Skip to content

Sedekah Kunci Kebaikan. Huraian Lengkap

sedekah dan kelebihannya

Apa itu sedekah dan kelebihannya? Artikel ini akan membincangkan makna sedekah, kelebihannya dan cara untuk orang yang tiada berduit untuk bersedekah.

Pendahuluan

Harta merupakan aset penting kepada individu, masyarakat dan juga negara yang mesti diurus tadbir dengan baik demi kelangsungan hidup di dunia. Walaubagaimana pun, terdapat jurang yang ketara dalam hal ini antara sesetengah golongan berbanding golongan yang lain. Disinilah fungsi konsep sedekah diguna pakai agar dapat memelihara hubungan antara yang kaya dan miskin, sekaligus dapat menampung keperluan hidup mereka yang memerlukan.

Di dalam artikel ini, penulis akan cuba merungkaikan konsep sedekah, dan fokus akan ditumpu kepada dalil-dalil kelebihan bersedekah. Mudah-mudahan hati kita tertambat dengan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah untuk berbuat kebaikan.

Makna Sedekah

Sedekah atau infāq bermaksud menyerahkan sesuatu hak yang dimiliki oleh seseorang secara sah kepada orang lain kerana Allah S.W.T. tanpa mengharapkan habuan dalam sebarang bentuk. Ia juga boleh didefinisikan sebagai pemberian oleh seseorang kepada orang lain yang memerlukan dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. sama ada pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, sanak-saudara, mahupun untuk kepentingan fi sabilillah.

Dalil-Dalil Pensyariatan, Kelebihannya Beserta Huraian

Terdapat beberapa dalil daripada al-Quran dan Hadis Nabi ﷺ yang menjelaskan tentang pensyariatan sedekah. Antaranya:

Dalil 1:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اَنْفِقُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّآ اَخْرَجْنَا لَكُمْ مِّنَ الْاَرْضِ ۗ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيْثَ مِنْهُ تُنْفِقُوْنَ وَلَسْتُمْ بِاٰخِذِيْهِ اِلَّآ اَنْ تُغْمِضُوْا فِيْهِ ۗ وَاعْلَمُوْٓا اَنَّ اللّٰهَ غَنِيٌّ حَمِيْدٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji. (Surah al-Baqaroh: 267)

Penerangan:

Allah menekankan dalam ayat ini bahawa ada syarat yang mesti dipenuhi untuk bersedekah. Barang yang kita infak mestilah barang yang baik-baik, barang yang bermanfaat dan masih boleh diguna oleh penerima. Barang tersebut juga mestilah sesuai dipakai seperti tidak memberi pakaian wanita kepada orang lelaki ataupun pakaian kanak-kanak kepada orang dewasa. Harta yang dibelanjakan juga hendaklah datang dari hasil yang halal. Hal ini kerana memang terdapat orang kaya yang menjalankan bisnes yang haram namun mereka masih tetap menyalurkan sumbangan dan derma dalam pelbagai bentuk kepada orang ramai. Allah juga melarang kita untuk mengutamakan barang-barang yang buruk. Contohnya, sengaja pilih kambing yang kurus daripada banyak-banyak kambing. Ataupun memilih baju yang buruk-buruk yang kita memang hendak buang pun, yang tidak boleh dipakai lagi. Kita sendiri pun kalau diberi barang itu percuma kita tidak mahu. Begitu jualah dengan orang yang memerlukan, namun mereka masih menerimanya kerana perasaan malu dan bersyukur.  Sesungguhnya Allah itu maha kaya. Dia tidak memerluakan sebarang infak daripada kita. Namun Allah sengaja menyediakan ruang dan peluang untuk hamba-hambanya menyumpul pahala.

Dalil 2:

Ibn ‘Umar telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

Ertinya: Seseorang muslim merupakan saudara kepada seorang muslim. Jangan dia menzaliminya dan jangan membiarkannya dizalimi, sesiapa yang membantu saudaranya nescaya Allah akan membantunya dan sesiapa yang melepaskan saudaranya dari kesempitan nescaya Allah akan melepaskannya dari suatu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan pada hari kiamat.

