Apakah mukjizat Nabi Musa AS yang perlu anda ketahui? Artikel pada kali ini akan mengajak anda untuk mengenali latar belakang Nabi Musa AS di samping kehebatan mukjizat yang Allah SWT berikan kepada baginda.
Sejarah Nabi Musa AS
Nabi Musa AS atau nama penuhnya Musa bin Imran adalah daripada keturunan Nabi Yaakub AS (putera Nabi Ishaq AS). Baginda hidup pada tahun 1527-1408 sebelum Masihi dan di angkat menjadi nabi pada tahun 1450 sebelum Masihi. Nabi Musa yang merupakan salah seorang dari ulul azmi, iaitu Rasul pilihan yang mempunyai ketabahan dan kesabaran yang luar biasa. Nabi Musa mendapat gelar ulul azmi bersama dengan Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Isa dan Nabi Muhammad. Baginda diutus untuk menyebarkan wahyu Allah kepada kaum Bani Israil dan Firaun yang hidup di zaman tersebut. Bagaimanapun, Firaun angkuh enggan menerima kebenaran dan memerangi golongan mukmin.
Perbezaan mukjizat maknawi dan mukjizat hissi
Secara umumnya, mukjizat membawa erti sebagai perkara luar biasa yang dikurniakan Allah kepada para Nabi dan Rasul. Tujuannya adalah untuk membuktiikan kebenaran tentang kenabian dan kerasulan mereka serta kesahihan risalah yang dibawa disamping melemahkan musuh-musuh Allah.
Namun begitu, terdapat dua jenis mukjizat yang anda perlu percaya dan bezakan iaitu mukjizat maknawi dan mukjizat hissi.
Ciri-ciri | Mukjizat Maknawi | Mukjizat Hissi |
Pengertian | Mukjizat yang dapat dikesan dan dihayati melalui minda dan mata hati. Ia sukar difahami dan tidak dapat dilihat dengan jelas, kecuali menerusi penelitian, kajian dan pemikiran yang mendalam. | Mukjizat yang dapat dikesan dan dilihat oleh pancaindera. Yang mana ia tidak memerlukan kepada kajian yang mendalam |
Tujuan | 1. Sebagai cop ketuhanan yang membenarkan kerasulan Nabi dan Rasul | 1. Memudahkan orang-orang yang kurang tajam akal fikirannya dan kurang terang mata hatinya mempercayai kenabian dan kerasulan seseorang pesuruh Allah. 2. Membuktikan kebenarannya sebagai Rasul Allah yang diutuskan bagi memimpin umat manusia pada masanya. |
Nama lain | Mukjizat Akli | Mukjizat Indrawi |
Contohnya | 1. Kitab suci al-Quran 2.Peristiwa Israk dan Mikraj | 1. Bulan terbelah dua. 2. Awan memayungi Nabi Muhammad SAW. |
Nabi Musa AS dan 9 mukjizat
Nabi Musa AS telah di berikan sembilan mukjizat dari Allah SWT seperti yang sebut dalam firmanNya.
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Musa sembilan buah mukjizat yang nyata, maka tanyakanlah kepada Bani Israil, tatkala Musa datang kepada mereka lalu Fir’aun berkata kepadanya: “Sesungguhnya aku sangka kamu, hai Musa, seorang yang kena sihir”. (Surah Al-Isra: ayat 101)
Dalam senarai yang di buat ini, 3 mukjizat terakhir akan dirangkumkan sekali berkenaan dengan serangan binatang dan darah. Menjadikan bilangan asalnya adalah 9 mukjizat.
1. Tongkat berubah menjadi ular
Firman Allah SWT dalam Surah Asy-Syuaraa, ayat 32:
فَأَلْقى عَصاهُ فَإِذا هِيَ ثُعْبانٌ مُبِينٌ
Maksudnya: “Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata”.
Allah SWT telah memerintahkan Nabi Musa AS untuk melemparkan tongkat yang berada di tangannya ke tanah. Dengan izin Allah SWT, maka tongkat itu berubah menjadi ular yang sebenar, panjang dan menakutkan. Baginda menyangkakan yang ular itu akan mematuk baginda tetapi Allah SWT telah memberi petunjuk kepada baginda supaya jangan gentar dan disuruh pula menangkap ular tersebut. Apabila baginda menyentuh sahaja ular tersebut, ia bertukar menjadi kayu semula. Keadaan luar biasa itu menyebabkan baginda amat terkejut sekali.
