dunia.
8. Orang Islam lelaki dan perempuan yang meninggal pada malam dan siang hari Jumaat (hadis marfu’ sumber daripada ‘Ata’)
Seminggu mempunyai tujuh hari, dan hari Jumaat merupakan hari mulia atau disebut sebagai penghulu segala hari. Tiada siapa pun yang tahu hari apa mereka akan meninggal dunia. Semua itu adalah rahsia di antara rahsia Allah SWT yang hanya Dia sahaja yang Maha Mengetahui. Antara sebab mengapa Allah SWT merahsiakan tarikh kematian seseorang agar manusia sentiasa bersiap sedia dengan amalannya di dunia. Mereka yang direzekikan meninggal di hari Jumaat ialah mereka yang mendapat kebaikan di saat kematiannya.
9. Hamba Allah yang bersabar dengan ujian bala bencana pada tubuhnya ataupun pada tubuh anaknya (hadis marfu’ riwayat Hakim at-Tirmidzi)
Tiada satu pun manusia di dunia ini tidak ditimpa dengan ujian. Ujian besar atau ujian kecil, semuanya adalah rezeki yang berikan oleh Allah SWT. Sebagai manusia, kita harus bersabar, dan bersyukur dengan pemberianNya. Hal ini kerana, ujian adalah tanda bahawa Allah SWT sayang dan memperdulikan hambaNya.
10. Individu yang menggali perigi di tengah padang dengan penuh keimanan demi mendapatkan ganjaran Allah (Ibn Mas’ud)
Bersusah payah demi manfaat semua, inilah adalah contoh perbuatan yang membolehkan kita mendapat pahala yang besar. Ini kerana perbuatan ini membolehkan pelakunya mendapatkan pahala jariah yang tidak akan pernah putus.
11. Orang yang mati syahid kerana mempertahankan agama Islam
Al-Hakim dan Al-Baihaqi mengeluarkan hadis bersumber daripada Jabir secara marfu’: “Barangsiapa yang lebih kebajikannya atas kejahatannya, maka mereka itulah yang masuk ke syurga tanpa hisab dan barang siapa yang sama kebajikannya dan kejahatannya maka mereka itulah yang dihisabkan dengan hisab yang sedikit, dan barang siapa yang kejahatannya lebih banyak, maka dialah yang diberikan syafaat setelah menerima siksaannya.”
Gologan Syuhada’ adalah insan bertakwa yang dirindukan syurga. Manusia biasa akan rindu untuk masuk ke dalam syurga tetapi golongan ini sebaliknya. Yang mana syurga yang memanggil dan mendambakan kedatangan mereka untuk hadir. Lihatlah wajah-wajah para Syuhada’ yang syahid di Palestin dan Syiria. Walaupun mereka hidup dalam penuh keseksaan dan kezaliman, sehingga meninggal dunia. Tetapi di saat matinya, bibir mereka meninggalkan ukiran senyuman dan wajah yang tenang.
Kesimpulan
Fiitrah seorang manusia, mereka akan lebih bermotivasi untuk melakukan sesuatu jika dijanjikan dengan imbalan baik sama ada upah yang lumayan atau bonus yang besar. Syurga lah motivasi kita semua dalam berbuat kebaikan. Untuk menggapai syurgaNya bukanlah mudah, namun tidak mustahil. Semoga kita semua mendapat Syurga Allah SWT. Diharapkan artikel berkenaan golongan individu yang boleh masuk ke syurga tanpa hisab ini dapat memberikan anda infomasi yang berguna dan sumber motivasi untuk menjadi hambaNya yang soleh.
Rujukan
- Pdt. Samuel T. Gunawan, M.Th. (2013). Biblical Doctrine About Hell.
- Conner, Kevin J, 2004. A Practical Guide to Christian Belief, terjemahan, Penerbit Gandum Mas: Malang.
- Mad (2019). 11 Golongan Yang Masuk Syurga Tanpa Hisab. Sumber: islam itu indah
- Fizah Lee (2020). Maksud Hadis Golonga Yang Memasuki Syurga Tanpa Hisab. Sumber: tzkrh
- Fairuz Noordin (2017). Rasulullah Pembuka Pintu Syurga. Sumber: bharian
- Perbezaan Surga Menurut Lima Agama di Indonesia (2019). Sumber: malang times