Bagaimanakah cara dan prosedur perceraian di Malaysia? Artikel ini akan menerangkan cara dan langkah-langkah yang perlu dibuat untuk memulakn prosedur perceraian.
Perceraian adalah satu keputusan yang amat sukar untuk dibuat bagi pasangan yang berumah tangga. Tiada siapa yang ingin berkahwin untuk bercerai, tetapi ada banyak sebab mengapa perceraian dihalalkan di dalam islam dan mengapa perceraian akan menjadi satu jalan yang terbaik dalam sesebuah rumah tangga.
Salah satu sebab mengapa Allah menghalalkan perceraian adalah apabila perkahwinan tersebut tidak boleh diselamatkan lagi walaupun kedua-dua pasangan sudah membuat pelbagai cara untuk menyelamatkannya. Maka perceraian adalah pintu keluar bagi mereka berdua. Jika tiada perceraian, kedua-dua pasangan akan menderita zahir dan batin. Banyak lagi asbab mengapa Allah memberikan solusi perceraian di dalam Islam dan ianya adalah petunjuk bahawa Allah sangat sayangkan hamba-Nya.
Sumber premier
Di dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 229 menyatakan,
“Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.
Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).”
Nabi SAW juga diriwayatkan pernah menceraikan isterinya, Hafsah. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud yang bermaksud; ““Rasulullah SAW telah menceraikan Hafsah RA kemudian merujuknya semula”. Di dalam hadis ini, terdapat dua kebenaran yang diriwayatkan, iaitu kebenaran untuk menceraikan isteri dan merujuk kembali.
Undang-Undang di Malaysia
Di Malaysia, ada beberapa jenis perceraian yang boleh difailkan di Mahkamah Syariah, termasuklah fasakh, taliq dan khulu’. Tetapi pada artikel kali ini, kita akan berbincang mengenai perceraian secara talaq.
Bidang kuasa perceraian untuk orang Islam dikendalikan mengikut negeri masing-masing sejajar dengan enakmen negeri yang digubal oleh Badan Perundangan Negeri, selari dengan Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Kita juga akan merujuk Majlis Fatwa Negeri yang memberikan penjelasan yang lebih terperinci mengenai isu-isu yang menjadi perbahasan.
Walaupun begitu, proses dan prosedur perceraian untuk talak adalah sama. Di dalam artikel ini, kita akan merujuk Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Perseketuan) 1984.
Apakah yang dimaksudkan dengan talaq?
Talaq ialah pembubaran ikatan perkahwinan dengan lafaz talaq atau seumpamanya berdasarkan Al-Quran, as-Sunnah dan ijma’ ulama’. Perceraian boleh dilakukan dengan lafaz soreh (jelas) dan lafaz kinayah (sindiran), begitu juga perceraian boleh dilakukan dengan talaq raj’ie atau talaq ba’in.
Setiap perceraian di Malaysia mestilah melalui permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah. Mahkamah hanya akan memproses permohonan tersebut apabila perkahwinan itu didaftarkan menurut undang-undang; perkahwinan adalah sah mengikut Hukum Syarak; dan permohonan hendaklah dikemukakan di tempat tinggal salah satu pihak kepada perkahwinan.
Proses dan Prosedur Perceraian
Proses talak boleh dimohon dengan dua cara iaitu perceraian dengan persetujuan bersama dan perceraian tanpa persetujuan satu lagi pihak. Kita akan bincang kedua-dua jenis proses perceraian dengan ringkas di bawah.
Persetujuan Bersama
Bagi persetujuan bersama, proses perceraian adalah lebih mudah. Suami atau isteri menghantar Borang Permohonan Perceraian yang telah dilengkapkan bersama beberapa dokumen lain dan mendaftar kes cerai untuk mendapatkan tarikh dan masa untuk hadir ke mahkamah.
Setelah itu, suami dan isteri mesti ke mahkamah pada tarikh tersebut dan mahkamah akan mendapatkan persetujuan untuk bercerai dari kedua-dua pasangan. Setelah itu, si suami akan melafazkan talak dan talak tersebut akan direkodkan. Rekod tersebut akan dibawa ke Jabatan Agama Islam mendapatkan sijil cerai.
