Ramlah Binti Abu Sufyan, wanita yang setia pada agamanya. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabiat yang menjadi isteri Rasulullah SAW disebabkan oleh keteguhan imannya.
Siapakah Ramlah Binti Abu Sufyan?
Ramlah binti Abu Sufyan merupakan puteri kepada Abu Sufyan bin Harb, seorang penguasa Quraisy pada zaman Jahiliyah. Ibunya pula bernama Hindun Binti Utbah. Beliau juga merupakan saudara perempuan Muawiyah bin Abu Sufyan, pengasas Dinasti Umayyah. Beliau menikah dengan pemuda bernama Ubaidullah bin Jahsy dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Habibah. Oleh itu, beliau lebih dikenali dengan gelaran nama Ummu Habibah.
Ramlah Binti Abu Sufyan Memeluk Islam
Ramlah merupakan seorang wanita yang cantik, bijak dan berpelajaran. Apabila muncul seruan untuk beriman kepada Allah SWT oleh Rasulullah SAW di Mekah, beliau bersama suaminya, Ubaidullah menyahut seruan tersebut dan memeluk Islam.
Beliau antara golongan terawal memeluk Islam dan menyaksikan kekejaman orang Quraisy Mekah terhadap kaum muslimin. Antara sosok yang melaksanakan kekejaman tersebut ialah ayahnya sendiri, Abu Sufyan.
Walaupun Abu Sufyan merupakan sosok yang berkuasa dalam kalangan kafir Quraisy pada ketika itu, beliau tidak dapat menghalang puterinya Ramlah yang telah menyatakan keislamannya secara terang-terangan.
Kisah Keteguhan Iman Ramlah Binti Abu Sufyan
Tatkala kekejaman kafir Quraisy kepada kaum muslimin berada pada kemuncaknya, Rasulullah SAW mengarahkan kaum muslimin berpindah ke negeri Habsyah untuk mendapat perlindungan. Maka, Ramlah bersama suaminya berhijrah ke negeri tersebut. Beliau telah melahirnya anaknya, Habibah ketika menetap di Habsyah.
Pada suatu hari, beliau telah bermimpi melihat suaminya, Ubaidullah dengan rupa yang sangat buruk dan menakutkan. Beliau kemudian bangun dalam keadaan panik dan terkejut serta memohon perlindungan Allah SWT. Pada keesokan paginya, beliau mendapati suaminya, Ubaidullah telah memutuskan untuk memeluk agama Nasrani. Beliau menceritakan mimpinya kepada Ubaidullah yang telah murtad dengan harapan suaminya akan berasa takut dan kembali kepada Allah SWT, namun suaminya tidak menghiraukan ucapannya.
Malah, suaminya berusaha memujuk beliau untuk meninggalkan Islam dan memeluk agama Nasrani. Namun, beliau menolak pujukan tersebut dengan tegas dan mengajak suaminya agar kembali kepada Islam. Ajakan tersebut tidak dipedulikan oleh Ubaidullah. Ubaidullah meninggalkan identitinya sebagai seorang Muslim dan mula meminum arak serta sentiasa berada dalam keadaan mabuk. Akibat ketagihan arak yang melampau, Ubaidullah meninggal dunia dalam keadaan kufur.
Pernikahan Ramlah Binti Abu Sufyan Dengan Rasulullah SAW
Kematian Ubaidullah merupakan ujian yang hebat kepada Ramlah. Berada di negeri asing tanpa keluarga dan pendamping di sisi, beliau menghabiskan masanya beribadah dan menjaga anak perempuannya, Habibah. Suatu hari, beliau telah mendapat satu lagi mimpi yang menyeru beliau sebagai Ummul Mukminin (ibu kaum beriman). Apabila terbangun dari mimpi tersebut, beliau merasakan kegembiraan yang tidak pernah dirasakan olehnya sebelum ini.
Rupa-rupanya, Rasulullah SAW telah mendengar khabar bahawa Ubaidullah telah berpindah kepada agama Nasrani manakala isterinya, Ramlah lebih memilih Allah dan RasulNya. Rasulullah SAW berasa kagum akan keteguhan iman dan ketetapan pendirian beliau. Oleh itu, selepas kematian Ubaidullah, baginda berhasrat menikahi beliau sebagai satu bentuk kemuliaan di samping ingin meringankan beban hidupnya yang memiliki anak untuk dibesarkan.
Selepas tamat tempoh iddah, seorang hamba Raja Najashi (Raja Habsyah) telah menyampaikan kepada Ramlah berita bahawa beliau telah dipinang oleh Rasulullah SAW. Alangkah gembiranya beliau apabila mendapat khabar tersebut sehingga beliau menanggalkan perhiasan dan gelang kakinya untuk diberikan kepada hamba yang datang menemuinya. Kemudian, beliau meminta Khalid bin Sa’id untuk menjadi wali baginya untuk menerima lamaran Rasulullah SAW.
Raja Najashi yang mewakili pihak Rasulullah SAW pada ketika itu, mengumpulkan seluruh kaum muslimin di bawah pimpinan Ja’far bin Abi Talib yang berada di Habsyah dan melangsungkan pernikahan Ramlah dengan Rasulullah SAW dengan mahar 400 dinar. Maka, berubahlah status beliau sebagai Ummul Mukminin ketika berusia 40 tahun. Beliau kemudiannya menyertai rombongan Muhajirin di Habsyah dan bertemu Rasulullah SAW di Madinah pada tahun ke-6 atau ke-7 Hijrah.
