Skip to content

25 Barang Hantaran Untuk Pernikahan Atau Pertunangan

barang hantaran

Apakah barang hantaran yang perlu dan sesuatu untuk diberikan semasa pernikahan atau pertunangan? Artikel pada kali ini akan memberikan informasi berguna khusus buat bakal-bakal pengantin yang ingin melangkah ke alam perkahwinan atau pertunangan dalam mempersiapkan barangan hantaran mereka.

Apa itu hantaran dan perspektif dalam Islam

Hantaran merupakan satu bentuk hadiah berupa wang tunai yang perlu dipersetujui oleh kedua pihak keluarga untuk majlis perkahwinan. Dari segi Islam, hantaran tidak wajib diberikan dan ia juga tidak terdapat dalam rukun nikah. Berbeza pula dengan mahar (mas kahwin) yang mana ia telah disyariatkan di dalam Al-Quran untuk diberikan kepada isteri.

Adat dan budaya masih releven kini?

Variasi budaya dan adat resam yang dimiliki oleh rakyat Malaysia sendiri memberikan satu keunikan dan keistimewaan negara di mata dunia. Adakah terlalu kuno dan ketinggalam zaman sekiranya masyarakat moden kini masih mengaplikasikan adat sendiri dalam majlis-majlis rasmi mereka?

Jawabnya tidak, malah negara-negara luar yang telah mencapai era moden awal juga masih menyimpan kukuh segala sejarah mereka dan tidak malu mengamalkan budaya sendiri. Contohnya seperti budaya ilmu di Universiti Oxford, United Kingdom mereka mengguna pakai budaya dan tradisi lampau dari sekolah pondok. Negara jepun pula, juga tidak malu untuk mempamerkan budaya tunduk hormat mereka bagi mengucapkan hai, selamat tinggal, mohon maaf dan terima kasih. Malah budaya ini juga turut diikuti di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Adat Melayu dalam majlis perkahwinan

Dalam adat Melayu dari segi hantaran kahwin, kebiasaannya hantaran yang diberikan oleh kedua-dua pihak perlulah ganjil dan pengantin perempuan akan memberikan dulang hantaran lebih banyak daripada lelaki. Paling sedikit 3 dulang (pihak lelaki) berbalas 5 (pihak perempuan), 5 dulang berbalas 7, 7 dulang berbalas 9, atau 9 dulang berbalas 11. Budaya ini menjadi simbolik kepada maksud sikap bertolak ansur dan rasa hormat wanita kepada lelaki. Pemberat kepada lelaki sudah ada di mas kahwin sedangkan wanita tidak.

Jenis-jenis hantaran

Seperti teknologi juga, hantaran turut berubah mengikut peredaran zaman. Pada masa kini, bermacam-macam hantaran yang menjadi trend atau ikutan Antaranya seperti:

  • Hantaran makanan
  • Hantaran islamik
  • Hantaran simple
  • Hantaran unik
  • Hantaran gajet
  • Hantaran tradisional
  • Hantaran moden

Barang hantaran untuk lelaki dan perempuan

25 barang hantaran untuk memberi kemudahan kepada anda dalam persiapan sebelum majlis perkahwinan atau pertunangan.

1. Dulang untuk mas kahwin atau dulang duit hantaran

Dulang pertama yang menjadi ibu kepada semua dulang yang ada adalah dulang mas kahwin. Dulang mas kahwin dan duit hantaran untuk perkahwinan manakala bagi pertunangan, biasanya bakal pengantin mempunyai pilihan sama ada ingin memberikan hadiah barang kemas atau duit atau tidak kedua-duanya.

2. Dulang untuk batal air sembahyang

Dulang hantaran ini sama ada untuk cincin, gelang, rantai atau barang kemas yang lain. Kebiasaannya, pengantin lelaki akan membuat acara membatalkan air sembahyang dengan menyarungkan cincin perkahwinan ke jari pengantin perempuan atau memakaikannya gelang tangan. Lalu setelah itu, pengantin perempuan akan mencium tangan suaminya.

3. Dulang tepak sirih atau sirih junjung

Sirih junjung dan tepak sirih adalah hantaran yang disediakan oleh kedua-dua pihak lelaki dan perempuan. Difahamkan fungsinya sebagai ‘pembasah mulut’ ataupun pembuka bicara sebelum majlis berlangsung. Ia juga kebiasaannya dijadikan ‘kepala’ dulang untuk deretan dulang hantaran yang ingin dihadiahkan kepada pihak keluarga pasangan. Daun sirih membawa maksud sifat berani, tidak mudah berputus asa, merendah diri dan sentiasa memuliakan orang lain.

Masyarakat moden kini lebih gemar menggunakan sirih junjung berbanding tepak sirih kerana ia boleh digubah dan dipelbagaikan dengan mudah. Sirih junjung akan datang bersama kawan-kawannya yang lain seperti gambir, kapur, pinang, tembakau, dan cengkih.

