Apakah kelebihan surah At-Taubah yang perlu anda tahu dan kepentingannya dalam kehidupan manusia? Artikel pada kali ini akan berkongsi secara mendalam aspek-aspek yang ditekankan dalam Surah At-Taubah dan kelebihan yang ada padanya namun tidak ramai orang tahu.
Apakah surah At-Taubah?
Surah At-Taubah salah satu daripada surah di dalam Al-Quran yang berada dalam surah ke-9 dan mengandungi 129 ayat keseluruhannya. Ia diturunkan pada tahun 9 Hijrah di Madinah kecuali dua ayat terakhir dan merupakan antara surah-surah terakhir yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW.
At-Taubah bererti permohonan ampun kepada Tuhan dari kesalahannya. Selain nama At-Taubah, surah ini turut dikenali sebagai Bara’ah (berlepas diri atau tidak mahu terikat lagi dengan perjanjian), Al-Faadhihah (mendedahkan keburukan / kejahatan kaum munafiq), dan Al-Muba’tsirah (pembongkaran kecurangan orang yang memusuhi Islam).
Ini disebut sediri oleh Imam al-Khatib al-Syirbini di dalam tafsirnya. Walau bagaimana pun, ulama tafsir ada sebahagiannya mengatakan bahawa surah tersebut mempunyai 14 buah nama. Surah ini mengandungi 2497 kalimah dan 10,887 huruf di dalamnya.
Mengapa diturunkan Surah At-Taubah?
Berdasarkan pendapat dari As Syeikh Dr Muhammad Ai As-Sobuni, surah ini mengandungi dua tujuan utama ia diturunkan.
1. Penerangan tentang undang-undang muamalat dengan orang-orang musyrikin dan ahli kitab
- Dikatakan, sebelum ini Rasulullah SAW mempunyai perjanjian dengan kaum musyrikin. Namun, kaum tersebut sudah banyak kali melanggar perjanjian itu dengan melakukan kerjasama bersama kaum Yahudi daripada Bani Nadir, Bani Quraizah.
- Bani Qainuqa’ pula telah mengkhianati Rasulullah SAW kemudian surah At-Taubah diturunkan bagi membatalkan perjanjian yang telah dibuat sebelum ini.
2. Menyingkap keadaan umat Islam ketika Rasulullah SAW memerintahkan mereka untuk memerangi Rome dalam peperangan Tabuk.
- Sebahagian orang tidak menyertai Perang Tabuk bersama Rasulullah, walaupun perintah perang diperintahkan oleh Allah sendiri.
- Orang munafiqun mempunyai perancanga jahat dan tipu daya mereka yang licik.
Surah At-Taubah dan Perang Tabuk
Menurut Ibnu Kathir, awal surah At-Taubahi diturunkan ketika Rasulullah SAW dalam perjalanan pulang dari peperangan Tabuk. Peperangan tabuk adalah peperangan bertemu dengan tentera Rome ketika musim panas, mengharungi perjalanan jauh, dan ketika itu ada banyak buah-buahan yang masak ranum sehingga menyebabkan manusia lebih memilih untuk tinggal di tempat masing-masing menikmati nikmat kehidupan.
Analogi yang ditunjukkan ini menjelaskan kita mengenai bagaimana orang beriman berhadapan dengan pujian. Atau dalam kata lain sejauh mana keimanan mereka kepada Allah dan patuhnya untuk mematuhi segala suruhan Nya ketika perintah peperangan diisytiharkan.
Surah yang tidak dimulakan dengan basmalah
Perbezaan besar surah At-Taubah berbanding surah-surah yang lain adalah permulaan surah ini tidak dimulakan dengan lafaz basmalah.
Imam al-Qurtubi ada menyatakan di dalam tafsirnya lima sebab mengapa hal semacam ini terjadi kerana:
- Golongan Arab pada zaman Jahiliyyah apabila di antara mereka terdapat kaum yang melakukan perjanjian kemudian ingin memutuskan perjanjian itu, maka mereka tidak akan menulis lafaz basmalah pada surat untuk memutuskan perjanjian itu.
- Saidina Usman RA menceritakan bahawa ketika diturunkan sesuatu ayat maka Baginda SAW akan memanggil tukang tulisnya untuk menulis dan meletakkan sesuatu surah serta ayat pada tempat yang ditentukan oleh Baginda SAW.
- Ada kesinambungan daripada surah al-Baqarah oleh kerana itulah tidak ditulis di antaranya lafaz Basmalah.
- terdapat perselisihan para sahabat Rasullullah SAW berkenaan dengan surah al-Taubah ketika aman Saidina Usman menghimpunkan Al-Quran
- lafaz Basmalah merupakan lafaz keamanan dan surah al-Taubah diturunkan kerana peperangan.
Kelebihan Surah At-Taubah
Manfaat dan kelebihan surah At-Taubah ini kebanyakkannya di ambil oleh perkongsian dari pelbagai orang yang telah mengamalkannya. Antara kelebihan yang dimaksudkan itu adalah:
1. Dipermudahkan urusan dunia dan akhirat
Surah ini mempunyai khasiat dalam mempermudahkan urusan di dunia dan akhirat seseorang. Jika dibaca tujuh kali setiap hari, maka ia boleh memudahkan urusan dunia dan akhirat.
