Apakah doa yang boleh diamalkan pada hari jumaat berserta amalan yang lain? Artikel ini akan membincangkan beberapa amalan hari jumaat berserta doa yang anda boleh amalkan.
Setiap hari kita dikehendaki untuk beramal soleh. Bukan untuk hari-hari tertentu saja. Namun, dalam Islam, hari jumaat memilikan keistimewaan dan kelebihannya yang tersendiri. Pada hari jumaat adanya solat Jumaat menggantikan solat Zuhur. Adanya khutbah Jumaat dan solat dua rakaat. Perempuan tidak diwajibkan, maka perlulah mereka bersolat Zuhur seperti biasa. Apa pentingnya?
Pentingnya adalah kesatuan umat Islam. Pemimpin (lelaki) dikumpulkan di masjid untuk mendengar khutbah mengingatkan kepada banyak perkara berunsurkan keagamaan supaya sentiasa dalam keadaan sedar akan halal-haram, dosa-pahala, syurga-neraka dan lain-lain. Sebab, waktu solat lain bukannya semua hadir ke rumah Allah bersama-sama solat jemaah. Namun, hari jumaatlah masanya semua lelaki muslim berkumpul.
Rasulullah bersabda di dalam hadis riwayat Muslim:
“Hari yang terbaik yang mana matahari terbit adalah hari jumaat. Pada hari itu (Nabi) Adam diciptakan, dia dimasukkan ke dalam syurga, dan dia diusirkan dari situ.“
Hari ini juga diwajibkan bagi lelaki untuk bersolat Jumaat sepertimana yang Allah firmankan di dalam Surah Al-Jumu’ah ayat 9:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),”
Ayat ini menceritakan tentang wajibnya pergi solat Jumaat dan tinggalkan sebarang hal-ehwal keduniaan seketika termasuklah bisnes dan sebagainya. Sebab itu juga, haram untuk meniaga ketika azan Jumaat telah dikumandangkan. Sebab waktu itu, semua sudah wajib pergi ke masjid bersiap sedia untuk solat Jumaat.
Hari jumaat juga disebut sebagai hari pertemuan. Pertemuan antara semua umat Islam untuk mengabdikan diri serta melakukan amal soleh kepada Tuhan yang Maha Esa, bersama-sama. Kebersamaan ini menunjukkan kekuatan orang Islam. Seperti lidi. Cuba patahkan satu lidi. Mudah, bukan? Cuba kumpulkan 100 lidi, cuma patahkan dengan pergelangan tangan sepertimana yang kita lakukan pada satu lidi tadi. Susah, bukan? Itulah kekuatan berjemaah.
Selain solat Jumaat, apa lagi amalan yang boleh kita lakukan pada hari yang mulia ini?
Amalan pada hari Jumaat
1. Mandi sunat hari jumaat
Rasulullah bersabda di dalam hadis riwayat Bukhari:
“Barangsiapa di antara kamu yang hadir pada hari Jumaat (solat) patut mandi.“
Sunat hukumnya kita mandi pada pagi jumaat sebelum nak ke masjid untuk solat Jumaat. Mandinya seperti biasa (boleh guna pakai cara mandi wajib), namun diniatkan untuk solat Jumaat. Mandi itu hendaklah selepas Subuh hari Jumaat, sebelumnya tidak dikira.
Selain itu juga, sunat juga untuk pakai pakaian yang baik, siwak (berus gigi) dan memakai minyak wangi, bertepatan dengan hadis Rasulullah riwayat Ibn Majah:
“Wahai umat Islam! Allah Taala telah menjadikan hari ini (Jumaat) sebagai hari ‘Eid. Oleh itu, mandilah pada hari ini, sesiapa yang mempunyai minyak wangi harus memakainya, dan menggunakan miswak (berus siwak).”
2. Membaca Surah Kahf
Selalunya orang baca Yasin malam jumaat. Tak salah. Cumanya, untuk merangkul pahala bertepatan dengan galakan Rasulullah, adalah lebih baik kita mengutamakan dulu apa yang Rasulullah galakkan. Bukannya kita nak membidaahkan Surah Yasin. Nak baca Surah Yasin, silakan. Itu adalah bertepatan dengan dalil umum yang memuliakan malam membaca Al-Quran pada bila-bila masa, tak kiralah malam jumaat atau apa. Tapi, ada hadis yang Rasulullah khususnya satu Surah untuk dibaca pada hari jumaat.
