Apakah amalan bulan Ramadhan? Artikel pada kali ini akan membincangkan mengenai beberapa amalan yang amat digalakkan dibuat dalam bulan Ramadhan berpandukan dalil dari Al-Quran dan Hadis.
Pengenalan
“Ahlan Wa Sahlan Yaa Ramadan.” Begitulah ucapan kita setiap kali tiba pada kedatangan bulan penuh mulia, Ramadhan Al-Mubarak. Sesungguhnya mereka yang tahu akan kelebihan-kelebihan pada bulan ini, pastinya tidak akan melepaskan kesempatan untuk buat amalan bulan Ramadhan setiap masa walaupun sesaat. Jika pahala itu seperti butir emas yang boleh manusia nampak pada zahir maka berpusu-pusulah mereka merebutnya. Namun jauh daripada itu, pahala di bulan Ramadhan lebih bernilai dan mahal dari apa jua barang berharga yang kita temukan di atas muka bumi hatta emas dan permata.
Rasulullah SAW ada bersabda:
Maksudnya: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkahan, AIlah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu, kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini.” – (Hadis Riwayat At-Thabrani)
Amalan bulan Ramadhan yang boleh dilakukan sendiri atau bersama keluarga
Bulan Ramadhan hadir dalam hidup kita sekali dalam setahun. Namun sebulan itu lebih berharga dari sebelas bulan yang lain. Oleh kerana itu, penuhkan amalan bulan Ramadhan ini dengan amal ibadah yang banyak contohnya seperti yang dinyatakan di bawah:
1. Berpuasa
Berpuasa memang amalan bulan Ramadhan yang wajib dilakukan. Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala, maka diampuni baginya dosa-dosa yang telah lalu.” – (Hadis Riwayat dan Muslim)
Seorang Muslim yang beriman pasti tahu akan rukun islam ketiga ini kerana ia wajib diperintahkan kepada kita kecuali terdapat kelonggaran yang dibenarkan oleh syarak seperti keuzuran dan haid.
2. Solat tarawih
Solat tarawih adalah solat sunat muakkad yang sangat dituntut dikerjakan oleh umat Islam lelaki atau wanita pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan sama ada secara berseorangan atau berjemaah. Banyak kelebihannya yang boleh kita peroleh.
3. Bertadarus Al-Quran
Jika boleh cuba untuk khatam Al-Quran dalam bulan Ramadhan ini. Satu Al-Quran mengandungi 30 juzuk. Nampak macam banyak, tetapi jika di perincikan setiap juzuk hanya mengandungi 20 muka surat atau lebih kurang bersamaan 10 helaian.
Untuk capai target khatam Al-Quran dalam bulan Ramadhan, kita boleh praktikkan baca Al-Quran 4 muka surat setiap kali selepas solat 5 waktu. Dalam sehari, insha Allah tidak ada masalah untuk habiskan satu juzuk.
4. Banyakkan bersedekah
Rasulullah SAW tidak akan melepaskan peluang untuk bersedekah pada bulan Ramadan sepertimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari:
Maksudnya: “Adalah Nabi seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan”. Baginda SAW sangat menekankan kepada kita untuk perbanyakan amalan bersedekah khususnya pada bulan Ramadhan kerana ganjarannya sangat hebat: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.” – (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)
Bersedekah bukannya dari segi wang ringgit sahaja. Walaupun sekadar sebiji tamar dan seteguk air untuk orang lain berbuka puasa, ia sudah memadai. Bersedekah semampu kita yang penting ianya ikhlas dari hati.
