Skip to content

Doa Selepas Azan dan Lafaz Azan yang Betul

doa selepas azan dan lafaz azan

Apakah doa selepas dan cara Lafaz Azan yang betul? Artikel akan membincangkan cara lafaz azan yang betul, doa selepas azan, kelebihan muazin dengan bantuan rumi.

Isi Kandungan
  1. Maksud Azan
  2. Cara Lafaz Azan (Bantuan Rumi)
  3. Lafaz Tambahan Ketika Azan Subuh
  4. Cara Azan Ikut Sunnah
  5. Cara Jawab Azan
  6. Doa Selepas Azan dan Kelebihannya
  7. Kelebihan menjadi Muazin

Apa itu Azan?


Azan ini dari sudut bahasa bermaksud memberitahu. Dari sudut syaraknya pula adalah perkataan yang tertentu untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang sudah masuknya waktu solat fardhu. Azan ini untuk solat fardhu sahaja, ya. Jangan pula nanti kita pergi alunkan azan untuk solat dhuha.

Maka, kita nak pelajari pula apakah perkataan tertentu itu? Apa maksud-maksudnya? Bagaimana nak jawab azan? Dan apakah doa yang dianjurkan Rasulullah selepas mendengar azan?

Lafaz Azan (Panduan Rumi)


Ini teks untuk azan:

Bacaan Rumi:

Allahu Akbar, Allahu akbar

Ashadualla ilaha illallah

Ashaduannamuhammadar rasulullah

Haiyya ‘alas solah

Haiyya ‘alal falah

Allahu akbar, Allahu akbar

Laa ilaha illallah

Maksudnya:

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah

Aku naik saksi bawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah

Marilah kita bersolat

Marilah kita menuju kejayaan

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar

Tiada Tuhan Melainkan Allah

Lafaz Tambahan Ketika Azan Subuh


Untuk Solat Subuh khususnya, disunatkan untuk tambah satu lafaz ini selepas haiyya ‘alal falah dan sebelum Allahu Akbar, Allahu Akbar:

Bacaan Rumi: Assolatu khairumminan naum

Maksudnya: Solat itu lebih baik daripada tidur

Cara untuk Azan Mengikut Sunnah


Sunat melakukan azan dengan cara:

  1. Azan dengan suara yang lantang, nyaring dan bermelodi.
  2. Mengadap kiblat
  3. Berdiri kalau mampu.
  4. Tutup telinga dengan jari.
  5. Sebutkan lafaz itu perlahan (sendiri saja dengar) dahulu sebelum melantangkan ia.
  6. Berhenti seketika setiap lafaz untuk bagi orang lain menjawab azan, jangan tergesa-gesa.

Cara Jawab Azan


Disini kami sertakan lafaz jawab azan dalam bacaan bahasa arab dan bacaan rumi.

Lafaz AzanLafaz Jawab Azan
اَللهُ اَكْبَرُ،اَللهُ اَكْبَرُاَللهُ اَكْبَرُ،اَللهُ اَكْبَرُ
 أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلٰهَ إِلَّااللهُ أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلٰهَ إِلَّااللهُ
اَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ
حَيَّ عَلَى الصَّلاَةِلاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ
حَيَّ عَلَى الْفَلاَحِلاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ
اَللهُ اَكْبَرُ ،اَللهُ اَكْبَرُاَللهُ اَكْبَرُ ،اَللهُ اَكْبَرُ
لَا إِلَهَ إِلَّااللهُلَا إِلَهَ إِلَّااللهُ

Ini adalah bacaan rumi:

Lafaz AzanLafaz Jawab Azan
Allahu Akbar, Allahu akbarAllahu Akbar, Allahu akbar
Ashadualla ilaha illallahAshadualla ilaha illallah
Ashaduannamuhammadar rasulullahAshaduannamuhammadar rasulullah
Haiyya ‘alas solahLaa haula wa laa quwwata illaa billaah
Haiyya ‘alal falahLaa haula wa laa quwwata illaa billaah
Allahu akbar, Allahu akbarAllahu akbar, Allahu akbar
Laa ilaha illallahLaa ilaha illallah

Lafaz yang lagi satu dijawab lain adalah lafaz khusus solat Subuh iaitu Assolatu khairum minannaum. Dijawab dengan:

Bacaan Rumi: Shadaqta wa bararta

Maksudnya: “Engkau telah berkata dan telah berbuat baik”

Doa Selepas Azan dan Kelebihannya


Sekarang ini pula, kita nak ketahui apakah doa yang afdhol selepas habis azan dialunkan. Doa itu adalah berikut:

اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ

Maksudnya: Ya Allah, Wahai Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan

Doa ini terdapat dalam satu hadis, dari Jabir Bin Abdillah, riwayat Bukhari. Rasulullah sebutkan yang barangsiapa yang selepas mendengar azan lalu membaca doa di atas, maka luluslah syafaat atau bantuan daripada baginda kepadanya di hari kiamat kelak.