Tanpa Persetujuan Bersama
Manakala untuk proses cerai dimana tanpa persetujuan bersama, suami atau isteri menyerahkan Borang Permohonan Perceraian di kaunter mahkamah untuk mendaftar perceraian. Setelah itu, suami atau isteri akan menerima tarikh dan masa untuk hadir ke mahkamah.
Mahkamah akan menyerahkan saman kepada isteri atau suami dan mereka berdua mestilah hadir ke mahkamah seperti di dalam ketetapan. Jika suami atau isteri masih tidak bersetuju untuk bercerai, mahkamah akan melantik Jawantankuasa Pendamai. Dan ini yang membezakan antara cerai dengan persetujuan bersama dengan tanpa persetujuan bersama.
Kedua-dua suami atau isteri mestilah hadir pada tarikh dan masa yang ditetapkan untuk berjumpa Jawatankuasa Pendamai dan memberi penjelasan kepada jawatankuasa mengenai perceraian mereka. Setelah sesi tersebut tamat, jawatankuasa akan mengadakan proses perdamaian dan mengemukakn laporan bertulis dan syor kepada Hakim sama ada wujud perdamaian atau sebaliknya. Mahkamah kemudian akan memutuskan hasil laporan daripada Jawatankuasa Pendamai.
Setelah mahkamah memberi keputusan, terdapat 3 situasi yang akan timbul. Pertama, jika suami dan isteri bersetuju untuk bercerai, suami akan melafazkan cerai seperti di perenggan sebelum ini. Kedua, jika suami dan isteri bersetuju untuk berdamai, kes akan dibatalkan. Dan ketiga, jika suami atau isteri tidak bersetuju untuk bercerai, kes dirujuk ke Proses Majlis Hakam.
Apa Itu Proses Hakam?
Apa itu proses Hakam? Dalam Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, Hakam ialah penimbangtara yang bertindak bagi pihak suami dan isteri. Hakam hendaklah memberi keutamaan kepada saudar-saudara karib kedua-dua belah pihak yang mengetahui tentang kes itu.
Subseksyen 5 menyebut, Hakam hendaklah berusaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada pihak masing-masing dan boleh, jika kuasa mereka membenarkan, Hakam boleh melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah jika dibenarkan. Mahkamah hendaklah merekodkan lafaz satu talaq itu, dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.
Mahkamah pula akan memperakukan keputusan Hakam dan akan mengeluarkan perintah perceraian. Setelah itu, suami dan isteri akan menerima rekod cerai dan membawanya dengan segera ke Jabatan Agama Islam untuk daftar cerai. Jabatan Agama Islam akan mendaftarkan cerai dan mengeluarkan sijil cerai.
Kesimpulan
Walaupun menurut riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah, talak adalah perkara yang halal tetapi dibenci Allah, ini tidak bermaksud perceraian adalah satu perbuatan dosa. Jika perceraian adalah satu dosa, tiada sebab mengapa Allah menyatakan perkara ini di dalam al-Quran. Terdapat banyak hikmah besar yang dapat kita pelajari menerusi proses ini.
Jadi, inilah serba sedikit mengenai proses perceraian secara umum di Malaysia. Akhir kalam, pendaftaran perceraian adalah sangat penting bagi merekodkan status perkahwinan anda dan memudahkan diri anda jika ingin membina hubungan baru di masa hadapan. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan, jangan segan silu untuk menghubungi Jabatan Agama Islam atau ke kaunter Mahkamah Syariah untuk mengajukan kemusykilan tersebut.
Diharapkan artikel cara dan prosedur perceraian ini dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran apa yang anda perlu lakukan.
Artikel lain: Perceraian dan Talak dalam Islam
Rujukan:
- Soal Jawab Perceraian . Laman web e-syariah:
- Umar Mukhtar Mohd Noor. (1 April 2016). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan . Irsyad al-Hadith Siri ke-35 : Kisah Mariah al-Qibtiyyah:
- Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khair, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Buku Panduan Proses Nikah Cerai dan Ruju’ di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Mahkamah Syariah: