Siapakah Khadijah Binti Khuwailid? Artikel ini akan membincangkan salah seorang isteri Nabi iaitu Khadijah Binti Khuwailid RA — isteri pertama Rasulullah SAW dan wanita pertama yang memeluk agama Islam.
Siapakah Khadijah Binti Khuwailid?
1Beliau merupakan isteri pertama Rasulullah SAW.
2Wanita pertama yang memeluk agama Islam.
3Beliau merupakan isteri Rasulullah SAW yang melahirkan 2 orang anak lelaki dan 4 orang anak perempuan.
4Beliau banyak menyumbangkan hartanya untuk membantu agama Islam.
Nama dan Salasilah Keturunan Khadijah
Nama panjang beliau adalah Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushi. Bapanya bernama Khuwailid bin Asad dan ibunya bernama Fatimah binti Za’idah. Khadijah berasal dari keturunan Bani Asad dari suku Quraisy. Garis keturunannya yang terpandang membuatkan beliau sangat dihormati oleh kalangan penduduk Mekah. Datuknya yang digelar Ibnu Khantsar merupakan seorang pahlawan Quraisy pada zaman jahiliyah dan neneknya pula bernama Halah binti Abdi Manaf bin Al Harits yang nasabnya bersambung dengan Luay bin Ghalib.
Lahirnya Khadijah
Khadijah dilahirkan di Mekah pada tahun ke-68 sebelum hijrah atau pada tahun 555 M. Pada zaman kelahiran beliau, masyarakat mempunyai kefahaman bahawa melahirkan seorang anak perempuan adalah sebuah aib dan mereka akan menguburnya secara hidup-hidup. Akan tetapi berbeza dengan keluarga Khuwailid bin Asad, mereka sangat gembira atas kelahiran anak perempuan mereka yang bernama Khadijah.
Beliau lahir dari sebuah keluarga bangsawan yang terhormat dan berlimpah hartanya, namun sedikit pun tidak muncul sifat sombong dan bongkak dalam dirinya, malah beliau adalah orang yang rendah hati.
Pada tahun 575 M, ibu Khadijah meninggal dunia dan 10 tahun selepas itu bapanya pula menyusul pemergian ibunya. Beliau mewarisi harta kekayaan mereka dan tetap melanjutkan perdagangannya sehingga membuatkan beliau menjadi semakin berdikari.
Kisah Khadijah Yang Bernikah Dengan Rasulullah SAW
Khadijah adalah seorang wanita yang hebat sehingga banyak sekali orang datang untuk meminangnya. Akan tetapi beliau tidak menerima pinangan-pinangan tersebut secara baik dan tetap fokus pada perdagangannya.
Pada suatu hari, telah datang sebuah berita dari buah mulut orang-orang sekitarnya mengatakan bahawa ada seorang pemuda yang pandai dan sangat boleh dipercaya. Pemuda tersebut adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW pada saat itu sangat terkenal sebagai seorang pemuda yang amanah sehingga diberikan gelaran Al-Amin. Khadijah pun dengan rasa ingin tahu mengutus pembantunya yang bernama Maisarah dengan niat menawarkan pekerjaan kepada Rasulullah SAW untuk membawa barang dagangannya ke Negeri Syam. Rasulullah SAW pun menerima tawaran itu.
Sebelum berangkat menuju ke Syam, Khadijah memberikan pesanan kepada Maisarah untuk memerhatikan Rasulullah SAW dan memberikan laporan kepadanya ketika kembali.
Setelah rombongan yang diamanahkan kepada Rasulullah SAW kembali semula ke Mekah dari Syam, Maisarah pun mendatangi Khadijah dan memberikan laporan atas apa yang dia perhatikan dari diri seorang Muhammad SAW. Maisarah mengatakan bahawa Rasulullah SAW adalah orang yang mempunyai budi pekerti yang mulia dan merupakan orang yang sangat jujur dalam berniaga. Mendengar laporan dari Maisarah ini membuatkan Khadijah semakin tertarik kepada baginda dan mempunyai harapan dapat bernikah dengannya. Akhirnya Khadijah mengutus seseorang bernama Nafisah binti Maimunah untuk menjadi perantaranya dalam menyampaikan hajatnya kepada baginda Rasulullah SAW.