Berdasarkan hadis ini, jelas dianjurkan kepada sesama umat islam untuk berkasih sayang, tolong menolong dan janji Allah untuk membalas budi baik yang kita berikan dengan balasan yang setimpal.

Kelebihan Sedekah

Terlebih dahulu penulis dengan merendah diri ingin mengingatkan, segala kebaikan ataupun kelebihan sesuatu ibadat hendaklah berdasarkan dalil daripada al-Quran ataupun hadis Nabi ﷺ. Seseorang tidak boleh mendakwa apa-apa sahaja kelebihan ibadat tertentu tanpa berasaskan dalil yang sah.

Hal ini kerana pahala dan ganjaran dikurniakan oleh Allah. Sekiranya tiada wahyu yang memberitahu kita, daripada mana pihak terbabit mengetahui perkara ghaib tersebut? Penulis melihat masayarakat Islam di negara ini mudah terangsang dengan sesuatu kelebihan tertentu seperti kelebihan berselawat boleh dapat itu ini, zikir begitu begini beratus kali dapat menyembuhkan penyakit dan sebagainya.

Perkara yang dibolehkan hanyalah bertawassul, iaitu mengambil berkat dengan amalan soleh yang kita lakukan, dengan memohon doa dan pertolongan kepada Allah SWT berkaitan perkara yang kita hajati. Kalau begitu mudah boleh mendapat kelebihan tertentu, mengapa masih ramai antara kita yang mengamalkannya tetapi masih tidak keluar daripada masalah?   

Berbalik kepada amalan sedekah, perkara ini sudah terbukti mengandungi pelbagai kelebihan yang dijanjikan oleh Allah dan Rasulnya. Dalam hidup ini kita tidak perlu bersusah payah tercari-cari amalan apa untuk menambah pahala kerana yang ada daripada baginda Nabi ﷺ ini sudah lengkap untuk kita amalkan.

Antara kelebihan bersedekah adalah seperti berikut:

Dalil 1:

Firman Allah S.W.T:

مَثَلُ الَّذِيْنَ يُنْفِقُوْنَ اَمْوَالَهُمْ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ اَنْۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِيْ كُلِّ سُنْۢبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللّٰهُ يُضٰعِفُ لِمَنْ يَّشَاۤءُ ۗوَاللّٰهُ وَاسِعٌ عَلِيْمٌ

Ertinya: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang–orang yang menafkahkan hartanya dijalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap–tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang dia kehendak, dan Allah Maha Luas ( kurnianya ) lagi Maha Mengetahui. (Al-Baqaroh: 261)

Penerangan ayat:

Pertama, dijelaskan pada ayat terbabit, keutamaan bersedekah adalah di jalan Allah. Sedekah selain pada jalan Allah juga dijanjikan pahala seperti memberi makan kepada binatang, mengangkat halangan di jalan raya dan sebagainya. Namun, sedekah yang afdal adalah yang melibatkan urusan agama islam seperti dakwah kepada manusia dan jihad perang.

Kedua, Allah menggunakan perumpamaan infak seperti pohon supaya mudah untuk kita fahami. Kita sedia maklum bahawa apabila kita bercucuk tanam, hasil daripada tanaman tersebut tidak tumbuh segera bahkan ada yang memakan masa bertahun-tahun. Seperti itu jugalah dengan sedekah. Boleh jadi hasil kita itu diakhirat kelak baru kita dapat menuainya.

Ketiga, Allah menerangkan pada setiap satu pohon akan mengeluarkan 7 tangkai, seterusnya akan mengeluarkan seratus biji. Ini bermakna, 1 x 7 x 100 = 700. Hal ini bersamaan dengan sedekah RM1 Allah gandakan RM700 sebagai ganjaran. Dan pahala ini juga berkekalan sehingga di akhirat bukan seperti hasil tanaman yang bertahan di dunia sahaja. Lihatlah betapa untungnya urus niaga dengan Allah ini!?

