Apakah perkakas dapur yang perlu disediakan agar memudahkan kerja rumah anda? Artikel ini akan menerangkan beberapa perkakas dapur serta kegunaannya untuk membantu dalam aktiviti memasak anda.
Dapur merupakan bahagian rumah yang paling penting. Di situlah tempat memasak, menyediakan jamuan dan juga menjadi tempat merapatkan hubungan kekeluargaan dengan meluangkan masa bersama-sama semasa berada di dapur. Barbara Costikyan, seorang penulis buku makanan menggambarkan memori kanak-kanak yang terindah ialah kehangatan masakan ibu.
Sama ada kita tukang masak yang handal, atau pun tukang masak amatur yang menggunakan YouTube dan Google sebagai guru masakan kita, alatan-alatan ini wajib berada di dapur kita semua, bukan sahaja untuk memasak, tetapi juga memanggang, membakar dan juga mempraktiskan resepi baru yang kita pelajari.
Beberapa perkakas dapur tersebut adalah:
1. Pisau
Ada 3 jenis pisau yang wajib berada di dapur kita – pisau bergerigi, pisau koki sepanjang 8 hingga 10 inci dan pisau paring adalah asas yang baik yang patut kita semua simpan di ruang dapur kita.
2. Papan pemotong
Ada dua papan pemotong yang sesuai – satu untuk bahan mentah dan satu untuk makanan dan masakan yang telah dimasak – ini untuk mengelakkan pencemaran semasa memasak.
Untuk bahan mentah, kami lebih suka menggunakan papan pemotong plastik dengan cengkaman dan tidak licin. Untuk masakan yang sudah dimasak, papan pemotong kayu atau plastik boleh digunakan.
3. Periuk nasi
Periuk nasi automatik kini menjadi alatan biasa yang perlu ada di mana-mana dapur, dengan kemudahan teknologi yang mempunyai tiga dalam satu kelebihan. Ianya lebih mudah digunakan berbanding memasak nasi di dalam periuk biasa di atas dapur, dengan menggunakan hanya satu butang.
4. Perkakas penyediaan makanan
Mempunyai variasi peralatan adalah sangat berguna untuk mencuba pelbagai resepi dan masakan. Sekiranya anda suka memasak, perkakas mudah seperti pengupas sayur, sudu kayu, palu daging, sudu berlubang, penyepit, sendok dan non-stick spatula adalah sangat sesuai.
Sekiranya anda suka memanggang pula, wayar pukul dan penggelek sangat berguna untuk mencuba masakan tersebut.
5. Penapis
Agak menjengkelkan apabila pasta yang sudah siap lembut direbus, sukar untuk dibawa keluar daripada periuknya dengan lebihan air yang menitik daripada pasta tersebut. Penapis memudahkan kita untuk membasuh sayur, mengangkat mee selepas siap direndam dan ada juga yang menggunakan penapis untuk menapis sisa makanan selepas makan.
6. Dapur (Stove)
Dapur juga adalah salah satu alat yang wajib ada di dapur. Jika tiada alat ini, tidak berasap lah rumah kita gamaknya. Dapur kini boleh didapati dengan dua jenis – satu dapur elektrik di mana ia tidak memerlukan api untuk memasak, cukup dengan haba dan yang kedua ialah dapur tradisional di mana kita menggunakan tong gas untuk memasak dan juga api.
7. Pengadun (mixer)
Untuk penggemar bakeri dan pastry – dan suka untuk membuatnya di rumah sendiri, pengadun elektrik ialah peralatan yang wajib ada di dapur anda. Selain sifatnya yang sangat mudah untuk mengadun bahan-bahan, ia juga menjimatkan masa berbanding menggunakan pengadun tangan. Bukan setakat itu sahaja, pengadun elektrik juga menjimatkan masa kita untuk mencampurkan semua bahan-bahan adunan sehingga sebati .