Pada waktu Nafisah pergi bertemu dengan Rasulullah SAW, dia bertanya kepada Rasulullah SAW kenapa baginda masih belum bernikah dan Rasulullah SAW pun menjawab bahawa baginda masih belum mampu untuk menikahi seorang wanita. Lalu pada akhirnya Nafisah pun mengungkapkan hal sebenar kenapa dia bertemu dengan baginda dan akhirnya menanyakan kesediaan Rasulullah SAW untuk bernikah dengan Khadijah. Rasulullah SAW pun dengan kesediaannya menyetujui lamaran tersebut.
Dengan perasaan gembira, Nafisah pun pergi membawa khabar baik tersebut kepada Khadijah dan tidak lama selepas itu Khadijah pun bernikah dengan Rasulullah SAW dengan mas kahwin sebesar 20 ekor unta. 🐪
Wafatnya Khadijah
Menjelang kewafatan Khadijah, pada saat itu orang-orang Kafir Quraisy dengan niat untuk melemahkan dakwah Rasulullah SAW dalam menyebarkan agama Islam, mereka melakukan boikot secara besar-besaran terhadap perdagangan Khadijah. Disebabkan pemboikotan tersebut, beliau menderita kelaparan dan kehausan sehingga membuatnya sakit keras. Semakin hari semakin teruk penyakit yang beliau alami. Sehinggalah pada akhirnya beliau wafat dan mengakhiri kehidupannya pada usia 65 tahun, bertepatan dengan 3 tahun sebelum Rasulullah SAW hijrah ke Madinah — dan tahun tersebut dikenali sebagai tahun dukacita (‘Aam al-Huzn) buat Rasulullah SAW.
Hadis Berkaitan Dengan Khadijah
✦Salam Daripada Allah SWT dan Malaikat Jibril
Terdapat sebuah hadis yang mengatakan bahawa Allah SWT dan malaikat Jibril menyampaikan salam kepadanya. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang berbunyi:
عن أبي هريرة – رضي الله عنه – قال أَتَى جِبْرِيلُ النَّبِيَّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ! هَذِهِ خَدِيجَةُ قَدْ أَتَتْ مَعَهَا إِنَاءٌ فِيهِ إِدَامٌ أَوْ طَعَامٌ أَوْ شَرَابٌ، فَإِذَا هِيَ أَتَتْكَس فَاقْرَأْ عَلَيْهَا السَّلامَ مِنْ رَبِّهَا – وَمِنِّي -، وَبَشِّرْهَا بِبَيْتٍ فِي الْجَنَّةِ مِنْ قَصَبٍ، لا صَخَبَ فِيهِ ولا نَصَبَ
Maksudnya: Dari Abu Hurairah RA, disebutkan bahawa pada suatu ketika Jibril pernah datang kepada Rasulullah SAW sambil berkata, “Wahai Rasulullah, ini dia Khadijah. Ia datang kepada engkau dengan membawa wadah berisi lauk-pauk, atau makanan atau minuman. Apabila dia datang kepada engkau, maka sampaikanlah salam dari Allah dan dariku kepadanya. Selain itu, beritahukan pula kepadanya bahawa rumahnya di syurga terbuat dari emas dan perak, yang di sana tidak ada kebisingan dan kepayahan di dalamnya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
✦Penghulu Wanita Ahli Syurga
Terdapat juga sebuah hadis yang mengatakan beliau adalah salah seorang wanita penghulu syurga. Hadis ini merupakan riwayat Ahmad:
أَفْضَلُ نِسَاءِ أَهْلِ الْجَنَّةِ خَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ وَفَاطِمَةُ بِنْتُ مُحَمَّدٍ وَآسِيَةُ بِنْتُ مُزَاحِمٍ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ وَمَرْيَمُ ابْنَةُ عِمْرَانَ
Maksudnya: “Wanita-wanita yang paling utama sebagai penduduk syurga adalah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Asiah binti Muzahim (isteri Firaun) dan Maryam binti ‘Imran.”
(Riwayat Ahmad)
📚 Sumber Rujukan:
- Khadijah Binti Khuwailid — Islamic.co
- Biografi Khadijah Binti Khuwailid — Biografi Tokoh Ternama Blogspot
- Ummul Mukminin Khadijah Binti Khuwailid — Kisah Muslim
- Biografi Singkat Sayidah Khadijah Binti Khuwailid — Ahlul Bait Indonesia