Keempat, Allah memberitahu bahawasanya Dia akan melipatgandakan infak kita itu berdasarkan keilkhlasan dan kepayahan (masyaqqah). Ini kerana ada orang ikhlasnya tidak sama, ada orang hidup dia sendiri sudahlah perit dan susah, namun masih sanggup memberikan sekadar apa dia mampu. Jadi, mestilah tidak sama infak orang miskin dan infak seorang jutawan di sisi Allah. Hanya Allah yang mengetahui keikhlasan dalam hati hamba-hambanya.

Dalil 2:

اِنَّ الْمُصَّدِّقِيْنَ وَالْمُصَّدِّقٰتِ وَاَقْرَضُوا اللّٰهَ قَرْضًا حَسَنًا يُّضٰعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ اَجْرٌ كَرِيْمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah (Allah dan Rasul-Nya) baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipatgandakan (pembayarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak. (Surah al-Hadid: 18)

Penerangan ayat:

Kalimah ‘sedekah’ itu asal dari ص د ق yang bermaksud ‘membenarkan’. Orang-orang yang mengeluarkan hartanya di jalan Allah, mereka membenarkan janji-janji Allah dengan balasan yang baik apabila mereka bersedekah. Maka dengan itu, mereka ringan tangan untuk menghulurkan bantuan dari segi wang tunai, tenaga, ilmu di jalan Allah. Sedekah juga layak dilakukan oleh lelaki mahupun wanita. Zaman sekarang sudah ramai wanita bekerjaya, jutawan kosmetik, ahli parlimen dan pelbagai lagi peranan mereka dalam masyarakat. Wanita juga boleh merebut peluang untuk membenarkan janji-janji Allah ini dengan bersedekah.

Balasan Allah mengandungi makna dari segi kualiti dan kuantiti. Dalam kelebihan sebelum ini telah dijelaskan mengenai ganjaran 700 kali ganda iaitu kuantiti. Pada ayat kali ini, kalimah kareem boleh diertikan sebagai nilai kualiti yang berlipat ganda. Berapa duit sangatlah yang kita beri, bukan? Tetapi balasan syurga Allah tidak ternilai bandingnya. Kareem disini juga boleh dimaksudkan dengan penghapusan dosa. Apabila kita bersedekah, kita akan mendapat keampunan Allah. Apabila dosa kita berkurang, maka yang tinggal hanyalah amalan-amalan baik yang kita lakukan. Ini seperti kita berniaga, hasil yang dapat untung sahaja langsung tiada rugi.

Dalil 3:

وَمَنْ اَظْلَمُ مِمَّنْ مَّنَعَ مَسٰجِدَ اللّٰهِ اَنْ يُّذْكَرَ فِيْهَا اسْمُهٗ وَسَعٰى فِيْ خَرَابِهَاۗ اُولٰۤىِٕكَ مَا كَانَ لَهُمْ اَنْ يَّدْخُلُوْهَآ اِلَّا خَاۤىِٕفِيْنَ ەۗ لَهُمْ فِى الدُّنْيَا خِزْيٌ وَّلَهُمْ فِى الْاٰخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيْمٌ

Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar (Surah al-Baqaroh: 114)

Ayat diatas berkenaan perbincangan rahsia yang dibuat oleh puak munafik sewaktu zaman Nabi ﷺ. Allah memberitahu kebanyakkan perbincangan sulit ini adalah perkara yang tidak baik seperti kutuk mengutuk, pakatan jahat atau sebagainya. Melainkan perbincangan tertutup itu membincangkan tentang 3 perkara iaitu sedekah, suruhan kebaikan dan perbincangan untuk mendamaikan antara manusia. Sebagai contoh, ada kawan kita yang ditimpa musibah. Kita sebagai kawan-kawannya nya yang rapat berpakat dalam satu group whatsapp untuk mengumpul derma kilat. Perbincangan seperti ini memang kebiasaanya dirahsiakan kerana tidak mahu kawan yang ditimpa musibah itu berasa malu atau segan. Oleh itu, sesiapa yang berbuat begini bagi mencari redha Allah, maka baginya pahala yang besar.

