Skip to content

15 Barang dan Keperluan Menjahit Yang Perlu Anda Ada

barang keperluan menjahit

Apakah barang dan keperluan untuk anda menjahit dirumah? Artikel pada kali ini akan menyenaraikan 15 alatan dan barang keperluan untuk menjahit bagi memudahkan anda membuat persiapan. Menjahit dapat didefinisikan sebagai proses atau aktiviti menyambungkan kain dengan jarum jahit dan benang.

Ramai orang di luar sana yang menjadikan aktiviti menjahit sebagai hobi disamping menjana pendapatan sampingan. Ini disebabkan permintaan orang ramai yang lebih gemar menempah pakaiaan mereka dari tukang jahit berbanding membeli yang sudah siap di butik atau kedai.

1. Mesin Jahit

Pelbagai jenis mesin jahit dijual di pasaran dengan membawa jenama-jenama yang terkenal seperti Singer, Brother, Juki, Jack, dan bermacam lagi. Di rumah, kebanyakkannya mesin jahit mudah alih lebih banyak digunakan kerana ia mampu melakukan lebih banyak corak jahitan berbanding mesin jahit industri.

Ianya juga lebih ringan, jimat elektirik, jimat ruang, dan harganya lebih terjangkau. Walau bagaimanapun, mesin ini mempunyai had penggunaan yang singkat sahaja selama 2-3 jam berikutan motornya yang berkuasa kecil.

2. Pita pengukur

Alat ini berbentuk seperti pita dan mempunyai kepanjangan sehingga 150 cm. Ini bukan alat untuk mengukur kain tetapi ia adalah alat untuk mengukur badan seseorang. Dengan reka bentuknya yang lembut, mudah dilentur, dan fleksibal, ia mampu mengikut bentuk lekuk tubuh orang yang hendak diukur.

3. Alat pemotong

Alat memotong untuk menjahit ada beberapa jenis seperti gunting kain, gunting kertas, gunting zig zag, dan gunting itik. Setiap jenis gunting mempunyai fungsinya yang tersendiri. Walaupun tampak keempat-empatnya sama tetapi mata pemotong yang digunakan berbeza. Contohnya seperti gunting itik, ia digunakan untuk memotong kain tambahan dalam proses menjahit. Manakala bagi gunting zig zag pula berfungsi untuk mendapatkan potongan kain yang lebih rapi.

4. Penanda kain

Penanda kain atau kapur jahitberguna sebagai tanda pada kain. Biasanya kapur ini berbentuk segi tiga yang mana ketiga-tiga sudut kelihatan lebih tirus dan boleh digunakan semuanya. Bermacam jenis warna yang di jual di pasaran seperti putih, biru, merah, hijau, dan kuning.

5. Benang jahit

Hendak menjahit tetapi tiada benang memang tidak akan jadilah kerja menjahit anda. Ianya kerana untuk menghasilkan penyatuan antara kain dengan kain yang lain, benang diperlukan. Pemilihan benang yang kuat dan tidak mudah putus merupakan proses penting dalam mendapatkan hasil jahitan yang baik.

6. Pensel

Pensel penting untuk membuat lakaran produk yang hendak dihasilkan. Bukan sekadar lakaran sahaja, malah juga bagi menghasilkan pola jahitan. Apa gunanya pola jahitan dalam kerja-kerja menjahit? Pola jahitan ini dihasilkan adalah untuk memudahkan anda memotong kain mengikut saiz dan hasil produk yang diinginkan.

7. Jarum peniti

Satu-satunya jarum yang memiliki bahagian kepala seakan-akan berbola di atasnya adalah jarum peniti. Jarum ini boleh digunakan untuk mencantumkan atau menyemat kain untuk sementara waktu. Mereka yang menggunakan jarum peniti sebelum menjahit juga akan mudah mendapatkan jahitan yang lebih rapi dan kemas.

8. Alat penetas

Bila anda menjahit pasti ada ketikanya anda melakukan kesalahan dalam jahitan. Namun jangan risau, kain yang anda jahit masih boleh diselamatkan lagi. Anda perlu membuka kembali jahitan pada kain yang telah dijahit itu. Caranya dengan menggunakan alat penetas. Dengan bilah pisaunya yang lebih kecil, nipis, dan tajam, sudah tentu ia memberi kesan yang lebih baik dalam kerja-kerja memotong jahitan berbanding menggunakan gunting biasa.

9. Pembaris Sesiku L

Pembaris ini dinamakan sesiku L kerana bentuknya seperti huruf L. Ia digunakan untuk mengukur garisan lurus, dan garisan lengkung dipola seperti dibahagian ketiak, leher dan punggung seluar.

10. Pembaris Lengkung

Pembaris ini agak unik kerana bentuknya tidak lurus seperti kebanyakkan pembaris lain sebaliknya ia melengkung. Sesuai dengan bentuknya, ia memang digunakan untuk menghasilkan garisan lengkung dipola seperti di bahagian punggung dan lengan.

11. Jarum jahit tangan

Jarum tangan sejenis jarum untuk aktiviti menjahit manual dengan tangan sendiri seperti kerja mengelim dan menjelujur. Jarum ini biasanya berkepala kuning emas dan ada lubung di bahagian atas.

12. Jarum jahit mesin portable

Khusus untuk kerja-kerja menjahit menggunakan mesin, jarum ini dipasang pada mesin. Terdapat enam jenis jarum jahit mesin seperti jarum universal biasa, jarum ballpoint, jarum microtex, jarum leather, jarum denim, dan jarum handicap (tukang jahit yang mempunyai masalah penglihatan).

13.  Zip dan butang

Zip dan butang adalah alat untuk mencantumkan kain dengan kain yang lain. Zip dijahit pada bahagian baju, pinggang, seluar, dan skirt. Manakala butang dijahit pada pakaian agar mudah dibuka dan ditanggalkan.

14. Kain perca

Khusus kepada anda yang baru mula hendak belajar menjahit. Kain perca berfungsi sebagai latihan kepada anda untuk mempelajari sesuatu jenis jahitan. Tidak mungkin sekiranya anda mahu mengorbankan kain-kain yang mahal sebagai bahan uji kaji sendiri. Cukup dengan kain perca atau lebihan kain yang dipotong, ia mampu memberikan keyakinan yang lebih pada anda dalam mempelajari selok belok asas jahitan.

15. Sterika

Ramai yang merungut mereka telah menggunakan pelbagai cara seperti membuat pola jahitan, menandakan kain dengan kapur penanda, dan mengukur kain yang hendak dipotong dengan pembaris tetapi hasilnya kerja pemotongan tidak kemas dan saiz kain yang diharapkan juga tidak sekata.

Tips untuk anda bagi memperoleh potongan yang rata dan kemas adalah anda perlu menggosok kain tersebut dengan strerika dahulu. Ini untuk memastikan fabrik kain tersebut tegang lantas memudahkan proses mengukur dan memotong.

Di harapkan artikel berkenaan barang keperluan menjahit ini dapat memberikan anda informasi yang berguna tentang jahitan. Menjahit sendiri pakaian ahli keluarga anda boleh mengurangkan pembelanjaan bulanan di samping mengeratkan lagi tali silaturahim bersama mereka. Selamat menjahit!

Artikel Berkaitan: Perkakas Keperluan Dapur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

6 − six =