Islam dan Kristian adalah dua agama yang telah tersebar dengan sangat meluas di dunia. Kedua dua agama ini mempunyai sejarah yang berkait rapat, tetapi mempunyai kefahaman yang sangat berbeza mengenai Tuhan.
Persamaan dan perbezaan kedua-dua agama ini boleh mencetuskan konflik agama jika tidak diurus dengan baik dan bakal melenyapkan kesejahteraan alam.
Apa yang ditulis dalam artikel ini tidaklah tepat sepenuhnya. Ia juga tidak merangkumi semua perkara. Walaubagaimanapun, apa yang penting ialah gambaran umum untuk kita memahami dan membezakan kedua-dua agama ini dalam konteks akademik. Maka tujuan utama artikel ini adalah untuk memupuk sikap memahami kewujudan bersama ataupun yang disebut sebagai at-Ta’ayush atau Coexistence.
Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
Maksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” (Surah al-Hujurat 49:13)
PERSAMAAN ANTARA ISLAM DAN KRISTIAN
1. Tuhan itu mencipta dan berkuasa atas segala sesuatu di muka bumi ini.
Kedua-dua agama berpendapat bahawa Tuhan itu maha kuasa, memiliki pengetahuan yang tiada had, suci, adil dan tepat. Agama Islam dan agama Kristian percaya bahawa ada Tuhan yang mencipta alam ini dan alam ini bukannya terjadi dengan sendiri.
Al-Quran:
هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Maksud: Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Hasyr: 24)
Bible:
“In the beginning, God created the heavens and the earth”
Maksud: Pada awalnya, Tuhan telah menciptakan syurga dan bumi. (Genesis 1:1)
2. Nabi Isa dilahirkan oleh Maryam tanpa bapa
Jika dirujuk kepada Al-quran, Allah SWT menjelaskan bahawa nabi Isa itu dilahirkan oleh Maryam tanpa seorang bapa kerana Maryam yang tidak pernah berkahwin atau disentuh oleh mana-mana lelaki. Perkara yang sama turut disebut di dalam kitab Bible.
Al-Quran:
وَٱلَّتِىٓ أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهَا مِن رُّوحِنَا وَجَعَلْنَٰهَا وَٱبْنَهَآ ءَايَةً لِّلْعَٰلَمِينَ
Maksudnya: Dan (ingatlah kisah) Maryam yang telah memelihara kehormatannya, lalu Kami tiupkan ke dalam (tubuh)nya ruh dari Kami dan Kami jadikan dia dan anaknya tanda (kekuasaan Allah) yang besar bagi semesta alam (Surah al-Anbiya’ 21: 91)
Bible:
The angel answered, “The Holy Spirit will come on you, and the power of the Most High will overshadow you. So the holy one to be born will be called[a] the Son of God.
(Luke 1: 35)
3. Memberi Salam
Kedua-dua agama ini menganjurkan penganutnya agar memberi salam kepada yang lain. Budaya memberi salam ini menunjukkan bahawa kedua-dua agama amat menitik beratkan soal menjaga hubungan persaudaraan sesama manusia.
Al-Quran:
وَإِذَا جَاءَكَ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِآيَاتِنَا فَقُلْ سَلَامٌ عَلَيْكُمْ
Maksud: Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan kamu itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka), maka katakanlah: “”Mudah-mudahan kamu beroleh selamat!” (Surah Al-An’am 6:54)
Bible:
While they were still talking about this, Jesus himself stood among them and said to them, “Peace be with you.”
Maksud: Dan sementara mereka bercakap-cakap tentang hal itu, Jesus tiba-tiba berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata kepada mereka: Damai sejahtera bagi kamu”. (Luke 24:36)
Hakikatnya, terdapat beberapa lagi persamaan yang boleh ditemui pada kedua-dua agama ini. Antaranya ialah percaya bahawa nabi Isa atau Jesus itu akan turun semula ke bumi pada akhir zaman dan pengharaman meminum arak.
PERBEZAAN ANTARA ISLAM DAN KRISTIAN
1. Konsep Ketuhanan
Islam: Tauhid
Agama Islam berpegang dengan konsep Tauhid iaitu mengesakan Allah. Tauhid merupakan asas keimanan yang ditekankan dalam Islam. Dari segi bahasa, Tauhid berasal daripada perkataan Arab (توحید ) iaitu satu konsep yang menunjukkan kepercayaan monoteisme dalam Islam yang mempercayai bahawa Tuhan itu hanya satu. Tauhid dari segi syarak bermaksud mengesakan Allah dengan ibadat serta meyakini keesaan tersebut pada zat, sifat-sifat dan perbuatan-Nya.
Menurut Islam, kalimah tauhid yang asas ialah kalimah (لا اله إلا الله ) La ilaha illallah bermaksud ‘Tidak ada Tuhan selain Allah’. Kalimah ini menunjukkan bahawa manusia tidak ada tempat bersandar, dan berharap kecuali hanya Allah. Tidak ada yang menghidupkan dan mematikan, memberi manfaat dan mudarat, memberi rezeki melainkan Allah.
