Artikel ini akan membahaskan hukum solat ketika azan. Bolehkah kita bersolat ketika azan sedang dikumandangkan? Ataupun kita perlu menunggu sehingga zaman itu habis dikumandangkan baru kita boleh solat? Ikuti perbahasan dalam artikel ini dalam merungkai hukum solat ketika azan.
Azan
Azan ialah pemberitahuan orang ramai tentang masuknya waktu solat.
Allah berfirman dalam Surah al-Jumu’ah ayat 9:
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Ayat ini menggunakan kata azan bagi maksud menyeru orang beriman pergi menunaikan solat Jumaat.
Namun, al-Quran tidak menyebutkan tentang azan secara fikah yang seperti kita lihat hari ini. Laungan azan Allahu Akbar hinggalah Lailaha Ila Allah itu adalah berdasarkan hadis, bukan al-Quran. Cuma, kata “azan” itu telah digunakan dalam al-Quran membawa makna umum “menyeru”, “memberitahu”, dan sebagainya.
Kelebihan-kelebihan azan
Orang yang melaungkan azan itu dinamakan muazzin. Sesiapa yang menjadi muazzin hendaklah mengambil ini sebagai sumber semangat untuk terus melakukan kerja murni itu.
1. Allah akan mengampuni segala dosa
Rasulullah bersabda:
Muazzin diampuni sejauh jangkauan azannya. Seluruh benda yang basah mahupun yang kering yang mendengar azannya memohonkan keampunan untuknya. (Riwayat Ahmad)
Sejauh mana suara seorang muazzin itu sampai, sejauh itulah dosanya akan diampuni oleh Allah menurut hadis di atas.
2. Allah panjangkan leher muazzin
Rasulullah bersabda:
Para muazzin adalah orang yang berleher panjang pada hari kiamat. (Riwayat Muslim)
Memetik artikel daripada Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, katanya Imam Nawawi menyatakan ulama salaf dan khalaf berbeza pandangan dalam memahami makna hadis ini.
Menurut Imam Nawawi lagi, maksud panjang leher ini adalah keinginan untuk melihat rahmat Allah kerana orang yang hendak melihat rahmat Allah dan pahala-pahala yang Allah sediakan untuknya dia akan memanjangkan leher.
3. Masuk syurga
Abu Hurairah pernah berkata:
Suatu ketika kami bersama Rasulullah, lalu bangkitlah Bilal untuk azan. Setelah selesai azan. Rasulullah bersabda, “Barangsiapa mengucapkan seperti yang dikumandangkan oleh muazzin dengan yakin, maka dia masuk syurga.” (Riwayat an-Nasaie)
Orang yang membacakan bacaan yang muazzin bacakan (termasuklah muazzin itu sekali), Allah akan masukkan ke dalam syurga sepertimana yang Rasulullah sabdakan di atas.
4. Dikurniakan pahala yang sangat banyak
Rasulullah bersabda:
Seandainya orang mengetahui pahala yang terkandung pada azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak mungkin mendapatkannya kecuali dengan cara mengadakan undian atasnya, nescaya mereka akan melakukan undian. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Maksud yang Rasulullah sampaikan ini, kalaulah perlu mengundi untuk siapa-siapa melaungkan azan, maka orang ramai akan mengundi. Orang ramai akan berebut untuk mengumandangkannya. Hal ini kerana pahala yang sangat banyak terkandung pada amalan tersebut.
5. Membuatkan syaitan lari
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:
Jika panggilan solat (azan) dikumandangkan maka syaitan akan lari sambil mengeluarkan kentut agar tidak mendengar suara azan tersebut. Apabila panggilan azan telah selesai, maka syaitan kembali.
Dan apabila iqamat dikumandangkan syaitan kembali berlari dan jika iqamat telah selesai dikumandangkan dia kembali lagi untuk mengganggu seseorang di antara dirinya dan jiwanya seraya berkata; ingatlah ini dan itu.
Hingga orang itu tidak menyedari apakah tiga atau empat rakaat solat yang sudah dikerjakannya. Apabila dia tidak tahu tiga atau empat rakaat maka sujudlah dua kali sebagai sujud sahwi. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini memberitahu, syaitan takut dengan azan dan iqamat. Sebaik sahaja azan dan iqamat dilaungkan, syaitan akan berlari sejauh-jauhnya hingga tidak dapat mendengar suara laungan itu.
Bolehkah solat ketika azan?
Menurut Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:
Sesiapa yang solat ketika azan sedang dikumandangkan adalah sah. Solat ketika azan dilaungkan tidak membatalkan solat sama sekali.
Sebab, syarat sah solat adalah masuknya waktu solat. Azan itu tanda kepada waktu solat yang sudah masuk.
Namun, tunggu sampai habis azan baru solat adalah lebih utama. Sebab apa?
Sebab, kalau kita solat terus ketika azan sedang dikumandangkan, maka kita akan terlepas amalan-amalan sunat untuk dilakukan ketika azan seperti menjawab bacaan azan, berselawat, membaca doa dan sebagainya.
Rujukan
- Adakah sah menunaikan solat fardhu ketika azan berkumandang? – MuftiWP
- Bab azan dan iqamah – Universiti Telegram Online
- Hukum azan dan iqamah – Academia.edu