Skip to content

10 Amalan Sunnah Sebelum Solat Subuh

amalan sebelum subuh

Apakah amalan sebelum subuh yang sangat baik untuk diamalkan? Artikel pada kali ini akan berkongsi kepada anda tentang amalan-amalan sebelum subuh yang memberikan kita kebaikan di dunia dan akhirat apabila mengamalkannya dengan sepenuh hati.

Subuh waktu menjemput rezeki dan rahmat Allah

365 hari setahun, 4 minggu sebulan, 7 hari seminggu, 24 jam sehari, waktu subuh iaitu awal pagi adalah waktu yang paling baik bagi umat Islam. Namun setiap hari, waktu yang sangat sukar untuk kita lakukan juga adalah untuk bangun sebelum subuh. 

Badan terasa sangat berat, malas meninggalkan bantal dan selimut, mata pula bagaikan diletak 2 botol gam gajah sehingga sukar untuk celik. Itulah cabaran yang sebenarnya bagi umat Islam melaksanakan kualiti ibadah yang terbaik diwaktu orang lain masih nyenyak berdengkur di atas katil. 

Tips Amalan Sebelum Subuh 

Diberikan semula kenikmatan untuk bernafas selepas tidur adalah kurniaan rezeki oleh Allah SWT. Oleh kerana itu, ambillah kemuliaan pada waktu subuh ini untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amalan seperti: 

1. Solat sunat sebelum subuh 

Ramai orang memandang enteng solat sunat sebagai amalan harian. Namun fadhilatnya begitu besar dengan ganjaran yang tidak disangka-sangka. 

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Sesungguhnya tidak ada suatu sembahyang sunat pun yang begitu dijaga oleh baginda daripada sembahyang dua rakaat sebelum subuh.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Aisyah dari Nabi SAW sabdanya: “Dua rakaat sebelum subuh lebih baik daripada dunia dan seisinya.” – (Hadis Riwayat Muslim) 

Dan pada suatu lafaz “Kedua rakaat tersebut lebih aku cintai daripada dunia ini seluruhnya.”

2. Membaca surah

Ketika solat sunat fajar isi dengan bacaan surah. Saiyidina Umar ketika bertamu di rumah Rasulullah SAW “Aku selalu mendengar Rasulullah SAW membaca surah al-Kafirun (rakaat pertama) dan al-Ikhlas (rakaat ke-2). “Surah ini berkaitan dengan aqidah, maka hendaklah dipasakkan dalam diri agar dapat mengukuhkan keimanan kita. Di samping itu, boleh juga baca surah al-Insyirah dan al-Fiil sebab ulama berkata “Tidak akan terkena padanya yang menyakitinya hari itu.” Membaca kedua-dua surah tersebut sebagai pendinding di awal pagi.

3. Solat subuh (berjemaah atau sendiri)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang solat pada dua waktu yang dingin, maka dia akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ibn Hibban). Dua waktu yang dingin yang dimaksudkan dalam hadis itu ialah solat Subuh dan Asar.

4. Baca doa selepas solat subuh sebanyak 10 kali

Fadilat: Hadis daripada Abu Zar RA berkata, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Barang siapa yang membaca 10 kali selepas solat Subuh dalam keadaan kakinya masih dalam keadaan tahiyat akhir, sebelum berkata-kata, ditulis baginya (sekali bacaan itu) 10 kebaikan, dihapuskan daripadanya 10 kejahatan (dosa), diangkatkan baginya 10 darjat (kedudukan), dan dia pada hari itu terjaga daripada segala perkara yang dibenci, terbenteng diri daripada syaitan serta tidak ada suatu dosa yang dapat membinasakannya pada hari itu kecuali syirik (menyekutukan) Allah.”

