Skip to content

10 Tempat Menarik Di Melaka Yang Anda Perlu Pergi

tempat menarik melaka

Dimanakah tempat menarik di Melaka? Artikel ini akan membincangkan beberapa tempat menarik yang boleh kita lawati ketika di Melaka

Pengenalan

Dapat jalan-jalan makan angin memang best. Tambahan pula, bila dah sampai Melaka, waktu malam adalah waktu yang terbaik untuk pergi bersiar-siar sebab bandar Melaka akan jadi terang-benderang dan berwarna-warni bermandikan cahaya lampu yang sangat cantik dan memukau pandangan.  

Melaka mendapat jolokan Bandaraya Bersejarah. Budaya Baba dan Nyonya hanya terdapat di Melaka. Melaka telah mendapat pengiktirafan dari UNESCO sebagai negeri yang kaya dengan warisan kesan peninggalan sejarah yang amat bernilai. Ada di antara bangunan tua yang menjadi mercu tanda Melaka masih utuh dan wujud hingga kini.  

Ada banyak tempat tarikan pelancong yang amat terkenal di negeri bersejarah ini. Siap-siaplah tempah hotel atau homestay awal-awal, takut penuh. Artikel kali ini menyenaraikan 10 tempat menarik di Melaka :  

1. Melaka River Cruise

Tarikan utama Melaka adalah Melaka River Cruise. Anda boleh naik bot menyusuri sungai Melaka selama 45 minit. Sambil menyusuri sungai, anda akan dapat lihat bangunan peninggalan Belanda, kincir air, kubu, tujuh buah jambatan kecil sekitar bandar Melaka serta Jonker Walk dan Kampung Morten.

Ada lampu berwarna-warni menyinari tepi sungai apabila malam. Menyusuri sungai Melaka dengan bot terutamanya di waktu malam yang sejuk pastinya akan jadi kenangan terindah. Terdapat laluan pejalan kaki di sepanjang sungai jika anda tidak mahu menaiki bot.

Sumber foto : biz and leisure

2. Stadthuys Melaka

Bangunan bersejarah yang menjadi ikon Melaka iaitu The Stadthuys yang warnanya merah menyala itu pada asalnya adalah dewan Belanda. Kini, bangunan pentadbiran Stadthuys menjadi muzium.

The Stadthuys antara bangunan Belanda tertua di Asia Tenggara. Tempat ini juga digelar Red Square atau Dutch Square. Di sekitar kawasan The Stadthuys terdapat banyak beca yang berwarna-warni dan unik. Bolehlah naik beca meronda satu bandar Melaka.

Ada gerai cenderamata, bolehlah membeli pelbagai keychain, topi dan t-shirt yang dijual. Dekat kawasan dataran yang ada menara jam, dapat bergambar sepuas hati sebab di situ ada taman kecil. Terdapat gereja yang dibina oleh Belanda suatu ketika dahulu.

Sumber foto : malacca

3. Kota A Famosa

Kalau dah singgah Melaka, wajib melawat tempat ini. Kota A Famosa juga dikenali sebagai Porta de Santiago yang merupakan kubu terkuat tentera Portugis. Apa yang tinggal sekarang hanyalah pintu kota di kaki bukit St. Paul. Inggeris memusnahkan sebahagian besar kota ini pada tahun 1806.

Pada zaman Portugis, kota empat segi ini ada lapan menara kawalan yang tingginya bersamaan dengan bangunan empat tingkat. Kubu ini tidak dapat ditembusi oleh sesiapa pun dan Portugis bertahan di Melaka selama lebih 100 tahun.

A Famosa jatuh setelah Belanda dan Johor bersatu dengan mengepungnya dari laut dan darat selama tujuh bulan yang menyekat bekalan makanan Portugis dan menyebabkan kebuluran.

Sumber foto : tempat menarik

4. Menara Taming Sari

Walaupun Menara Taming Sari Melaka tak setinggi Menara Kuala Lumpur, anda boleh naik ke atas menara ini untuk melihat panorama dan keindahan Melaka yang mengasyikkan dari tempat tinggi. Ia boleh jadi salah satu pengalaman yang takkan dapat anda lupakan.

Menara Gyro pertama di Malaysia dengan teknologi Swiss yang canggih ini akan berputar perlahan-lahan apabila ia naik ke atas. Kalau anda gayat dan tak suka tempat tinggi, anda tetap boleh naik ke menara kerana menara Taming Sari boleh menampung 66 orang sahaja dalam satu-satu masa. Masa di atas menara sekejap sahaja, hanya tujuh minit.

Sumber foto : mdmb

5.  Muzium Samudera

Flor de La Mar adalah nama kapal perang Portugis yang menyerang Melaka pada tahun 1511. Di bawah kemudi general bernama Afonso de Albuquerque, kapal ini bertanggungjawab menakluk Goa di India serta menakluk kerajaan Melayu Melaka.

Replika Flor de La Mar telah dibina dan dijadikan muzium yang menyimpan pelbagai artifak seperti duit, meriam, peti besi, lukisan serta peta sejarah maritim di Melaka. Terdapat juga sejarah berkenaan Awang iaitu orang Melayu pertama yang belayar mengelilingi dunia.

