Skip to content

Hadis Berkenaan Pengampunan Allah SWT – Hadis 40

hadis tentang keampunan

Hadis ini merupakan hadis ke-42 dalam buku hadis Arbain iaitu hadis 40 karangan Imam Nawawi yang membincangkan mengenai keampunan kepada anak adam yang sangat luas

Pengenalan

Hadis yang akan dibincangkan ialah sebuah hadis yang sangat besar maknanya. Ia merupakan anugerah serta hadiah Allah S.W.T kepada para hambanya yang beriman. Sebuah pengharapan yang didambakan oleh umat islam. Terutama kita sebagai hambanya yang melakukan silap dan dosa. Maka dengan itu, perhatikan sebuah hadis yang telah direkodkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya yang masyhur. Hadis yang dijadikan beliau sebagai penutup kepada kitabnya itu.

عن أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: يَابْنَ آدَمَ، إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ مِنْكَ وَلَا أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَمَ، لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ، ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي، غَفَرْتُ لَكَ، يَا ابْنَ آدَمَ، إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الْأَرْضِ خَطَايَا، ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكْ بِي شَيْئًا، لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً» . رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَقَالَ: حَدِيثٌ حَسَنٌ

Maksudnya: Dari Anas bin Malik R.A telah berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

Allah S.W.T telah berkata: Wahai anak Adam! Sesungguhnya tidaklah engkau berdoa kepada-Ku dan berharap kepada-Ku melainkan Aku akan akan mengampunkan engkau terhadap segala apa yang telah engkau lakukan dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Sekiranya dosa-dosamu sampai ke puncak langit, kemudian engkau memohon keampunan daripada-Ku, pasti Aku mengampuni kamu. Wahai anak Adam! Sekiranya engkau datang kepada-Ku  dengan kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau datang menemui-Ku dalam keadaan engkau tidak menyukutukan Aku dengan sebarang apa pun, pasti Aku akan mengurniakanmu dengan keampunan yang sepenuhnya.

Riwayat al-Tirmizi. Berkata al-Tirmizi “Hadis ini Hasan”.

Pengampunan Allah Yang Luas

Intipati utama hadis yang ke 42 dalam hadis 40 Imam al-Nawawi ialah pengampunan Allah yang tiada penghujungnya. Jelas pada hadis ini menceritakan tentang bagaimana Allah S.W.T menerima taubat hamba-hambanya walaupun dosa-dosa tersebut sebesar bumi dan seluas langit. 

Perhatikanlah kata Allah Allah S.W.T pada rangkap “Wahai anak Adam! Sekiranya dosa-dosamu sampai ke puncak langit, kemudian engkau memohon keampunan daripada-Ku, pasti Aku mengampuni kamu. Wahai anak Adam! Sekiranya engkau datang kepada-Ku  dengan kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau datang menemui-Ku dalam keadaan engkau tidak menyukutukan Aku dengan sebarang apa pun, pasti Aku akan mengurniakanmu dengan keampunan yang sepenuhnya”.

Ini merupakan bukti terbesar bahawa Allah itu Maha Pengampun serta menerima taubat hamba-hambanya. Walaupun begitu, pengampunan Allah itu hanya terhad kepada yang beriman sahaja. Sesiapa yang sehingga ke akhir hayatnya masih dalam islam serta tidak menyekutukan Allah maka layak baginya pengampunan seperti yang disebutkan dalam hadis ini.

Hadis ini juga bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam Surah al-Baqarah ayat 28:

وَاللَّهُ يَعِدُكُمْ مَغْفِرَةً مِنْهُ وَفَضْلًا وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: dan Allah menjadikan untukmu ampunan daripadanya serta kelebihan. Dan Allah Maha Luas Kurnianya dan Maha Mengetahui.