“Sesiapa yang membaca Surah Kahfi pada hari Jumaat, akan ada cahaya terang yang bersinar baginya antara dua hari Jumaat.” (Riwayat An-Nasaie)
Yang mana Surah ini menceritakan beberapa orang hamba Allah yang menyorok di dalam gua kerana nak selamatkan akidah mereka daripada diancam orang ramai. Bila mereka tertidur dalam gua itu. Bangun saja mereka, mereka keluar dari gua tersebut, mereka terkejut tiba-tiba tengok semua orang sudah menjadi orang beriman. Tiba-tiba saja. Rupa-rupanya dengan kuasa Allah, mereka tidur itu sudah beratus tahun!
Merujuk hadis di atas, cahaya itu bersinar sampai ke jumaat minggu depan. Eloknya, kita baca pada hari khamis malam selepas Maghrib, sehinggalah sebelum waktu Maghrib hari jumaat. Bila-bila dalam lingkungan waktu ini, disunatkan membaca Surah Kahf.
Berbeza dengan mandi sunat Jumaat tadi. Jumhur ulama suruh mandi lepas waktu Subuh hari Jumaat, sebelum itu tidak dikira, ini adalah pandangan Imam Nawawi, Ibnu Taymiyyah, Ibnu Hazm dan lain-lain.
3. Banyak-banyakkan berdoa
Rasulullah bersabda di dalam hadis riwayat Tirmidzi:
“Tidak ada hari yang lebih mulia daripada hari Jumaat. Ada satu jam pada hari ini sehingga tidak ada orang Islam yang akan berdoa di dalamnya kecuali bahawa doanya akan diterima. Dan dia tidak meminta perlindungan dari apa pun kecuali bahawa Allah akan memberinya perlindungan.“
Sebagai orang Islam, kita harus mengambi peluang ini. Doa itu adalah meninggikan Allah. Kerana apabila kita meminta sesuatu daripadaNya, maknanya kita akui yang kita ini hamba yang lemah serta memerlukan meninggikan Tuhan sebagai Maha Pemberi. Mintalah. Kalau oleh setiap waktu pada hari ini (jumaat). Mintalah.
Waktu yang paling mustajab mengikut pendapat fatwa Mufti Wilayah Persekutuan (pendapat yang beliau pilih), adalah lepas Asar (hari jumaat itu) sampailah Maghrib.
Artikel berkaitan: Adab-adab Berdoa dan Waktu Mustajab
4. Datang awal ke masjid sebelum nak solat Jumaat
Rasulullah bersabda di dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim:
“Pada hari jum’ah, para malaikat berdiri di pintu masuk masjid itu di mana solat jum’ah hendak didirikan. Mereka menuliskan nama orang yang memasuki masjid terlebih dahulu, dan selepas itu nama orang yang selepas itu pula (begitulah seterusnya), dan mereka terus melakukan ini. Orang yang masuk pertama akan mendapat pahala mengorbankan seekor unta di jalan Allah, orang yang mengikutinya akan mendapat pahala mengorbankan seekor lembu, selepas itu seekor ayam, setelah itu pahala pemberian telur sebagai amal di jalan Allah. Ketika khatib mula nak beri khutbah, para malaikat menggulungkan catatannya dan (duduk) mula mendengar khutbah.”
Kalau boleh, datanglah seawal yang kita mampu. Jangan pula pergi melawan bos sebab nak datang awal ke masjid. Ini galakan sahaja. Bukan kemestian, Kerja itu, kerjalah seperti biasa. Nanti, sudah waktu rehat, pergilah ke masjid seawal yang kita mampu. Allah menilai kualiti. InshaAllah.
5. Perbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad
Rasulullah bersabda di dalam hadis riwayat Al-Baihaqi
“Perbanyakkanlah berselawat kepadaku pada malam dan hari Jumaat, siapa yang berselawat untukku sekali, Allah akan berselawat untuknyya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali).“
Selawat itu umumnya doa yang baik-baik baik berupa kesejahteraan, kerahmatan dan sebagainya kepada junjungan besar Nabi Muhammad. Kerana Selawat itu kata jamak untuk perkataan solat. Baik kalimah yang panjang, mahupun pendek seperti Allahumma Solli Ala Muhammad, pun sudah baik. Yang penting, berselawatlah banyak-banyak untuk baginda.
