Cara Pengurusan Jenazah dan Cara memandikan Jenazah

Bagaimanakah cara pengurusan dan cara memandikan jenazah yang betul? Artikel ini akan membincangkan pengurusan jenazah daripada cara memandikan jenazah sehinggalah solat jenazah.

Hukum Memandikan Jenazah

Salah satu perkara yang wajib dilakukan ketika pengurusan jenazah adalah untuk memandikan jenazah.

Hukum memandikan jenazah adalah fardhu kifayah. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah saw apabila ketika ada seseorang yang meninggal kerana terjatuh dari untanya :

اغْسِلُوا بِمآءٍ وَسِدرٍ

Mandikanlah dia oleh kalian dengan air dan daun kayu gaharu

( Hadith Riwayat al Bukhari, Muslim, an Nasa’ie, Abu Dawud dan ad Darimi)

Namun orang yang meninggal dunia kerana mati syahid iaitu mereka yang gugur jihad fi sabilillah akibat terbunuh oleh orang musyrik tidak perlu dimandikan dan disembahyangkan. Mereka akan terus dikebumikan dengan luka dan darahnya. Ini berdasarkan pada hadith dari Jabir bin Abdillah r.a :

أَنَّ نبِيِّ صَلَّى الّله عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ فِى قَتْلَى اُحُدٍ : لاَ تُغَسَّلُوهُم فَإِنَّ كُلَّ جُرْحٍ أَوْ كُلَّ دَمٍ يَفُوْحُ مِسكاً يَوْمَ القِياَمَةِ ولَمْ يُصَلِّ عَلَيْهِمْ

 Sesungguhnya Nabi saw pernah bersabda berkaitan dengan para syuhada Perang Uhud, “Janganlah kalian memandikan mereka kerana setiap luka atau setiap darah yang menitis pada Hari Qiamat akan semerbak mewangi seperti bau harum minyak Kasturi.” Dan tidaklah Nabi saw juga mensolatkan ke atas mereka. (Hadith Riwayat Ahmad)

Perkara Yang Perlu Dilakukan Sebelum Memandikan Jenazah

  1. Disunatkan membalut kedua rahang dari atas kepala sementara sendi-sendinya diluruskan secara perlahan-lahan
  2. Disunatkan memberitahu atau mengumumkan berita kematian kepada saudara-mara dan kenalan agar mereka dapat berusaha untuk menguruskan serta menyaksikan jenazah sebelum dikebumikan sebagai penghormatan terakhir

Seputar Memandikan Jenazah

  1. Hukum memandikan jenazah adalah fardhu kifayah bagi mereka yang masih hidup. Jika sebahagian orang telah melakukannya, maka jatuhlah taklif tersebut kepada yang lain.
  2. Wajib memandikan jenazah sekurang-kurangnya satu kali bagi seluruh anggota tubuh badan. Menurut pandangan Syafie, Hanbali dan Hanafi, ia sunat dilakukan berulang-ulang kali dengan hitungan ganjil iaitu sebanyak tiga kali.

Syarat memandikan Jenazah

Jenazah yang dimandikan mestilah:

  1. Seorang muslim
  2. Bukan bayi yang meninggal keguguran. Menurut mazhab Syafie, iaitu yang gugur sebelum sempurnanya kehamilan iaitu usia kandungan 6 bulan
  3. Mempunyai jasad
  4. Bukan mati syahid

Hukum Melihat Aurat dan Menyentuh Jenazah 

Wajib menutup aurat jenazah samada bagi orang yang memandikan mahupun yang melihatnya. Bagi bahagian anggota aurat, orang yang memandikannya wajib membalut tangannya dengan secebis kain pelapik untuk membersihkannya. Manakala bagi bahagian yang bukan aurat, boleh disentuh dan dibersihkan tanpa pelapik kain seperti biasa.

Halal bagi suami atau isteri yang kematian pasangannya untuk menyentuh dan memandikan kecuali telah jatuh talak.