Manakala jika dibaca paa waktu pagi, ia boleh menjauhkanancaman untuk hari itu, Begitu juga jika dibaca pada waktu petang, boleh menghindarkan ancaman pada waktu malamnya.
2. Memperoleh kelapangan hidup
Ujian dan masalah tidak akan sesekali menghimpit hidup manusia. Itu sudah pun menjadi lumrah dalam kehidupan. Di saat inilah, adanya Al-Quran bukan sahaja menjadi kitab panduan untuk umat Islam.
Bahkan ia membantu memberi kedamaian dan ketenangan dalam hati dan jiwa kita. Menghayati makna dari ayat-ayat Al-Quran akan menjadi solusi untuk kita keluar dari kesusahan dan kesedihan.
3. Hilang segala kesusahan
Al-Quran penawar dari segala kegelisahan, rasa takut dan kesedihan. Perkara ini dijelaskan Allah SWT dalam Al-Quran surah Al-Ma’rij ayat 19 – 20 yang bermaksud:
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut), apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah.”
4. Rezeki datang melimpah ruah
Dua ayat terakhir surah At-Taubah iaitu ayat ke 128 – 129 dikatakan mempunyai khasiat yang luar biasa. Mereka yang mengamalkan ayat ini sebanyak 7 kali selepas solat fardhu akan dikurniakan rezeki yang melimpah ruah.
Surah At-Taubah ayat 128 san 129 bermaksud:
128: “Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu dan amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang mukmin.”
129: “Jika mereka berpaling (daripad keimanan), maka katakanlah; “Cukuplah Allah bagiku, tiadak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada Nya aku bertawakal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki Arasy (singgahsana) yang agung.”
5. Menjadi kuat
Allah SWT berfirman dalam surah At-Taubah, ayat 51:
Maksudnya: Katakanlah: “Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami Dialah Pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal.”
Rahsia benteng diri adalah dengan mengamalkan dua ayat terakhir dari surah ini. Ia mujarab untuk melindungi diri untuk kekebalan dari segala macam senjata lawan yang menyerang.
6. Memperoleh kemuliaan
Daripada Abu Umamah RA., Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim)
Umumnya, amalan membaca Al-Quran perlu diteruskan setiap hari. Al-Quran mempunyai kelebihan dan kemuliaan yang tersendiri buat mereka yang istiqamah dalam mempelajari, membaca, dan mengamalkannya.
7. Segera mendapatkan pertolongan
Maksud penting dalam surah ini adalah memberi pertolongan. Dalam ayat ini, Allah SWT telah memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar memberi perlindungan kaum musyirikn yang berminat kepada agama Islam dan menjaga keselamatan serta menolong dalam kesusahan.
Ini sekaligus, dapat menunjukkan keperibadian Rasulullah SAW dan teladan yang baik kepada mereka.
8. Disegerakan membayar hutang
Terdapat beberapa surah di dalam Al-Quran, apabila dibaca dan diamalkan maka kita akan mendapat kecukupan segala nikmat dari Allah. Ini termasuklah surah At-Taubah.
Amalan surah ini boleh menjauhkan diri dari kemiskinan dan selanjutnya menyegerakan mereka yang berhutang untuk segera membayar hutang.
9. Mengembalikan barang yang hilang
Pada hkikatnya, Islam tidak menolak akan kebolehan syaitan atau jin dalam menyorok sesuatu baran termasuklah tubuh manusia itu sendiri. Hal ini disebabkan, Allah berkuasa untuk mengabulkan permintaan syaitan dan jin yang jahat sekalipun.
Amalan mengamalan surah At-Taubah diyakini dapat mengembalikan barang yang telah hilang. Namun kita perlulah sedar pada hakikat bahawa kesemua yang berlaku atas izin Allah SWT jua.
Allah SWT berfirman dalam surah At-Taubah, ayat 46:
۞ وَلَوْ أَرَادُوا الْخُرُوجَ لَأَعَدُّوا لَهُ عُدَّةً وَلَـٰكِن كَرِهَ اللَّهُ انبِعَاثَهُمْ فَثَبَّطَهُمْ وَقِيلَ اقْعُدُوا مَعَ الْقَاعِدِينَ
Maksudnya: “Dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk turut berperang), tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya; tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka, dan dikatakan (oleh Syaitan): “Tinggalah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal.”
10. Sebagai pelaris ayat Al-Quran
Allah SWT berfirman dalam surah At-Taubah, ayat 111:
۞ إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”
Pelaris yang dimaksudkan di sini adalah bagi tujuan pengasih. Al-Quran memang tidak lari dari khasiat perubatannya termasuklah ilmu pengasih yang bertujuan baik.
Diharapkan artikel berkenaan dengan kelebihan Surah At-Taubah ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat dan ilmu pengetahuan yang berguna.
Rujukan
- Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-415: Bolehkah Membaca Basmalah Ketika Membaca Surah Al-Taubah. Mufti Wilayah Persekutuan
- Ini Sebab Surah At-Taubah Tidak Didahului Basmalah. Bincang Syariah
- Kelebihan Surah At-Taubah. UTM