Apakah bacaan ketika tahiyat awal atau akhir dan kelebihannya dalam kehidupan seharian? Artikel pada kali ini akan membincangkan berkenaan dengan bacaan doa ketika tahiyat awal atau akhir dengan bantuan teks arab dan rumi untuk memudahkan anda membaca dan menghafalnya. Di samping itu, artikel juga akan mengupas segala manfaat yang boleh anda perolehi dari doa ini.
Pengenalan
Doa ketika tahiyat akhir merupakan perbuatan yang termasuk dalam 13 rukun solat. Ini bermakna, jika seseorang itu tidak membuat atau membacanya, maka solatnya tidak sah. Semua orang pasti sudah tahu tentang doa ketika tahiyat akhir. Jadi jika semua orang sudah tahu, mengapa perlu ia menjadi tajuk utama kita pada artikel kali ini?
Doa bukan sekadar doa. Tidak semua orang yang boleh menguasai Bahasa Arab dan ramai juga dari anda yang berdarah Melayu bukan Arab. Jadi bahasa pertuturan harian adalah Bahasa Melayu. Walaupun doa ini dibaca setiap kali solat tetapi masih ada yang sekadar membaca tetapi tidak faham secara tersirat dan tersurat apa yang terkandung dalam doa ini.
Bacaan Tahiyat Awal (Teks Arab)
اَلتَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ ِللهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ اَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِاللهِ الصَّالِحِيْنَ، أَشْهَدُ اَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّاللهُ وَاَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهُ، اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Teks rumi bacaan doa ini:
Attahiyatul mubarakatus solawatut toiyibatu lillah. Assalamu ’alaika aiyuhan nabiyu warahmatullah hi wabarakatuh. Assalamu ’alaina wa’la ‘ibadillahis solihin. Asyahadu alla illaha illallah. Wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Allahumma solli ’ala Muhammad wa’ala ali Muhammad
Maksud Bacaan:
“Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku mengaku tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan aku mengaku Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Sayidina Muhammad.
Bacaan Tahiyat Akhir (Teks Arab)
اَلتَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ ِللهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ اَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِاللهِ الصَّالِحِيْنَ، أَشْهَدُ اَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّاللهُ وَاَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهُ، اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى اِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ اِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَرَكْتَ عَلَى اِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ اِبْرَاهِيْمَ فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ
Teks rumi bacaan doa ini:
Attahiyatul mubarakatus solawatut toiyibatu lillah. Assalamu ’alaika aiyuhan nabiyu warahmatullah hi wabarakatuh. Assalamu ’alaina wa’la ‘ibadillahis solihin. Asyahadu alla illaha illallah. Wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Allahumma solli ’ala Muhammad wa’ala ali Muhammad. Kama sollaita ’ala Ibrahim wa’ala ‘ali Ibrahim. Wabarik ‘ala Muhammad wa’ala ali Muhammad. Kama barakta ‘ala Ibrahim wa’ala ali Ibrahim fil ‘alamina innaka hamidum majid.
Maksud Bacaan:
“Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku mengaku tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan aku mengaku Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Sayidina Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Sayidina Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Berkatilah penghulu kami Sayidina Nabi Muhammad dan keluarga Penghulu kami Sayidina Muhammad. Sebagaimana Engkau memberkati Sayidinia Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.”
Dalil kepada Bacaan ini:
Menurut Imam Nawawi al-Jawi dalam Syarḥ Kasyifah as-Saja (halaman 56), taḥiyat akhir yang harus dibaca oleh setiap muṣalli (orang yang melaksanakan solat) adalah: pertama, at-taḥiyyat al-mubarakat aṣ-ṣalawat aṭ-ṭayyibat lillah. Kedua, as-salam ‘alaika ayyuha an-nabiyyu wa raḥmatullah wa barkatuh. Ketiga, as-salam ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah aṣ-ṣaliḥin; dan keempat, asyhadu an la ilaha illallah wa asyhadu anna muḥamadar rasulullah. Keempat kalimat tersebut harus dibaca, sama ada ketika melaksanakan solat yang memiliki dua taḥiyat (awal dan akhir) atau pun yang memiliki satu taḥiyat sahaja.