5. Membaca zikir “allahumma ajirni minannar” sebanyak 7 kali

Fadilat: Hadis daripada Al-Harits bin Muslim, daripada ayahnya berkata, Nabi SAW bersabda (mafhumnya): “Apabila kamu selesai menunaikan solat Subuh, maka bacalah sebelum kamu berkata- kata: ‘Allaahumma ajirnii minannaar’, tujuh kali, sekiranya kamu meninggal pada hari itu, Allah menulis bagimu perlindungan daripada api neraka. Dan apabila kamu selesai, menunaikan solat Maghrib, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata: ‘Allaahumma ajirnii minannaar’, tujuh kali, sekiranya kamu meninggal dunia pada malam itu, Allah menulis bagimu perlindungan daripada api neraka.”

6. Membaca zikir tasbih sebanyak 3 kali

Lafaz zikir tasbih adalah bersandarkan kepada menyebut nama Allah dengan hati kalimah tasbih iaitu Subhanallah. 

7.  Membaca selawat ummi sebanyak 100 kali

Selawat ummi bila diamalkan 80 kali pada hari Jumaat, boleh diampunkan dosa sebanyak 80 tahun dengan izin Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 80 kali pada hari Jumaat, Allah SWT akan mengampunkan dosanya sebanyak 80 tahun Telah ditanya; Wahai Rasulullah SAW, bagaimanakah selawat itu?”

Baginda menjawab, “Allahumma solli ‘ala Sayyidina Muhammadin a’bdika warasulika nabiyya ummayya.”

Hadis ini diriwayatkan daripada hadis Anas bin Malik dan Abu Hurairah. Walaubagaimanapun ia dikategorikan sebagai hadis dhaif.

8. Membaca Surah At-Taubah ayat 128 & 129 sebanyak 7 kali

Mengamalkan dua ayat terakhir dalam Surah At-Taubah memiliki khasiat yang luar biasa untuk menjemput rezeki mencurah-curah.

9. Membaca ayat seribu dinar

Ayat seribu dinar memang tidak asing lagi dibaca pada setiap pagi. Para ulama mengalakkan ayat ini untuk diamalkan bagi mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat.

Beramal dengan ayat Allah, sesungguhnya ia tidak akan sesekali mendatangkan kerugian sebaiknya kebaikan yang tidak berpenghujung.

Antara kelebihan ayat seribu dinar adalah seperti memperoleh jalan keluar dari segala masalah dan kesulitan, memperoleh kemurahan rezeki yang tidak disangka-sangka, mendapat perlindungan dari segala musibah dan bencana, dan ditunaikan hajatnya oleh Allah SWT.

10. Bersedekah 

Sedekah di waktu pagi akan meluaskan lagi rezeki yang diturunkan oleh Allah SWT kepada kita. Mereka yang ikhlas bersedekah akan mendapat pahala dan rezeki berganda dari tempat yang tidak disangka-sangka oleh Nya. 

Dari Abu Hurairah RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‎مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا ، وَيَقُولُ الآخَرُ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Ketika hamba berada di setiap pagi, ada dua malaikat yang turun dan berdoa, “Ya Allah berikanlah ganti pada orang yang suka berinfak.” Malaikat yang kedua berdoa, “Ya Allah, berikanlah kebinasaan bagi yang enggan bersedekah (memberi nafkah).” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Biarpun jumlah yang didermakan sedikit tetapi amalan yang dilakukan dari hati hanya untuk mendapat keredhaan Allah SWT itu lebih baik dari segalanya. Wujudkan tabung sedekah subuh di rumah kerana ia akan memudahkan dan melatih diri kita untuk bersedekah setiap hari. Apabila tabung mulai penuh, boleh masukkan kesemua tabungan tersebut ke dalam tabung masjid atau sebagainya.

Kesimpulan

Diharapkan artikel berkenaan dengan amalan sebelum subuh ini dapat memberikan anda informasi yang berguna dan bermanfaat untuk diamalkan setiap hari dan dikongsi bersama-sama.

Rujukan

  1. Amalan Orang Soleh, Ustaz Muhadir Haji Joll. Penerbit Galeri Ilmu
  2. Wanita Ini Amalkan Surah At-Taubah Ayat 128 & 129, Tak Sangka Rezeki Datang Melimpah Ruah, Kashoorga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three × four =