Skip to content

Hadis Maudhu’: Ciri-Ciri dan Hukum Beramal

hadis maudhu

Apakah itu hadis maudhu’? Artikel ini akan membincangkan definisi, ciri-ciri dan hukum beramal dengan hadis maudhu’.

Pengenalan

Selain dari perbahasan Sahih, Hasan dan Dhaif dalam ilmu Istilah Hadis, terdapat satu lagi perbahasan yang sangat penting iaitu Hadis Maudhu’. Sebuah perbahasan yang seringkali kita dengar dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Baik di masjid-masjid mahupun media sosial ada sahaja tokoh agamawan yang seringkali mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan Hadis Maudhu’. Persoalannya, sejauh mana kita tahu apa itu Hadis Maudhu’? Bagaimana ciri-cirinya? Apakah boleh beramal dengannya?

Definisi Hadis Maudhu’

Istilah  Maudhu’ berasal dari perkataan bahasa arab iaitu wadho’a (وضع) yang membawa maksud membuat atau mencipta. Manakala maksud maudhu’ itu sendiri ialah perkara yang direka atau dicipta.

Adapun apabila disebut Hadis Maudhu’ maksudnya ialah hadis yang direka atau dicipta kemudian disandarkan penisbahan hadis tersebut kepada Rasulullah SAW, sedangkan pada hakikatnya ianya bukan dari hadis-hadis Baginda SAW. Dalam erti kata lain pula ianya adalah hadis palsu bukannya hadis Nabi SAW. Akan tetapi disebut juga hadis kerana ianya dinisbahkan kepada Rasulullah SAW.

Sebab-sebab Berlakunya Hadis Madhu’

Apabila kita membicarakan sebab-sebab sesuatu hadis itu boleh dinilai sebagai maudhu’, ianya tidak lari dari dua sebab utama iaitu secara sengaja atau tidak sengaja.

Hadis-hadis yang dinilai maudhu’ oleh ulama disebabkan seseorang itu sengaja memalsukan hadis mempunyai beberapa sebab atau bentuk:

  1. Dipalsukan oleh golongan Zindiq. Golongan ini sanggup mendustakan hadis Nabi SAW demi kepentingan dan kepuasan nafsu mereka sendiri.
  2. Dipalsukan oleh golongan ahli ibadah yang jahil. Mereka ini memalsukan hadis dengan tujuan yang baik agar masyarakat lebih gemar beribadah. Akan tetapi ianya tetap menjadi satu kesalahan dan dosa bagi yang mendustakan hadis Nabi SAW.
  3. Dipalsukan oleh pentaksub sesuatu kumpulan. Golongan ini sanggup mendustakan hadis Baginda SAW semata-mata mahu memenangkan kumpulan mereka sendiri.

Mereka ini yang sengaja mendustakan hadis Nabi SAW walaupun tujuannya murni tetap menjadi satu kesalahan dan dosa sepertimana yang ditegaskan oleh Baginda SAW “sesiapa yang berdusta ke atas diriku secara sengaja maka disediakan baginya tempat duduk dari neraka” (Disepakati riwayatnya oleh al-Bukhari dan Muslim).

Adapun mereka yang tidak sengaja memalsukan hadis atau menyampaikan hadis yang palsu secara tidak sengaja, maka tiada dosa baginya. Akan tetapi mereka ini tidak diterima periwayatan mereka dalam hadis kerana salah faham mereka. Situasi begini selalunya berlaku kepada perawi yang lemah hafalannya atau mudah melakukan kesilapan dalam periwayatan. Mereka menyangkakan sesuatu berita atau maklumat yang diterima itu adalah hadis Nabi SAW sedangkan ianya bukan hadis Nabi SAW, sama ada ianya ucapan sahabat, fatwa dan lain-lain bentuk perkhabaran yang tiada kaitan dengan Nabi SAW.

Cara Mengetahui Hadis Maudhu’

Sepertimana perbahasan Sahih, Hasan dan Dhaif yang memerlukan ahlinya untuk menentukan status hadis tersebut, begitu juga Hadis Maudhu’ juga boleh dinilai oleh ahlinya sahaja. Walaupun begitu terdapat beberapa cara untuk kita ketahui ciri-ciri Hadis Maudhu’:

  1. Perakuan oleh pendusta hadis itu sendiri.
  2. Gaya bahasa yang lemah mustahil bagi Nabi SAW mengatakan sedemikian.
  3. Hadis tersebut bertentangan dengan dalil syara’ yang lebih sahih atau mutawatir atau bertentangan dengan akal dan realiti.

Hukum Meriwayatkan Dan Beramal Dengan Hadis Maudhu’

Seperti sedia maklum hukum mendustakan atau memalsukan hadis Nabi SAW secara sengaja adalah haram dan berdosa. Akan tetapi hukum meriwayatkannya dan beramal dengannya terdapat perincian padanya.

Hukum meriwayatkan Hadis Maudhu’ adalah tidak dibenarkan dan ditegah sama sekali. Kecuali bagi mereka yang meriwayatkan atau menyampaikan Hadis Maudhu’ tersebut dengan tujuan untuk beri peringatan dan makluman bahawa hadis tersebut adalah maudhu’ atau palsu.

Hukum beramal dengannya pula adalah dilarang sama sekali jika kita nisbahkannya kepada Nabi SAW. Dalam erti kata lain haram beramal dengan hadis yang dihukumkan maudhu’ dalam  keadaan kita meyakini ianya masih hadis Nabi SAW. Adapun amalan yang disebutkan di dalam Hadis Madhu’ tersebut boleh diamalkan selagi mana ianya bertepatan dengan syara’ dengan syarat kita tidak menisbahkan amalan tersebut kepada Baginda SAW kerana ianya bukan hadis.

Rujukan.

  • Manhaj al-Naqd Fi Ulum al-Hadith, Dr Nuruddin Itr.
  • Nuzhah al-Nazar, Ibnu Hajar al-‘Asqalani
  • Sahih al-Bukhari
  • Sahih Muslim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eighteen − 17 =