Doa hari jumaat
Ya Allah pada pagi Jumaat yang mulia ini anugerahkanlah kami rahmatMu Ya Allah, tempatkanlah kami di dalam perlindunganMu Ya Allah.
Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, seluruh keluarga kami, guru-guru kami, sahabat-sahabat kami serta sekalian muslimin dan muslimat di dunia ini.
Ya Allah, kami memohon kurniakanlah kepada kedua ibu bapa kami tempat yang istimewa di syurgaMu Ya Allah.
Ya Allah tenangkanlah hati kami dengan segala perkara yang menimpa kami Ya Allah.
Ya Allah, perkuatkanlah semangat kami untuk beramal kepadaMu Ya Allah.
Ya Allah kuatkanlah dan sempurnakanlah iman kami. Ya Allah, terimalah taubat kami.
Ya Allah, panjangkanlah umur kami, kurniakanlah kami keselamatan dan kesihatan yang baik.
Ya Allah tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan benar.
Ya Allah berkatilah kehidupan kami di dunia dan di akhirat dan masukkan kami ke dalam syurga FirdausMu Ya Allah.
Ya Allah didiklah diri kami untuk menerima segala kepahitan hidup dengan sabar dan reda kerana setiap kepahitan itu Engkau telah janjikan ganjaran baik-baik.
Ya Allah bimbinglah kami dalam menjaga hati kami, bantulah kami dalam menjaga akhlak kami, pimpinlah kami dalam menjaga lisan dan perbuatan kami dan peliharalah diri kami daripada membeci dan dibenci.
Ya Allah janganlah kami dilalaikan daripada mengerjakan amal bakti oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapatkan harta benda, pangkat serta pengaruh.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami memohon ke hadratMu, berikanlah kami kekuatan, taufiq dan hidayahMu supaya dapat kami memperbaiki diri kami.
Dorongkanlah kami utk mempertingkatkan keimanan kami, menambah ilmu kami serta amalan baik kami.Sesungguhnya kami adalah kepunyaanMu Ya Allah dan kepadaMu jualah kami kembali.
Masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dan hidayahMu Ya Allah. Amin Ya Rabbal Alamin.
Doa ini sumber daripada Datuk Wira Dr. Maznah Hamid. Wajar dijadikan contoh untuk kita berdoa kerana tidak ada doa yang khusus untuk hari jumaat melainkan doa yang ikhlas daripada hati kita tentang apa yang kita nak. Itu sahaja.
Dalam doa itu wajarlah diisi dengan rendah diri, minta keampunan, kerahmatan, hidayahNya dan kemudahan dalam menjalani kehidupan yang berliku-liku ini dengan jiwa yang tenang lagi selamat. Moga-moga Allah menjaga kita. Wallahu’alam.
Rujukan:
- 10 amalan sunat hari jumaat. (n.d.). Retrieved from Alaf 21
- Doa Yang Baik Di Hari Jumaat. (2016). Retrieved from Info Pelajar:
- Fathi, M. (2019). 10+ Hadiths about Friday. Retrieved from About Islam
- IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-126: WAKTU MUSTAJAB PADA HARI JUMAAT. (2016). Retrieved from Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
- Media, M. (2018). The Virtues of Friday (Jummah). Retrieved from Muslim Village
- Reading, Q. (2014). Etiquettes and Special Deeds For The Day Of Jummah (Friday). Retrieved from Quran Reading
- Reading, Q. (2018). The Blessings and Special Deeds of Friday-Best Day of the Week. Retrieved from Quran Reading : http://www.quranreading.com/blog/the-blessings-and-special-deeds-of-friday-best-day-of-the-week/
- Sam, A. (2020). Benefits of Friday according to Islam. Retrieved from Notes Read
- Shafii-Q. (n.d.). Selawat. Retrieved from Shafiqolbu
- When does the time in which it is mustahabb to do ghusl on Friday begin? (2009). Retrieved from Islam Question & Answer