8. Pengisar
Pengisar tangan atau elektrik, kedua-duanya adalah peralatan yang mesti ada di dapur kita. Sama ada mengisar daging, atau bawang, atau apa-apa sahaja, pengisar semestinya menjadikan keperluan bahan makanan kita menjadi lebih lumat dan mudah untuk dimasak. Pengisar juga digunakan untuk membuat jus, juga terdapat set pengisar yang disediakan bersama pengisar kacang.
9. Set pinggan mangkuk
Set pinggan mangkuk dengan pelbagai jenis dan bentuk ini bukan sahaja menjadi kegemaran para wanita yang suka menjadikannya sebagai koleksi, tetapi ianya juga menjadi satu kemestian untuk dapur yang lengkap. Jika masakan semua sudah siap dimasak, di mana kita mahu letakkan semua juadah tersebut, bukan?
10. Set kuali dan periuk dan air fryer
Ya, di mana kita mahu memasak semua bahan-bahan yang kita sudah sediakan jika bukan di kuali atau periuk, bukan? Kuali biasanya digunakan untuk menggoreng manakala periuk digunakan untuk merebus atau memasak sup. Set ini
Selain itu, kini terdapat teknologi menggoreng yang lebih sihat dan efisien tanpa menggunakan minyak dan ia disebut sebagai air fryer. Teknologi terbaru ini pastinya perlu di dapur kita supaya masakan kita lebih pelbagai dan yang lebih utama adalah lebih sihat untuk diri kita dan juga keluarga.
11. Peti sejuk
Apalah gunanya dapur tanpa peti sejuk? Lagi besar dapur seseorang, lagi besar peti sejuk yang diperlukan. Bukan sahaja ia digunakan untuk menyimpan bahan-bahan mentah dan tidak tahan lama, tetapi ia juga digunakan untuk makanan sejukbeku seperti nugget dan juga frozen food lain yang kini menjadi trend penjual kuih-muih.
12. Ketuhar
Ketuhar digunakan untuk membakar dan juga memanggang. Di musim perayaan, keperluan ketuhar dilihat sebagai satu kemestian untuk membakar biskut dan juga juadah istimewa lain untuk meraikan hari yang bahagia.
13. Ketuhar gelombang mikro (microwave)
Penggunaan microwave pada masa kini seakan-akan menjadi satu kemestian lebih-lebih lagi dengan adanya pelbagai makanan sejukbeku pada masa kini seperti nasi goreng sejukbeku, sosej dan ada juga spageti carbonara sejukbeku. Teknologi pemanasan yang disediakan pada microwave ini menjadikan ia sebagai salah satu perkakas yang perlu ada untuk kemudahan memasak.
14. Sinki
Tempat yang wajib ada di dapur. Disinilah kita membasuh pinggan mangkuk dan periuk belanga selepas berjuadah dan memasak untuk memastikan dapur kita bersih dan selamat.
15. Cerek air dan penapis air
Bukanlah perkara yang wajib ada tetapi dengan adanya cerek (tidak kiralah elektrik atau manual), sangatlah mudah untuk kita mendapatkan bekalan air panas. Dan kini, penapis air seperti Coway dan Cuckoo menjadi pilihan isi rumah yang ingin bekalan air yang bersih dan terus diminum dengan set yang pelbagai yang mempunyai pilihan air sejuk dan juga air panas.
Kesimpulannya, alatan dan memasak yang kami senaraikan ini bukanlah satu kemestian. Bajet dan keperluan adalah perkara paling utama sebelum membeli perkakas-perkakas yang disebutkan diatas. Apa lagi yang lebih penting ialah, kita mengguanakan dapur kita sebaik mungkin untuk menyediakan juadah buat keluarga tercinta, dan juga memanfaatkan sepenuhnya ruang tersebut untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, sekaligus menjimatkan duit poket kita. Bak kata Andrew Zimmern, chef terkenal di Amerika Syarikat,
“Segala-galanya bermula di dapur, termasuklah kehidupan kita”.
Diharapkan artikel barang perkakas dapur ini dapat membantu memberi idea berkenaan barang-barang dan perkakas yang perlu disediakan di dapur anda.
Artikel Berkaitan: Barang Keperluan Rumah Baru