4. Dulang bunga rampai

Bunga rampai memberi bau yang harum kepada sesiapa yang menghidunya. Kombinasi bahan-bahan untuk menyediakannya seperti daun pandan, bunga kertas, bunga kemboja, bunga kenanga, dan lain-lain lagi makin menambah keharumannya.

5. Al-Quran

Al-Quran adalah kitab agung yang menjadi panduan seluruh umat Nabi Muhammad SAW. Simbolik dalam pemberian Al-Quran boleh dilihat pada pasangan pengantin baru yang ingin membina sebuah keluarga yang sakinah, mawaddah, dan warahmah. Untuk mendapat kemanisan dan keberkatan Allah SWT dalam perkahwinan, mereka perlu kembali kepada syariat Islam dan sunnah Rasulullah SAW.

6. Baju kemeja

Baju kemeja sesuai diberikan kepada pengantin lelaki kerana baju formal seperti ini sangat diperlukan kepada lelaki untuk bekerja atau ke majlis-majlis rasmi yang lain.

7. Tudung

Tudung bawal, tudung shawl, atau tudung sarung, ketiga-tiga ini boleh dijadikan hantaran kepada pengantin perempuan. Sebaiknya pengantin lelaki perlu peka dengan jenis tudung, jenis kain dan fesyen yang biasa digunakan oleh pengantin perempan. Ini akan memudahkannya mencari hantaran tudung yang sesuai dan selesa dipakai oleh pengantin perempuan.

8. Sejadah

Uniknya sejadah kerana ia mudah dibentuk menjadi hantaran di samping sejadah juga menjadi simbolik kepada solat lima waktu. Bermacam jenis lipatan boleh diaplikasi untuk membentuk sejadah menjadi hantaran seperti lipatan jenis rehal, kipas, dan katil.

9. Buku

Bukan menjadi kebiasaanya semua pengantin untuk memberikan buku tetapi masih diamalkan oleh sesetengah orang terutamanya kepada ulat buku. Buku apa yang sesuai diberikan sebagai hantaran? Buku-buku yang memberikan ilmu kepada pasangan sebagai suami dan isteri sangat sesuai diberikan. Contohnya seperti buku karangan Shaykh Abd Al-Razzaq yang bertajuk Ciri-Ciri Isteri Solehah dan buku karangan Herfi Ghulam Faizi yang bertajuk Menjadi Suami Seperti Nabi SAW.

10. Gajet

Memberikan gajet sebagai hantaran diketegorikan sebagai hantaran moden. Zaman kini banyak pengantin yang gemar memberikan gajet seperti kamera, telifon pintar, tablet, dan laptop kerana ia dipengaruhi dengan kerjaya seseorang dan trend semasa. Kadang kala apabila seseorang memberikan hantaran, dia ingin memberikan sesuatu yang disukai oleh bakal pasangannya dan berguna untuk jangka masa yang panjang.

11. Baju melayu

Baju melayu jenis teluk belanga dan cekak musang boleh menjadi pelengkap set hantaran. Ia boleh dilipat berbentuk bunga dan lipatan-liptan lain atau boleh juga diletakkan dalam kotak hiasan.

12. Baju kurung

Baju kurung agak jarang diberikan sebagai hantaran kerana kebiasaannya mereka lebih memilih untuk memberikan kain pasang yang belum dijahit. Walau bagaimanapun ada juga yang menjadikan baju kurang sebagai hantaran dan ia tidak asing untuk diberikan kerana memang pemakaian baju kurung merupakan baju kebangsaan untuk kaum Hawa.

13. Buah-buahan

Selalunya, buah-buahan seperti anggur, oren dan epal dijadikan hantaran seperti hamper atau dihias di dalam bakul. Untuk mendapatkan warna buah yang cantik, tipsnya anda perlu lapkan kulit buah menggunakan sedikit minyak. Namun, trend terkini ada juga yang memilih buah-buahan tempatan seperti jambubatu, pisang mahupun buah naga sebagai hantaran yang sangat unik.

14. Coklat

Buat pengemar coklat hantaran berisi coklat memang sesuai untuk anda. Coklat yang dibuat secara homemade atau readymade kedua-duanya bersesuaian dijadikan pemanis mulut. Dengan keunikan kotak dan bungkusan coklat itu sendiri, selalunya mereka yang menjadikan coklat sebagai hantaran tidak perlu bersusah payah untuk menghias dulang hantarannya terlalu sarat.

15. Kek

Orang zaman dahulu memberikan pulut kuning, berbeza dengan orang zaman sekarang suka memberikan kek. Kek boleh dihias dengan warnanya dan reka bentuknya yang pelbagai, Jenis kek yang menjadi pilihan kepada pengantin adalah red velvet, coklat, cheese, kek lapis, krim, oreo, oren, blueberry dan lain-lain.

