Skip to content

Darah Haid: Definisi, Tempoh dan Ibadah yang dilarang

darah haid

Apakah itu darah haid? Kenapa wanita mempunyai darah haid? Islam diturunkan untuk menjaga kemaslahatan manusia sebagaimana firman Allah SWT :

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ  (١٠٧)

Maksudnya : “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” (Anbiya’ : 107)

Kerahmatan ini boleh dilihat melalui kejadian semula jadi yang dicipta oleh Allah SWT. Contohnya penciptaan keseluruhan anggota tubuh badan manusia mempunyai fungsi tersendiri untuk memberi kesejahteraan kepada setiap manusia. Selain itu, wujudnya darah haid juga merupakan kejadian semula jadi yang juga mendatangkan rahmat kepada manusia. Dengan kata lain, kewujudan darah haid terhadap manusia bergelar wanita adalah dengan kehendak Allah SWT dalam menjaga kemaslahatan mereka.

Definisi Darah Haid

Haid adalah masdar dari perkataan Arab iaitu ha-dha, yahi-dhu, haidon. Menurut pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji, haid dari segi bahasa ialah mengalir manakala dari segi syara’ ialah darah semulajadi yang keluar dari rahim wanita setelah mencapai umur baligh dan berada dalam keadaan sihat.

Dalil-Dalil Berkaitan Darah Haid

Haid disebut sebanyak empat kali di dalam al-Quran. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim menceritakan  bahawa ada sekelompok sahabat Nabi SAW bertanya kepada Nabi SAW tentang perilaku seorang lelaki yang tidak mahu makan bersama dan bergaul dengan isterinya di rumah ketika isteri sedang haid. Maka turunlah firman Allah SWT :

وَيَسۡ‍َٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡمَحِيضِۖ قُلۡ هُوَ أَذٗى فَٱعۡتَزِلُواْ ٱلنِّسَآءَ فِي ٱلۡمَحِيضِ وَلَا تَقۡرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطۡهُرۡنَۖ فَإِذَا تَطَهَّرۡنَ فَأۡتُوهُنَّ مِنۡ حَيۡثُ أَمَرَكُمُ ٱللَّهُۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلۡمُتَطَهِّرِينَ (٢٢٢)

Maksudnya :“Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: “Haid itu adalah suatu kotoran”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri” (Al-Baqarah : 222)

Tempoh Masa Darah Haid

Tempoh masa haid adalah seperti berikut :

  • Masa haid paling singkat ialah 24 jam sehari
  • Tempoh biasa keluar haid ialah 6 hingga 7 hari manakala had maksimumnya ialah 15 hari

Batas masa paling minimum seorang wanita antara dua haid ialah 15 hari. Manakala tempoh masa suci tiada batasan maksimum kerana ada sebahagian wanita yang mengalami haid 6 bulan sekali (kurang atau lebih dari tempoh itu). Dalam sebuah hadis, Ummu Salamah pernah bertanya kepada Rasullah SAW tentang perempuan yang mengeluarkan darah haid, maka Rasulullah bersabda :

Maksudnya : “Hendaklah ia melihat hitungan hari dan malam, ketika ia mengalami darah haid. Juga hitungan dalam satu bulan. (jika sudah tiba), maka hendaklah ia meninggalkan solat, kemudian bermandilah, lalu balutlah kemaluannya, dan solatlah” (HR Abu Daud)

Setelah haid, bagaimana seseorang wanita itu mengetahui waktu haid telah selesai? Seseorang wanita dapat mengetahui sama ada dirinya telah selesai haid atau belum dengan cara memasukkan kapas berwarna putih ke dalam farajnya. Jika cecair pada kapas tersebut tidak terdapat kesan darah ia dianggap telah suci.

Ibadah Dilarang Ketika Haid

Larangan Solat dan Tidak Wajib Menggantikannya

Solat dilarang bagi wanita yang sedang haid seperti sabda Rasulullah SAW :

Maksudnya : “apabila datang masa haidmu maka tinggalkanlah solat” (HR Bukhari)

Seorang wanita haid dilarang melakukan solat bahkan tidak wajib menggantikan solat seperti yang dijelaskan dalam Kitab Sunan an-Nasa’i iaitu “kami pernah mengalami haid pada masa Rasulullah SAW kemudian kami suci, maka, beliau memerintahkan kami menggantikan puasa dan tidak memerintahkan kami menggantikan solat”

Larangan Berpuasa dan Wajib Menggantikannya

Seorang wanita dilarang berpuasa ketika dalam keadaan haid sebagaimana dalam riwayat Bukhari,

Maksudnya : “Bukankah salah seorang diantara kamu (kaum wanita) apabila memasuki masa haid tidak shalat dan tidak pula puasa? (para sahabat) menjawab “benar”.