2. Tangannya bersinar putih
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
اسْلُكْ يَدَكَ فِي جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَاءَ مِنْ غَيْرِ سُوءٍ وَاضْمُمْ إِلَيْكَ جَنَاحَكَ مِنَ الرَّهْبِ ۖ فَذَانِكَ بُرْهَانَانِ مِنْ رَبِّكَ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ
Maksudnya: “Masukkanlah tanganmu ke leher bajumu, nescaya ia keluar putih tidak cacat bukan kerana penyakit, dan dekapkanlah kedua tanganmu (ke dada) mu bila ketakutan, maka yang demikian itu adalah dua mukjizat dari Tuhanmu (yang akan kamu hadapkan kepada Fir’aun dan pembesar-pembesarnya). Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Surah Al-Qasas: ayat 32)
Allah memerintahkan Nabi Musa AS untuk meletakkan tangannya di bawah ketiak. Apabila baginda berbuat demikian dan mengeluarkan semula tangan baginda, maka terpancarlah cahaya putih daripada tangan baginda. Apabila dimasukkan semula tangan di bawah ketiak lalu dikeluarkan, maka ia berubah menjadi seperti sediakala.
3. Menghukum Firaun dengan kemarau dan wabak
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
وَلَقَدْ أَخَذْنَا آلَ فِرْعَوْنَ بِالسِّنِينَ وَنَقْصٍ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan sungguh, Kami telah menghukum Fir’aun dan kaumnya dengan (mendatangkan musim kemarau) bertahun-tahun dan kekurangan buah-buahan, agar mereka mengambil pelajaran.” (Surah Al-A’raf: ayat 130)
Tiga ayat terakhir dari Surah Al-A’raf ini menceritakan situasi di mana Firaun dan kaumnya telah diuji oleh Allah SWT dengan diturunkan musim kemarau. Firaun berkeras hati enggan membebaskan Bani Israil dari cengkramannya.
Lalu Allah SWT memberitahukan hal itu kepada Nabi Musa seterusnya, memerintahkannya agar memperingatkan Firaun tentang perbuatannya, dengan ancaman Allah SWT akan mengirimkan kepada mereka belalang-belalang yang akan merosakkan tumbuh-tumbuhan, pepohonan, dan rumah-rumah penduduk.
Sungguh pun begitu, Firaun hanya melepaskan beberapa orang Bani Israil sahaja, sehingga peringatan itu terjadi dan menghancurkan seluruh tumbuh-tumbuhan dan pepohonan, sehingga tidak ada satu pun yang tersisa. Firaun akhirnya menyedari kesalahannya, dan memohon kepada Nabi Musa dan Nabi Harun agar Tuhan-nya dapat menghilangkan binatang tersebut.
4. Melenyapkan harta
Firaun hidup dalam penuh kemewahan, kemasyuran, dan kekuasaan. Semua yang disangkanya adalah milik kekal untuk dirinya sendiri tanpa sedar telah melahirkan sikap Firaun yang tamak, kejam, sombong, dan zalim. Dia tidak tunduk kepada Allah SWT, Tuhan yang Maha Kaya memberikan semua harta dan rezeki malah sebaliknya mencabar kekuasaan-Nya.
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً وَأَمْوَالًا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَنْ سَبِيلِكَ ۖ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَىٰ أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ
“Dan Musa berkata, “Ya Tuhan kami, Engkau telah memberikan kepada Firaun dan para pemuka kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia. Ya Tuhan kami, (akibatnya) mereka menyesatkan (manusia) dari jalan-Mu. Ya Tuhan, binasakanlah harta mereka dan kuncilah hati mereka sehingga mereka tidak beriman sampai mereka melihat azab yang pedih.” (Surah Yunus: ayat 88)
Lalu, Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintah Aku seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janji-Ku)”. (Surah Yunus: ayat 89)
Allah telah memperkenankan doa dan permintaan Nabi Musa tersebut. Lalu diturunkan satu persatu azab sebagai teguran terakhir kepada Firaun.
5. Membelah laut
Mukjizat Nabi Musa AS yang mampu untuk membelah laut sangat terkenal dalam mana-mana pembacaan. Peristiwa ini juga menjadi titik tolak pada kehancuran Firauan dan kaumnya.
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
وَلَقَدْ أَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ أَنْ أَسْرِ بِعِبَادِي فَاضْرِبْ لَهُمْ طَرِيقًا فِي الْبَحْرِ يَبَسًا لَا تَخَافُ دَرَكًا وَلَا تَخْشَىٰ.فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ بِجُنُودِهِ فَغَشِيَهُمْ مِنَ الْيَمِّ مَا غَشِيَهُمْ
“Dan sungguh, telah Kami wahyukan kepada Musa, “Pergilah bersama hamba-hamba-Ku (Bani Israil) pada malam hari, dan pukullah (buatlah) untuk mereka jalan yang kering di laut itu, (engkau) tidak perlu takut akan tersusul dan tidak perlu khawatir (akan tenggelam).” (Surah Thaha: ayat 77-78)
Keadaan ini berlaku semasa Nabi Musa AS dan para pengikutnya sedang dikejar, maka Allah SWT telah mewahyukan kepada baginda untuk memukul laut itu dengan tongkatnya. Apabila Nabi Musa AS melakukan apa yang diminta maka dengan tiba-tiba air laut melambung tinggi sehingga dasarnya kering kontang tanpa air sedikit pun.
