Skip to content

Sujud Tilawah: Cara, Bacaan dan Kelebihan

sujud tilawah

Apakah bacaan dan cara untuk melakukan sujud tilawah? Artikel ini akan membincangkan bacaan dan cara untuk melakukan sujud tilawah dan waktu untuk melakukan sujud tersebut.

Sujud tilawah atau sujud sajadah adalah sujud yang dilakukan selepas membaca ayat-ayat sajadah. Ulama berbeza pendapat sama ada sunat atau wajib sujud ini. Namun, menurut mazhab Syafie, hukum sujud tilawah adalah sunat muakkad.

Asasnya adalah satu hadis, Abdullah Bin Umar meriwayatkan:

Pada satu ketika, Rasulullah SAW membacakan kepada kami satu surah yang mempunyai ayat Sajdah, maka Baginda SAW pun sujud lalu kami pun ikut sujud juga.” (Fathul Bari)

Syarat-syarat

Ini adalah syarat-syarat yang wajib untuk melakukan sujud tilawah

  1. Suci dan berwuduk
  2. Tutup aurat
  3. Mengadap kiblat
  4. Sujud sebaik saja membaca ayat sajdah
  5. Dalam jemaah. Jika imam melakukan sujud tilawah, makmum kena ikut sama. Terputus jemaah jika tak ikut imam sujud tilawah. Kalau imam tak lakukan sujud tilawah, jangan pula pergi sujud. Asasnya, ikut imam.

Semua ayat-ayat sajdah

Jumlah ayat sajadah ada 15 dalam Al-Quran. Ayat-ayat tersebut adalah:

  1. Surah 7 (Al-A’raf) Ayat 206
  2. Surah 13 (Ar-Ra’ad) Ayat 15
  3. Surah 16 (Al-Nahl) Ayat 50
  4. Surah 17 (Al-Israa’) Ayat 109 
  5. Surah 19 (Maryam) Ayat 58
  6. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 18 
  7. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77
  8. Surah 25 (Al-Furqaan) Ayat 60
  9. Surah 27 (An-Naml) Ayat 26 
  10. Surah 32 (As-Sajdah) Ayat 15
  11. Surah 38 (Shaad) Ayat 24
  12. Surah 41 (Fussilat) Ayat 38
  13. Surah 53 (An-Najm) Ayat 62
  14. Surah 84 (Al-Insyiqaq) Ayat 21
  15. Surah 96 (Al-‘Alaq) Ayat 19

Contoh ayat sajdah

Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!” (Surah Al-’Alaq ayat 19)

Kalau nak kenal ayat sajadah ini, lihat saja simbol pada akhir ayat di atas. Simbol kubah seperti ini, adalah ayat sajdah. Itu nak beri mudah ingat. Ada saja, simbol ini, ayat sajdahlah itu.

Cara Sujud Tilawah

Sujud tilawah boleh dilakukan ketika solat mahupun di luar solat. Cara-caranya adalah:

1. Dalam solat

Cara ini, bila kita baca surah lain selepas Surah Al-Fatihah dan kita terjumpa dengan ayat sajdah. Kita terus saja sujud. Selepas sujud, kita bangun balik sambung ayat tadi. Lepas itu, barulah kita ruku’, solat seperti biasa.

2. Luar solat

Ketika kita membaca ayat sajdah. Kita terus bangun, mengadap kiblat dan terus sujud. Bacalah tasbih semudah subhanallah jika kita tak hafal yang panjang-panjang. Lepas itu, bangun saja tanpa salam. Ini pandangan yang paling ramai pakai.

Ada pandangan yang lagi satu, sujud tilawah harus dilakukan dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam. Pandangan ini, caranya begini:

  1. Baca ayat sajdah
  2. Bangun mengadap kiblat
  3. Takbiratul ihram macam dalam solat
  4. Sujud (baca tasbih)
  5. Bangun untuk duduk antara dua sujud
  6. Bagi salam macam solat ketika nak habis

Jika kita lakukan yang pendapat pertama tadi, tidaklah menjadikan sujud tilawah itu tidak sah. Okey saja kalau kita terus sujud, baca tasbih dan terus bangun. Ini juga baik. Dua-dua boleh diamalkan.

Bacaan dalam sujud tilawah

Anda boleh melakukan bacaan-bacaan seperti dibawah:

1. Doa Sujud Sajadah

سَجَدَ وَجْهِى لِلَّذِى خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Bacaan rumi: Sajada wajhiya lilladzi kholaqohu, wa showwarohu, wa syaqqo sam’ahu, wa bashorohu bi khaulihi wa kuwwatihi fatabarakallahu ahsanul kholiqiin

Maksudnya: Wajahku bersujud kepada Dzat yang menciptakannya, yang membentuknya, dan yang memberi pendengaran dan penglihatan, Maha berkah Allah sebaik-baiknya pencipta. (Hadis riwayat Ahmad, Tirmidzi, Abu Daud, Hakim dan An-Nasaie)

2. Tasbih meninggikan Allah

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Bacaan rumi: Subhaana robbiyal a’laa wa bihamdihi

Maksud: Maha Suci Allah Yang Maha Tinggi

Ini tasbih yang biasa kita baca ketika sujud dalam solat. Ini lebih mudah nak ingat dan seterusnya mudah juga untuk diamalkan.

3. Tasbih, tahmid, tahlil dan takbir

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ الله، وَاللهُ أَكْبَرُ

Bacaan rumi: Subhaanallaahi wal hamdu lillaahi, wa laa ilaaha illallaah, wallahu akbar

Maksud: Maha Suci Allah, Segala puji bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar

Rasulullah bersabda dalam satu hadis riwayat Ibnu Majah, “Lazimkan membaca Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akhbar, kerana semua itu dapat menghapuskan dosa sebagaimana gugurnya daun dari pohon.

Kelebihan sujud tilawah

Syaitan akan lari

Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda, “Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu ia sujud, maka syaitan akan melarikan diri serta menangis dan berkata, “celaka, ia diperintahkan untuk sujud lalu ia sujud dan baginya syurga. Dan aku pernah diperintahkan untuk sujud, aku enggan dan bagiku neraka.” (Hadis riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

Ingat tak kita yang syaitan itu enggan untuk sujud kepada Nabi Adam tatkala ia disuruh? Maknanya, ia melawan suruhan Tuhan. Ini adalah berlawanan dengan orang Islam yang terus sujud bila membaca ayat sajdah. Allah akan memberi banyak kebaikan. Syaitan pun tidak sujud bila diperintahkan. Kita pula sujud bila ianya hanya sunat hukumnya. Allahu Akhbar.

Rujukan:

  1. Cara Sujud Sajadah – Addeen
  2. Membaca Ayat Sajadah di dalam Solat Dengan Tujuan untuk Melakukan Sujud Tilawah – Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Sujud Sajadah – Shafiqolbu
  4. Tatacara sujud Tilawah yang Benar Sesuai Syariat Islam Lengkap Berserta Doa – Merdeka
  5. Syaitan Takut Ayat Sajdah – Shafiqolbu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × 1 =