Kapal tersebut dikatakan telah karam di laut Selat Melaka ketika berlayar pulang ke Lison dengan muatan harta rampasan perang. Sampai sekarang, para pengkaji dan pemburu harta karun masih tidak berjaya menemui harta karun Flor de La Mar terutamanya harta karun Sultan Melaka.

Sumber foto : jom jalan

6. Pantai Klebang

Kalau anda sukakan panas, nak bersantai, berjemur, memancing, bergambar dan beriadah di pantai, bolehlah pergi ke pantai Klebang. Pasirnya cantik berwarna putih. Tetapi, tiada orang mandi-manda di sini. Ada kereta kuda dan ATV yang boleh anda sewa di tepi pantai jika anda datang dengan keluarga ketika hujung minggu. Layang-layang juga banyak dijual. Puas main layang-layang sebab tiupan anginnya sangat kuat.

Berdekatan dengan pantai Klebang ada Bustel (bas yang ditukar menjadi hotel), muzium kapal selam dan Klebang Coconut Shake yang sangat terkenal. Kalau kering tekak, boleh la singgah untuk pekena Coconut Shake tapi alamatnya anda kena beratur panjang dan mengadap kesesakan lalu lintas yang teruk.

Sumber foto : the star

7. Perkampungan Hang Tuah

Hang Tuah melambangkan kekuatan orang Melayu yang dikenali ramai. Perkampungan Hang Tuah di Sungai Duyung adalah tempat asal kelahiran pahlawan Melayu Melaka legenda yang terkenal iaitu Hang Tuah. Untuk mengenang jasa Laksamana Hang Tuah, Melaka membangunkan kompleks Perkampungan Hang Tuah yang siap pada Ogos 2013.

Kawasan ini terdapat rumah-rumah Melayu Melaka dan setiap rumah dinamakan bersempena nama-nama sahabat Hang Tuah iaitu Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi. Anda boleh masuk melawat rumah-rumah Melayu ini setiap hari kecuali rumah Hang Jebat dan Hang Kasturi yang ditutup setiap hari Jumaat. Boleh juga datang dengan rombongan lawatan.

Ada muzium dan artifak berkaitan sejarah perkembangan negeri Melaka. Perigi Hang Tuah berada di Perkampungan Hang Tuah. Perigi ini dianggap sebagai keramat dan istimewa atau mistik oleh sesetengah orang airnya tak pernah kering walaupun musim kemarau. Air perigi Hang Tuah oleh diminum.

Sumber foto : jom jalan

8.Masjid Selat Melaka

Anda boleh menunaikan solat dan bergambar di masjid ini di Pulau Melaka. Lokasinya terletak di tepi laut, jadi anda boleh melihat pemandangan matahari terbenam. Bila malam, masjid kelihatan berwarna-warni dengan lampu.

Masjid Selat Melaka antara masjid tercantik di Malaysia dengan kubah emasnya yang kelihatan seolah-olah terapung bila air pasang. Sebab itu ia dipanggil Masjid Terapung Melaka. Masjid ini boleh menampung sehingga 2,000 jemaah. Waktu Subuh atau petang adalah waktu yang sesuai untuk mengambil gambar.

Sumber foto : wikipedia

9. Rumah Terbalik Melaka

Seperti rumah-rumah terbalik di tempat lain, kaki selfie boleh melakukan pelbagai gaya dan “posing” ketika bergambar dalam Rumah Terbalik Melaka. Galeri ini kelihatan normal di luar tetapi apabila anda melangkah masuk, anda seolah-olah merasakan anda berada dalam keadaan terbalik kerana semua perabot dari katil sehinggalah bilik air dengan segala peralatan yang lengkap dipasang tergantung di siling. Di dalam Rumah Terbaik Melaka hanya ada enam ruang untuk bergambar.

Sumber foto : lokasi percutian

10. The Shore Oceanarium

The Shore Oceanarium terletak di aras Dua pusat memeli-belah The Shore Melaka. Sama seperti Aquaria KLCC, The Shore Oceanarium salah satu tempat yang patut anda lawati kerana anda berpeluang mengenali dan melihat kehidupan marin dari laut yang amat indah dari jarak yang amat dekat di sebalik kaca.

Banyak spesis haiwan marin eksotik seperti ikan jerung, obor-obor, tapak sulaiman, kuda laut, penyu dan sebagainya. Pengunjung juga boleh memberi makan kepada beberapa spesis ikan. Anda juga boleh memakai kaca mata 3D untuk merasai pengalaman “berenang” di samping ikan-ikan sambil menyelusuri dunia lautan dengan hidupan marin yang menakjubkan dalam bentuk 3D.

Sumber foto : world heritage

Penutup

Melaka bukan sahaja menjadi tempat tumpuan kunjungan pelancong, malah Melaka merupakan negeri kecil yang pertama yang mengamalkan corak pemerintahan Kesultanan Melayu. Banyak sejarah dan iktibar yang oleh diambil serta dipelajari bermula dari zaman kegemilangan hinggalah kejatuhan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Bangunan-bangunan peninggalan zaman dahulu masih dipelihara dengan baik untuk tatapan generasi akan datang supaya tidak melupakan identiti Melayu dan sejarah serta membina jati diri yang kuat di kalangan generasi muda. Sambil bercuti, anda dapat juga menimba ilmu serba-sedikit berkenaan sejarah Melaka.

Diharapkan artikel tempat menarik di Melaka ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat berkenaan Melaka kepada para pembaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × 2 =