Rombongan Nabi Musa AS mampu melalui jalan itu seolah-olah laut yang telah dibelah itu memberikan jalan pintas baginya. Dalam keadaan marah, Firaun dan para pengikutnya telah mengejar rombongan Nabi Musa AS tetapi akhirnya mereka ditenggelami air laut yang bercantum dari sebelah kiri dan kanan.
“Maka Firaun dengan bala tenteranya mengejar mereka, lalu mereka ditutup oleh laut yang menenggelamkan mereka.” (Surah Thaaha: ayat 90-92)
Artikel Berkaitan: Kisah Penuh Nabi Musa Membelah laut
6. Mengeluarkan air dari batu
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
وَإِذِ اسْتَسْقَىٰ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ فَقُلْنَا اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْحَجَرَ ۖ فَانْفَجَرَتْ مِنْهُ اثْنَتَا عَشْرَةَ عَيْنًا ۖ قَدْ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٍ مَشْرَبَهُمْ ۖ كُلُوا وَاشْرَبُوا مِنْ رِزْقِ اللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ
“Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman: ‘Pukullah batu itu dengan tongkatmu.’ Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air. Sungguh tiap-tiap suku telah mengetahui tempat minumnya (masing-masing). Makan dan minumlah rezeki (yang diberikan) Allah, dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi dengan berbuat kerusakan.” (Surah Al-Baqarah: ayat 60)
Datang satu ketika berlaku musim kemarau. Apabila kemarau penduduk kelaparan kerana tiada sumber air untuk minum dan tiada sumber air untuk pengairan tanaman. Ramai yang mati kerana kebuluran. Nabi Musa A.S. berdoa kepada Allah SWT untuk menurunkan bahan makanan tetapi malangnya di kawasan itu tiada air. Lalu mereka menemui Nabi Musa AS untuk meminta pertolongan.
Nabi Musa AS kemudian berdoa lagi lalu Allah SWT mengarahkan baginda untuk memukul tebing yang tinggi dengan tongkatnya. Nabi Musa A.S. melakukannya sambil berkata: Dengan Nama Tuhan, Allah yang Maha Kuasa. Maka terbitlah air dari tebing tersebut. Terdapat 12 tempat pada tebing tersebut yang mengeluarkan air yang sejuk. Mereka yang menyaksikan terpegun dengan kejadian yang menakjubkan itu.
7. Serangan binatang-binatang dan air bertukar menjadi darah
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
“Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.” (Surah Al-A’araf: ayat 133).
Mukjizat ini turun satu-persatu tetapi bukan sekaligus. Dikatakan bahawa mukjizat Nabi Musa AS sebenarnya menjadi penanda aras sebagai hukuman terakhir kepada Firaun setelah Nabi Musa mengadu kepada Allah SWT dan meminta agar doanya untuk memusnahkan kejahatan Firauan termakbul. Ulama juga mengatakan bahawa setiap musibah yang diturunkan itu berganti-ganti selama seminggu dan Allah SWT menggantikan musibah demi musibah bagi membuktikan kekuasaan-Nya.
Bermula dengan kemarau, lalu diikuti tiga lagi mukjizat Nabi Musa bersifat dalaman iaitu datangnya tentera bumi dan pasir iaitu kutu yang banyak dan tentera laut iaitu katak serta darah yang banyak sebagai minuman mereka. Firaun dan kaumnya bertambah pelik kerana air yang keluar untuk diminum adalah berbentuk darah sedangkan Nabi Musa dan pengikutnya minum air yang bersih.
Di harapkan artikel berkenaan mukjizat Nabi Musa AS ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat untuk menambahkan lagi kecintaan anda kepada salah seorang dari 25 Nabi yang wajib umat Islam ketahui. Memiliki rasa patuh dan tunduk pada Allah SWT bukanlah kemahuan tetapi kewajipan semua umat Islam. Jasad yang beriman pada Tuhan Yang Maha Esa sahaja sedang memandu kehidupannya untuk memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat.
Mukjizat Nabi yang Lain
Mukjizat Nabi Ismail | Mukjizat Nabi Daud |
Mukjizat Nabi Sulaiman | Mukjizat Nabi Musa |
Mukjizat Nabi Isa | Mukjizat Nabi Ibrahim |
Mukjizat Nabi Muhammad |
Rujukan:
- Syafiq Salleh (19 Ogos 2014). Teguran Terakhir Buat Firaun. Laman web Ikimfm
- Saeful Ja’far Shidieq (April 2020). Wabah Pada Masa Fir’aun. Laman web Tafaqquh.net
- Ummiyatur (17 Januari 2020). Kisah Nabi Musa Dalam Al-Quran Penafsiran Hamka dan M. Quraish Shibab. Universiti Islam Negeri Sunan Kalijaga Yogyakarta
- Jevi Nugraha (3 Mei 2020). Kisah Nabi Musa, Membelah Laut Merah dan Kemenangannya Membinasakan Firaun. Laman web Merdeka
- Tafsir Al-Quran Bahasa Melayu