Skip to content

Doa Ziarah Kubur dan Adab Ketika Ziarah Kubur

doa ketika ziarah kubur berserta adab-adabnya

Apakah bacaan doa ketika ziarah kubur dan adab-adabnya? Artikel ini akan membincangkan berkenaan bacaan doa ketika ziarah kubur berserta teks arab dan jawi untuk mempermudahkan bacaan doa tersebut.

Allah berfirman di dalam Surah Al-Jumuah ayat 8:

Katakanlah “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti menemui kamu..”

Mengingat kematian ini sangat jarang dilakukan. Lagi-lagi bila kita dah tenggelam dalam kenikmatan dunia, lagilah jarang nak fikir pasal kematian. Tapi, apabila kita memikirkannya, pasti akan timbul perasaan takut dan nak bertaubat kepada Tuhan kerana takut nanti sudah terlambat dan risau bagaimanalah kita nanti di hadapan Allah?

Ramai di antara kita yang benci dengan kematian, bukan sebab kematian itu hakikatnya, tetapi kita yang tidak membuat persiapan nak menghadapi kematian itu. Kebencian begini sangat tercela di sisi Tuhan. Jikalau kematian menjemput kita bila-bila masa, tidakkah kita risau dan takut?

Orang yang cerdik adalah orang yang ingat kepada kematian dan buat persiapan untuk menghadapinya pada bila-bila masa saja kerana nak berjumpa dengan kekasihnya, yakni Allah. Kalau kita ada buat perjanjian dengan kekasih kita, maka mana mungkin kita akan batalkan dan tidak bersiap sedia untuk bertemu, bukan?

Begitulah juga perjanjian kita untuk berjumpa dengan Allah kerana pertemuan itu pasti dan tak boleh nak dielakkan lagi. Pasti akan jumpa. Pasti akan berlaku. Pasti akan mati. Cuma, Allah menguji kita sejauh mana kita beriman dengan Dia, maka Dia rahsiakan bila masanya kita akan mati. Kerahsiaan itu menguji sejauh mana kita percaya dan bersiap sedia setiap masa. Beruntunglah mereka yang bersedia serta-merta. Konsisten.

Dulu, pada suatu hari. Ketika Rasulullah keluar dari masjid dan melihat sekumpulan orang yang berbincang dan bergelak ketawa, maka baginda pun bersabda kepada mereka:

Ingatlah kematian. Demi Allah, seandainya kamu mengetahui apa yang aku ketahui nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Rasulullah nak menggambarkan kepada mereka betapa ngeri dan takutnya hari kematian, adalah dengan ayat di atas, “kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis”. Implikasi risau, takut, ngeri dan lain-lain itu akan membawa kepada banyaknya menangis mengenangkan keadaan kita bila mati nanti. Adakah baik-baik saja? Kita banyak buat dosa, yang orang tahu dan orang lain tak tahu, bagaimana kita akan dihisab dengan dosa-dosa itu semua? Ngeri.

Satu cara yang paling utama untuk ingat mati, adalah dengan menziarahi orang mati. Yakni, kubur. Buraidah pernah berkata:

Rasulullah bersabda, “Dahulu aku pernah melarang kalian untuk menziarahi kubur, maka ziarahilah ia.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain, “Sesiapa yang ingin menziarahi kubur, maka ziarahlah ke sana. Sesungguhnya ia boleh mengingatkan kepada akhirat.” (Hadis riwayat Muslim)

Ketika kita nak menziarahi kubur itu, kita dianjurkan juga mendoakan bagi mereka yang telah mati.

Doa Ketika Ziarah Kubur

1. Beri salam dan doa keselamatan

doa ziarah kubur 1

Maksudnya: Wahai umat Islam yang tinggal di sini, salam ke atasmu, dengan kehendak Allah, kami juga akan datang kepadamu. Kami meminta keselamatan untuk kami dan anda. (Hadis riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

Menurut hadis daripada Muhammad Bin Qais (hadis riwayat Muslim), Baginda Nabi memberi salam ketika pergi melawat kubur. Salam yang paling kurang boleh diucapkan pun adalah assalamualaikum. Pendek begitu, sungguhpun tidak mengapa. Kerana memberi salam kepada penghuni kubur itu hukumnya sunat.

