Skip to content

7 Tips dan Cara Untuk Anak Tidur Awal

Tips dan Cara Untuk Anak Tidur Awal

Bagaimanakah cara dan tips untuk bagi anak tidur awal? Artikel ini akan membincangkan beberapa cara dan tips yang anda boleh ikut supaya anak anda boleh tidur awal di malam hari

Tidur yang mencukupi amat penting bagi bayi dan kanak-kanak yang sedang membesar. Terdapat ibu bapa yang mempunyai masalah untuk menguruskan anak-anak terutama anak kecil apabila larut malam kerana si kecil meragam, mengamuk atau pun ajak bermain.

Awal pagi esok tu dah tentulah mak dengan ayah kena pergi kerja dan mata pula lebam akibat tidak dapat tidur dengan rehat secukupnya manakala anak kecil pula tidur lena. Mengantuk akan membuatkan seseorang rasa letih, tidak fokus, kurang aktif dan mudah marah.

Cara dan Tips untuk Anak Tidur Awal

Terdapat beberapa tips untuk pujuk anak-anak supaya tidur awal

1. Set masa tidur dan latih anak untuk mematuhi waktu

Waktu tidur kena konsisten. Ia akan menjadi masalah jika waktu tidur anak terlalu cepat atau terlalu lewat. Buat jadual. Peraturan tetap peraturan. Apabila anak-anak dah terbiasa tidur awal contohnya pada pukul 9:00 malam, mereka akan patuh dengan masa tidur yang telah ditetapkan. Kalau anak-anak suka main games dan sukar berenggang dengan gadget macam tablet atau telefon pintar, ambil dan sorokkan di tempat yang sukar dicapai oleh anak.   

2. Lakukan aktiviti bersama anak di waktu siang

Kanak-kanak memang penuh dengan tenaga. Pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan santai boleh dilakukan unuk bermain dengan anak di siang hari. Contohnya bermain permainan memori, menyanyi bersama-sama, bawa anak bermain di taman permainan atau biarkan anak kecil berlari-lari keliling ruang tamu rumah sambil diawasi oleh ibu bapa. Kalau anak aktif di waktu siang, mereka akan letih di waktu malam dan lebih cenderung untuk tidur awal.

3. Pastikan anak tidak lapar di waktu malam

Perut yang lapar akan mengganggu tidur anak anda dan membuatkan anak terjaga serta tidak dapat tidur dengan selesa. Apa nak buat bila perut anak berkeroncong di waktu malam? Sediakan makan malam dan berikan anak makan dan minum secukupnya pada pukul 6:00 petang. Kadangkala, anak tidak mahu makan.

Jadi, anak boleh beri susu dengan pisang yang pastinya mengenyangkan dan berkhasiat. Minta anak-anak gosok gigi untuk membiasakan anak dengan tabiat ini sebagai isyarat yang menandakan bahawa telah tiba masanya untuk tidur. 

4. Bacakan buku cerita (bedtime stories) sebelum tidur

Teman anak untuk seketika di bilik tidurnya. Lazimnya, kanak-kanak suka bercerita, mendengar cerita dan tanya macam-macam soalan. Layan dan dengar, ambil perhatian apabila anak anda bercerita dan meluahkan perasaan walaupun anda penat seharian dengan kerja. Kalau tak tahu bercerita, nak menyanyi lagu pendek kanak-kanak macam Twinkle Twinkle Little Star atau berzikir pun boleh.

Kemudian, peluk dan cium anak-anak sebelum tidur. Ucapkan yang anda sayangkan mereka. Ia akan mengeratkan lagi kasih sayang dan anak itu mengetahui yang ibu bapanya sangat menyayanginya dan mengambil berat akan dirinya. Anak akan rasa lebih dihargai, disayangi dan selamat. Jika anak tu dah besar sikit, katakan padanya, “Anak, tak rugi tidur awal, esok bangun awal ye untuk Subuh”.

5. Elakkan anak terlajak tidur sampai ke petang

Ada anak yang letih bila balik dari sekolah dan akan tertidur. Biarkan anak berehat seketika tengahari tu tetapi jangan biarkan anak tidur lama-lama sampai ke petang.  malam nanti anak tu sukar untuk melelapkan matanya sebab dah tak mengantuk. Lagi pun, tak elok tidur petang selepas waktu Asar. Siap-siap mandikan anak petang tu bagi dia segar dan selesa.

6. Pasang doa apabila anak nak tidur

Lagi bagus kalau anda beli radio MP3 kecil yang dilengkapi dengan doa-doa dan ayat-ayat suci al-Quran seperti Ruqyah. Ia akan membantu menenangkan anak anda ketika tidur dan mengelakkan gangguan halus.

7. Pastikan bilik gelap apabila waktu tidur

Lampu yang terpasang dan suasana cerah akan membuatkan anak sukar untuk tidur di waktu malam. Tutup lampu bila nak tidur. Sekiranya bilik terlalu gelap dan ibu bapa bimbang dengan keselamatan anak, bolehlah sediakan lampu tidur kecil yang cahayanya tidak terlalu cerah serta tidak mengganggu anak untuk tidur. Bilik tidur anak juga mesti dalam keadaan kemas. Tilam, bantal dan lapik katil pun kena bersih. Kalau mainan bersepah dalam bilik tidur, ia boleh mengundang bahaya terpijak barang mainan tu dalam gelap dan dah tentulah rasa tak selesa.

Nak suruh anak-anak tidur awal ni tak boleh dipaksa untuk permulaan dan akan memakan masa untuk praktik serta amalkan beberapa perkara seperti yang dinyatakan di atas. Anak yang tidur awal pada waktu malam biasanya akan bangun lebih awal pada waktu pagi. Sebagai ibu bapa, tunjukkan contoh yang baik supaya menjadi ikutan anak-anak. Actions speak louder than words.

Buang yang keruh, ambil yang jernih. Adakalanya anda perlu tegas jika anak-anak tidak mendengar kata. Bak kata orang, tegas dalam sayang. Gunakan bahasa yang sesuai dan pertuturan yang baik untuk memberikan teguran, bukan cara kekerasan dengan menakut-nakutkan atau menggertak anak, kalau tak, nanti anak akan buat perangai dan degil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 + eight =