Apakah aurat lelaki dan aurat perempuan di dalam islam dan apakah batasan yang perlu ditutup?
Dalam artikel ini, kami akan menceritakan dengan ringkas apakah aurat tersebut dan bahagian yang perlu ditutup.
MAKSUD AURAT
Aurat diambil dari bahasa Arab iaitu ‘Aurah’ yang bermaksud keaiban.
Aurat dengan mudah boleh difahami sebagai bahagian dari anggota badan sama ada lelaki atau perempuan yang haram dibuka, dipamerkan atau dilihat.
Aurat merupakan sesuatu anggota badan yang wajib ditutup dan disembunyikan terutamanya dari pandangan orang bukan mahram. Bagi sepupu atau bukan mahram yang berlainan jantina, ia tetap dikira aurat.
Sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam, dengan bermulanya baligh bagi lelaki dan perempuan, maka mereka berkewajipan menunaikan segala hak dan tanggungjawab, antaranya menutup aurat dan menjauhi pergaulan bebas.
Allah SWT berfirman
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاساً يُوَارِي سَوْءَاتِكُمْ وَرِيشاً وَلِبَاسُ التَّقْوَىَ ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (Surah Al-A’raaf : Ayat 26)
Aurat adalah kehormatan diri bagi seseorang yang wajib dijaga dan dipelihara sepanjang masa. Menjadi satu kewajipan bagi sorang umat Islam menutup auratnya dalam apa jua keadaan.
Sabda Rasulullah SAW: “Orang lelaki tidak boleh memandang kepada aurat lelaki dan perempuan tidak boleh melihat kepada aurat orang perempuan. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut tanpa pakaian dan begitu juga dengan wanita, mereka dilarang berbuat demikian.” (Riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)
Al-Quran surah Al-’Araf ayat 20-21 menjelaskan peristiwa ketika Adam dan Hawa berada di syurga: “Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan pada keduanya apa yang tertutup dari mereka, iaitu auratnya, dan syaitan berkata: “Tuhan kamu melarang kamu mendekati pohon ini, supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (di syurga). Setelah mereka merasakan (buah) pohon (terlarang) itu terlihatlah bagi keduanya aurat dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga…”
Jelas di sini bahawa fitrah asas yang terdapat di dalam diri manusia ialah ‘tertutupnya aurat’ namun akibat godaan syaitan, aurat manusia terbuka. Ayat di atas juga jelas bahawa idea ‘membuka aurat’ adalah idea syaitan dan kerananya ‘tanda-tanda kehadiran syaitan adalah ‘keterbukaan aurat’.
PEMAKAIAN MENUTUP AURAT BAGI LELAKI DAN PEREMPUAN
Setiap seorang muslim, kita sewajarnya berpakaian secara beretika mengikut syara’. Etika berpakaian dalam Islam berasaskan kepada penutupan aurat secara lengkap dan betul. Selain itu, pakaian yang dipakai oleh individu muslim juga hendaklah tidak menyerupai atau menyamai kaum yang ingkar kepada perintah Allah SWT, seperti pakaian ahli gereja dan ahli ibadat agama lain.
1. Aurat Lelaki
Bagi lelaki, aurat yang wajib ditutup ialah kawasan di antara pusat dan lutut.
Antara pemakaian menutup aurat bagi lelaki ialah:
- Tidak terlalu nipis dan ketat hingga menampakkan bentuk tubuh badan.
- Menutup aurat antara pusat ke lutut.
- Pakaian tidak menyerupai perempuan.
- Tidak memakai pakaian dan perhiasan daripada sutera dan emas.
2. Aurat Perempuan
Aurat perempuan pula meliputi seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
Antara pemakaian menutup aurat bagi perempuan ialah:
- Menampakkan muka sahaja.
- Melabuhkan tudung menutupi dada.
- Menutup hingga ke pergelangan tangan.
- Pakaian tebal, longgar dan tidak menyerupai lelaki.