2. Doa Meminta Keampunan

doa ziarah kubur 2

Maksudnya”: Ya Allah, berilah keampunan dan rahmat kepadanya. Berikanlah keselamatan dan berikanlah kemaafan kepadanya. Berikanlah kehormatan baginya, luaskanlah tempat masuknya. Mandikanlah dia dengan air, ais, dan embun. Bersihkanlah dia dari kesalahan sebagaimana Engkau bersihkan baju yang putih dari kotoran.  Gantikanlah untuknya rumah yang lebih baik dari rumahnya, isteri yang lebih baik daripada isterinya. Masukkanlah dia ke dalam syurga, berikanlah perlindungan kepadanya dari azab kubur dan azab neraka. Lapangkanlah baginya dalam kuburnya dan terangilah dia di dalamnya. (Hadis riwayat Muslim)

Mendoakan untuk si mati adalah sunnah. Ia merupakan amalan Rasulullah, para sahabatnya, salafussoleh dan seterusnya. Ia berdalilkan Surah Al-Hasyr ayat 10:

Dan orang-orang yang datang sesudah mereka itu akan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami.

Dan juga Surah Ibrahim ayat 10:

Ya Tuhan kami! Berilah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (Hari Kiamat).

Juga dalam Surah Muhammad ayat 19:

Dan minta ampunlah bagi dosa-dosamu dan bagi orang-orang yang beriman.

Adakah mayat dapat manfaat daripada sedekah?

Dalam satu hadis, Rasulullah bersabda:

Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, Nasaie dan Tirmizi)

Bukan sedekah, semua yang bermanfaat dan diniatkan untuk mayat, akan tetap sampai dan bermanfaat buatnya walaupun dia sudah mati. Ini adalah pandangan Imam Qurtubi, Sheikh Mutawalli Sya’rawi, Sheikh Adawi, Imam Nawawi dan lain-lain.

Adab-adab ketika menziarahi kubur

Terdapat adab-adab yang perlu dilakukan ketika menziarahi kubur. Adab-adab tersebut adalah:

  1. Eloklah untuk kita bersih dahulu. Berwuduk itu lebih afdal ketika nak menziarahi kubur. Pakaian pula harus sopan dan menutup aurat.
  2. Ketika dah sampai di kubur, sunat untuk memberi salam seperti doa di atas.
  3. Bacakan ayat-ayat Al-Quran dan niatkan untuk hadiahkan pahala itu kepada si mati. Ayat-ayat yang afdal dibaca adalah Surah Al-Fatihah, 3 Qul dan Yasin.
  4. Berdoa untuk si mati. Sunat untuk mengadap kiblat dan berdoa. Doa apa saja seikhlas hati boleh dan terpuji. Namun, boleh juga rujuk doa di atas.
  5. Tidak bercakap kosong dan yang tidak berfaedah ketika berada di tanah perkuburan.
  6. Jangan berbuat perkara yang melebih-lebih sampaikan agama pun tidak ajar, seperti minta doa/manfaat daripada orang mati (khurafat), mencium-cium kubur, meratap mayat dan seumpama dengannya.

Bacaan Doa yang lain

Doa Saidatina FatimahDoa Agar Hujan Berhenti
Doa SelamatDoa Selepas Witir
Doa Hari ArafahDoa Dimurahkan Rezeki
Doa Selepas IqamatDoa Bayar Zakat
Doa IftitahDoa Waktu Gelisah
Doa Kepada Orang Meninggal DuniaDoa Mohon Zuriat
Doa Dijauhkan Dari Fitnah DajjalDoa Mohon Keampunan
Doa Awal TahunDoa Akhir Tahun
Doa Selepas TarawihDoa Bulan Rejab
Doa Selepas SolatDoa Nabi Yunus
Doa Nabi SulaimanDoa Nabi Musa
Doa Nabi Ibrahim

Rujukan:

  1. Adab dan larangan ketika menziarahi kubur. (n.d.). Retrieved from Pejabat Mufti Negeri Sarawak
  2. Adab menziarahi tanah perkuburan . (2020). Retrieved from Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam
  3. Cara memberi salam di kubur. (2017). Retrieved from Taski Al Hikmah
  4. Dahri, R. (n.d.). Hukum mendoakan orang mati . Retrieved from Ustaz Rasul Dahri
  5. Duas When visiting the graves. (n.d.). Retrieved from Islamic Finder:
  6. Idrus, U. A. (2018). Salam kepada ahli kubur. Retrieved from Facebook Ustaz Azhar Idrus
  7. Mayat mendapat manfaat sedekah orang hidup . (2018). Retrieved from Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan
  8. Mustinda, L. (2020). Doa Ziarah Kubur Lengkap dengan Artinya. Retrieved from Detiknews
  9. Peraturan menziarahi tanah perkuburan . (n.d.). Retrieved from Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three × four =