Sayyid Sabiq menjelaskan dalam Fiqh as-Sunnah (2000, I: 97-98) bahawa keempat-empat kalimat taḥiyat itu merupakan petunjuk langsung dari Rasulullah SAW yang diajarkan kepada para sahabat dahulu, sebagaimana dijumpai dalam hadis.
Ibn Mas’ud RA. menceritakan bahawa awal mulanya para sahabat membaca kalimat as-salam ‘ala allah (kesejahteraan atas Allah), as-salam ‘ala fulan wa fulan (kesejahteraan atas fulan dan fulan) ketika taḥiyat. Namun, Nabi SAW kemudian menegur mereka dengan berkata, “janganlah kalian membaca kalimat as-salam ‘ala allah kerana Allah sendiri adalah as-salam (Maha Sejahtera). Kalau kalian sedang duduk taḥiyat, maka bacalah kalimat ini: at-taḥiyyat lillah wa aṣ-ṣalawat wa aṭ-ṭayyibat; as-salam ‘alaika ayyuha an-nabiyyu wa raḥmatullah wa barkatuh; as-salam ‘alaina wa ‘ala ‘ibâdillâh aṣ-ṣaliḥin; asyhadu an la ilaha illallah wa asyhadu anna muḥamadan ‘abduhu wa rasuluhu; dan teruskan dengan memanjatkan doa yang kalian inginkan.”
Riwayat lain dari Ibn ‘Abbas RA. berbunyi: at-taḥiyyat al-mubarakat aṣ-ṣalawat aṭ-ṭayyibat lillah; as-salam ‘alaika ayyuha an-nabiyyu wa raḥmatullah wa barkatuh; as-salam ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah aṣ-ṣaliḥin; dan asyhadu an lailaha illallah wa asyhadu anna muḥamadan ‘abduhu wa rasuluhu.”
Sedangkan riwayat dari Sayyidina Umar bin Khattab RA. berbunyi: at-taḥiyyat lillah, az-zakiyat lillah, aṭ-ṭayyibat wa aṣ-ṣalawat lillah; as-salam ‘alaika ayyuha an-nabiyyu wa raḥmatullah wa barkatuh; as-salam ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah aṣ-ṣaliḥin; dan asyhadu an la ilaha illallah wa asyhadu anna muḥamadan ‘abduhu wa rasuluhu.
Imam an-Nawawi menyebutkan bahawa meskipun terdapat beberapa perbezaan secara matan dalam hadis tentang tahiyat tersebut, tetapi secara sanad semuanya sahih. Dalam penilaian para ulama hadis, hadis tentang tahiyat yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA. adalah paling sahih manakala yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA. adalah hadis yang sahih kedua.
Namun demikian, para ulama fiqh menjelaskan, menurut Imam as-Syafie, sama-sama sepakat akan kebolehan menggunakan salah satu dari ketiga kalimat taḥiyat tersebut. Di mana Imam as-Syafie lebih memilih bacaan taḥiyat dari riwayat Ibn ‘Abbas RA. kerana dianggap lebih lengkap dan sempurna daripada yang lain (Fiqh as-Sunnah, 97-98).
Sedangkan Imam Abu Ḥanifah dan Imam Aḥmad bin Hanbal memilih bacaan tahiyat dari hadis riwayat Ibn Mas’ud RA. dan Imam Malik memilih dari riwayat Sayyiduna Umar bin Khattab RA. (Ibn Rusyd, Bidâyah al-Mujtahid wa Nihâyah al-Muqtaṣid, 2005, I: 106).
5 Kelebihan Bacaan tahiyat akhir:
Dengan membaca doa ketika tahiyat akhir ini, anda bukan sahaja melafazkan satu bentuk pujian dan penghormatan kepada Allah SWT tetapi juga kepada Rasulullah SAW, kaum keluarga baginda, diri sendiri, dan orang-orang yang soleh.