16. Jam tangan

Dua barang yang menjadi pilihan lelaki khususnya adalah jam dan dompet. Lelaki sangat suka memakai jam dan ada diantaranya yang cukup obses atau mempunyai hobi mengumpul jam. Anda boleh memilih jam dalam kotak couple set yang mana sekarang ini banyak dijual dipasaran di bawah jenama-jenama yang terkenal.

17. Telekung

Pemberian sepasang telekung kepada pengantin perempuan cukup bermakna kepada dirinya. Ini menunjukkan pengantin lelaki sedang cuba untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai bakal suami untuk membimbing bakal isteri di jalan Islam. Telekung dipakai untuk menghadap Allah SWT lima kali sehari. Oleh itu, pemilihan telekung yang baik dan berkualiti perlu dititikberatkan dari segi jenis fabrik, jahitan, kemasan, corak dan reka bentuk.

18. Barang alat solek

Wanita dan alat solek ibarat isi dan kuku. Bahkan kepada yang bukan pengemar alat solek sekalipun, sudah pasti akan tetap ada lipstick atau pelembab bibir dan bedak di begnya. Dengan adanya alat solek, keyakinan diri setiap wanita akan bertambah untuk berhadapan dengan semua orang. Sekarang terlalu banyak produk alat solek yang memasarkan set alat solek khas untuk dijadikan hantaran.

19. Set wangian

Set wangian mempunyai nilai eksklusif kepada si pemberi dan si pemakai. Hal ini kerana atas faktor bauanya, jenama dan reka bentuk botolnya. Tidak semestinya semakin mahal jenama perfume itu semakin harum baunya. Ini semua bergantung kepada selera si pemakai sendiri. Ada juga yang mentafsirkan maksud wangi perfume itu sebagai bauan yang segar dan semula jadi bukannya bauan bunga-bungaan.

20. Beg tangan

Tidak lengkap set hantaran tanpa beg tangan. Tidak rugi sebenarnya untuk membelanjakan hantaran dengan beg tangan kerana bukan hanya wanita yang suka memakai beg tangan tetapi lelaki juga turut sama. Tetapi bentuk dan jenis beg lelaki tidak sama dengan wanita. Beg mereka lebih ringkas dan simple seperti clutch beg, beg bimbit kulit, dan beg gim. Sama ada lelaki atau wanita, mereka pasti teruja dapat bertukar-tukar pakai beg tangan sedia ada dengan beg tangan baru.

21. Kasut

Untuk menjadikan kasut sebagai hantaran, anda perlu memastikan dahulu saiz, warna, dan reka bentuk kesukaan pasangan sebelum membelinya.

22. Dompet dan tali pinggang

Cukup lengkap sekiranya di dalam hantaran kepada lelaki ada bersama hantaran dompet dan tali pinggang. Berjenama atau tidak itu bukan isunya, Yang penting kedua-dua barangan ini memberi manfaat kepada si pemakai.

23. Tuala

Tuala juga sejenis hantaran yang mudah untuk dibentuk dan digubah. Barang ini tergolong dalam barang asas tetapi sangat diperlukan kepada semua orang.

24. Set mandian

Barang peribadi ini selalu menjadi pilihan pengantin sebagai hantaran. Ia kecil dan mudah dijadikan hadiah buat pasangan. Reka bentuk dan warna botolnya yang sangat menarik sudah cukup sekiranya digandingkan dengan reben atau sedikit aksesori pada dulang hantaran.

25. Kain pasang

Pengantin perempuan pasti sangat suka jika diberikan kain pasang. Dengan kain pasang itu bermacam jenis baju boleh dijahit seperti baju kurung, kebaya moden, kebaya kedah, baju tidur, blouse, dan lain-lain.

Penutup:

Diharpakan artikel ini dapat memberikan informasi yang berguna kepada anda dan secara tidak langsung memudahkan anda dalam persiapan bergelar raja sehari. Namun perlu anda faham, jangan disebabkan hantaran atau nilai hantaran, perkahwinan yang selama ini dirancangkan menjadi berantakan disebabkan isu-isu yang kecil seperrti ini.

Sabda Rasulullah SAW,

Maksudnya: “Sesungguhnya, pernikahan yang paling agung dan berkat ialah yang paling mudah perbelanjaannya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Anda berkahwin, untuk bahagia sehingga ke akhir hayat bersama pasangan bukan bahagia hanya di pelamin sahaja.

Diharapkan artikel senarai barang hantaran ini dapat membantu para pasangan yang akan menikah kelak.

Artikel Berkaitan: Doa untuk Pasangan Pengantin Baru Bernikah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight + four =