Kelebihan Dan Keutamaan Ramlah Binti Abu Sufyan
Ramlah dikenali sebagai peribadi yang sentiasa meletakkan akidahnya sebagai perkara yang pertama. Apabila ayahnya Abu Sufyan yang ketika itu belum memeluk Islam datang ke Madinah untuk memperbaharui perjanjian Hudaibiyah, beliau singgah ke rumah Ramlah untuk melawat puterinya.
Apabila Abu Sufyan ingin duduk di atas tikar, Ramlah menggulung tikar tersebut. Abu Sufyan berasa hairan dan bertanya sebab beliau menghalangnya untuk duduk di atas tikar tersebut. Maka, Ramlah menjawab, “Ini adalah tikar Rasulullah SAW yang suci dan bersih, maka tiada penyembah berhala yang kotor boleh duduk di atasnya”. Abu Sufyan yang berasa malu menyatakan bahawa Ramlah telah melupakan adabnya semenjak tinggal berjauhan darinya.
Maka, Ramlah menjelaskan bahawa kesucian dan kekotoran mengandungi makna yang berbeza dalam Islam. Beliau menyatakan kesyukurannya kerana telah dibimbing oleh Allah SWT kepada Islam. Kemudian, beliau mempersoalkan bagaimana ayahnya sebagai seorang penguasa Quraisy masih belum menerima Islam dan memilih untuk menyembah patung yang buta dan tuli. Abu Sufyan berasa marah apabila mendengar ucapan tersebut lantas meninggalkan rumah puterinya. Demikianlah keagungan dan kemuliaan Ummul Mukminin, yang mengutamakan agamanya berbanding keluarganya, menolak keras pengaruh Jahiliyah.
Selain itu, Ramlah juga dikenali dengan ilmu dan penguasaannya terhadap hadith. Beliau menduduki tempat ketiga paling banyak meriwayatkan hadith dalam kalangan Ummul Mukminin selepas Sayyidatina Aisyah dan Ummu Salamah. Beliau telah meriwayatkan 65 hadith secara keseluruhannya. Sebahagian hadith tersebut diriwayatkan dari para sahabat seperti Muawiyah bin Abu Sufyan, Abdullah bin Utbah, Urwah bin Zubair, Salem bin Shawal, Abu al-Jarrah Qurashi, Zainab binti Ummu Salamah dan Safiyyah binti Shaybah.
Wafatnya Ramlah Binti Abu Sufyan
Setelah kewafatan Rasulullah SAW, Ramlah tidak keluar dari rumahnya kecuali untuk menunaikan solat dan beliau tidak meninggalkan Madinah kecuali untuk menunaikan haji. Beliau wafat pada zaman pemerintahan adiknya, Muawiyah bin Abu Sufyan pada tahun 44 Hijrah ketika berumur 70 tahun. Diriwayatkan bahawa beliau sempat memohon keampunan daripada Sayyidatina Aisyah dan Ummu Salamah atas kesalahan yang mungkin dilakukan apabila berlaku perselisihan faham di antara isteri-isteri Rasulullah SAW.
Dalil Yang Berkaitan Dengan Ramlah Binti Abu Sufyan
Ramlah binti Abu Sufyan telah dilamar oleh Rasulullah SAW kerana keutuhan imannya. Ketika Abu Sufyan mendengar khabar pernikahan puterinya dengan Rasulullah SAW, beliau berasa marah dan pada masa yang sama mengakui kelayakan puterinya untuk berdamping dengan Rasulullah SAW. Beliau berkata, “Muhammad merupakan seorang lelaki mulia dan Ummu Habibah adalah seorang wanita yang kuat keimanannya terhadap Allah dan RasulNya”. Sempena perkahwinan Ramlah dengan Rasulullah SAW, Allah SWT menurunkan firmanNya yang berbunyi:
عَسَى ٱللَّهُ أَن يَجْعَلَ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ ٱلَّذِينَ عَادَيْتُم مِّنْهُم مَّوَدَّةً ۚ وَٱللَّهُ قَدِيرٌ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Mudah-mudahan Allah menimbulkan kasih sayang antaramu dengan orang-orang yang kamu musuhi antara mereka. Dan Allah adalah Maha Kuasa. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Al-Mumtahanah:7)
Pernikahan tersebut merupakan peristiwa penting yang mempengaruhi penguasa Quraisy dan pemimpin terkemuka seperti Abu Sufyan dan Muawiyah untuk mengenali Islam dan menyertai barisan Rasulullah SAW. Pernikahan yang membawa kepada keislaman dua sosok penting tersebut berlaku disebabkan seorang Ummul Mukminin yang memberi teladan dalam menjaga kewibawaan agamanya, mulia dan jauh dari pengaruh Jahiliyah.
Rujukan
- Mahmud Mahdi Al-Istambuli & Musthafa Abu Nashr Asy-Syalabi. 2011. Mereka Adalah Para Shahabiyat. Indonesia: At-Tibyan.
- Ann Wan Seng. 2014. Wahyu dan Sahabat Nabi SAW: Kisah manusia yang menjadi sebab turunnya wahyu. Selangor: Kemilau Publika Sdn Bhd.
- The Companion. Ummu Habibah – Ramlah Bt Abu Sufyan: Steadfast on her faith.