1. Penghormatan khusus kepada Allah SWT, Pencipta kita dengan lafaz yang bermula dengan اَلتَّحِيَّاتُ (segala penghormatan / ucapan selamat)
Perkataan ini disebutkan di permulaan doa dengan awalan yang berbentuk penghormatan kepada pemilik alam semesta ini. Sejajar dengan rukun iman pertama iaitu beriman kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman: “Ingatlah kamu (berzikir) kepada-Ku, nescaya Aku ingat (pula) kepadamu.” (Surah Al-Baqarah, ayat 152)
2. Penghormatan kepada Rasulullah SAW dengan lafaz اَلسَّلَامُ عَلَيْكَ (salam sejahtera ke atas kamu)
Perkataan ini melambangkan kemuliaan sosok seorang Nabi yang diangkat menjadi seorang Rasul oleh Allah SWT. Rasulullah SAW adalah ikon yang dijadikan contoh kepada seluruh umat Islam di muka bumi ini. Pada baginda ada syafaat yang perlu anda raih untuk mendapatkan syurga-Nya nanti.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya.” (Al-Ahzab: ayat 56)
3. Penghormatan dan kesejahteraan ke atas diri kita sendiri dengan lafaz اَلسَّلَامُ عَلَيْنَا (salam sejahtera ke atas kami)
Perkataan ini disebutkan pada salam kedua setelah salam kepada Rasulullah SAW. Doa ini bukan hanya tertumpu kepada orang lain tetapi juga untuk diri sendiri. Mengapa perlu mendoakan diri sendiri? Kerana diri kita juga merupakan makhluk bernyawa yang mempunyai hak untuk mendapatkan kebaikan di mana segala apa yang Allah SWT berikan kepada diri ini, kelak bakal dipertanggungjawabkan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesiapa beramal soleh daripada kalangan lelaki atau wanita sedangkan dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl: ayat 97)
4. Penghormatan dan kesejahteraan ke atas seluruh hamba Allah yang soleh dengan lafaz عِبَادِ اللّٰهِ الصَّالِحِينَ (hamba-hamba yang soleh)
Perkataan ini disebutkan sebanyak dua kali iaitu pertama semasa memberi salam kepada Rasulullah SAW dan lalu kemudian kepada para hamba Allah yang soleh. Sungguh bertuah orang-orang yang soleh kerana mereka tersenarai sekali dalam mereka yang didoakan oleh semua umat Islam.
Mendoakan kebaikan orang lain dalam keadaan dia tidak mengetahuinya, adalah amalan yang sangat mulia. Islam mendidik umatnya supaya tidak mementingkan diri sendiri.
Daripada Abu Darda’, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Doa seorang Muslim kepada saudara Muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara Muslimnya dengan doa yang baik dan berkatalah malaikat itu, amin! engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim)
5. Penyaksian kepada syahadah, dengan lafaz dua kalimah syahadah yang terdapat dalam doa ketika tahiyat akhir.
Perkataan ini disebutkan sebelum mengucapkan selawat kepada Rasulullah SAW. Mengucap dua kalimah syahadah juga merupakan rukun islam yang pertama bagi setiap umat Islam yang berkeyakinan pada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan bahwasanya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya, dan bahawasanya ‘Isa adalah hamba dan utusan-Nya dan kalimat-Nya yang Dia sampaikan kepada Maryam dan ruh dari-Nya, dan (dia juga bersaksi) bahawa syurga itu benar adanya dan neraka itu benar adanya, maka Allah akan memasukkan dirinya ke dalam surga berapa pun amal yang telah diperbuatnya.” (Riwayat Bukhari)
Penutup:
Di harapkan artikel ini dapat memberikan anda informasi yang berguna tentang bacaan ketika tahiyat awal atau akhir. Jika dahulu anda hanya membaca dan menghafal sahaja tetapi kali ini anda pasti akan lebih faham apa intipati yang terdapat dalam doa ini. Sebarkan jika ia bermanfaat kepada anda.
Rujukan:
- Nasrullah Ainul Yaqin. Tentang Riwayat Hadis Bacaan Tahiyat Akhir yang Beragam. Bincang Syariah
- ISMAK. Tahiyat Akhir dan Kelebihan. Ismakruqyah
- Nazmi Yaakub. Lafaz ‘sayidina’ dalam selawat, tanda beradab. BHarian