Kelebihan seorang tukang azan (muazzin)


Ini adalah beberapa kelebihan jika menjadi seorang muazin.

1. Diampun dosanya sejauh mana suaranya didengari.

Rasulullah bersabda: “Tangan (keredhaan Allah) yang bersifat Rahman di atas kepala muazzin dan muazzin diberi keampunan sejauh mana suaranya sampai kepada sekelian alam.” (Riwayat At-Tabrani)

Kerana itulah sunnahnya kita memilih tukang azan yang lantang dan kuat suaranya. Hari ini, yang azan di masjid banyaknya dari kalangan orang yang sudah berumur. Sedangkan, ini kita digalakkan untuk memilih mereka yang ada kemahiran melantangkan suara serta menyaringkannya.

Ada dua kriteria, pertama, lantang. Yakni, suaranya kuat, jauh juga dapat didengari suaranya. Kedua, adalah nyaring. Atau mudah kata, high pitch atau tinggi suaranya.

Kelebihan ini, Allah akan berikan keampunan kepada tukang azan sepertimana jauhnya suara dia boleh sampai. Kadar itu jugalah Allah akan ampunkan dosa-dosanya. Kadar kejauhan itu.

2. Lepas daripada azab api neraka

Rasulullah bersabda, “Barang siapa melaungkan azan selama tujuh tahun dengan niat mengharapkan pahala daripada Allah, maka ditulis baginya pelepasan daripada api neraka.” (Riwayat Tirmidzi)

Amalan azan ini bukan untuk menunjuk-nunjuk yang suara kita ini merdu. Kita azan bukan untuk bersaing siapa paling merdu dan sedap. Kita azan kerana untuk memanggil orang datang sembahyang. Niat kita perlunya ikhlas hanya kerana Allah dan kebaikan.

Sebab itu, Allah akan saja memberi ganjaran kepada mereka yang beramalkan kebaikan dengan niat yang utuh. Jika niatnya hanya untuk menunjuk, semua orang boleh melakukannya, bukan? Tapi, berapa orang saja yang mampu untuk lakukannya dengan ikhlas? Tak ramai. Sebab itulah ganjarannya amat besar sekali.

3. Rasulullah mendoakan dia.

Rasulullah bersabda: “Seorang imam adalah penjamin dan muazzin adalah orang yang diamanahkan. Ya Allah, berilah petunjuk kepada para imam dan ampunilah orang yang melaungkan azan.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Rasulullah mendoakan juga untuk tukang muazzin supaya diampunkan dosanya. Ingat, doa ini sangat berkat kerana ia dilafazkan sendiri oleh baginda Nabi. Kita seharusnya tidak segan nak laungkan azan. Bukannya kita selalu beralah saja. Ada peluang, azan. Kerana Nabi doakan untuk ditukang azan. Bukankah kita juga mahu Allah ampunkan kita? Selalu juga kita minta. Adalah lebih baik jika keampunan itu disertakan sekali dengan doa Rasulullah. Lebih berkat. InshaAllah.

4. Syaitan akan lari bila dengar.

Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya apabila syaitan mendengar azan untuk sembahyang ia akan lari sehingga ke suatu tempat yang jauh.” (Riwayat Tabrani)

Apabila kita berasa dipengaruhi syaitan, atau ada orang kena rasuk. Azankan saja! Kerana Rasul bersabda sedemikian. Syaitan akan lari bila dengar azan. Azanlah untuk jauh daripada syaitan yang selalu mempengaruhi anak Adam. Banyaklah juga pahala si tukang azan kerana telah azan dan mendatangkan juga manfaat pada orang sekeliling yang dijauhi syaitan juga. Sama-sama mendapat manfaat jauh daripada syaitan.

4. Panjang lehernya.

Rasulullah bersabda: “Para Muazzin adalah orang yang paling ‘panjang lehernya’ pada hari kiamat.” (Riwayat Muslim)

Menurut Ibnu Majah, panjang leher itu bermaksud satu perumpamaan yang orang Arab pakai untuk menggambarkan seorang ketua dan pemimpin yang tertinggi.

Ini gaya orang Arab. Mereka selalu menggunakan perumpamaan begini. Di akhirat nanti, siapa yang tidak mahu menjadi ‘orang besar’? Jadi manfaat ini Allah berikan ganjaran kepada tukang azan!

Mereka nanti bila di akhirat. Allah jadikan mereka pemimpin tertinggi yang akan dikenali oleh semua makhluk di akhirat kelak. Usahanya dihargai. Pahalanya banyak. Pangkat dan kedudukannya di akhirat juga tinggi. Berbanding dengan di dunia yang mana selalu orang anggap “Ala, bilal aje”. Tapi, di akhirat kelak, mereka menduduki satu kedudukan yang sangat tinggi. Siapa yang beri kedudukan itu? Allah.

Rujukan:

  1. Kamus, I. (2009). Indahnya hidup bersyariat . Kuala Lumpur: Telaga Biru .
  2. Tarmizi, L. (2018). Doa selepas azan . Retrieved from Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 + seventeen =