Penggunaan istilah dan maknanya terdapat dalam beberapa firman Allah SWT dalam Al-Quran.
Firman Allah SWT:
قُلْ هُوَ اللَّـهُ أَحَدٌ ﴿١﴾ اللَّـهُ الصَّمَدُ ﴿٢﴾ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ﴿٣﴾ وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ
Maksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.” (Surah al-Ikhlas 112: 1-4)
Allah SWT turut berfirman:
وَإِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَـٰنُ الرَّحِيمُ
Maksud: Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah 2:163)
Kesimpulannya, Tauhid ialah membebaskan diri daripada sebarang bentuk penyembahan melainkan hanya kepada Allah semata-mata.
Kristian: Triniti
Konsep Triniti dalam agama Kristian merupakan satu konsep yang mustahil bagi mana-mana manusia untuk memahaminya sepenuhnya, apatah lagi menerangkan.
Istilah ini digunakan untuk menggambarkan Tuhan itu tiga dalam satu iaitu The Father, The Son of God atau Jesus dan The Holy Spirit. Gambar rajah ini mungkin dapat membantu para pembaca untuk memahamkan konsep yang dipegang oleh mereka.
Berikut adalah beberapa contoh bagaimana konsep ini disebutkan di dalam bible:
- “Go therefore and make disciples of all the nations, baptizing them in the name of the Father and the Son and the Holy Spirit . . .”
- Maksud: Kerana itu pergilah, jadikanlah semua bangsa murid-Ku dan baptislah mereka dalam nama Bapa dan Anak dan Roh Kudus…” (Matthew 28:19)
- “But if I [Jesus] cast out demons by the Spirit of God, then the kingdom of God has come upon you.”
- Maksud: Tetapi jika Aku (Jesus) mengusir syaitan dengan kuasa Roh Kudus, maka sesungguhnya Kerajaan Tuhan sudah datang kepadamu. (Matthew 12:28)
Kesimpulannya, konsep trinity ini sama sekali tidak boleh disamakan dengan konsep Tauhid yang dipegang dalam Islam. Hal ini demikian kerana konsep ini membawa maksud tuhan itu ada anak iaitu Jesus. Justeru itu, hilanglah sifat keesaan yang ada pada tuhan tersebut. Bahkan konsep ini hampir menyamai polytheisme yang menyembah lebih daripada satu Tuhan seperti yang dipegang oleh sebahagian agama yang lain.
2. Kitab Suci
Islam: Al-Quran
Al-Quran ialah kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas. Antara keistimewaan Al-Quran berbanding kitab yang lain ialah:
1. Masih Kekal Asli Hingga Ke Hari Ini
Segala isi Al-Quran tidak ada yang berubah sedikitpun dan bebas daripada penyelewengan sejak daripada zaman Rasulullah s.a.w hingga sekarang.
Firman Allah SWT:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Maksud: “Sesungguhnya kamilah yang menurunkan Al-Quran dan memeliharanya”. (Surah Al-Hijr 15: 9)
2. Kitab yang Terang dan Jelas
Al-Quran adalah kitab yang mudah difahami dan diambil pengajaran daripadanya. Ianya bukan kitab falsafah yang mempunyai ayat-ayat yang sukar difahami.
Firman Allah SWT:
وَلَقَدْ يَسَّرْنَا ٱلْقُرْءَانَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ
Maksud: Dan sungguh telah Kami mudahkan Al-Qur`ān untuk diingat dan diambil pelajarannya, maka adakah orang yang mengambil petuah dari pelajaran dan nasihat yang ada di dalamnya? (Surah Al-Qamar 54:17)
Kristian: Bible
Bible atau Holy Bible ialah kitab suci bagi orang Kristian. Perkataan Bible diambil daripada perkataan Greek ‘Byblos’ yang membawa maksud buku. Terdapat banyak versi Bible yang boleh didapatkan pada hari ini. Secara umumnya, kitab Bible bagi penganut Kristian terbahagi kepada dua iaitu:
1. Old Testament
Old Testament ialah perjanjian yang telah dipersetujui antara orang Yahudi dan Tuhan. Secara amnya, ia adalah Kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa, tetapi telah diubah suai daripada teks yang asal. Ia mengandungi pengumuman suci daripada Tuhan. Buku ini juga dipanggil sebagai Hebrew Scriptures kerana kebanyakkannya ditulis dalam bahasa Hebrew.
Much in every way! First of all, the Jews have been entrusted with the very words of God.
Maksud: Banyak sekali, dan di dalam segala hal. Pertama-tama: orang Yahudi telah diberi kepercayaan dengan perkataan daripada Tuhan. (Romans 3:2)
Walaubagaimanapun, kaum Yahudi pada ketika itu telah mengingkari janji-janji mereka terhadap Tuhan. Mereka tidak patuh akan arahan-arahan yang terkandung di dalam Old Testament tersebut. Perkara ini menjadi salah satu pendorong kepada kewujudan perjanjian yang baru atau dipanggil sebagai Old Testament.