- Menutup kaki.
Aisyah meriwayatkan, bahawa saudaranya iaitu Asma’ binti Abu Bakar pernah masuk di rumah Rasulullah S.A.W dengan berpakaian jarang sehingga nampak kulitnya. Kemudian beliau berpaling dan mengatakan: “Hai Asma’! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini – sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Sebagaimana firman Allah SWT:
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ …زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: “Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” (Al-Nur 24: 31)
BATASAN-BATASAN AURAT
Islam telah menggariskan kaedah dan cara yang unik untuk memenuhi kewajipan menutup aurat:
Aurat di khalayak ramai
Bagi wanita muslim, aurat dihadapan lelaki yang tiada pertalian tidak kira Islam mahupun bukan Islam adalah menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.
Namun, jika wajah yang dimilikinya sangat cantik, sehingga menimbulkan fitnah, wajib ditutup wajahnya. Aurat lelaki muslim yang wajib ditutup di khalayak ramai, ialah kawasan di antara pusat dan lutut.
Aurat dengan ahli keluarga
Ada aurat yang perlu dipelihara baik daripada dilihat dan ada batas-batas pergaulan yang perlu dijaga walaupun bersama dengan keluarga sendiri. Aurat yang perlu ditutup dan dipelihara daripada pandangan keluarga adalah seperti berikut ;
- Aurat anak perempuan dengan ibu bapanya dan adik beradiknya yang haram untuk dikahwini adalah daripada pusat hingga ke lutut.
- Aurat anak lelaki dengan ibu bapanya dan adik beradiknya yang haram dikahwini adalah daripada pusat hingga ke lutut.
- Aurat perempuan dengan sepupu-sepupunya lelaki yang halal untuk dikahwini adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan.
- Aurat adik ipar perempuan dengan abang ipar adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan.
Aurat ketika berseorangan
Ada dua pendapat berkenaan hal ini dan ia bergantung kepada mazhab.
1. Mazhab Hanafi dan Hambali
Ulama’ Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat: “Sebagaimana dilarang seorang mukallaf (orang yang dituntut beramal dengan suruhan dan meninggalkan larangan) mendedahkan aurat ketika berhadapan dengan orang yang dilarang melihat auratnya, maka demikian juga dilarang mendedahkan auratnya ketika ia bersendirian kecuali ketika darurat atau terpaksa dibuka seperti ketika qadha’ hajat atau ketika mandi. Ketika darurat diharuskan membukanya.”
2. Mazhab Syafie dan Maliki
Sementara Ulama’ Mazhab Maliki dan Syafi’ie berpendapat: “Ketika seseorang itu bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan auratnya hanya makruh kecuali ketika darurat kerana ketika darurat diharuskan membukanya.”
Aurat bersama suami/isteri
Tidak ada aurat antara suami dan isteri. Harus bagi suami melihat ke seluruh badan isterinya termasuk kemaluannya. Namun melihat kepada kemaluan adalah makruh secara umumnya termasuklah melihat kepada kemaluan sendiri.
Aurat sesama jantina
Dihadapan sesama wanita muslim, aurat perempuan ialah diantara pusat hingga lutut. Manakala, aurat lelaki sesama jantina ialah diantara pusat dengan lutut. Ini bermaksud mereka seharusnya menutup alat kemaluan dan bahagian diantara pusat dan lutut setiap masa kecuali atas dasar privasi.
Pelihara aurat dengan orang bukan islam
Apabila individu muslim tinggal serumah dengan orang bukan Islam, sewajarnya kita menjaga aurat. Dalam situasi seperti tinggal di asrama mahupun rumah sewa, aurat orang Islam dengan bukan Islam ialah sama seperti aurat bukan mahram iaitu orang yang boleh dikahwini.
