larangan mempersendakan islam

Larangan Mempersendakan Islam Atau Agama Lain

Di dalam beragama, islam mempunyai larangan daripada mempersendakan agama islam itu sendiri dan perkara tersebu merupakan salah satu kesalahan yang besar. Sejak kebelakangan ini, banyak kes mempersendakan agama berlaku.

Pengenalan

Bagaimana kita hendak mengklasifikasikan suatu perbuatan itu sebagai menghina Islam?

Menurut Enak Kesalahan Jenayah Syariah 1995 seksyen 54:

Sesiapa yang mengolok-olok, mengajuk atau mengejek-ejek dengan perkataan atau perbuatan akan amalan atau upacara yang berkaitan dengan agama Islam adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam seksyen 54 ini jelas bahawa mempersendakan Islam boleh diklasifikasikan sebagai suatu jenayah.

Dalam negara kita, setiap orang bebas untuk mengamalkan agama sendiri.

Hal ini boleh dirujuk dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan:

Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Hukum mempersendakan agama ini bukan tertakluk kepada Islam sahaja, namun kita juga tidak boleh mempersendakan agama-agama orang lain.

Larangan Mempersendakan Islam dalam Quran

Surah al-An’am ayat 70

Allah berfirman dalam Surah al-An’am ayat 70:

وَذَرِ الَّذِيْنَ اتَّخَذُوْا دِيْنَهُمْ لَعِبًا وَّلَهْوًا وَّغَرَّتْهُمُ الْحَيٰوةُ الدُّنْيَا وَذَكِّرْ بِهٖٓ اَنْ تُبْسَلَ نَفْسٌۢ بِمَا كَسَبَتْۖ لَيْسَ لَهَا مِنْ دُوْنِ اللّٰهِ وَلِيٌّ وَّلَا شَفِيْعٌ ۚوَاِنْ تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَاۗ اُولٰۤىِٕكَ الَّذِيْنَ اُبْسِلُوْا بِمَا كَسَبُوْا لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيْمٍ وَّعَذَابٌ اَلِيْمٌ ۢبِمَا كَانُوْا يَكْفُرُوْنَ ࣖ

Tinggalkanlah orang-orang yang menjadikan agamanya sebagai permainan dan senda gurau, dan mereka telah tertipu oleh kehidupan dunia. Ingatkanlah (mereka) dengan al-Quran agar setiap orang tidak terjerumus (ke dalam neraka), kerana perbuatannya sendiri. Tidak ada baginya pelindung dan pemberi syafaat (pertolongan) selain Allah. Dan jika dia hendak menebus dengan segala macam tebusan apa pun, nescaya tidak akan diterima. Mereka itulah orang-orang yang dijerumus (ke dalam neraka), kerana perbuatan mereka sendiri. Mereka mendapat minuman dari air yang mendidih dan azab yang pedih kerana kekafiran mereka dahulu.

Menurut Tafsir al-Azhar oleh Buya Hamka, ayat ini diturunkan di Mekkah. Ketika itu, orang Islam masih lagi sedikit dan belum ada kekuatan untuk melawan dan sebagainya.

Maka, ayat ini ingin mengingatkan mereka, sekiranya mereka berada dalam satu lingkungan manusia yang mempersendakan Islam, maka mereka perlu tinggalkan lingkungan itu.

Hal ini adalah untuk menjaga ketakwaan mereka. Orang yang bertakwa tidak akan sesekali berada dalam suatu majlis yang dapat mencalarkan ketakwaan mereka.

Kita juga sebagai orang Islam, janganlah mengucapkan perkara-perkara yang mempersendakan agama.

Imam az-Zarkasyi mengatakan bahawa orang yang mengucapkan kata-kata kufur atau menghina agama Islam secara jelas, dia secara tidak sedar telah murtad dan terkeluar daripada agama.

Surah at-Taubah ayat 65

Allah berfirman dalam Surah at-Taubah ayat 65:

وَلَىِٕنْ سَاَلْتَهُمْ لَيَقُوْلُنَّ اِنَّمَا كُنَّا نَخُوْضُ وَنَلْعَبُۗ قُلْ اَبِاللّٰهِ وَاٰيٰتِهٖ وَرَسُوْلِهٖ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِءُوْنَ

Dan jika kamu tanyakan kepada mereka, nescaya mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanya bersenda gurau dan bermain-main saja.” Katakanlah, “Mengapa kepada Allah, dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?”

Menurut Tafsir at-Tabari, ayat ini menceritakan kisah orang Munafik yang mengaku bahawa mereka hanya bergurau senda sahaja tentang agama ini. Padahal, gurau senda yang mereka khabarkan itulah boleh memurtadkan mereka.

Mereka rasa, itu hanya senda gurau. Sedangkan, menurut perspektif al-Quran, itu sudah sampai ke tahap hina.

Samalah juga dengan kebanyakan kes di Malaysia ini.

Mereka rasa, itu hanya lawak jenaka yang mereka rancang sebelum melakukan persembahan atas pentas. Dengan harapan, semua orang akan bergelak ketawa.

Padahal, dia tidak tahu, dia telah memperolok-olokkan agamanya sendiri. Dia telah membodohkan dirinya sendiri di hadapan orang ramai.

Lebih teruk lagi, kita takut kata-katanya itu boleh membawa kepada kekufuran.

Surah al-An’am ayat 108

Kita juga dilarang untuk menghina agama orang lain.

Buktinya, Allah berfirman dalam Surah al-An’am ayat 108:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللّٰهِ فَيَسُبُّوا اللّٰهَ عَدْوًاۢ بِغَيْرِ عِلْمٍۗ كَذٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ اُمَّةٍ عَمَلَهُمْۖ ثُمَّ اِلٰى رَبِّهِمْ مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ

Dan janganlah kamu memaki sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah, Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan.

Ayat ini menceritakan, kita dilarang untuk menghina agama orang lain. Khuatir nanti, orang lain akan berasa bahawa boleh untuk menghina agama kita pula. Itu yang kita tidak mahu.

Kesimpulan

Menghina agama adalah suatu perbuatan yang terkutuk dalam Islam sama ada menghina agama orang lain atau menghina agama sendiri.

Menghina agama sendiri boleh membawa kepada pelakunya menjadi murtad. Nauzubillah. Diharapkan artikel larangan mempersendakan islam ini bermanfaat.

Rujukan

1. At-Tabari. Tafsir at-Tabari.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 − 14 =

Scroll to Top