2. New Testament
Old Testament ialah perjanjian baru yang menerangkan tentang hidup dan ajaran yang dibawa oleh Jesus Christ. Secara amnya, ia adalah Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa, tetapi telah diubah suai daripada teks yang asal. Buku ini juga dipanggil sebagai Christian Greek Scriptures kerana kebanyakkannya ditulis dalam bahasa Greek.
Disebut di dalam Bible:
And we also thank God continually because, when you received the word of God, which you heard from us, you accepted it not as a human word, but as it actually is, the word of God, which is indeed at work in you who believe.
Maksud: Dan kerana itulah kami tidak putus-putus mengucap syukur kepada Tuhan, sebab kamu telah menerima perkataan Tuhan yang kami beritakan itu, bukan sebagai perkataan manusia, tetapi memang sebagai perkataan Tuhan, yang bekerja juga di dalam kamu yang percaya. (1 Thessalonians 2:13)
Jika dilihat pada ketika ini, Bible yang terdapat pada hari ini mempunyai pelbagai versi. Antara sebab bible ini berbeza-beza ialah, pertama, penterjemahan Bible kepada pelbagai bahasa bagi memudahkan pembacaan. Kedua, bahasanya yang agak kuno telah dikemaskini kepada bahasa yang lebih mudah.
3. Tujuan Hidup
Islam:
1. Sebagai Hamba kepada Allah
وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksud: Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. (Surah Az-Zariyat 51:56)
2. Sebagai Khalifah atau Pemimpin di atas Muka Bumi
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّى جَاعِلٌ فِى ٱلْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ
Maksud: Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”(Surah Al-Baqarah 2:30)
Kristian: Menebus Dosa (Salvation)
Istilah salvation seringkali dikaitkan dengan matlamat utama masyarakat Kristian untuk terus kekal dalam ajaran Jesus Christ dan hidup dalam kemuliaan naungan Tuhan.
Istilah salvation yang diambil daripada bahasa Itali, salva membawa maksud tindakan menyelamat dan memelihara daripada kebinasaan, bahaya atau kecelakaan.
“The Lord is my strength and my defense; he has become my salvation. He is my God, and I will praise him, my father’s God, and I will exalt him.”
Maksud: Tuhan itu kekuatanku dan pelindungku, Ia telah menjadi penyelamatku. Ia Tuhanku, dan akan kupuji Dia, Bapa Tuhanku,dan akan kumuliakan Dia. (Exodus 15:2)
Menurut ajaran Kristian, penciptaan asal Tuhan adalah meletakkan Adam hidup selama-lamanya dan menjalinkan hubungan yang suci dengan-Nya. Tetapi tujuan tersebut gagal disempurnakan Adam dan kesan dosa itu telah mengakibatkan hubungan suci itu terputus dan terpisah jauh daripada Tuhan. Dosa ini disebut sebagai original sins.
Impaknya, manusia memerlukan kehidupan baru untuk terus menjalinkan hubungan suci dengan Tuhan. Oleh itu atas sifat kasih sayang Tuhan telah mengutus son of god iaitu Jesus untuk menebus segala bebanan dosa manusia melalui pensaliban diri.
Untuk terus memastikan salvation ini dapat dikecapi oleh setiap penganut Kristian, agama ini turut menggariskan agar setiap individu menampilkan imej Tuhan dalam kehidupan mereka dengan melakukan kerja-kerja kebaikan untuk individu lain kerana ia mencernakan imej Tuhan yang penyayang.
Hasilnya, Tuhan menjanjikan kepada setiap individu tersebut dengan kehidupan yang abadi di dalam syurga Tuhan.
Antara perbezaan lain yang boleh didapati pada kedua-dua agama ini ialah isu penyaliban Nabi Isa atau Jesus dan upacara keagamaan seperti perkahwinan.
KESIMPULAN
Konklusinya, kita dapat melihat dengan sangat jelas bahawa agama Islam dan agama Kristian itu sangat berbeza pada pegangan dan amalan. Adapun persamaan yang wujud itu mungkin disebabkan oleh tinggalan ajaran sebenar yang dibawa oleh Nabi Isa. Ajaran Kristian yang ada pada hari ini tidak sama dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa. Segalanya telah diubah dan ditokok tambah oleh mereka mengikut hawa.
Sebagai seorang Muslim, kita wajib meyakini bahawa agama yang diredhai oleh Allah itu hanya satu iaitu Islam. Ini bertepatan dengan firmanNya yang berbunyi:
إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَٰمُ ۗ
Maksud: Sesungguhnya agama (yang diridhai) disisi Allah hanyalah Islam.(Surah Ali ‘Imran 3:19)
Semoga Allah SWT menetapkan hati, lidah dan perbuatan kita di atas keimanan serta ketaatan kepada-Nya semata-mata.
Wallahua’lam.