Cara-cara Memandikan Jenazah

  1. Sunat diletakkan di tempat yang tinggi seperti katil mandian khas dan dimandikan ruangan khas yang tersembunyi supaya orang tertentu sahaja dibenarkan untuk melihat. Sekiranya tempat mandi itu merupakan tempat terbuka, maka wajiblah ruangan itu ditutup dengan kain atau penghadang.
  2. Jenazah dikenakan pakaian yang tipis supaya air dapat mengalir dan memungkinkan orang yang akan memandikannya dapat membersihkannya dari dalam
  3. Wajah mayat disunatkan dalam keadaan tertutup ketika diletakkan di tempat pemandian
  4. Sekiranya jenazah tidak mengenakan sebarang pakaian, maka wajiblah ditutup pada bahagian auratnya memadai dari bahagian pusat hingga lutut.
  5. Membersihkan najis-najis yang berada di badan atau yang melekat pada mayat.
    • Mayat diletakkan di atas tempat pembaringan dengan lemah lembut, kemudian kakinya dilunjurkan dalam posisi duduk.
    • Manakala leher mayat ditahan dengan tangan orang yang memandikan dan badan jenazah pula disandarkan agar stabil serta tidak mudah terjatuh. 
    • Setelah itu, perut jenazah diurut keluar bagi mengeluarkan sisa-sisa najis dari dalam agar tidak ada lagi najis yang terkeluar semasa dikafankan.
    • Bahagian qubul dan dubur mayat pula dibasuh dengan menggunakan sarung tangan atau pelapik kain dalam keadaan posisi mayat dibaringkan
  6. Bahagian mulut dan hidung dibasuh dan dibersihkan seperti mana orang yang berwuduk berkumur dan membersihkan hidung. Pastikan kain yang baru dan bersih digunakan
  7. Mewudukkan anggota tubuh mayat dengan sebanyak tiga kali
  8. Bahagian kepala dibasuh. Menurut mazhab Syafie, sunat membasuhnya dengan sabun atau air daun bidara termasuklah bahagian janggut dan rambut serta menyelati keduanya dengan lemah-lembut. Gunakan sikat yang jarang supaya rambut atau janggut tidak gugur sewaktu dimandikan. Sekiranya mana-mana bahagian tersebut gugur, ia perlulah diletakkan sekali semasa dikafankan
  9. Mandian dimulakan daripada bahagian tubuh kanan ke tubuh kiri. Iaitu bermula daripada leher hingga ke hujung kaki
  10. Selepas itu, badan mayat diangkat sedikit dan diletakkan dalam keadaan mengiring ke arah kiri. Air disiram ke bahagian kanan belakang mayat dari aras bahu hingga  kaki. Setelah itu, lalu dibasuh pula bahagian belakang sebelah kiri dengan mengiringkannya ke sebelah kanan.
  11. Maka lengkaplah semua langkah ini sebagai satu mandian.
  12. Sunat memandikan mayat dengan meletakkan kapur barus, wangian dan seumpamanya pada basuhan terakhir
  13. Sekiranya terkeluar najis selepas selesai mandian, memadailah sekadar membuang najis tersebut tanpa perlu diulangi proses basuhan, memandikan dan mewudhukkan semula jenazah.
  14. Bagi memudahkan proses kafan, tulang sendi mayat dilembutkan. Kemudian mayat dikeringkan supaya kain kafan tidak basah dan boleh bertahan dengan lebih lama.

Mengkafankan Jenazah

Selain itu, pengurusan jenazah juga melibatkan pengurusan untuk mengkafankan jenazah.

Mengkafankan mayat adalah fardhu kifayah. Ini berdasarkan sabda Nabi saw berkenaan seorang yang sedang berihram lalu tersungkur dari untanya lalu meninggal

وَكَفَّنُوهُ فِي ثَو بَيهِ

Kafankanlah ia oleh kalian dengan bajunya

(Hadith Riwayat Bukhari, Muslim, at Tirmizi, an Nasaie, Abu Dawud, Ibn Majah, Ahmad dan Ad Darimi)

  • Ukuran minimum kain kafan adalah yang dapat menutupi aurat seluruh tubuh mayat samada lelaki mahupun wanita
  • Disunatkan untuk menggunakan 3 lapis kain iaitu satu lapis kain sarung dan dua lapis kain putih yang menutupi seluruh tubuhnya. Ini berdasarkan pada hadith penuturan Aisyah r.a yang bermaksud :

Rasulullah saw (ketika wafat) telah dikafankan dengan tiga lapis kain putih bersih yang terbuat dari kapas, di dalamnya tidak ada baju dan tidak pula ada serban ” (Hadith Riwayat an Nasaie, Ahmad dan Malik)

  • Sementara bagi jenazah wanita, disunatkan untuk mengkafaninya dengan lima lapis kain. Ini berdasarkan pada hadith riwayat Abu Dawud dengan sanad Laila binti Qanif ath Tsaqafiah r.a seperti berikut :

“Aku adalah termasuk orang yang ikut memandikan Ummu Kalthum puteri baginda Rasulullah saw. Yang pertama diberikan kepada kami oleh Rasulullah saw adalah kain basuhan, lalu kain untuk baju, kemudian kain untuk menutup kepala dan seterusnya kain untuk tudung. Setelah itu dia dikafankan dengan kain lain yang menutupi seluruh badannya.” Lalu beliau berkata lagi, “Saat itu Rasulullah saw duduk di tengah-tengah pintu dengan membawa kain kafannya dan memberikannya kepada kami sehelai sehelai.” (Hadith Riwayat Abu Dawud dan Ahmad)

  • Makruh hukumnya berlebihan dalam hal mengkafankan mayat seperti menggunakan kain yang terlalu mahal.
  • Sisa kain kafan yang ada dikumpulkan pada bahagian kepala dan kedua kakinya kemudian diikat semua lapisan kain lebihan itu dengan tali, iaitu bagi jenazah yang meninggal bukan dalam keadaan ihram
  • Bagi mayat yang meninggal dalam keadaan ihram, diharamkan untuk mengkafankannya dengan kain yang haram dipakai semasa ihram iaitu pakaian yang berjahit

Diharapkan artikel cara pengurusan jenazah ini dapat membantu kita dalam menguruskan jenazah ahli keluarga mahupun orang lain dengan cara yang betul.

Sumber Rujukan ;

  1. Syaikh Abdul Rahman Al Jazairi, Fiqh 4 Mazhab (Juzu’1, 2 dan 3), Perniagaan Jahabersa, 2011
  2. Al Imam Asy Syafie r.a, Kitab Induk (Al Umm) Jilid 2, Victorie Agency Kuala Lumpur
  3. Al Ustaz Ali Raghib, Ahkam ash Shalah, Al Azhar Press, 1991
  4. Tatacara Pemandian Jenazah yang Betul – Mufti Wilayah Persekutuan

Recommended Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × five =