Dalil 4:

Dalil Hadis:

Dari Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Ada tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah dengan naungan ‘Arsy-Nya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali hanya naungan-Nya semata. Tujuh golongan tersebut yaitu : Imam (pemimpin) yang adil.Pemuda yang tumbuh besar dalam beribadah kepada Rabbnya. Seseorang yang hatinya senantiasa terpaut pada masjid. Dua orang yang saling mencintai karena Allah, dimana keduanya berkumpul dan berpisah karena Allah. Dan seorang laki-laki yang diajak (berzina) oleh seorang wanita yang berkedudukan lagi cantik rupawan, lalu ia mengatakan: “Sungguh aku takut kepada Allah.” Seseorang yang bersedekah lalu merahasiakannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya. Dan orang yang berdzikir kepada Allah di waktu sunyi, lalu berlinanglah (berjatuhan) air matanya.”

Hadits shahih. Diriwayatkan oleh al-Bukhari

Saiyyidina Anas b, Mālik meriwayatkan, bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: Segeralah kamu bersedekah, maka sesungguhnya sedekah itu menolak akan bala.

Dapat disimpulkan daripada hadis di atas bahawa sedekah itu boleh menjadi insuran kita ketika panas terik padang mahsyar kelak, dan  mampu menjadi pendinding daripada bala dan musibah Allah SWT di dunia.

Bagaimana Jika orang Miskin Mahu Bersedekah?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, segala ganjaran ini sudah tentulah diutamakan kepada mereka yang mampu dari segi harta dan wang ringgit. Namun bagaimana bagi mereka yang statusnya miskin atau fakir mahu merebut ganjaran sedemikian?

Jawapan: Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu dalam keadaan miskin (dan dia hendak bersedekah), maka hendaklah dia terlebih dahulu mengutamakan keperluan dirinya sendiri. Kalau ada yang berlebih, hendaklah disedekahkan kepada anak isteri dan orang yang ditanggung nafkahnya. Kalau ada juga yang berlebih, hendaklah disedekahkan kepada kerabatnya (atau kepada orang yang ada pertalian kerabat dengannya). Kalau ada juga yang berlebih, maka hendaklah disedekahkan kepada orang lain yang memerlukan bantuan, yang ada di sana sini.” (Riwayat Ahmad)

Oleh yang demikian, orang miskin boleh bersedekah mengikut kadar kemampuannya, asalkan tidak menyusahkan dirinya sendiri, isteri, anak-anak dan tanggungannya. Sekiranya tidak mampu, tidak menjadi tuntutan baginya untuk membelanjakan harta. Hal ini sama seperti masalah zakat, mereka yang tidak cukup haul dan nisab tidak dikenakan zakat, bahkan golongan merekalah yang diberi zakat dan bantuan. Rahmat Allah itu luas, mungkin orang miskin tidak mampu mengumpul kebaikan dalam ruang ini. Tetapi, pahala orang miskin datang daripada ketaatan, kesabaran, dan keredhaan mereka terhadap ujian Allah yang mungkin tidak diberikan kepada sebahagian besar orang-orang kaya.

Penutup

Berdasarkan pemerhatian daripada ayat al-Quran dan Hadis Nabi ﷺ, sedekah adalah satu syariat yang dituntut agar kita mampu memulihkan ekonomi umat Islam disamping membela nasib mereka yang tidak berkemampuan. Islam amat memberi perhatian kepada setiap lapisan penganutnya. Oleh itu, kita hendaklah menjadikan sedekah satu aspek penting dalam kehidupan dan semoga dengan amalan ini kita semua akan berjaya di dunia dan di akhirat kelak. Wallahualam.

Rujukan:

  1. Kefahaman Masyarakat Islam Terhadap Keutamaan Melaksanakan Umrah Berulang Kali Berbanding Amalan Bersedekah: Md. Shukri Bin Ahmad, Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Kuala Lumpur
  2. Tafsir Ibnu Kathir
  3. Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × 5 =