Apakah bacaan doa masuk rumah dan juga doa keluar rumah? Artikel ini membincangkan bacaan doa masuk rumah dan keluar rumah beserta bantuan teks arab dan rumi untuk memudahkan bacaan dan adab-adab keluar dan masuk rumah yang anda boleh amalkan.
Adab sangat dititikberatkan di dalam Islam. Orang Melayu terkenal dengan adab ketimuran yang tinggi dan halus serta tutur kata yang baik dalam kehidupan. Merendah diri, lemah-lembut, berkasih sayang, saling hormat-menghormati di antara satu sama lain, mengambil berat, berbakti kepada kedua ibu bapa, orang tua, kanak-kanak, jiran tetangga dan pemimpin adalah antara sikap yang terpuji. Adab (أدب) merupakan moral, nilai murni, perbuatan dan kelakuan, bersopan santun, budi pekerti, susun atur kata-kata dengan bahasa yang baik serta mempunyai perikemanusiaan. Ia mencerminkan keperibadian diri seseorang. Orang yang beradab disukai dan disenangi oleh orang lain.
Cabaran masa kini ialah menekankan serta membina identiti dan jati diri yang kuat terutamanya di kalangan generasi muda kerana mereka banyak terdedah kepada pengaruh luar yang tidak baik. Tanpa adab, seseorang mungkin akan melakukan perkara yang tidak betul secara sengaja atau sebaliknya, membuta-tuli dan sesuka hati menyinggung perasaan pihak lain seperti komen-komen negatif dari segelintir netizen yang tular dalam media sosial. Manusia telah dikurniakan akal fikiran untuk membezakan mana yang betul dan salah. Berhati-hati dan fikir masak-masak sebelum melemparkan kata-kata atau bertindak dalam melaksanakan sesuatu perkara.
Doa Masuk Rumah
Teks bahasa Arab (Doa Masuk Rumah)
Maksudnya :
“Ya Allah, aku memohon pada-Mu kebaikan ketika masuk dan keluar dari rumah. Dengan nama Allah kami masuk, dan dengan nama Allah kami keluar, dan kami serahkan diri kami kepada Tuhan kami”
Doa Keluar Rumah
Teks bahasa Arab (Doa Keluar Rumah)
Maksudnya :
“Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah dan tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah”
Adab-adab Ketika Keluar dan Masuk Rumah
Pernah dengar, kan ungkapan “Rumahku, Syurgaku” ataupun dalam bahasa Inggeris, “Home Sweet Home”. Rumah merupakan tempat kediaman untuk berlindung dan tempat tinggal kita yang selesa. Nabi Muhammad S.A.W. menggalakkan umatnya untuk memberi salam sebelum masuk dalam rumah meskipun tiada sesiapa di dalam. Ini bertujuan untuk menghindari syaitan daripada masuk bersama kita serta menghalau makhluk lain yang mungkin menumpang atau menghuni di dalam rumah.
Jabir bin ‘Abdillah R.A. pernah mendengar nabi Muhammad S.A.W. bersabda, “Jika seseorang masuk ke dalam rumahnya lalu menyebut nama Allah S.W.T. ketika masuk dan ketika makan, maka syaitan berkata, ‘Tidak ada tempat bermalam bagi kamu semua dan tidak ada makanan di sini.’ Jika seseorang masuk tanpa mengucapkan nama Allah, maka syaitan berkata, ‘Kamu semua telah mendapat tempat untuk bermalam.’ Jika seseorang tidak menyebut nama Allah ketika hendak makan, maka syaitan berkata, ‘Kamu semua telah mendapat tempat untuk bermalam dan makanan’.” (Hadis Riwayat (HR) Muslim, XIII / 190 nombor 5230)
Adab masuk rumah :
1. Buka kasut sebelum masuk ke dalam rumah
Kita dah pijak macam-macam benda bila berjalan di luar selain tanah dan air, jadi kasut perlu ditinggalkan di luar rumah. Maklumlah, adakalanya kasut yang dipakai terutamanya kasut bertutup (contohnya kasut sukan) mengeluarkan bau kaki yang kurang menyenangkan. Kita ingin elakkan rumah kotor kerana segalanya perlu bebas dari najis ketika ingin menunaikan ibadah seperti bersolat. Kasut, sandal dan selipar jangan dibiarkan bersepah kerana akan dipijak-pijak oleh orang lain. Sebaik-baiknya, susun kasut atau letakkan kasut di rak kasut.
2. Mengetuk pintu perlahan-lahan
Seorang Muslim dianjurkan untuk mengetuk pintu dengan perlahan apabila mahu masuk ke dalam rumahnya. Tekan loceng pintu dengan tertib dan tidak tergesa-gesa. Jangan cari gaduh dengan orang. Mengetuk pintu dengan kuat atau menekan loceng pintu tidak henti-henti akan menjengkelkan penghuni rumah dan boleh membangkitkan kemarahan.
