Artikel ini akan membincangkan hukum memakan dhab. Bolehlah kita memakan dhab? Sedangkan, Nabi tidak memakannya. Bukan setakat itu, ketika dhab dihidangkan, baginda tidak memakannya pun. Adakah ini bermakna dhab itu dilarang?
Dhab
Dhab merupakan sejenis cicak yang terdapat di padang pasir. Meskipun ramai yang memanggil dhab sebagai biawak pasir, namun sebenarnya dhab tergolong dalam keluarga cicak.
Binatang ini banyak terdapat di Mesir, Libya, Palestin dan beberapa lagi. Dhab sering duduk di kawasan kering dan berbatu.
Dhab adalah sejenis binatang herbivor. Binatang ini mempunyai kulit yang tebal.
Hukum makan dhab
Hukum makan dhab adalah harus. Ini adalah kerana terdapat dalil yang menyatakan bahawa Rasulullah tidak mengharamkannya.
Contohnya, daripada Ibnu Abbas RA berkata:
Aku dan Khalid bin al-Walid bersama Rasulullah SAW masuk ke rumah Maimunah. Lalu dihidangkan kepada kami daging dhab yang telah dibakar dan Rasulullah SAW menghulurkan tangannya untuk mengambil daging tersebut.
Tiba-tiba sebahagian daripada wanita yang berada di rumah Maimunah berkata: “Beritahulah kepada Rasulullah SAW hidangan apa yang beliau makan?.” Rasulullah SAW pun menarik tangannya, lalu aku bertanya, “Apakah daging tersebut haram wahai Rasulullah?”
Beliau menjawab, “Tidak, tetapi ia tidak terdapat di negeri kaumku, maka aku tidak menyukainya.” Khalid berkata, “Aku mengambil daging tersebut dan memakannya, sedangkan Rasulullah SAW hanya melihat.” (Riwayat Muslim)
Dalam hadis ini, apabila Rasulullah dihidangkan daging dhab, baginda tidak memakannya. Hal ini kerana beliau tidak biasa memakan daging tersebut. Di tempat beliau, tidak selalu dihidangkan makanan seperti itu.
Jadi, ia merupakan soal kesukaan atau personal preference, bukan sesuatu yang disyariatkan.
Apabila kita berbicara tentang sunnah, kita perlu kenali dahulu jenis-jenis sunnah supaya kita tidak secara sebarang mengharamkan sesuatu yang tidak patut diharamkan.
Jenis-jenis sunnah
Menurut Mohd Saleh Haji Ahmad dalam bukunya Pengantar Syariat Islam menyatakan bahawa sunnah ada yang ditasyrikkan dan tidak ditasyrikkan.
Ditasyrikkan bermaksud disyariatkan.
1. Sunnah yang ditasyrikkan
Sunnah yang ditasyrikkan ialah apabila Rasulullah itu menyampaikan risalah Allah sebagai sesuatu perintah, larangan dan pengajaran yang wajib diamalkan oleh orang Islam.
Contoh sunnah yang ditasyrikkan ialah hadis berikut, Rasulullah bersabda:
Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat. (Riwayat Bukhari)
Hadis ini menunjukkan bahawa cara Rasulullah solat itu adalah suatu syariat kepada orang Islam agar wajar ia diikuti dan dicontohi.
Tidak ada orang Islam yang boleh mereka-reka solat mereka kerana terdapat hadis seperti ini yang menegaskan cara solat Rasulullah itu merupakan satu syariat.
2. Sunnah yang tidak ditasyrikkan
Sunnah yang tidak ditasyrikkan pula ialah perbuatan atau perkataan Rasulullah yang tidak disyariatkan. Ia hanya berlaku berdasarkan sifat manusianya Rasulullah. Contohnya, hal-hal adat dan sebagainya.
Pemakaian serban adalah termasuk dalam sunnah yang tidak ditasyrikkan. Kenapa?
Sebab, pemakaian serban bukanlah satu pakaian kenabian, tetapi budaya orang Arab. Rasulullah itu adalah orang Arab, maka baginda memakai serban, jubah dan sebagainya.
Bukan baginda saja, orang-orang yang memusuhi baginda seperti Abu Jahal pun memakai serban kerana dia adalah orang Arab.
Jadi, ia lebih kepada adat dan budaya. Tidak wajar dijadikan panduan untuk mengharamkan atau mewajibkan sesuatu.
Namun begitu, tidaklah ia bermakna bahawa pemakaian serban itu tidak bagus. Sekiranya ia dipakai atas dasar cinta kepada Rasulullah, insya-Allah peroleh pahala.
Cuma, asasnya, pemakaian serban bukanlah sesuatu yang menjadi sebahagian daripada syariat Islam itu sendiri.
Tidak memakan dhab bukanlah satu tasyrik!
Berdasarkan penjelasan tadi, dapatlah kita faham bahawa perbuatan Rasulullah tidak memakan dhab adalah bukan sebahagian daripada tasyrik. Ia hanya lumrah baginda sebagai manusia.
Kita juga begitu. Sekiranya kita tidak biasa dengan sesuatu makanan, maka kecenderungan untuk memilih dan memakan makanan berkenaan adalah sangat rendah. Sebab, tidak biasa jumpa. Kita mesti memakan makanan yang kita biasa jumpa dan selalu makan.
Hal ini ditegaskan sendiri oleh baginda bahawa ia tidak haram. Baginda tidak memakannya adalah kerana baginda tidak biasa dihidangkan dhab. Itu sahaja.
Kesimpulan
Hukum memakan dhab adalah harus.
Rujukan
- Pengantar Syariat Islam oleh Mohd Saleh Haji Ahmad
- UROMASTYX AEGYPTIA – Animalia.bio