Bagi lelaki, aurat yang wajib ditutup ialah kawasan di antara pusat dan lutut, manakala aurat perempuan pula meliputi seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Penjagaan aurat itu amat penting sekalipun antara wanita Islam dengan bukan Islam agar tidak membawa fitnah dan menjatuhkan maruah wanita Muslimah.
HUKUM MENUTUP AURAT
Pada asasnya, hukum menutup aurat adalah WAJIB sepertimana disepakati ulama’.
Ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur:31)
Haram
Menutup aurat adalah wajib keatas setiap umat Islam, tidak kira lelaki atau perempuan. Haram orang bukan mahram melihat aurat. Haram bagi seseorang melihat kepada aurat orang lain sekalipun sesama jantina, apalagi melihat aurat berlainan jantina.
Rasulullah SAW melarang orang beriman daripada melihat aurat antara satu sama lain: “Aurat mukmin terhadap mukmin lain adalah haram” (Hadis Riwayat Aththahawi)
Dimaafkan
Dimaafkan jika terlihat sekilas pandangan sahaja, tanpa memakukan pandangan ke tempat haram tersebut, atau mengikuti pandangan pertama dengan pandangan kedua.
Makruh
Hukum Makruh jika melihat aurat sendiri.Contonhya membuka aurat di tempat sunyi dari pandangan manusia seperti di dalam bilik secara bersendirian.
Harus
Hukum melihat aurat adalah Harus jika terpaksa, seperti perubatan. Harus bagi seseoang ahli perubatan sesama jantina dengan pesakit melihat aurat kepada pesakit tersebut, tanpa ada mahram yang menemani. Manakala, jika ahli perubatan berlainan jantina dengan pesakit, diwajibkan ada bersama mahram yang menemani, dengan syarat tiada ahli perubatan sama jantina di sana.
Situasi yang diharuskan ialah kondisi darurat yang dialami pesakit mengikut perspektif perubatan yang boleh mengancam nyawa mereka. Oleh itu, hukum haram melihat aurat bertukar kepada harus ketika rawatan kerana keperluan menjaga nyawa yang bersifat daruriy dan mengikut kadar yang diperlukan sahaja.
Keperluan kepada rukhsah bagi memudahkan prosedur yang menjadi sebahagian langkah untuk memelihara nyawa ini pula merupakan sesuatu yang dibenarkan oleh syarak. Dalam situasi kecemasan dan memerlukan, membuka aurat ketika pemeriksaan dilakukan tidak bercanggah dengan syariat.
Mahram Bagi Lelaki
Mahram Bagi Wanita
Terima kasih kepada MFR Studio kerana memudahkan senarai mahram antara lelaki dengan perempuan menggunakan kartun
KEPENTINGAN MENUTUP AURAT
Salah satu cara menunjukkan tanda kita bersyukur kepada Allah SWT adalah dengan melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala kemungkaran. Menutup aurat adalah satu kewajipan dalam Islam. Berpakaian menutup aurat sewajaranya dilakukan kerana Allah SWT.
Menutup aurat juga hendaklah didasari dengan iman dan taqwa iaitu mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, bukan atas dasar hak asasi atau rutin harian. Allah SWT memerintahkan umat Islam menutup aurat untuk memelihara maruah dan kehormatan serta menghindarkan mereka daripada kejahatan dan dosa.
Islam memberi keadilan kepada wanita dan memuliakannya. Kemuliaan bagi seorang wanita dilihat dari aspek pergaulan, perkahwinan dan aurat. Disamping itu, wanita muslim rasa selamat apabila menutup aurat dengan sempurna. Dengan menutup aurat,akan melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Berpakaian menutup aurat diibaratkan menjaga maruah diri seseorang. Pakaian bagi seorang mukmin bukan sahaja menutup aurat, malah menutup maruahnya, khususnya sebagai seorang wanita.Sebagai seorang mukmin iaitu orang yang beriman kepada Allah Yang Maha Esa, kita harus yakin bahawa Allah SWT Maha Adil dalam menentukan tanggungjawab kepada lelaki dan wanita.