3. Berdoa dan ucapkan salam
Berilah salam (Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh) sebelum masuk ke dalam rumah. Antara kebaikan memberi salam ini adalah memperolehi rezeki yang diberkati Allah S.W.T., mengeratkan jalinan silaturahim serta mewujudkan kasih sayang di antara seseorang dengan penghuni rumah serta keluarganya. Berzikir kepada Allah dan membaca Bismillah sebelum masuk akan menjaga rumah dan penghuninya dari gangguan syaitan. Saat doa dibaca, tadahkan kedua-dua tangan dan memandang ke atas (melihat ke arah langit), baca doa dengan khusuk serta tawakal kepada Allah. Secara tidak sedar, kita telah mendoakan diri sendiri ketika memberi salam.
4. Cuci kaki
Pijak alas kaki, bersihkan kaki dahulu dari kotoran seperti pasir sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.
5. Masuk dengan kaki kanan
Setelah membaca doa masuk rumah, hendaklah melangkah masuk dengan kaki kanan terlebih dahulu sebelum kaki kiri kerana Rasulullah biasa memulakan dan mengutamakan segala urusan yang baik di sebelah kanan.
Adab keluar rumah :
1. Lakukan shalat dua rakaat sebelum meninggalkan rumah
Kita akan terselamat dari bala, kesusahan dan bahaya pada hari tersebut dengan izin Allah jua jika mempunyai masa dengan meluangkannya untuk melaksanakan solat sunat dua rakaat. Niat yang baik-baik sebelum keluar rumah. Pakai pakaian yang sopan dan menutup aurat.
2. Membaca doa keluar rumah
Panjatkan doa keluar rumah lalu tutuplah pintu rumah dengan perlahan, bukan menghempasnya dengan kuat dalam keadaan marah.
3. Melangkah keluar dengan kaki kiri
Kiri kebiasaannya melambangkan sesuatu yang kurang baik. Kita makan dengan tangan kanan, basuh berak dengan tangan kiri. Apabila kita melangkah keluar dengan kaki kiri, musibah dari dalam rumah akan turut keluar.
4. Pakai selipar atau kasut
Lapik kaki dengan memakai kasut atau sandal untuk melindungi tapak kaki dari terpijak benda-benda tajam yang merbahaya seperti paku.
5. Kunci pintu sebelum meninggalkan rumah
Keluar dalam kedaan tenang, bertawakkal supaya semuanya selamat dan dipermudahkan urusan dan pastikan pintu rumah berkunci sebelum meninggalkan rumah untuk mengelakkan kecurian.
Kebaikan menjaga adab masuk dan keluar rumah :
1. Dapat pahala
Baca doa pun dapat pahala, keberkatan dan kesejahteraan selain kebaikannya untuk diri sendiri dan orang lain.
2. Keselamatan dan kebersihan rumah terjaga
Rumah dijamin bersih, harta benda selamat dan dilindungi oleh Allah S.W.T. dari sebarang gangguan. Kasih sayang sesama penghuni rumah juga dapat dipupuk.
3. Ikut sunnah nabi
Tidak rugi orang yang hidup berlandaskan sunnah Nabi kerana kebaikannya berganda dan banyak manfaat. Bahkan, ramai orang bukan Islam mengamalkan cara hidup Nabi Muhammad S.A.W.
Keburukan tidak menjaga adab masuk dan keluar rumah
1. Tidak dapat pahala
Tak baca doa masuk dengan keluar rumah tidak berdosa tetapi tak dapatlah pahala serta tidak mendapat apa-apa, kosong.
2. Keselamatan dan kebersihan rumah tidak terjaga
Rumah yang tiada peraturan akan menjadi tidak bersih dan tunggang-langgang. Keadaan rumah yang kotor akan mengundang penyakit serta mengundang makhluk halus untuk tinggal bersama dengan tuan rumah.
3. Hilang keberkatan
Rumah tidak mendapat keberkatan kerana tidak mengamalkan sunnah Nabi Muhammad S.A.W.
Umat Islam disunnahkan untuk berdoa memohon kepada Allah Ta’ala sebelum melakukan sebarang perkara. Kedua-dua doa iaitu doa sebelum masuk ke dalam rumah dan doa ketika keluar dari rumah boleh dibaca untuk memohon keselamatan diri serta perlindungan kepada Allah S.W.T. dari ancaman syaitan Laknatullah. Apa-apa pun, mulakanlah dengan bacaan A’uzubillahissami’il a’alimmiminassyaitonirrojim atau Bismillahirrahmanirrahim.
Bacaan Doa yang lain