Diwajibkan bagi wanita yang kedatangan haid pada bulan Ramadhan untuk menggantikan puasa sebanyak hari yang ditinggalkan.

Membaca al-Quran

Terdapat dua pandangan terhadap membaca al-Quran ketika dalam keadaan haid iaitu :

  • Haram : Pendapat jumhur fuqaha’ melarang wanita membaca al-Quran ketika dalam keadaan haid sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya : “Tidak  dibolehkan wanita  dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Quran” (HR Tarmidzi)

  • Harus : Imam Malik berpendapat dibolehkan membaca al-Quran bagi wanita yang haid dengan niat mengajar atau belajar. Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja. Sebagaimana dalam Kitab Hasyiyah ‘Ala al-Syarh al-Kabir al-Dardir bahawa Syeikh Dusuki al-Maliki menyatakan “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Quran dalam keadaan adanya darah sekalipun telah berlaku janabah sebelumnya”.

Larangan Tawaf

Wanita haid dilarang melakukan tawaf seperti sabda Rasulullah SAW,

Maksudnya : “Lakukanlah segala sesuatu yang dilakukan orang yang berhaji selain dari melakukan tawaf di Ka’bah hingga engkau suci”

Larangan Berhubungan Suami Isteri

Berhubungan antara suami dan isteri adalah satu ibadah tetapi sekiranya wanita dalam keadaan haid adalah dilarang untuk melakukan dan termasuk dosa besar sebagaimana firman Allah SWT :

وَيَسۡ‍َٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡمَحِيضِۖ قُلۡ هُوَ أَذٗى فَٱعۡتَزِلُواْ ٱلنِّسَآءَ فِي ٱلۡمَحِيضِ وَلَا تَقۡرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطۡهُرۡنَۖ

Maksudnya :“Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: “Haid itu adalah suatu kotoran”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci” (Al-Baqarah : 222)

Solat Yang Perlu Digantikan

Sekiranya haid datang setelah masuk waktu solat dan seseorang itu belum melakukan solat, sedangkan jarak antara masuknya waktu solat dengan permulaan haid tadi mempunyai masa yang cukup untuk melakukan solat, maka seseorang itu wajib menggantikan solat tersebut.

            Selain itu, sekiranya haid selesai dalam waktu solat dan masih mempunyai masa yang cukup untuk “Takbiratul Ihram”, maka diwajibkan untuk menyucikan diri kemudian melakukan solat.

Hikmah Darah Haid

  • Melatih seorang wanita menjadi lebih cekap, rajin dan pembersih. Ianya kerana apabila seorang wanita telah melakukan perkara-perkara tersebut ketika haid, maka kelak mereka pastinya boleh mengurus suami dan anak-anak dengan baik.
  • Menjadi makanan bagi janin di dalam rahim wanita seperti firman Allah SWT :

وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ مِن سُلَٰلَةٖ مِّن طِينٖ (١٢) ثُمَّ جَعَلۡنَٰهُ نُطۡفَةٗ فِي قَرَارٖ مَّكِينٖ  (١٣) ثُمَّ خَلَقۡنَا ٱلنُّطۡفَةَ عَلَقَةٗ فَخَلَقۡنَا ٱلۡعَلَقَةَ مُضۡغَةٗ فَخَلَقۡنَا ٱلۡمُضۡغَةَ عِظَٰمٗا فَكَسَوۡنَا ٱلۡعِظَٰمَ لَحۡمٗا ثُمَّ أَنشَأۡنَٰهُ خَلۡقًا ءَاخَرَۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحۡسَنُ ٱلۡخَٰلِقِينَ  (١٤)

Maksudnya “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah (12) Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim) (13) Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik (14)” (Al-Mu’minin : 12-14)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

19 + two =