Keluasan Rahmat Allah

Apabila kita membicarakan pengampunan Allah S.W.T, maka pasti akan disertakan sekali perbincangan berkenaan rahmat Allah yang tiada bandingnya. Lihat sahaja pada hadis ini! Allah S.W.T menjanjikan pengampunan kepada hamba-hambanya walaupun dosa mereka itu tidak terjangkau banyaknya. Ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan rahmat Allah yang tiada penghujungnya. Bertepatan juga dengan firman Allah S.W.T pada ayat pertama Surah al-Fatihah yang bermaksud “dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani”.

Ulama tafsir berpendapat bahawa Allah itu al-Rahman (pemurah) kepada setiap makhluknya. Tidak kira sama ada makhluknya itu daripada kalangan manusia, jin mahupun tumbuhan dan haiwan. Kesemua makhluknya pasti akan mendapat nikmat Allah di dunia ini. Manakala Allah itu sebagai al-Rahim (pengasih) yang mengasihi setiap hambanya yang beriman sahaja. Maka nikmat yang Allah berikan kepada hamba-hambanya yang beriman merupakan nikmat yang khas. Tiada makhluk lain yang boleh mendapatkan nikmat tersebut melainkan yang beriman sahaja. Antara nikmat yang dimaksudkan ialah nikmat iman, islam dan juga nikmat pengampunan Allah S.W.T.

Hadis ini juga berkait rapat dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي، فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي، وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا، وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً “

Maksudnya: Telah bersabda Nabi SAW: Allah SWT berkata “aku ini menurut sangkaan hambaku terhadapku, dan aku bersama dengannya jika dia mengingati aku, jika dia mengigati aku dalam dirinya maka aku mengingatinya dalam diriku, jika dia mengingati aku ketika dalam suatu perkumpulan maka aku mengingatinya dalam perkumpulan yang lebih baik dari itu, jika dia mendekati aku sebanyak sejengkal maka aku mendekatinya sehasta, jika dia mendekati aku sehasta maka aku mendekatinya sedepa, jika dia datang kepadaku dalam keadaan berjalan maka aku mendatanginya seakan dalam keadaan berlari” (Disepakati riwayatnya oleh al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini juga menunjukkan bagaimana rahmat Allah itu tidak terjangkau oleh fikiran kita. Ketika mana kita cuba untuk mendekatkan diri kepada Allah, pada keadaan itu Allah itu lebih dekat dan kasih kepada kita berbanding kasihnya kita kepadaa Allah. Begitu juga dengan pengampunan Allah. Ketika mana kita merasa dosa-dosa kita tidak layak diberikan pengampunan, pada ketika itu juga Allah telah mengampuni kita.

Syarat Diterimanya Taubat

Tidak dinafikan bahawa Allah itu Maha Pengampun yang mengampuni semua kesalahan hamba-hambanya. Walaupun begitu, dalam kita memohon taubat kepada Allah S.W.T terdapat beberapa syarat agar taubat tersebut diterima.

Ulama telahpun menggariskan beberapa syarat agar taubat tersebut diterima Allah S.W.T. Antara syarat-syarat tersebut ialah:

  1. Meninggalkan maksiat atau kesalahan yang telah dilakukan.
  2. Menyesali dengan bersungguh-sungguh akan dosa yang telah dilakukan.
  3. Berazam untuk tidak mengulangi dosa tersebut.

Tujuan utama syarat-syarat ini ialah agar taubat tersebut diterima Allah. Hal ini supaya kita sebagai hambanya tidak bermain-main atau bermudah-mudah dengan taubat yang kita lakukan atas dasar “Allah itu Maha Pengampun”. Ditakuti perbuatan sambil lewa tersebut akan mengundang kemurkaan Allah S.W.T.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, hadis ini menceritakan rahmat Allah yang luas melalui pengampunannya. Pengampunan Allah itu khusus kepada mereka yang beriman dan serius dalam taubatnya. Bukan itu sahaja, hadis ini menggalakkan umat islam supaya sentiasa berdoa serta mengharapkan pengampunan Allah S.W.T.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

17 − three =