5. Menghidupkan 2/3 malam
Sesiapa yang berjaya melakukan dua jihad ini dengan sebaik-baiknya, baginya ganjaran yang amat besar. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Amalan menghidupkan 2/3 malam ini sangat digalakkan khususnya pada 10 malam terakhir Ramadhan kerana ketika itu adanya malam istimewa dari 1000 bulan iaitu malam lailatul qadar. Rasulullah SAW sendiri memohon kepada Allah Taala agar malam bersejarah yang penuh hikmah itu berkenaan menemuinya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesugguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, di dalamnya terdapat malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam tersebut lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam tersebut sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara tersebut kecuali orang-orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah Taala.” – (Hadis riwayat Ibnu Majah)
6. Menahan marah
Hendak dibandingkan antara menahan lapar dan dahaga dengan menahan amarah, sudah tentunya menahan marah lebih sukar dilakukan lebih-lebih lagi ketika dalam bulan suci Ramadhan. Kadang kala hanya kerana perkara kecil, ia boleh menyebabkan emosi kita tidak menentu.
Ini adalah perjuangan untuk kita mengawal amarah dalam diri. Jika tidak, Allah SWT tidak akan menyifatkan orang yang berjaya kawal marah ini sebagai ciri orang yang bertaqwa seperti mana dalam surah Ali-Imran, ayat 134:
Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.”
7. Bersahur dan menyegerakan berbuka
Dalam konteks ini terdapat dua keadaan yang perlu kita perhati iaitu ketika bersahur dan berbuka puasa. Bagi bersahur, kita disunatkan untuk sahur dan melewatkan sahur.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, Nabi SAW telah bersabda:
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً
Maksudnya: “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.”
Keutamaaan sahur walaupun sekadar sunat tetapi ia amat dituntut kerana inilah yang membezakan amalan puasa umat Islam dan amalan puasa ahli kitab yang lain. Bahkan dalam sudut sains dan kesihatan, sahur bertindak sebagai sarapan yang memberi kebaikannya dalam gaya hidup manusia setiap hari.
Kita disuruh untuk melewatkan waktu sahur iaitu kira-kira 10 minit sebelum masuknya waktu azan subuh. Hikmah melewatkannya agar umat Islam tidak tertinggal waktu subuh dan bersegera menunaikan solat subuh.
Bagi berbuka puasa pula, ia perlulah disegerakan sejurus sahaja laungan azan maghrib berkumandang di kawasan kita.
Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Manusia sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sunnah berbuka dengan kurma dan air terlebih dahulu. Berbuka sekadar mengalas perut untuk menunaikan solat magrib, bukannya sampai kita kekenyangan.
8. Menunaikan zakat fitrah
Zakat fitrah adalah kewajipan fardhu ain bagi setiap umat Islam. Dilaksanakan pada bulan Ramadhan bagi tujuan membersihkan dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa.
Sabda Rasulullah SAW dari Ibn Umar yang bermaksud:
Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum, pada hamba sahaya, orang yang merdeka, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang dewasa dari kaum Muslimin. – (Hadis Riwayat Bukhari)
9. Berikhtikaf pada 10 malam terakhir
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sahih Muslim yang bermaksud: “Setiap amalan anak Adam, pahalanya akan digandakan sepuluh kali ganda sehinggalah tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku. Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya”.
10. Banyakkan berdoa
Sabda Rasulullah SAW: “Siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah SWT, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu”. (Muttafaqun ‘Alaih).
Sentiasa berdoa dalam bulan Ramadhan ini khususnya setiap kali selepas berbuka puasa. Sedang kita sibuk menikmati hidangan di depan mata, jangan lepaskan berdoa sebagai amalan dalam Ramadhan kerana diriwayatkan oleh Tirmidzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Ada 3 golongan yang tidak ditolak doa mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”
Kesimpulan
Diharapkan artikel berkenaan dengan amalan bulan Ramadhan ini dapat memberikan anda pendedahan dan perkongsian yang sarat dengan ilmu pengetahuan untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Semoga bulan Ramadhan ini kita dapat meraih pahala sebanyak yang boleh. Mungkin ini Ramadhan terakhir, moga Alllah memberkati dan menerima amal ibadah yang dilakukan.
Rujukan
- Panduan Amalan di Bulan Ramadhan, JAKIM
- Persediaan Untuk Pecutan 10 Hari Terakhir Ramadan. Harakahdaily
- Bayan Linnas Siri Ke-62: Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan. Mufti Wilayah Persekutuan